Bab 13

Drama Series 202

Langit tengah hari sedikit mendung. Angin bertiup perlahan, menyapa wajah mereka berdua yang berjalan beriringan di tepi jalan kampung. Bunyi daun-daun kering yang bergeser di tanah, sesekali menyelinap masuk ke dalam sunyi yang menggantung antara mereka.

Ara berjalan perlahan di sisi Hafiyy. Buku yang tadi dipeluknya kini disisip erat dalam beg sekolahnya. Matanya menunduk, langkahnya longlai. Dari tadi, dia belum berkata apa-apa.

Hafiyy perasan.

Dia toleh sedikit ke arah Ara, lalu bersuara perlahan, "Kau okey ke?"

Ara hanya mengangguk sedikit. Masih diam.

Hafiyy tarik nafas pendek. "Dari dalam kelas tadi aku nampak kau termenung je. Tak senyum, tak cakap. Kau kenapa sebenarnya?"

Ara geleng perlahan. "Tak ada apa-apa."

Tapi mata dia masih tak berani pandang Hafiyy. Hafiyy tahu, itu bukan "tak ada apa-apa" yang sebenar.

Mereka terus melangkah dalam diam beberapa langkah sebelum Hafiyy bersuara lagi, lebih perlahan, lebih dalam.

"Kau tahu tak... kadang-kadang bila seseorang tu terlalu diam, bukan sebab dia tak nak cerita. Tapi sebab dia sendiri pun tak tahu macam mana nak mula."

Langkah Ara terhenti sesaat. Tapi dia tak berpaling. Dia sambung jalan perlahan.

Beberapa saat kemudian, dia bersuara. Suara yang hampir berbisik.

"Kau rasa... orang macam aku ni... layak ke berubah?"

Hafiyy terdiam.

Soalan itu, satu ayat ringkas tapi menyimpan luka dan ketakutan yang dalam.

Mereka terus melangkah. Hafiyy menunduk sejenak sebelum jawab, "Kalau Allah cuma pilih orang baik untuk berubah... aku rasa takkan ada sesiapa pun yang mampu jadi lebih baik."

Ara pandang ke depan. Tak jawab, tapi matanya mula panas.

"Kita berubah bukan sebab kita dah sempurna," Hafiyy sambung, "tapi sebab kita sedar kita banyak kurang, kita banyak dosa. Dan kita tahu... kita tak nak terus tinggal dalam keadaan tu."

Ara diam lama. Nafasnya sesekali tak stabil. Dia masih cuba tahan rasa yang bergolak dalam hati.

"Sebenarnya... aku sendiri tak tahu kenapa... aku rasa nak berubah," Ara berbisik.

Hafiyy pandang dia.

"Aku sendiri tak tahu apa yang buat aku rasa macam ni. Tapi dalam masa yang sama... aku pun tak tahu kenapa aku rasa susah sangat nak berubah."

Langkah mereka perlahan. Bunyi tapak kasut di atas tanah berbatu jadi latar suara mereka.

Hafiyy senyum nipis. Dia pandang langit kelabu di atas sana.

"Kau tahu tak, bila hati mula rasa serabut... bila kau mula tertanya-tanya semua itu ini... itu bukan kebetulan tau. Tapi itu tanda hati kau... tengah dipanggil."

Ara angkat kepala sikit. Dada dia rasa sesak, tapi dalam sesak tu... ada harapan yang kecil menyala.

Hafiyy terus bersuara, nada dia lembut, tapi jelas.

"Jalan untuk berubah tu memang tak mudah, Ara. Tapi susah tu bukan tanda kau gagal. Susah tu tanda... kau sedang melawan nafsu, sedang cabar diri sendiri. Dan itu semua pada pandangan Tuhan... lebih mulia dari orang yang hanya berubah bila senang."

Ara tunduk semula. Air matanya bergenang, tapi tak tumpah.

Hafiyy sambung lagi, "Kalau kau tanya aku, aku rasa... Allah sebenarnya dah lama tunggu kau. Cuma kau je yang selalu rasa kau tak cukup baik untuk balik pada Dia. Padahal Dia tak pernah berhenti tunggu."

Ara terdiam. Lama.

Hati dia rasa macam Hafiyy sedang baca semua yang dia pendam. Semua yang dia takut nak akui... Hafiyy sebut satu-satu.

Tak lama kemudian, Ara bersuara perlahan.

"Aku takut... bila aku berubah, tapi aku jatuh balik."

Hafiyy angguk. "Itu normal. Semua orang pun takut benda tu. Tapi kau tahu tak apa beza orang yang betul-betul nak berubah dengan orang yang pura-pura?"

Ara tak jawab.

"Orang yang betul-betul nak berubah... dia tetap bangun setiap kali dia jatuh. Dia tak jadikan jatuh tu sebagai alasan untuk berhenti. Sebab dia tahu, Tuhan dia tak pernah penat tunggu dia kembali."

Ara pandang ke depan semula. Langkah mereka makin perlahan, tapi hati Ara makin laju bergetar. Ada sesuatu dalam kata-kata Hafiyy yang menyentuh. Dalam. Sangat dalam.

Dan akhirnya... mereka sama-sama diam. Tak ada lagi kata-kata. Tapi dalam diam tu... ada sesuatu yang bergerak perlahan dalam jiwa Ara.

Harapan.

Mungkin... untuk pertama kalinya dalam hidupnya, dia benar-benar ingin berubah.

***

Ara baru selesai makan. Pinggan mangkuk di sinki sudah dilangsaikan satu demi satu. Tangannya masih basah, tapi telinganya tertangkap sesuatu.

Suara... yang terlalu familiar. Atul sedang mengaji di ruang tamu. Suara itu...hari-hari dia dengar, tapi entah kenapa... hari ini, lain.

Ara lap tangan perlahan.
Langkahnya menuju bilik terhenti.
Ada sesuatu dalam hatinya yang menyuruh dia duduk.

Dia tarik kerusi di sebelah Atul, senyap.
Hanya duduk, mendengar bacaan adiknya itu mengalun dengan tenang.

Matanya merenung kitab suci di tangan Atul.
Tapi hatinya... sedang berperang sendiri.

Dia tak tahu pun surah mana yang sedang dibaca.
Dia juga sedar... dirinya masih terlalu jauh. Bacaan pun masih merangkak. Tapi hari itu... dia tak tahu kenapa dia mahu dengar. Mahu duduk. Mahu rasa.

Atul tamatkan bacaannya, menutup Al-Quran dengan perlahan dan senyum pada Ara.

"Akak nak apa-apa ke?"

Ara geleng.
"Tak. Akak cuma nak dengar je." jawabnya perlahan.

Atul angguk, walau wajahnya sedikit hairan. Tapi dia tetap tersenyum.

"Atul boleh ajar kalau akak nak belajar. Atau mak boleh ajar. Mak lagi pandai," ujar Atul, lembut.

Ara geleng lagi. "Tak apa."

Suara dia makin perlahan.

Atul tak memaksa. Dia bangun nak simpan Al-Quran. Tapi langkahnya terhenti bila Ara bersuara lagi.

"Dekat rumah ni... ada tak Quran yang ada terjemahan?" soalnya, nada cuba berlagak biasa.

Atul dongak. "Akak nak buat apa?"

Ara terdiam seketika. Teragak-agak. Malu. Tapi dia perlu jawab juga.

"Esok ustazah suruh bawa untuk rujukan buat latihan katanya," dia beri alasan sepintas lalu.

Atul angguk, tidak syak apa-apa. Dia terus masuk ke bilik dan kembali dengan sebuah Al-Quran mini berkulit hijau tua.

"Ni... guna je lah selama mana akak nak. Atul pun selalu guna yang besar."

Ara ambil Al-Quran terjemahan itu dengan cermat. "Terima kasih." katanya sepatah sebelum terus melangkah ke bilik.

***

Di biliknya, Ara duduk di katil.
Quran itu diletakkan atas ribanya.

Dia perhatikan lama penanda kecil di dalam Quran tersebut.

Entah mengapa... hari ini semuanya terasa lain.

Dengan hati yang berat dan tak tentu rasa, Ara buka halaman yang terakhir ditanda oleh Atul.

Muka surat 492. Surah Az-Zukhruf.

Dia pandang ayat-ayat itu... dia tahu dia tak begitu fasih membacanya. Jadi dia terus baca terjemahan.

Lama matanya tertumpu pada ayat ke-36.
Semakin dibaca, semakin dadanya terasa sempit.

[Az-Zukhruf: 36]
Dan sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), lalu syaitan itulah menjadi teman karibnya.

[Az-Zukhruf: 37]
Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk.

[Az-Zukhruf: 38]
Sehingga apabila dia datang kepada Kami (di akhirat), dia berkata: "Aduhai! Alangkah baiknya kalau (jarak) antaraku dan engkau (syaitan) seperti jarak timur dan barat", maka syaitan itu adalah sejahat-jahat teman (yang menyertai manusia).

[Az-Zukhruf: 39]
Dan sekali-kali tidak berguna bagi kamu pada hari itu, kerana kamu telah berlaku zalim (di dunia); sesungguhnya kamu (dan syaitan) dalam azab yang akan dikongsi bersama."

Tik.

Setitik air mata jatuh...
Mengotori halaman suci itu.

Ara tergamam. Tangannya menggigil.
Dia tak sempat elak air mata seterusnya.

Tik. Tik. Tik.

Air matanya menitis laju. Tanpa amaran.
Dadanya sesak. Terasa seperti ditikam dari dalam.
Tangisannya mula keluar — dalam, perit, dan tak tertahan.

Dia pegang dada sendiri. Terasa sakit.

Sakit yang dia sendiri tak tahu dari mana puncanya.
Sakit yang selama ini dia biar membusuk, kini mengalir bersama air mata.

Dia tatap lagi halaman itu.
Ayat-ayat itu...

"... syaitan menjadi teman karibnya..."

Tangisannya makin kuat.
Bahunya terhinjut.
Dia peluk lutut. Menangis semahu-mahunya.

Bukan sekadar tangis... tapi seperti jiwanya yang telah lama terkunci, pecah dalam diam.

Dia tutup Quran itu perlahan. Diletakkan di atas meja kecil tepi katil. Kemudian, dia duduk memeluk dirinya sendiri.

Esakan makin dalam.
Kepala ditunduk, air mata terus mengalir tanpa henti.

Ara tenggelam dalam sepi, dalam sedih yang tak mampu lagi disembunyikan.

***

Malam yang sepi itu membangunkan Ara dari lena yang tak lena. Nafasnya berat. Matanya masih sembab, bibirnya kering. Dia bingkas duduk di atas katil, perlahan sambil menekup wajahnya. Jam di dinding berdetik kosong, menunjukkan pukul 3:07 pagi.

Dia mengeluh, pandangannya jatuh ke arah meja kecil di sisi katil. Di situ masih terletak senaskhah al-Quran terjemahan pemberian Atul. Ara menatapnya lama. Terlalu lama.

Perlahan, dia tarik nafas dalam-dalam. Ada sesuatu dalam dirinya yang bergolak. Tak tenang. Hati yang sempit tiba-tiba terasa seperti diketuk dari dalam.

Angin kipas di atas kepala seolah tidak memberi sebarang rasa. Mata Ara terus tertumpu pada buku yang disisip di tepi bantalnya. Buku Aisya. Dia buka perlahan, membaca helaian demi helaian, hingga satu halaman itu membuatkan jari-jemarinya terhenti.

Nota kecil tulisan tangan Aisya.

"...Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri..."
[Ar-Ra'd: 11]

Tangan Ara bergetar perlahan. Tulisan Aisya itu kemas, disertai tarikh kecil di bawahnya. Seolah Aisya menulis untuk diri sendiri, atau mungkin... untuk sesiapa yang membaca dan sedang mencari.

Ara ulang baca ayat itu. Sekali. Dua kali. Berkali-kali.

"Allah tak akan ubah nasib aku... melainkan aku sendiri ubah apa yang ada dalam diri aku?"

Dia berkata perlahan dalam hati. Matanya kabur, tapi dia cepat-cepat kelipkan. Nafasnya pendek.

"Tapi... kalau aku nak ubah, aku nak ubah ke mana? Aku ni siapa?"

Dadanya terasa sesak tiba-tiba. Ada sesuatu yang berat dalam dirinya—yang selama ini dia pendam, yang selama ini dia tutup rapat.

Dia tenung lagi tulisan itu. Tulisan Aisya. Gadis yang dulu dia fikir acah-acah baik, berlagak sempurna untuk faham diri dia. Tapi... mungkin sebenarnya, Aisya pernah melalui rasa yang sama?

"Kenapa Aisya tulis ayat ni? Kenapa aku yang jumpa?"

Dia tak tahu. Tapi yang pasti, hati dia mula bergerak. Perlahan. Tanpa dipaksa.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience