Bab 21

Drama Series 202

Langkah Ara terhenti di depan pagar kayu rumah yang sudah pudar warnanya. Pandangannya tertancap pada dua susuk tubuh yang sedang berbicara di halaman—seorang lelaki dan ibunya. Mata Ara mengecil. Jarak masih jauh, tapi gerak tubuh lelaki itu terasa terlalu dikenali.

"Siapa tu...?" bisiknya sendiri, dahinya berkerut.

Langkah Ara semakin perlahan sebaik saja menapak ke halaman rumah. Matanya mengecil, dahinya berkerut—melihat sosok asing sedang berbual serius dengan ibunya di luar rumah. Lelaki itu membelakangi Ara, namun suara dan gerak tubuhnya... seperti pernah dikenal.

Jantung Ara mula berdetak laju tanpa sebab yang jelas. Baru sahaja dia menjejak kaki ke perkarangan, suara ibunya tiba-tiba bergema kuat.

"Ara! Ke sini sekarang juga!"

Nada tinggi dan penuh kemarahan itu membuatkan degup jantung Ara kian menggila. Belum sempat dia memahami apa yang sedang berlaku, lelaki itu menoleh.

Shazwan.

Ara tergamam.

Kenapa dia ada di sini? Apa yang dia bincangkan dengan mak?

Langkahnya teragak-agak. Tubuhnya melangkah perlahan, tapi hati makin kacau. Belum pun sempat Ara membuka bicara, Puan Hajar meluru dan menarik tangannya dengan kasar.

"Au! Mak, sakit..." rintih Ara, cuba melepaskan pegangan itu.

Jantungnya berdegup kencang tanpa sebab. Dia tidak tahu kenapa ibunya tiba-tiba kasar sebegitu. Tapi firasatnya kuat mengatakan ada sesuatu yang tak kena.

"Mak! Sakitlah! Kenapa ni?" Ara terjerit kecil, pandangannya beralih ke arah Shazwan yang hanya tersenyum sumbing.

Senyuman itu—menjengkelkan, menjijikkan, dan penuh sesuatu yang Ara sendiri tak mampu tafsir.

Puan Hajar menolak tangan Ara. Wajahnya merah padam, nafasnya berat menahan amarah. "Tak payah nak pura-pura tanya kenapa! Sekarang ni kau jawab, betul ke semua yang dia ni cakap?" Jari telunjuknya mengarah ke Shazwan yang masih tenang berdiri.

Ara berkerut. "Cakap apa mak? Ara tak faham. Apa yang dia cakap?"

"Jangan nak main-main dengan aku, Ara! Aku tanya, betul ke masa kau keluar dengan Ayu hari tu, sebenarnya kau keluar dengan jantan ni sekali?!" tengking ibunya.

Dari atas rumah, Fia dan Atul memerhati senyap. Atul berbisik, "Betul ke kakak keluar dengan lelaki tu?"

Fia mengangkat tangan, memberi isyarat diam. Matanya tidak lepas dari menyaksikan segala-galanya.

"Mak?! Bila masa pula Ara keluar dengan dia? Mak sendiri nampak hari tu, Ara dengan Ayu!" suara Ara sedikit tinggi, penuh kekeliruan.

Ara menoleh ke arah Shazwan yang masih dengan senyum jahatnya. Hatinya menjerit marah.

"Apa yang kau dah buat, Shazwan?! Apa yang kau dah cakap dekat mak aku?!" bentak Ara.

Puan Hajar mengetap bibir. "Dah! Tak payah nak berdalih lagi!"

"Mak, Ara sumpah tak faham apa-apa. Kenapa mak tuduh Ara macam ni?"

Tiba-tiba, suara Ara meninggi. Dia berpaling ke arah Shazwan semula. "Apa kau dah cakap dekat mak aku, hah?! Apa motif kau datang rumah aku ni? Nak buat kecoh?!"

Shazwan mendekat sedikit, matanya tepat menikam wajah Ara.

"Kau dah lupa ke... apa yang kita buat malam tu?" katanya perlahan tapi cukup untuk menggetarkan tulang belakang Ara.

Ara membelalak. "Buat apa?!"

Puan Hajar tiba-tiba bersuara, suaranya menggigil. "Ara... betul ke apa dia cakap? Betul ke kau tidur dengan dia?!"

"Apa?!" Ara tersentak seperti disambar halilintar. Dia menoleh pantas ke arah Shazwan dan menolak tubuh lelaki itu sekuat hati hingga Shazwan terundur ke belakang.

"Kau gila ke?! Bila masa aku tidur dengan kau?! Nak tengok muka kau pun aku meluat! Apa lagi nak tidur dengan lelaki murahan macam kau! Apa motif kau buat cerita fitnah macam ni?!"

"Jaga mulut kau, Ara!" balas Shazwan, tapi Ara sudah tidak peduli.

"Apa motif kau? Nak hancurkan hidup aku?! Nak burukkan aku depan mak aku sendiri?!"

"Aku takkan datang kalau semua ni tak betul, Ara." jawab Shazwan tenang, seperti yakin dengan kebohongannya.

Puan Hajar terduduk di anak tangga, wajahnya menunduk, air mata jatuh perlahan.

"Ara... kalau betul kau buat, lebih baik kau mengaku daripada mak tahu dari mulut orang lain."

"Mak, tak! Ara tak buat! Sumpah Ara tak buat semua tu. Ara takkan sanggup cemarkan maruah diri sendiri. Ara masih tahu batas. Ara bukan macam apa yang dia tuduh!"

"Mak... tolong percaya Ara. Ara anak mak." rintih Ara, air matanya tumpah tanpa henti.

Shazwan melangkah ke arah Puan Hajar. "Saya datang ni sebab saya nak bertanggungjawab..."

Belum sempat Shazwan habiskan ayatnya, Ara meraung marah dan menolak Shazwan sekali lagi. "Tanggungjawab apa?! Kita tak pernah buat apa-apa! Jangan nak acah baik depan aku!"

Melihat Puan Hajar terduduk di tangga, Ara bergegas melutut di sisi. "Mak... tolong percaya dekat Ara. Ara takkan rosakkan nama baik keluarga. Jangan percaya cakap orang luar."

Tapi Puan Hajar hanya diam. Pandangannya kosong. Kepalanya tertunduk lesu.

Tiba-tiba Ara berdiri. Tangannya mencapai kayu panjang yang tersandar di tepi tiang rumah. Tanpa fikir panjang, kayu itu dihayun kuat—pakkk! Tepat mengenai bahu Shazwan.

"Arrghh! Kau dah gila ke?!" jerit Shazwan.

"Memang aku gila dengan orang tak ada akal macam kau!  Kau berambus sekarang sebelum aku patahkan leher kau!"

"Berambus!" jerit Ara sambil mengayun lagi, tapi Shazwan pantas mengelak dan melarikan diri ke arah motosikalnya.

Ara terus mengejarnya, masih menggenggam kayu, sambil menjerit kata-kata marah yang membungkus luka hati dan penghinaan yang dilemparkan padanya.

"Jangan datang sini lagi! Jangan sentuh keluarga aku! Jangan ganggu hidup aku!"

Air matanya terus mengalir seperti hujan yang tak mahu berhenti.

Kayu terlepas dari tangan. Ara berpaling kepada ibunya yang masih membisu, tapi sebaik dia mahu mendekat, Puan Hajar bangun dan melangkah masuk ke rumah—tanpa sepatah kata.

"Mak..."

Tiada jawapan.

Langkah Puan Hajar mengiris hati Ara lebih dalam dari mana-mana tuduhan.

"Mak..." panggil Ara. Tiada jawapan. Puan Hajar terus hilang di sebalik pintu.

Ara mengesat air mata dan naik perlahan. Tubuhnya longlai, emosinya kucar-kacir.

Baru saja dia melintasi ruang tamu...

"Dah cakap jangan berkawan sangat dengan Ayu. Tapi akak tetap rasa dia tu sahabat sejati, kan?" suara sinis Fia bergema.

Ara berpaling perlahan. "Apa maksud kau ni?"

"Dah cakap dah Ayu tu bukan kawan yang baik. Sekarang tengoklah apa jadi. Sendiri cari, sendiri tanggung." Fia menjawab dengan sindiran tajam.

"Kau ingat aku buat ke semua tu? Kau ingat aku sebodoh tu ke, Fia?!" Wajahnya merah menahan amarah.

Fia menyilangkan tangan, wajahnya dingin. "Kalau tak buat, kenapa tiba-tiba orang tu datang sini siap berani berdepan dengan mak lagi?"

Ara mara ke depan, tangan terangkat—tapi berhenti di udara. Nafasnya laju menahan marah.

Fia sambung, suaranya pedas. "Sendiri buat, sendiri tanggung. Tak payah nak salahkan orang lain."

"Fia!!!" jerit Ara, matanya merah berair.

"Cukup!!!" Tiba-tiba Atul muncul dari arah bilik, wajahnya merah.

"Korang tak kesian ke tengok mak? Dia tengah hancur! Korang masih nak bergaduh macam budak kecil?!"

Ara dan Fia saling memandang. Diam. Nafas masing-masing masih kasar.

Sebelum Ara masuk ke biliknya, dia berpaling ke arah Fia. Wajahnya sayu tapi tegas.

"Kau boleh hukum aku, Fia. Tapi jangan sesekali lupa, bukan semua benda yang kau dengar tu betul. Kadang-kadang... fitnah tu lebih tajam dari dosa sebenar."

Ara terus melangkah masuk ke bilik. Pintu ditolak kuat dan ditutup dengan kasar. Tangannya menggigil, lutut terasa longlai. Dia rebah atas lantai, memeluk lutut sendiri. Mulutnya terkumat-kamit, menangis tanpa suara.

"Kenapa semua orang mudah percaya dekat dia? Kenapa bukan aku... kenapa bukan aku?" bisik Ara dalam esak.

Fia masih berdiri tegak di sudut ruang tamu. Wajahnya keras, tapi matanya mula berair. Ada keliru. Ada sedih. Tapi egonya masih tinggi, terlalu tinggi untuk mengaku dia juga sedang koyak dalam diam.

Di dalam bilik Puan Hajar pula, Atul duduk di sisi ibunya yang hanya membisu. Mata Puan Hajar memandang siling kosong. Di hujung mata ada air yang tertahan. Atul genggam tangan ibunya erat.

"Mak... kak Ara takkan buat benda macam tu. Atul yakin..."

Puan Hajar cuma memejam mata. Terlalu banyak yang bermain dalam fikiran. Terlalu berat untuk diproses dalam satu masa.

Langit petang semakin kelam. Tapi hati-hati dalam rumah itu lebih gelap dari apa yang tergantung di langit.

***

Malam menjelma sepi, membawa angin dingin yang menyusup masuk melalui celah-celah dinding rumah kayu itu. Ara duduk sendirian di dalam bilik. Matanya tidak mampu terlelap, fikirannya masih berselirat dengan kejadian siang tadi. Kata-kata Shazwan masih bergema dalam telinganya. Pandangan tajam ibunya, jeritan tuduhan, dan rasa terhina yang menyesakkan dada membuatkan dia terasa seperti hendak pecah dari dalam.

Perlahan-lahan, dia membuka pintu bilik. Hatinya tidak tenang. Dia melangkah keluar, mata menyapu sekeliling ruang rumah yang suram. Tiada kelibat sang ibu. Sunyi. Hanya bunyi cengkerik menemani.

Ara menapak ke arah Atul yang sedang khusyuk membuat kerja sekolah di meja kecil berhampiran tingkap. Lampu meja menerangi wajah adik kecil itu.

"Atul," sapa Ara perlahan.

Atul menoleh, seakan terkejut dengan kehadiran kakaknya.

"Mak mana?"

Atul menjongket dagu ke arah bilik Puan Hajar. "Dalam bilik. Dari tadi tak keluar pun."

Ara telan liur. Rasa bersalah dan cemas bergaul dalam dada. Dia mengangguk perlahan, hendak melangkah menuju ke bilik maknya, namun suara Atul menyekat langkahnya.

"Kak... betul ke semua tu?"

Ara berpaling. Mata Atul menatapnya, jujur dan penuh rasa ingin tahu.

Ara menunduk seketika. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum dia menjawab, "Akak tak buat, Atul. Akak sendiri tak faham kenapa jantan tu tiba-tiba datang rumah kita dan cakap benda gila macam tu. Akak tak pernah buat semua tu... sumpah."

Atul mengangguk. Wajahnya tenang, dan dia bersuara perlahan, "Atul percaya akak."

Jawapan itu membuatkan dada Ara terasa sebak. Air matanya bergenang, namun dia paksa senyuman terukir di bibir. "Terima kasih... sebab masih percayakan akak."

Tanpa tunggu lama, Ara melangkah ke bilik ibunya. Tangannya ingin mengetuk, tapi terasa kaku. Jantungnya berdetak laju. Dia tidak pasti sama ada maknya masih marah, atau sudah tenang. Namun dia tahu, dia perlu berdepan. Dia tidak boleh lari.

Dengan keberanian yang dikutip dari sisa-sisa kekuatan diri, Ara mengetuk pintu perlahan.

"Mak..."

Tiada jawapan.

Dia mengetuk lagi. "Mak... Ara nak cakap sekejap. Boleh?"

Masih sunyi.

Akhirnya, dengan penuh berhati-hati, Ara memulas tombol pintu. Tidak berkunci. Pintu dikuak perlahan. Kelihatan Puan Hajar berbaring membelakangi pintu, tubuhnya berselimut hingga ke bahu. Tiada reaksi. Seolah-olah sudah lena.

Ara melangkah masuk. Kakinya mengatur langkah senyap. Dia duduk di tepi katil. Perlahan-lahan dia membetulkan selimut yang sedikit terlucut dari bahu ibunya. Tangannya mengusap perlahan lengan wanita yang melahirkannya itu.

"Mak..." suaranya pecah.

"Ara minta maaf. Ara tak buat, mak. Sumpah, Ara tak buat benda yang dia tuduh tu. Ara tak tahu kenapa dia sanggup tabur fitnah macam tu..." suara Ara teresak, perlahan dan penuh luka.

"Ara minta maaf kalau selama ni Ara banyak buat mak susah hati... tapi perkara tu, demi Allah, mak. Ara tak pernah cemarkan maruah Ara. Ara masih waras untuk tahu batas Ara."

Air matanya gugur tanpa dapat ditahan. Tubuhnya sedikit terhenjut menahan esakan. Setelah beberapa detik, Ara bangkit perlahan, menyeka wajahnya dan keluar dari bilik, menutup pintu semula.

Di dalam bilik yang gelap itu, Puan Hajar yang tadi hanya berpura-pura tidur membuka matanya. Air matanya jatuh membasahi bantal. Hatinya berkecamuk. Dia ingin percaya pada anaknya... sungguh dia mahu. Tapi bayangan kata-kata Shazwan tadi menghantui fikirannya.

Andai benar semua itu fitnah... betapa dia telah menyakiti hati anak sendiri.

Namun jika itu semua benar... betapa hancurnya harapan seorang ibu.

Dan malam itu, rumah mereka terus diselimuti sunyi. Tapi hati masing-masing bergelora dengan pertarungan yang tiada siapa mampu menenangkan—kecuali kebenaran.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience