24

Romance Completed 23717

SETELAH menerima panggilan daripada Maksu Rok, Ammar bergegas ke vila. Sepanjang perjalanan, dia ditemani kebingungan akan keselamatan Rania yang sudah terancam itu. Dia teringat akan emel yang pernah dikirimkan oleh Murni kepadanya. Adakah orang yang ingin menghapuskannya menyasarkan serangan kepada Rania? Tetapi kenapa? Dan siapa?
"Nia" Ammar sudah berwajah cemas. Dia melihat Rania terbaring di sofa, dikelilingi Maksu Rok dan Opah. Hanie juga ada di situ.
"Awak okey tak ni? Siapa yang serang awak? Nampak tak wajah dia? Dah buat laporan polis?" Ammar mendekati Rania lalu duduk di sisi gadis itu. Wajah Rania pucat. Matanya sembam.
"Rania okey. Dia tak tahu siapa yang serang dia. Sebab tak nampak wajah lelaki tu. And yes, kami dah buat laporan polis" Hanie menjawab bagi pihak Rania.
"Nia!" Luqman yang baru menerima panggilan dari Hanie, terus sahaja meninggalkan kedainya dan bergegas ke vila. Dia ditemani Zulaikha di sisi. Setelah menyalami Maksu Rok dan Opah, dia menapak ke sisi Rania. Terkejut dengan penampilan terbaru Rania, Luqman ambil langkah berjaga-jaga. Tidak mahu menyentuh Rania sebarangan lagi. Dia sempat menyalami tangan Ammar. Wajahnya ditampar kejutan tatkala melihat Ammar di situ. Sejak sebulan yang lalu, Ammar sudah berpindah keluar dari rumah Yusuff. Katanya, sekarang Ammar sudah kembali ke pangkuan keluarga. Dia terkejut menerima berita tersebut kerana setahu dia, Ammar dan papanya tak pernah sebulu! Ditambah pula dengan kehadiran Daim yang mengjengkelkan hati, sudah cukup untuk membuktikan betapa Ammar benci untuk kembali ke banglo mewah milik papanya. Namun apa pun yang terjadi, dia tetap mengucap syukur kerana lelaki itu sudah kembali ke pangkal jalan.
"Kau telefon Luq jugak ke?" sergah Rania. Wajahnya mencuka. Dia tidak mahu Luqman khuatir akan keadaannya. Cukuplah dengan apa yang telah diterimanya hari ini. Dia tidak mahu diasak dengan pelbagai persoalan dari bibir Luqman atau sesiapa pun.
Hanie tersengih. "Sorry. Kebetulan Luq mesej aku. Tanya khabar kau. Dia nak lawat kau..."
"Kau tak payahlah marah Hanie. Aku yang mesej dia. Aku dan Ika memang nak jumpa kau dan semua. Selain nak tanya khabar, kita orang nak bagi sesuatu" cantas Luqman sebelum sempat Hanie habiskan ayatnya. Dia tahu, dalam kegawatan seperti ini, dia tidak seharusnya berkongsi berita tersebut. Tetapi dia juga tidak mahu Rania atau sesiapa pun terlepas akan berita ini.
"Bagi apa?" tanya Maksu Rok pula.
Luqman memandang wajah Zulaikha sebelum pandangannya tumpah ke wajah Rania. Sekeping kad jemputan diserahkan kepada gadis itu. Rania mengerut dahi lalu membaca isi kandungan kad tersebut. "Sukacita dimaklumkan, kami menjemput tuan/puan/cik/encik ke majlis perkahwinan puteri sulung kami Zureen Zulaikha binti Datuk Zamarul dengan tunangannya, Luqman..."
Belum pun sempat Rania menghabiskan bacaannya, dia telah menerpa ke arah Zulaikha. Tubuh Zulaikha didakap erat.
"Tahniah Ika! Aku tumpang gembira"
Zulaikha tersenyum dan senang hati menerima ucapan itu daripada Rania. "Thanks Nia!"
Semua yang lain turut sama mengucapkan tahniah. Mereka berkongsi berita gembira itu bersama-sama.
"Okey, kita lupakan benda ni sekejap. Majlis aku lagi dua minggu. Aku nak tanya, apa sebenarnya terjadi pada Nia?" Luqman kembali fokus pada Rania.
Hanie mulai membuka cerita. Semua mata tertumpu kepada Hanie. Ammar dan Luqman mengangguk faham. Begitu juga dengan Zulaikha.
"Nasib baik Yusuff ada masa tu. Dia yang selamatkan Nia. Kalau tak, tak tahulah apa nasib Nia"
Kata-kata Hanie mengoyak ketenteraman Ammar selama ini. Dia fikir, dia mampu berlagak tenang setelah menyingkirkan Yusuff dari kehidupan Rania. Namun dia salah. Yusuff masih lagi cuba menghantui gadis kesayangannya. Pantas saja wajah Rania pucat. Matanya kelihatan sembam. Barangkali Rania sempat menangis tatkala bertembung mata dengan Yusuff.
Luqman menghela nafas lega. Walaupun dia kurang pasti apa sebenarnya yang telah terjadi di antara Rania dan Yusuff, namun dia bersyukur kerana Rania selamat.
"Yusuff! Apa yang dia buat kat situ?" Pertanyaan dari Ammar menyentakkan semua yang ada di situ. Dia tidak habis berfikir akan kemnlunculan Yusuff di kala itu. Adakah dia mengekori Rania atau mereka hanya bertemu secara kebetulan?
"Not sure! Mungkin Yusuff pun nak beli barang kot. Tu kan mall, tempat semua orang boleh pergi. Tak pernah dorang terhadkan untuk certain orang pulak!" Hanie sengaja menyindir Ammar. Dia mulai tidak senang dengan kehadiran Ammar sebenarnya. Setelah mendengar cerita melalui Rania, dia dapat merasakan punca keretakan hubungan Rania dan Yusuff ada kaitan dengan perubahan Ammar. Bagi dia, Yusuff seorang lelaki yang baik. Setelah mengetahui Ammar dan Yusuff adalah adik-beradik yang terpisah, naluri dia kuat mengatakan yang Yusuff sengaja mengalah untuk kebahagiaan Ammar. Tetapi yang harus menanggung luka di atas permainan ini adalah Rania sendiri!
Ammar terkesima dengan sindiran Hanie. Penyudahnya, dia mengambil jalan untuk mendiamkan diri kerana sahabat baik Rania itu akan menempias setiap sindiran terhadapnya.
"Walau apapun yang berlaku, lepas ni kita semua kena berhati-hati. Kita tak tahu siapa orang yang dah serang Rania. Dan kita jugak tak tahu apa motif dia" Hanie membuat kesimpulan. Dia mula merasakan semua yang terjadi ada kaitannya dengan Aziah.

YUSUFF menutup diari. Setelah puas meluahkan segala-galanya melalui diari peribadinya, dia mengeluh. Sejak berpisah dengan Rania, diari itulah peneman setia dan pendengar kepada setiap masalahnya. Foto Rania yang sentiasa tersimpan rapi di atas meja tulisnya ditenung lama. Wajah Rania dibelai.
Beberapa hari yang lepas, dia ada menerima satu bungkusan kotak yang berbalut dengan kain yang berwarna merah. Mulanya, dia berfikir mungkin ada yang sengaja hendak kenakan dia. Namun dia terkejut setelah menerima sekeping kertas putih yang dituliskan dengan darah. Ia tertulis 'Kau adalah mangsa seterusnya' daripada seseorang yang tidak dia kenali. Dia mula diburu keresahan. Hatinya tidak tenang. Tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut, Yusuff membuang bungkusan itu ke dalam tong sampah yang terletak di antara rumahnya dengan rumah Rania. Namun niatnya terhenti tatkala dia terpandangkan sebuah kotak yang sama diletakkan di hadapan pintu pagar rumah Rania.
Yusuff bertindak dengan mengambil kotak tersebut dan membukanya. Dia tambah panar apabila membaca tulisan tersebut. 'Kau tak boleh larikan diri' . Dia yakin mesej itu untuk Rania kerana ada gambar kecil Rania yang terselindung di sebalik lukisan tersebut.
Yusuff tidak jadi hendak membuang kotak tersebut lantas menyimpannya untuk diserahkan kepada pihak polis. Keesokan paginya, dia ke balai polis untuk membuat laporan mengenai ugutan tersebut. Tambah parah, apabila dia melihat Ammar juga berada di situ dan sedang bercakap dengan salah seorang anggota polis. Namun Ammar tidak menyedari kehadirannya di situ. Setelah memastikan Ammar pulang, dia berjumpa dengan pegawai polis tersebut, yang memperkenalkan diri sebagai Faiz.
Yusuff menceritakan segala-galanya termasuklah cerita bahawa dia mengenali Ammar. Faiz juga mula membuka cerita mengenai maksud kedatangan Ammar ke situ. Setelah mendengar cerita daripada Faiz mengenai ugutan yang diterima oleh Ammar melalui emel, Yusuff tambah yakin bahawa sasaran pembunuh adalah mereka bertiga. Dia, Rania dan Ammar. Dan dia sangat pasti, mereka bertiga sekarang sudah tidak aman!
Untuk itu, Yusuff telah meletakkan nombor telefon Rania di bawah pengawasannya setiap 24 jam di mana dia boleh menjejak keberadaan Rania. Dan dia memang sengaja mengekori Rania ke pasar raya pagi tadi kerana bimbangkan keselamatan gadis itu.
Tekaannya tepat apabila Rania hampir hilang nyawa gara-gara dilanggar oleh dua lelaki yang menggunakan motorsikal. Untung saja dia bertindak pantas. Jika tidak, sudah pasti dia kehilangan Rania dalam sekelip mata!
Justeru, apabila dia teringatkan kata-kata Hanie tempoh hari, mimpi buruknya mulai menghantuinya. Dia tidak lena tidur jika tidak memastikan keselamatan Rania terjamin. Selain itu, Faiz juga berjanji akan membantunya di dalam kes ini dan mencuba melindungi mereka bertiga.
Yusuff hampir kalah pada perjanjian yang telah dimeterainya bersama Datuk Taj dan Ammar. Dia sudah tidak sanggup untuk menahan diri dari terus dibenci Rania. Cintanya pada gadis itu, melebihi nyawanya sendiri! Ingin rasanya dia berlari ke arah Rania dan menjelaskan segala-galanya agar gadis itu faham tindakannya. Namun dia tidak berani bertaruh. Satu kesilapan boleh merosakkan masa depan Ammar dan kebahagiaan Datuk Taj. Biarlah dia saja yang beralah. Dan rahsia ini akan dia simpan sampai hujung nafas.

SETELAH meminta izin dari Opah dan Maksu Rok, Hanie dan Rania meneruskan perjalanan ke Mersing. Mereka berangkat seawal jam 7 pagi.
Rania mengerutkan dahi apabila Hanie berhenti di hadapan rumah Yusuff. Dan lebih memeranjatkan dia apabila Yusuff turut sama mengikuti mereka.
"Aku ingatkan cuma kita berdua je yang pergi"
Hanie mengeluh. "Sorry Nia! Nanti aku jelaskan"
Rania tambah gelabah apabila Hanie bertindak keluar dari kereta dan mendapatkan Yusuff di hadapan pagar. Setelah berbual pendek, Hanie meloloskan diri di tempat duduk belakang.
Rania terpampam. "Siapa drive?"
"Saya" Yusuff menjawab bagi pihak Hanie. Dia sudah pun duduk di sebelah Rania dan memulakan perjalannya. Rania hanya mampu menahan sabar. Tunggulah dah sampai Mersing nanti! Memang makan penumbuklah Hanie nanti!!
Sepanjang perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri baik Rania, Hanie mahupun Yusuff. Bagi Rania, tiada apa yang hendak dibicarakan dengan lelaki itu sementelah dia telah dibuang hidup-hidup oleh Yusuff.
Yusuff mengerling Rania yang berwajah serius di sebelahnya. Dia terlalu ingin berbual dengan gadis itu seperti selalu namun dia tahu batasan mereka. Melihatkan wajah Rania yang masam tanpa sebarang perisa, Yusuff mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja.
Telefon bimbit Yusuff yang diletakkannya di atas dashboard berdering. Rania sempat mengerling ke arah screen handphone itu. Nama Aziah terpampang di screen. Hatinya tiba-tiba sebal.
"I ambik cuti. For a week. I tengah drive ni. Nanti apa-apa, I'll call you back" Yusuff mematikan panggilan lantas mengerling Rania yang sudah berubah riak di sebelah. Riak yang Yusuff kenali. Riak cemburu! Hati Yusuff berlagu riang.
"Lovebirds!" kutuk Rania perlahan namun mampu untuk ditangkap oleh pendengaran Yusuff.
"I heard what you said Rania" Tukas Yusuff. Dia sempat menoleh ke belakang. Hanie sudah tertidur.
Rania ralit. Dia menoleh ke sebelah kiri, menjamah pemandangan di luar. Tidak mahu terlalu ketara akan perasaan itu, dia memejamkan mata kemudiannya. Sakit hati, kecewa, sedih, takut. Semua perasaan itu bersatu dalam hatinya saat ini. Tidak lama kemudian, Rania terlelap dalam linangan air mata.

ENCIK ZAINOL dan Puan Suraya menerima kunjungan Hanie dan Rania bersama Yusuff dengan hati yang gembira. Setelah Hanie dan Rania menyalami Encik Zainol dan Puan Suraya, mereka memperkenalkan Yusuff kepada keluarga Hanie. Enggan bertanya lebih lanjut, Hanie menjelaskan kedatangan Yusuff adalah atas dasar kerja.
"Kak Nia!" Izman yang baru menganjak ke usia 11 tahun itu terus mendakap erat tubuh Rania.
Rania tersenyum. "Kak Nia dah lama tak datang sini. Kak Nia makin cantiklah!"
"Kak Nia je? Kak Hanie tak cantik ke?" Hanie pura-pura merajuk. Apabila Rania dibawa pulang, semua perhatian pasti akan tercurah ke arah gadis itu. Tetapi Hanie sudah biasa. Bahkan dia tidak pernah mencemburui semua itu. Dia dan Rania sudah seperti adik-beradik. Satu hakikat yang dia ketahui, Rania memang manja dengan ibunya.
"Cantik. Tapi tak secantik Kak Nia!" puji Izman lagi. Pelukannya terlerai.Yusuff tersenyum saat melihat adegan itu. Siapa saja yang tak akan jatuh sayang pada gadis semanis dan seceria Rania?
"Yelah-yelah! Kot ye pun Kak Nia tu cantik, takkanlah nak berkepit je dengan dia?" Tegur Puan Suraya pula.
"Kak Nia, ni boyfriend Kak Nia ke?" tegur Izman lagi sambil menunjuk ke arah Yusuff.
Rania terdiam. Bagaiman harus dia memperkenalkan Yusuff kepada Izman? Kepada mereka semua? Dia sudah tidak mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki itu. Untuk menafikan, hatinya sendiri terasa sakit.
Yusuff kaget. Riak wajahnya berubah. Dia sendiri bingung untuk menjawab soalan cepumas dari Izman.
"Eeee Man ni kan! Apa boyfriend-boyfriend ni? Tu, barang kat bonet. Pergi angkat! Panggil abang Izham sekali" Hanie menyelamatkan keadaan. Dia mengarahkan Izman mengangkat keluar barang dapur yang sempat dibeli mereka.
"Yelah-yelah" Izman akur pada arahan Hanie. Dia menjerit memanggil Izham, lalu mengambil keluar barang-barang dari bonet.
"Jomlah naik. Hari dah nak petang ni" Pelawa Encik Zainol. Mereka semua akur.

LELAKI itu mendengus kasar. Semua rancangannya tidak membuahkan hasil. Pagi tadi, dia ke rumah sewa Rania untuk mengintip segala pergerakan gadis itu. Jikalau peluangnya baik, tentu saja nyawa Rania sudah dia habiskan. Namun dia merungut dan menyumpah tatkala menyedari rumah sewa tersebut kosong.
Tetapi harapannya masih menyala saat teringat akan vila Rania, tempat tinggal gadis itu. Dia dan konco-konconya bergerak menuju ke vila namun hampanya bertandang apabila Rania tiada di situ. Mereka mengintip sampai petang namun bayang-bayang Rania tidak kelihatan.
"Gagal lagi! Orang dah cakap, biar orang yang buat kerja!" Suara seorang perempuan yang sedang mengamuk menyapa telinganya. Lelaki tersebut menelan liur. Peluhnya lelakinya mengalir. Apabila perempuan itu diserang amuk, tiada apa yang mampu dilakukannya kecuali mendiamkan diri apabila dibelasah atau dipukul.
"Nanti aku siasat lagi. Budak Rania tu tak pergi jauh. Takkan dia nak tinggalkan Opah dia sorang-sorang?"
"Ahhhh!! Alasan!! Dah dua kali gagal!! Orang tak nak tengok budak tu terlepas! Tak nakkkk!!!" Perempuan itu ketawa. Kemudian, suaranya berubah kendur. Dia menangis.
"Takpe! Lepas ni, orang akan tangkap dorang semua! Biar dorang mampus beramai-ramaiiii!!!" Hilai tawanya kedengaran di segenap rumah agam itu.
Lelaki tadi menunduk wajah, tidak berani menatang tampang perempuan itu.

SELESAI mengaminkan doa, Yusuff mengubah posisi duduknya. Dia bersalaman dengan Encik Zainol, Izham dan Izman. Solat Isyak malam itu diimamkan oleh Yusuff atas permintaan Encik Zainol.
Rania bersalaman dengan Puan Suraya, Hanie dan Husna. Saat itu, dia sempat menangkap pandangan mata Yusuff yang tak lepas-lepas menjamah wajahnya. Apabila lelaki itu menyedari akan pandangannya, Yusuff segera mengalihkan mata.
"Makan sudah, solat pun sudah. Kita borak-borak jelah dulu" kata Encik Zainol. Izham sudah bangkit sambil menyusun sejadah di besi penyidai.
"Kamu ni tinggal mana?" Encik Zainol bertanya kepada Yusuff.
Rania sempat mengerling ke arah lelaki itu.
"Saya tinggal bersebelahan dengan rumah sewa Rania dan Hanie" jawab Yusuff jujur.
Encik Zainol mengangguk kepala.
"Abang ni boyfriend Kak Nia ke?" Soalan tersebut ditanya oleh Izham pula.
Yusuff kaget. Dia tidak bisa menjawab pertanyaan tersebut. Dia memandang Rania namun bayang-bayang gadis itu sudah hilang.
"Ohh tak nak ngaku ye?" usik Izman pula.
"Kamu berdua ni sibuk sangat kenapa? Pergi masuk tidur! Esok nak sekolah kan?" Encik Zainol sudah mengeluarkan kuasa vetonya. Izham dan Izman terpaksa akur dengan arahan ayah mereka.
Rania muncul dari dapur sambil menatang dulang yang berisi kopi dan kuih jala. Dia meletakkan dua cawan kopi di hadapan Encik Zainol dan Yusuff. Tidak mahu terlalu berat tulang, Yusuff membantu meletakkan kuih jala di atas meja. Seketika kemudian, Rania yang berkain batik dan berbaju panjang lesap di sebalik langsir dapur.
"Kamu tak jawab lagi soalan dorang"
"Soalan apa pakcik?"
"Soalan yang pagi tadi. Dan soalan yang baru je kamu dengar"
Yusuff terdiam. Dia sudah terperangkap. Kalau tadi, dia dapat menyelamatkan diri dari diasak oleh kedua-dua adik Hanie, tetapi sekarang dia tidak boleh melarikan diri lagi.
"Masalah hati pakcik. Susah saya nak jawab. Sebab saya pun confused nak jawab macam mana"
"Tapi kamu nakkan dia"
Bicara Encik Zainol membuatkan Yusuff melemparkan pandangan kepada lelaki tua itu.
"Rania, maksud pakcik"
Yusuff terdiam. Mengiyakan tidak, menafikan juga tidak. Sejujurnya, hati dia masih kuat untuk Rania. Tetapi ironiknya, dia tidak berani untuk memasang angan-angan tersebut dek kerana patuh pada syarat perjanjiannya.
"Pakcik selalu perasan, yang kamu suka perhatikan Nia senyap-senyap. Baru satu hari kamu kat sini, jangan ingat pakcik tak tahu"
Wajah Yusuff kemerahan. Tidak disangka, Encik Zainol mampu menangkap gerakan matanya. Fikirnya, dia sudah berhati-hati dalam tindakannya itu.
"Pakcik percaya, ada sesuatu yang Hanie rancangkan. Sebab tu dia bawak kamu dengan Rania kat sini. Kalau tak pun, mesti ada sesuatu yang berlaku, yang mengganggu fikiran Hanie. Dan yang pasti, benda tu ada kaitan dengan kamu dan Rania"
Kesimpulan Encik Zainol menambahkan teka-teki dalam kotak fikiran Yusuff. Dia merasakan perkara yang sama kerana Hanie sendiri sudah mengaku akan hal tersebut. Namun dia tidak mahu serkap jarang. Biarlah sehingga Hanie sendiri yang membuka mulut.

PAGI itu, Ammar mendapat tugasan penting di Johor Bahru. Projek terbaru di bawah kendaliannya berpusat di Muar. Datuk Taj meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguruskan projek ini.
Saat melewati meja Aziah, dia sempat mengarahkan gadis itu untuk masuk ke dalam pejabatnya. Aziah menurut.
"Any appointment today?" tanya Ammar sejurus Aziah menapak masuk ke pejabatnya.
Aziah meneliti jadual Ammar yang dicatatkannya di dalam buku catatan.
"So far, no bos. But you have to fly to Muar today for your new project with Bestari Holdings"
Ammar mengangguk sambil tangannya ligat menari-nari di atas kekunci papan komputer. Dia memeriksa emel daripada Murni. Namun tiada balasan atau jawapan dari gadis itu. Mana dia pergi? Almost one week!
Aziah memerhatikan saja gelagat Ammar yang keresahan itu. Dia menyimpul senyum sambil mencatatkan sesuatu.
"Anything else?"
"Your flight is at 9 am. And to avoid any terrible jammed, I think you better make a move now"
Ammar menilik jam di tangan. Ada satu jam 15 minit lagi masa yang tinggal. Agaknya dia tiada kesempatan untuk bertemu Rania. Takpelah! Lepas tiga hari, aku dapat jumpa dia balik!
"And one more thing bos. Encik Yusuff, yang sepatutnya pergi dengan bos, dia tak dapat proceed. Dia apply one week holiday. So, tempat dia akan digantikan oleh Encik Mikail"
Ammar mengerut dahi. Yusuff pergi mana? "Dia bercuti atas urusan apa?"
"Not stated! Tapi dia cakap, dia pergi Mersing. Ada urusan keluarga" Jawapan Aziah membuatkan Ammar berfikir sejenak. Setahu dia, kampung Yusuff bukan di Mersing tetapi di Sekinchan. Siapa yang dia jumpa di Mersing?? Argghh! Pedulilah. Bukan urusan aku! Yang penting, untuk projek kali ini, dia tidak perlu berhadapan dengan Yusuff!!

HANIE, Rania dan Yusuff duduk di ruang tamu bersama dengan Encik Zainol dan Puan Suraya. Izham dan Izman sudah dihantar ke sekolah seawal jam 6.30 pagi tadi. Husna pula sudah dari tadi ke tempat kerja. Dia bekerja sebagai seorang kerani di sebuah klinik pergigian.
"Hanie kumpulkan kita semua pagi ni sebab ada benda penting yang kita semua kena tahu pasal seseorang.Dan ini melibatkan nyawa kau, Nia. Dan kau jugak Yusuff. And maybe aku"
Kata-kata Hanie menjemput tanda tanya di benak Rania. Dia sebenarnya tidak mengerti maksud bicara Hanie tersebut. Kenapa harus melibatkan nyawa dia? Juga Yusuff?
Yusuff beriak tenang. Hanie sudah memberitahunya akan perkara itu. Tetapi tidak secara terperinci. Oleh itu, dia dibawa perasaan ingin tahu yang mendalam mengenai perkara yang akan mereka bincangkan sebentar tadi.
Puan Suraya sudah kebingungan. "Nyawa apa yang kamu maksudkan ni? Mak tak faham"
"Pasal Aziah"
"Siapa Aziah?" Puan Suraya tambah bingung.
"Dia housemate kami, mak. Dan dia jugak sepupu Hanie. Hanie cakap, dia anak saudara ayah" sahut Rania. Dia membahasakan Encik Zainol dan Puan Suraya dengan panggilan mak dan ayah kerana sudah menganggap mereka seperti orang tua kandungnya sendiri.
"Abang, ada sesuatu ke yang Su tak tahu? Bila masa pulak abang ada anak saudara nama Aziah? Setahu Su, abang cuma ada seorang adik kan? Aina. Dan Aina cuma ada seorang anak. Dan anak dia Natrah, bukan Aziah"
Rania dan Yusuff sama-sama kaget saat mendengarkan kebenaran itu. Mereka mulai diburu rasa bingung kerana tidak memahami perkara tersebut.
"Okey, abang akan terangkan semuanya. Sebab Hanie dah ceritakan segala-galanya pada abang. Rania, Yusuff.." Encik Zainol memandang wajah mereka silih berganti.
"Kamu kena dengar ni. Percaya atau tak, inilah kebenaran dia"
Satu-persatu kebenaran terungkap di hadapan mereka. Baik Rania mahupun Yusuff seakan tidak mampu untuk menerima berita tersebut. Kalau benar seperti yang didakwa oleh Encik Zainol, justeru siapakah yang saat ini sedang menghuni di rumah sewa Hanie? Wajah, perilaku, ketawa semuanya menyerupai arwah Natrah. Sesekali, Hanie menyampuk dengan memberikan beberapa maklumat mengenai Aziah.
"Tapi ayah, kalau betul tu bukan Aziah, errr maksud Nia, Natrah.. errrr.." Rania juga sudah buntu akan identiti sebenar Aziah.
"Errrr dia tu bukan sepupu Hanie, bukan anak saudara ayah dan mak, habis tu dia siapa? Orang yang dah meninggal takkan hidup balik! Lagipun, Hanie cakap, wajah dan sikap dia sama macam arwah!"
Itu yang berlegar-legar di benak fikiran Rania. Dia tidak mampu untuk memahami di sebalik misteri gadis yang memperkenalkan diri sebagai Aziah itu.
Yusuff teringat akan kotak yang diterimanya beberapa hari yang lepas. Dan juga emel yang pernah dihantar oleh seseorang kepada Ammar. Adakah dia adalah orang yang sama? Dan adakah dia yang dimaksudkan adalah Aziah? Kalau benar, kenapa dia mahu memburu Rania dan dirinya? Jika sasarannya adalah Ammar, dia mungkin dapat menerima kenyataan tersebut. Kerana setahu dia, seperti apa yang pernah diberitahu oleh Luqman, suatu masa dahulu Ammar adalah lelaki yang gemar berfoya-foya. Sebagai kesimpulan, mungkin ini adalah kes dendam, dari salah seorang teman wanita Ammar. Tetapi dia juga tidak mampu untuk mengagak sejauh mana kebenaran tersebut. Kerana Ammar tiada di situ bersama mereka.
"Kau fikir apa Suff?" soal Hanie saat melihat wajah Yusuff seperti kebingungan. Melihatkan lagak dan bahasa badan lelaki itu, dia tahu ada sesuatu yang sedang mengganggunya.
Yusuff memandang wajah Hanie. Kemudian, matanya berkalih ke wajah Rania. Haruskah dia berterus-terang mengenai kotak yang dia terima? Dan kotak yang sama yang dikirimkan ke Rania? Atau sebetulnya dia hanya berdiam diri dan menunggu saat yang tepat? Tetapi bagaimana pula dengan keselamatan Rania?
"Tak. Aku tengah fikir tentang apa yang pakcik cakap. Macam tak masuk akal! Susah nak percaya tapi itulah hakikat. Sekarang ni, kita kena hati-hati dengan dia" Yusuff akhirnya mengambil keputusan untuk berdiam diri dahulu. Dia akan memikirkan jalan yang seterusnya untuk berterus-terang dengan mereka semua.
"Macam yang kau cakap. Itulah kebenaran! Aku rasa, Aziah ni ada kena-mengena dengan kejadian Rania hampir-hampir kena langgar hari tu" Hanie melemparkan
pandangan.
"Kau tak boleh main serkap jarang. Nanti jatuh fitnah! Kita kena siasat dulu" Yusuff mengingatkan. Tidak mahu Hanie terlampau obses akan kejadian itu.
"Rania kena langgar? Kenapa mak dengan ayah tak tahu?" Puan Suraya ikut campur, meluahkan kekeliruan.
"Errr, hal kecik je mak. Nia yang salah. Tak tengok kiri kanan. Takde apa yang serius" sahut Rania pula. Dia tidak mahu Puan Suraya dan Encik Zainol terlalu memikirkan keselamatannya. Dalam kesempatan itu, Rania sempat menjeling ke arah Hanie yang duduk bersebelahan Yusuff.
Hanie tersengih. Alamakkk!! Terlepas cakap!
"Ni bukan hal main-main. Kalau dah sampai kena langgar. Laporan polis dah buat?" sampuk Encik Zainol pula.
"Dah ayah. Lepas je Nia kena langgar, kita orang buat laporan polis terus. Tapi sampai sekarang polis tak bagitau apa-apa" sahut Rania lagi.
"Agaknya, dorang masih dalam siasatan. Sabarlah" ujar Puan Suraya lagi.
"Lepas ni, kena hati-hati je. Dengan Aziah, dengan siapa-siapa" sampuk Yusuff.
"Ammar macam mana? Dah maklumkan pada dia? Aziah tu setiausaha dia kan? Tak bahaya ke bagi dia?" Rania teringat akan Ammar.
Yusuff berubah riak saat nama Ammar meniti di bibir Rania. Dia sempat cemburu namun ditepis jauh perasaan itu.
"Belum. Aku tak terfikir pun nak bawak dia sini. Well..." Hanie tidak meneruskan kata-katanya. Sekiranya Ammar ada sekali, apa agaknya reaksi Yusuff? Dia juga risau sekiranya Rania dihimpit kebingungan jika kedua-dua lelaki itu ada bersama.
"Nanti kita cerita dekat dia" Itu keputusan yang diluahkan oleh Yusuff. Selaku abang, dia juga diserang perasaan bimbang, apatah lagi setelah mendengar semua kebenaran ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience