MATAHARI yang tegak berdiri memancarkan sinarannya pada pagi itu. Meski tidak diundang, ianya tetap menyinarkan sekalian alam. Kicauan burung yang berterbangan di udara seakan mencantikkan lagi potret di dada langit. Namun secantik apapun keadaan itu, tetap tidak mampu untuk melenyapkan gundah-gulana di hati lelaki itu.
Dia mundar-mandir di hadapan semua orang. Dia yang sedia lengkap dengan busana pengantin berwarna biru dan bercorak batik itu tetap sabar menunggu kehadiran sang pengantin perempuan yang sudah dinikahi sejak semalam. Namun sejak dari hari bahagia itu sehingga ke malam mereka diraikan, bayangan si pengantin perempuan tiada kelihatan, sedangkan dalam masa beberapa jam lagi mereka akan bersanding bersama. Dia tidak mungkin akan bersanding sendirian tanpa si isteri di sisi. Hanyalah sepasang busana yang seolah sengaja diletakkan di atas katil sebagai tanda perpisahan. Adakah dia akan berpisah dengan Rania? Dia belum sempat untuk membahagiakan isterinya itu. Bahkan untuk meluahkan rasa rindu dan cinta juga dia tidak berkesempatan. Dadanya mula sesak. Air mata yang ditahan sedari tadi tidak mampu utk dicegah.
" Mana Rania?"
" Kita akan jumpa dia. Dia takkan lari sejauh atau selama-lamanya. Dia dah jadi isteri kau. Aku kenal Nia macam mana" Hanie menyedapkan hati semua pihak. Bukan dia sahaja, bahkan seluruh penghuni di vila tersebut mula bingung apabila Rania tidak munculkan diri.
Lelaki tersebut menghela nafas berat. Salah dia! Ya, dia khilaf kerana tidak pernah mampu untuk memahami Rania selama ini. Dia terlalu memaksa Rania mengikut kehendaknya sehingga dia terlupa untuk menjaga hati wanita kesayangannya. Dan sekarang, dia harus kehilangan wanita itu dalam sekelip mata. Ya Allah! Aku tak kuat!!!
Dia tersandar lemah di dada sofa. Menangis dan terus meratapi kepemergian isteri tercinta tanpa sebarang pesan atau alasan.
Rania... Abang minta maaf!
9 BULAN SEBELUMNYA...
LUQMAN memarkir kapcainya di hadapan Vila Mek Orkid. Rambut yang terabai dibetulkan melalui cermin sisi. Yakin dengan penampilan diri, dia tersenyum bangga lalu menapak masuk ke vila. Terserempak dengan Mak Su Rok di beranda, dia sempat bersiul namun wanita 30an itu hanya mendengus, tanda tidak senang diusik sebegitu.
Luqman menghambur tawa, faham benar dengan angin kus-kus Mak Su yang sorang itu. Nama saja Siti Rokiah namun penampilan dan gayanya tak ubah seperti seorang lelaki. Tomboi! Dia pantang diusik sebegitu, mahunya jelingan maut dihadiahkannya!
"Ohhh Nia... " Luqman berlagu-lagu memanggil nama sahabatnya itu. Tatkala terlihat susuk tubuh Rania di sebalik langsir, dia mengukir senyum. Langkah diatur, dan dalam sekelip mata saja dia sudah berdiri bersebelahan gadis itu.
" Oiii apa kau buat tu jah?" sergahnya sambil menarik rambut Rania yang diikat ala-ala pony tail itu. Rania menarik muka masam. Mood happy hilang tiba-tiba apabila diperlakukan sebegitu oleh Luqman.
" Mandi..." selorohnya sepatah. Malas hendak melayan perangai gila Luqman itu. Nasib dia faham, kalau orang lain, mahu diterkamnya si Luqman itu!
" Ooo.. mandi. Wahhhh, tengok wayang free lah ni" Luqman berlagak selamba. Dia sudah mengukir senyum nakal.
Rania merona merah. " Yellow-minded betul! Tak sekolah ke?" Sempat dia mengkucar-kacirkan rambut Luqman yang tegak berdiri itu.
" Jahhh, kalau benda lain kau buat main-main, aku tak kisah. Kalau rambut, ini aku pantang!" Luqman sudah mendengus sambil tangannya tak henti-henti membetulkan keadaan rambutnya.
" Peduli apa aku?! Siapa jemput kau datang sini?" Rania bernada kasar. Memang seperti itu keadaan mereka, tak ubah seperti anjing dengan kucing. Pun begitu, merekalah sahabat yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Luqman menghempas diri ke sofa. " Opah yang panggil aku ke mari"
Rania menoleh memandang Luqman. Kerjanya menggantung langsir sedari dua jam tadi sudah berjaya dilunaskan. Dia melabuh duduk di hadapan Luqman.
" Opah panggil kau? Tak cayalah aku. Apasal opah tak cakap pun dengan aku?"
" Deyyy machaaa.. takkan setiap benda opah nak kena bagitau kau?" Luqman sudah melurus badan, duduk bertentangan dengan gadis itu.
Rania mengerut dahi. Memanglah si Luqman itu sahabat rapatnya, bahkan satu perumahan itu mengenali mereka. Tetapi kalau melibatkan opah, tidak pernah opah merahsiakan apa-apa daripadanya.
" Opah lupa nak bagitau kau kot" Luqman menambah lagi apabila disedari riak tidak senang dari wajah Rania.
" Hmmm. Opah tak pernah lupa nak inform aku apa-apa" Rania terkesima. Dia dan Luqman memang rapat dengan opah. Apa-apa sahaja rahsia, tidak pernah disimpan sendiri. Mesti akan ada opah yang menjadi orang tengah.
" Opah nyanyuk kot. Orang tua kan" Luqman tertawa dengan kata-kata sendiri. Tetapi berlainan pula dengan Rania. Kata-kata Luqman ibarat pisau yang menusuk ke dada, terlalu perit dan amat sakit untuk dilepaskan.
" Opah nyanyuk ke?" Rania hampir menangis. Tidak sanggup untuk menelan kenyataan pahit itu.
" Ehhh aku gurau jelah. Kau ni, janganlah anggap serius" Luqman serba salah. Ditariknya rambut Rania lalu dilepaskan ikatannya.
Rania menyeringa lalu mencubit lengan Luqman. Luqman sempat mengelak, lalu ditarik hidung mancung milik Rania. Tatkala Rania bersedia untuk mengejarnya, dia sudah terlebih dahulu mengangkat kaki. Penyudahnya, seluruh vila tersebut ditawaf oleh mereka.
" Luqmannnnnnnnnnnnnnnn!"
KOTAK segi empat dan dihiasi dengan reben berwarna merah itu dijeling sejenak. Sedari tadi, dia belum mendapat sebarang kekuatan untuk mengetahui isi kandungannya. Teringatkan kata-kata terakhir dari si ibu, Yusuff mendengus perlahan.
" Ada kebenaran yang Yusuff kena tahu. Selama 32 tahun ibu sembunyikan dari Yusuff. Ibu minta maaf. Takde niat nak sembunyikan apa-apa dari Yusuff, tapi ibu tak kuat untuk kehilangan Yusuff. Dan kebenaran tu ada dalam kotak, di bawah katil ibu. Yusuff ambik dan buka untuk tahu kebenaran dia. Maafkan ibu Yusuff..."
Kotak yang terbiar di atas katil, dia capai segera. Bosan menunggu walau penuh debaran, dia koyak kasar balutan kotak tersebut. Reben merah yang menghiasinya dicampak. Walaupun hatinya tidak kuat untuk menerima sebarang kebenaran yang disembunyikan oleh arwah ibu, namun dia tetap harus cari tahu dek kerana hatinya meronta-ronta dalam diam.
Dia mengerutkan dahi apabila melihat ada beberapa keping gambar di dalam kotak tersebut. Dua keping gambar seorang lelaki, mungkin usianya dalam lingkungan 30-an. Lelaki yang tegap dan wajah yang cerah itu menarik perhatiannya. Ada persamaan sedikit wajah mereka berdua. Tapi siapa dia? Sekeping gambar ibunya yang tersenyum manis. Melihatkan gambar si ibu, bibirnya turut mengukir senyum.
Dia capai pula sekeping gambar. Saat itu, matanya tertancap pada wajah seorang lelaki muda yang berdiri di samping ibunya. Mereka mengenakan pakaian pengantin berwarna putih. Kalau dia tidak silap, gambar itu mungkin diambil berpuluh-puluh tahun yang lalu. Yusuff mengerut dahi.
" Siapa lelaki ni?" Yusuff membelek-belek gambar tersebut dan menjumpai ada tulisan di belakangnya.
" Suamiku tercinta. Ahmad Tajuddin" Yusuff mengerutkan dahi lagi. Ahmad Tajuddin? Seingat dia, nama dia berbinkan nama lelaki itu. Amran Yusuff bin Ahmad Tajuddin. Jadi, lelaki ini adalah ayah kandungnya? Kalau dia anak kepada lelaki tersebut, kenapa selama 32 tahun ini dia tidak pernah bersua muka dengan lelaki tersebut? Adakah ayah sudah membuang mereka? Atau ayah tidak mahu mengakuinya anak? Atau mungkinkah dia anak yang tidak diinginkan?
" Ibu. Apa semua ni? Apa yang Yusuff kena buat? Yusuff keliru. Ibu tolonglah Yusuff" Dia merintih sendirian. Pada masa itu, matanya tertangkap sekeping surat yang terselit di bawah beberapa kepingan gambar tadi. Dia menarik surat tersebut. Dengan perlahan-lahan, isi kandungannya dibaca dengan sedu-sedan yang hanya dia sendiri sahaja yang faham.
Share this novel