Ara duduk lama di halaman rumah. Tangisnya sudah jadi sendu yang tenggelam di balik sunyi malam. Hanya esak perlahan yang masih bergetar dalam dadanya. Mata yang sembab dan basah itu sesekali terpejam, cuba menahan sebak yang menggila, namun sia-sia.
Dengan kudrat yang berbaki, Ara akhirnya mengangkat tubuh. Perlahan-lahan. Seperti daun kering yang dipukul angin, langkahnya longlai. Dua beg yang sempat dia capai tadi terseret bersama. Dia berjalan, tidak tahu ke mana. Tidak tahu di mana akhirnya.
Sesekali, Ara menoleh ke belakang, memandang rumah kecil yang kini gelap, sunyi. Rumah itu — rumah yang suatu masa dulu penuh dengan suara gelak ketawa, suara panggilan seorang ibu, suara tawa adik-adiknya. Kini hanya bayang dan kenangan yang menggantung di situ. Hatinya berdoa dalam diam, berharap — berharap ada yang membuka pintu itu semula, ada suara yang memanggil namanya. Memanggilnya pulang.
Tapi tidak.
Pintu itu kekal tertutup.
Suara itu kekal diam.
Ara menggigit bibir. Dia harus sedar, semua ini bukan mimpi. Ini kenyataan yang harus dia telan, meski pahit, meski merobek seluruh jiwanya.
Langkahnya diteruskan.
Langit di atas gelap, bulan diselaputi awan kelam. Angin malam berhembus sejuk, menusuk ke tulang.
Ara berjalan, berjalan, berjalan...
⸻
30 minit berlalu...
Akhirnya, kakinya menjejak jalan besar.
Jalan keluar dari Kampung Seri Bayu.
Di sisi jalan itu, sebuah pondok kecil beratapkan zink berkarat, tempat menunggu bas — berdiri sepi di bawah lampu jalan yang malap.
Ara melabuhkan punggung di bangku kayu yang usang itu. Dia menjatuhkan dua begnya ke lantai simen kasar. Kepalanya tunduk. Bahunya terguncang menahan tangis.
"Mak..."
"Fia..."
"Atul..."
Satu-satu nama itu keluar dari bibirnya di celah esak. Dia menggenggam kain baju di pangkuannya. Teresak-esak lagi.
"Ya Allah..." suaranya serak, hampir tenggelam dalam malam.
"Ya Allah... aku nak pergi mana ni?"
"Ya Allah, aku nak balik... aku nak balik."
Air mata membanjiri pipinya. Tubuh kecil itu kelihatan semakin mengecil di bawah kegelapan malam, seolah-olah dunia pun berpaling darinya.
***
Sebuah kereta pacuan empat roda sedang meluncur perlahan di jalan yang sama.
Dalam kereta itu, Pak Mat duduk di kerusi pemandu. Di sebelahnya, Encik Azhar. Puan Mariam duduk di belakang, berbual-bual sambil sesekali Pak Mat menyampuk perbualan suami isteri itu.
"MasyaAllah, ceramah tadi memang menusuk hati, kan bang." kata Puan Mariam sambil membetulkan duduknya. "Saya suka bila ustaz tu sebut tentang pentingnya redha dengan ujian hidup. Kena kuat. Kena sabar."
"Betul tu, Yam." Encik Azhar menyambut. "Saya rasa apa yang ustaz tu cakap, memang kena pada kita semua. Banyak benda berlaku yang kita tak faham, tapi kalau kita yakin dengan Allah, semua ada hikmah."
Pak Mat mengangguk kecil. "Saya pun rasa tenang dengar tadi. Masjid pun makin hidup sekarang... syukur."
Mereka terus berbual, berbincang tentang isi ceramah, tentang program masjid, tentang kebaikan anak-anak muda kampung yang semakin rajin ke masjid.
Tiba-tiba, di tengah perbualan itu —
Pak Mat kerutkan dahi.
"Eh... eh... siapa tu?" suara Pak Mat mengundang perhatian semua.
"Siapa, Mat?" Encik Azhar cepat-cepat bertanya.
"Tu, kat pondok bas tu. Macam pernah nampak je budak tu." Pak Mat memperlahankan kereta, matanya mengecil meneliti bayang itu dalam cahaya samar.
Dia fikir sejenak. Wajah itu, wajah yang pernah dia lihat.
Kemudian, seperti kilat menyambar, dia teringat.
Pak Mat serta-merta menekan brek perlahan-lahan. Kereta berhenti di tepi jalan.
"Apa hal, Mat?" Encik Azhar menoleh pelik.
Pak Mat menoleh ke belakang. "Tu... tu... tu bukan budak perempuan yang kita langgar hari tu ke? Yang dengan Cik Aisya tu?"
Muka Puan Mariam berubah. "Mana, mana?" tanya dia cepat.
Pak Mat mengundur sedikit kereta, sehingga cahaya lampu depan menyoroti pondok bas.
Puan Mariam terkejut. "Ya Allah... iya lah! Bukan ke tu budak perempuan yang Aisya tolong kat hospital hari tu?!"
Mereka bertiga saling berpandangan.
"Kenapa dia duduk situ malam-malam? Dengan beg bagai?" Puan Mariam resah.
"Rasanya rumah dia dekat-dekat sini." Pak Mat menggaru kepala.
"Risau saya, budak perempuan... malam-malam macam ni... mana boleh biar dia sorang-sorang!" kata Puan Mariam cemas.
Dia cepat-cepat berpaling kepada Encik Azhar. "Bang, kita ajak dia naik kereta. Kita hantar dia balik rumah."
Encik Azhar angguk. "Elok lah tu. Takkan nak biar macam tu."
Tanpa berlengah, Puan Mariam membuka pintu dan keluar dari kereta. Dia berjalan laju menuju ke arah Ara yang masih tunduk teresak-esak.
⸻
Puan Mariam membongkok sedikit, suara lembut, penuh prihatin,
"Adik... kenapa ni?"
Ara perlahan-lahan angkat wajah. Matanya bengkak. Pandangan kabur dek air mata.
Dia tenung wajah Puan Mariam — samar, seakan kenal... tapi dia tak mampu cam betul-betul.
Ara hanya diam, kesat air matanya perlahan.
Puan Mariam tersenyum nipis, cuba menenangkan.
"Ingat tak siapa ni?"
Ara diam.
Dia memandang, lama. Cuba mencari memori samar di benaknya.
Beberapa saat kemudian, Pak Mat turun dari kereta.
Dia menghampiri dan menyapa,
"Haura kan? Yang hari tu... yang kita terserempak masa dua kali kemalangan tu."
Mendengar suara itu, wajah itu, Ara tiba-tiba teringat.
Ya. Dia kenal.
Orang tua itu... yang dulu, yang terlibat dalam insiden dia kena langgar.
Air matanya bertambah laju turun tanpa kawalannya.
Puan Mariam mengusap bahu Ara perlahan.
"Buat apa kat sini? Malam-malam macam ni." tanya Puan Mariam.
Ara tunduk. Malu.
Hati dia pecah. Mulutnya kaku.
Puan Mariam tambah lembut suaranya, "Jom, kita hantar awak balik rumah, ya?"
Mendengar perkataan 'rumah', tubuh Ara bergetar.
Dia mula teresak-esak kuat.
Puan Mariam terkejut. "Eh, kenapa ni? Kami ada salah cakap ke?"
Lama Ara diam.
Dalam tangisnya, dengan suara parau, Ara akhirnya bersuara.
"Saya... saya dah tak ada rumah."
Pak Mat dan Encik Azhar yang mendengar itu berpandangan, terkejut.
Puan Mariam membulatkan mata, "Allahu."
Ara hanya mampu menangis.
Puan Mariam, tanpa banyak soal lagi, pegang bahu Ara erat.
"Jom... ikut kami. Kami bawa awak balik rumah kami dulu ya. Malam dah larut, bahaya kat sini sorang-sorang."
Ara diam.
Dalam hatinya, dia serba salah.
Tapi dia tahu... dia tiada pilihan.
Dengan hati berat, langkah perlahan, Ara menurut.
Dia masuk ke dalam kereta bersama beg-beg lusuhnya.
***
Rumah itu sederhana besar. Rumah banglo kampung moden. Berwarna putih krim campur biru dengan pagar kayu sederhana tinggi, dihiasi dengan tanaman bunga kertas merah jambu di sepanjang pagar. Ada anjung kecil dengan bangku kayu. Lampu-lampu taman menerangi halaman rumah dengan cahaya kekuningan yang hangat.
Pak Mat turun dan membukakan pintu.
Encik Azhar membantu membawa beg Ara.
Puan Mariam menuntun Ara perlahan-lahan ke dalam.
Sampai di pintu, sebelum Puan Mariam sempat tekan loceng, pintu itu terbuka dari dalam. Pintu rumah banglo dua tingkat itu terbuka perlahan, disambut dengan cahaya lampu dari dalam yang hangat dan tenang. Dari dalam, muncul seorang gadis muda, bertudung manis, wajahnya ceria penuh keterujaan, berdiri di situ. Dia tersenyum menyambut, "Assalamualaikum, umi abi dah balik."
Wajah cerianya berubah serta-merta saat matanya tertancap pada satu susuk tubuh yang berdiri di sisi Uminya. Pandangannya membeku. Wajah itu... dia kenal. Wajah itu bukan asing baginya.
Dia terpegun.
Dia kenal gadis itu.
Gadis yang pernah ditemuinya dalam satu pertemuan penuh luka.
Ara.
Gadis dingin yang pernah dia langgar — bukan sekali, tapi dua kali. Gadis yang pertemuan terakhir mereka terpalit dengan kebisuan, dengan hati yang terguris dan langkah yang tidak sempat berpatah balik. Pertemuan terakhir mereka tidak berakhir dengan baik.
Aisya diam, mulutnya sedikit ternganga, suaranya tersekat di kerongkong. Hanya satu nama yang perlahan-lahan keluar dari bibirnya, nyaris seperti bisikan.
"Haura?"
Ara pula berdiri dengan tubuh yang sedikit menggigil, bukan kerana cuaca, tapi kerana situasi yang tidak dijangka berlaku pada dirinya dalam satu malam, segalanya berubah. Pandangannya bertembung dengan Aisya — bukan tajam, bukan juga lembut. Hanya pandangan seorang manusia yang terlalu letih, terlalu lelah dengan semuanya.
Dia tidak marah. Dia juga tidak bersedia untuk tersenyum.
Dia hanya terkejut. Dan kosong.
Tak sangka, gadis yang selama ini dia hanya bayang-bayangkan wajahnya setiap kali membaca helaian buku biru lembut yang dipinjamkan — kini berdiri betul-betul di hadapan. Di rumah yang tak pernah dia bayangkan akan menjadi tempat dia berteduh malam ini.
Takdir sungguh pelik.
Ara menunduk sedikit, tangannya menggenggam tali beg yang masih berat. Jiwanya masih samar — tak tahu sama ada ini satu bentuk rahmat... atau ujian yang baru bermula.
Share this novel