MAK SU ROK menghampiri sofa. Duduk di situ, bersebelahan dengan Opah Orkid. Rancangan di televisyen mencuri tumpuannya seketika. Terpegun dia melihat sepasang pengantin yang diraikan dalam suasana yang cukup meriah. Busana yang cantik, dan sudah semestinya diraikan dalam tempat yang cukup eksklusif dan mewah.
" Bestnya mak tengok orang kawen mewah macam ni. Dahlah baju tu bermanik-manik, ada berlian pulak tu. Macam kawen dengan anak raja"
" Tahu pun kawen tu best. Yang kamu ni bila nak kawennya Rokiah oii?" Tukas Opah Orkid. Bernanah telinga si Rokiah mendengarnya. Dia memang sukakan pelamin atau yang berkaitan dengan perkahwinan. Tapi tidak semestinya dia sukakan perkahwinan!
" Mak ni sindir Rok ke apa?" Mak Su Rok sudah duduk bersila di atas sofa. Memang begitulah style dia, kalau duduk, mesti bersila. Kalau baring, mesti meniarap. Kadang, Opah sendiri pun keliru. Yang ini lelaki atau perempuan!
" Bukan sindir. Cuma bertanya. Kamu tu dah berapa umur? Dah nak masuk 40 tau? Takkan nak membujang sampai ke tua? Tak takut ke orang panggil andartu? Andalusia?" Opah Orkid sudah memulakan ceramahnya.
"Mak ni bukannya selamanya hidup. Entahkan esok, entahkan lusa, entahkan kejap lagi Allah ambik nyawa ni. Kita mana tahu kan?"
" Ehhh mak ni. Tak habis-habis nak bercakap soal kematian. Dari beberapa bulan yang lepas sampai sekarang, tak habis-habis topik yang sama. Jemulah Rok dengar!!" Mak Su Rok sudah tidak tahan menerima ceramah yang sama hampir saban hari daripada emaknya. Bukan dia tidak suka mendengar cerita itu, cuma hatinya sedih apabila diungkit soal kematian. Seolah-olah Opah sudah tidak sabar hendak meninggalkannya. Dia tidak punya siapa-siapa kecuali Opah dan Rania. Tetapi hubungannya sangat tidak baik dengan anak saudara yang satu itu sejak dari kecil. Masakan dia mahu menumpang hidup bersama Rania?
" Mak cakap benda yang betul. Kalau Rania, mak tak risau sangat. Dia pandai jaga diri. Kamu tu yang mak risau. Asyik berkepit dengan mak, bilanya kamu nak berdikari?" Opah sudah hampir membebel. Walaupun bukan niatnya untuk membebel, apatah lagi merungut, tetapi keadaan Rokiah itu yang merisaukannya. Bagaimana nanti mahu dia pergi dengan tenang jika anaknya yang satu itu tidak pandai bawa diri? Sudahlah tidak pernah sebulu dengan Rania!
" Mak dah bosan jaga orang kan? Mak lebih sayangkan Nia dari orang! Sikit-sikit Nia, sikit-sikit Nia. Kalau bukan disebabkan mak Nia, dah lama dah..."
" Rokiah! Benda dah lama berlalu! Kenapa nak ungkit lagi?" Opah Orkid sudah terbatuk-batuk. Dia mengurut dada perlahan-lahan. Nafasnya tercungap-cungap, bibirnya memucat.
" Makkkkkk!" Rokiah mengurut-urut belakang Opah. Wajahnya cemas. Batuk Opah semakin teruk kedengaran. Tangan Opah disentuh. Sejuk! Dia bertambah cemas apabila Opah mula rebah di ribanya. Ditampar lembut pipi tua itu.
" Makkkkkkkk!"
" MERAJUK lagi?" Yusuff mula menatap wajah bujur sirih itu. Lebih seminggu tidak ketemu, hatinya diseksa kerinduan. Bukan dia sengaja untuk mendiamkan diri, namun dia perlukan ketenangan untuk menerima sebuah kebenaran dari arwah ibunya.
Rania hanya tersenyum hambar. Bukan sengaja hendak 'perang' merajuk dengan lelaki itu, tapi memang sifatnya kuat merajuk, apalagi dengan orang tersayang.
" Sikit je" Ayam blackpepper yang hanya tinggal secebis dikunyah perlahan. Hati yang seminggu dipagut rajuk dek kerana diabaikan oleh lelaki itu terubat apabila Yusuff dengan ikhlasnya memujuk dia dengan memasak makanan kegemarannya. Tekaknya yang sentiasa cerewet dan berperang dengan selera yang tidak kena akan tewas dengan air tangan dari Yusuff. Entah mungkin kerana dia sayangkan lelaki itu atau mungkin memang masakan lelaki itu mampu membuka seleranya, dia sendiri tidak pasti. Yang dia tahu, dia terubat dengan keikhlasan Yusuff padanya.
" Kalau nak habiskan semua rajuk tu, saya nak kena buat macam mana?" Rania tersenyum dalam diam. Pandai lelaki ini mengambil hati! Dia mengangkat kepala, memandang sekeliling dengan mata yang mengecil. Jam-jam sebegini sudah tidak banyak yang bertandang ke tasik. Hanya beberapa orang sahaja, termasuk mereka berdua. Tasik itulah tempat untuk mereka berjumpa dan meluahkan perasaan masing-masing. Jika Rania merajuk atau makan hati, memang langkah kakinya akan membawa dia ke situ. Itu Yusuff sudah tahu. Tempat kegemaran Rania sudah menjadi tempat kegemaran lelaki itu juga.
" Saya nak kena petik bintang di langit untuk awak ke? Atau nak bawa bulan ke sisi awak? Atau kena naik ke langit dan bawa pelangi untuk awak? Which one you prefer the most?" Kata-kata Yusuff membawa Rania ke dunia nyata. Tampang lelaki itu ditatap. Wajah yang sentiasa tenang dan penampilan yang bersahaja, itulah yang mencuri ketenangannya sejak beberapa tahun ini. Sudah banyak kali dia berkias, namun Yusuff tidak pernah ambil pusing. Atau sememangnya lelaki itu tidak mengerti, dungu akan soal perasaan?
" Kalau saya cakap, saya nak awak...?" Rania tidak menghabiskan ayatnya. Sengaja dibiarkan tergantung, membuatkan Yusuff mengerut wajah.
Panggilan telefon mengganggu perbualan mereka. Rania menilik nama si pemanggil. Keningnya bertaut. Mak Su? Tak pernah- pernah Mak Su call.
" Hello Mak Su..."
Belum pun sempat Rania menyapa, Mak Su Rokiah terlebih dahulu memulakan mukadimah.
" Kau pergi hospital sekarang. Opah masuk ICU. Keadaan dia agak kritikal. Nanti aku WhatsApp nama hospital dan nombor bilik dia"
Panggilan dimatikan. Rania terpempan. Air matanya mula jatuh. Kenapa opah masuk ICU? Seminggu lepas dia bermalam di vila opah, dilihatnya keadaan opah baik-baik sahaja. Cuma apa yang dia ketahui dari Luqman, opah sudah mula lupa dengan setiap yang dilakukannya.
" Nia. Kenapa ni?" Yusuff mulai cemas. Dia bangkit dari duduk lalu mendekati Rania yang duduk berhadapan dengannya. Bahu Rania diulas lembut.
" Something's wrong?"
" Opah. Hospital"
Yusuff mengerut dahi, kurang mengerti dengan kata-kata Rania. Bunyi mesej dari Iphone Rania dibaca.
" Jom kita pergi hospital. Opah takkan apa-apa. In Shaa Allah" Tangan Rania ditarik lalu langkah mereka diatur menuju ke kereta. Fahamlah Yusuff apa yang dimaksudkan Rania seketika tadi. Setelah menerima mesej dari Mak Su Rok, dia bergegas ke hospital dan mendapatkan Opah.
LUQMAN segera mendapatkan Yusuff dan Rania yang setia menunggu di hadapan wad. Agak mengejutkan apabila melihat Yusuff ada bersama di situ. Mulut hendak bertanya, tetapi apabila melihatkan keadaan yang sangat tegang masa itu, dia tahankan hati dahulu. Ada hal yang lebih penting saat ini yang harus mereka utamakan.
" Nia..." Luqman sudah melabuh punggung di sebelah Rania. Bahu Rania disentuh lembut. Yusuff yang berdiri di samping Rania hanya mampu mendiamkan diri.
" Opah" Rania sudah menangis. Tubuh Luqman dipeluk, mencari-cari kekuatan di sebalik tubuh tinggi lampai itu.
Yusuff membuang pandang ke lantai. Sakit pula hatinya melihat gelagat Rania dan Luqman saat itu. Cemburunya mula menguasai tangkai hati.
" Kenapa dengan Opah?" Luqman bertanya dengan nada yang tenang, tidak mahu mudah gelabah. Risau sekiranya Rania turut melatah dengan pertanyaannya, menambahkan lagi kesedihannya. Belakang Rania diusap perlahan.
" Tak tahu. Mak Su called, cakap opah dah kat hospital. Masuk ICU. Aku risau Luq. Opah tak pernah masuk hospital, apatah lagi ICU"
" Kita doa je yang terbaik untuk opah. In Shaa Allah, opah takkan apa-apa. Opah kan kuat? Kau tahu tu kan? "
" Aku tahu tapi..."
" Syhhhh, dahh. Tak payah nak tapi-tapi. Kalau banyak sangat tapi, nanti kau yang sakit memikirkan keadaan opah. Think positive. Buruk muka kau menangis Jahhh. Macam beruk" Luqman sempat berseloroh.
" Bodohlah kau ni!" Rania memukul dada Luqman. Dalam sibuk menangis, meratapi, dia sempat lagi buat lawak bodoh!
Luqman ketawa. Lega rasanya melihat sedikit sinar di wajah cantik itu.
" Dah. Tak payah sedih-sedih. Opah takkan apa-apa. Percayalah cakap aku. Lagipun, kau tak menangis macam ni, nampak cantik. Kalau aku ni tak bertunang, masih single, dah lama aku tackle kau"
" Menyampahlah kau ni!" Rania sempat mengerling ke arah Yusuff yang sedari tadi tunduk merenung lantai. Dia kenapa?
" Betullah. Kalau tak menangis, cantik sikit je dari beruk belakang rumah aku"
" Bila kau bela beruk?"
" Baru tadi" Luqman mengekek ketawa.
Rania menepuk lengan Luqman, faham dengan maksud kata-kata lelaki itu. Dia samakan aku dengan beruk? Namun hatinya sedikit lega dengan kehadiran Luqman di situ. Lelaki itu pandai menghibur hati dan menceriakan suasana. Bersyukur dikurniakan sahabat sebaik dan sefaham Luqman.
Yusuff diam membatu dari tadi. Dia terasa asing apabila kehadirannya di situ seolah-olah tidak dihiraukan oleh Rania. Itulah antara penyebab kenapa dia tidak berani mendekati Rania. Dia tahu, gadis itu punya sesuatu dengan Luqman. Hubungan mereka sangat akrab, walaupun adakalanya mereka seperti anjing dengan kucing. Dalam diam, dia beralah dengan Luqman. Jika itu yang mampu menggembirakan hati Luqman dan Rania, siapalah dia untuk menjadi batu penghalang?
Share this novel