26

Romance Completed 23717

SETELAH mendengar penjelasan daripada Yusuff, hati Rania dipukul hiba. Benar kata hatinya selama ini. Yusuff tak pernah membuangnya. Lelaki itu terpaksa demi pengorbanannya pada Ammar dan Datuk Taj. Dek kerana sebuah janji, hati mereka berdua terseksa.
"Nia, awak tak tahu betapa sakitnya hati saya bila terpaksa buat awak macam ni. Tapi saya takde pilihan. Saya tersepit dan saya terpaksa memilih" Yusuff sudah duduk berlutut di hadapan Rania. Wajah Rania sudah basah. Dia tahu, Rania terluka dengan semua kebenaran ini. Namun bukan Rania seorang yang menerima akibatnya. Dia juga sama.
"Dan awak pilih papa awak, awak pilih Ammar. Dan awak pilih untuk lukakan saya"
Yusuff mengeluh. "They left me no choice"
"Tapi awak ada pilihan untuk berkongsi semuanya dengan saya kan? Kenapa kena rahsiakan? Sebelum ni, saya sentiasa jadi yang pertama untuk tahu rahsia awak. Kenapa semuanya kena berubah sekarang?"
Rania sudah mengesat airmatanya. Tekaannya selama ini memang tidak salah. Gara-gara Ammar, Yusuff sanggup mengalah dan menguburkan cinta mereka tanpa memberi dia hak untuk memilih. Gara-gara Datuk Taj, Yusuff sudah hilang pertimbangan sehingga sanggup melukakan hati dia.
"Saya tak sanggup. Saya... saya tak boleh"
"Awak janji nak kawen dengan saya. Awak tak tahu, betapa happynya saya bila terima lamaran awak. Saya rasa, saya dah bertemu dengan seseorang yang mampu jaga saya. Bina harapan bersama saya"
Rania berjeda. Dan harapan itu musnah apabila Yusuff bertindak memilih jalan perpisahan tanpa dia ketahui sebab-sebabnya.
"Saya sayangkan awak Nia. More than anything. Tapi saya jugak tak sanggup nak musnahkan harapan papa. Saya tak sanggup nak musnahkan hidup Ammar sekali lagi"
"Hidup Ammar musnah bukan sebab kita. Tapi itu pilihan dia sendiri. Manusia diberi akal untuk berfikir baik buruk sesuatu keputusan. Dan kalau dia pilih jalan yang salah, itu adalah keputusan dia! Bukan kita!"
"Tapi puncanya datang dari kita"
"Bukan kita. Tapi awak!"
Rania sudah berdiri, menjarakkan diri dari lelaki itu. Airmata yang cuba untuk diseka, tetap degil munculkan diri.
"Nia. Tolonglah jangan macam ni" Yusuff sudah menyentuh lembut bahu Rania. Dia tidak mahu berpaling daripada janjinya. Oleh itu, dia harus membuat Rania faham akan situasi mereka yang sudah berbeza. Kerana di sebalik kisah mereka, sudah ada watak Ammar dan Datuk Taj sebagai penghalang.
"No! Awak yang kena faham. Dan dorang yang kena mengalah!" Rania menepis kasar tangan Yusuff. Dia dan Yusuff saling memerlukan, kenapa mereka pula yang harus mengalah pada Ammar? Dia tidak akan bahagia bersama Ammar! Itu yang dia tahu!
"Nia, please. They are very important to me"
"Habis tu saya??? Takde makna apa-apa dalam hidup awak? Hanya sekadar persinggahan bagi awak Yusuff?" Wajah Yusuff ditatap.
"Kalau saya kawen dengan Ammar, yes, Ammar akan bahagia. Papa awak akan bahagia. Semua orang akan bahagia. Tapi awak... saya.. kita terluka. And we both know about that! Awak anggap perkahwinan yang terjalin antara saya dengan Ammar akan menyelamatkan keadaan. Tapi sebenarnya tak! Awak anggap awak siapa? Nak arahkan saya buat itu buat ini?" Rania sudah diamuk amarah. Dia memukul-mukul tubuh Yusuff namun lelaki itu tidak melawan. Dibiarkan sahaja kudrat Rania menyerangnya.
"Apa yang awak nak sekarang Nia? Awak bagitau saya" tanya Yusuff, lemah. Persoalan Yusuff membuatkan Rania berhenti memukul.
Wajah Yusuff dipandang dalam-dalam. Kemudian, dia menggenggam jari-jemari lelaki itu dengan erat.
"Yusuff, kita kawen! Supaya Ammar dan papa awak takkan desak awak dengan apa-apa perjanjian lagi"
Yusuff terperanjat dengan idea Rania itu. Dia menarik nafas lalu dilepaskan perlahan-lahan. Jari-jemari Rania dilepaskan. Dia menuju ke sudut katil lantas mencapai telefon bimbitnya.
Rania diserang kebingungan saat melihat perlakuan Yusuff.
"Okey, kita kawen. Saya turuti permintaan awak. Kita kawen. Duduk jauh dari sini. Pergi ke tempat yang orang tak kenal kita langsung. Kita mulakan hidup baru tanpa fikir pasal sapa-sapa. Tanpa Opah. Tanpa Maksu Rok. Tanpa mak dan ayah angkat awak. Tanpa Hanie. Tanpa Luqman dan Zulaikha. Sebab dorang orang yang paling bahagia kalau kita kawen"
Yusuff berjeda. Wajah Rania ditatap sayu. Dia menghela nafas lalu menyambung kembali...
"Tapi ada dua orang yang akan terseksa disebabkan keputusan yang kita ambil. Kalau kita kawen, papa akan terluka. Awak tahu sebab apa? Sebab janji yang saya dah buat pada dia. Saya berjanji akan kembalikan Ammar pada dia, bentuk Ammar seperti acuan yang dia nak. Ammar nampak teruk setelah awak abaikan dia. Dia tak boleh terima awak dengan lelaki lain. Papa tak sanggup tengok Ammar macam tu hari-hari. Dia tertekan dengan kerja tapi lebih tertekan dengan Ammar!"
Rania hanya membatukan diri, mendengar dengan jelas setiap luahan hati Yusuff, meskipun dia tahu penghujungnya tidak seperti yang dia inginkan!
"Saya bagitau papa. Saya akan tolong dia kembalikan Ammar seperti yang dia nak. Ammar yang sentiasa komited terhadap kerja, yang tak pernah serabut dengan masalah lain. Dan, semuanya berjalan dengan lancar. Tapi ada syarat untuk semua tu"
Yusuff mendekati Rania. Melihat wajah Rania yang seperti sudah berputusa asa, dia jadi kasihan. Tubuh Rania ditarik ke sisi lalu dibawa ke birai katil. Duduk di situ, dan dia berlutut menghadap Rania.
"Ammar berjanji untuk tak buat hal lagi. Dia akan jadi seperti yang papa nak. Seorang yang lebih bertanggungjawab terhadap kerja dan orang sekeliling. Seorang yang tahu menguruskan masa. Seorang yang berguna. Dan Ammar jugak berjanji untuk berpindah semula ke rumah dia, kembali ke pangkuan keluarga. Dengan syarat..."
Yusuff tidak sanggup untuk meneruskan kata-kata apabila tangisan Rania sudah kedengaran.
"Saya tinggalkan awak, tak kira apapun status hubungan kita masa tu. Dan, Ammar tak nak ambik tahu langsung pun mengenai hubungan kita" Yusuff menyambung kembali.
Rania sudah menyembunyikan wajah di sebalik bahu Yusuff. Esak tangisnya jelas kedengaran.
"Kalau kita kawen, kita akan musnahkan segala impian papa dan hancurkan hidup Ammar semula. Sekarang pilihan di tangan awak Nia. Saya akan turuti semua permintaan awak. Saya takkan menolak apa pun yang awak nak. Kalau awak nak kita kawen, saya akan call Ammar sekarang dan bagitau dia segala-galanya"
"Yusufffff! Tolong jangan buat saya macam ni!" Rania tersepit. Memang pilihan di tangan dia. Tapi pilihan itu yang akan menentukan baik buruknya masa depan mereka. Dan dia sungguh keliru. Dia ingin bersama dengan Yusuff tapi tidak sanggup pula untuk melukai hati Ammar.
"Cinta saya pada awak tak pernah hilang Nia. Tapi cukuplah kenangan kita sampai di sini saja. Biarlah takdir yang menentukan segalanya"
Yusuff menapak ke pintu bilik. Membuka pintu lantas memberi laluan kepada Rania.
"Sebelum semua orang tengok kita berdua dalam bilik ni, ada baiknya awak keluar cepat"
Rania mengesat sisa airmatanya. Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu bilik. Peritnya rasa apabila terpaksa memilih pilihan yang bukan datang dari hati. Mampukah dia bahagia di samping Ammar?
"Yusuffff..." rintih Rania di hadapan pintu. Kakinya seakan-akan digam, seolah faham dengan kehendak hati yang tidak mahu meninggalkan lelaki itu. Wajah Yusuff menjadi tatapannya. Tetapi lelaki itu memalingkan wajah dari wajah Rania.
Rania berlari keluar lantas mengorak langkah ke biliknya. Menghempas tubuh ke katil lalu menghamburkan segala kesakitan yang terasa. Esak tangisnya cuba untuk disembunyikan kerana risau dapat ditangkap oleh keluarga Hanie.
Rania beralah! Jika takdir menetapkan kepergiannya dari sisi Yusuff adalah untuk kebaikan semua pihak, maka dia akan menerimanya meski hati terpaksa dilukai. Hati, maafkan aku! Sekali lagi, aku berlaku kejam pada engkau!!
Rania bingkas bangun lalu menuju ke bilik air. Dia ingin menunaikan solat hajat dan menenangkan hatinya yang sedang bergolak hebat kala ini. Allah! Itulah penawarnya di kala duka lara ini!

RANIA membaca witir dan berzikir setelah selesai menunaikan solat hajat. Dia mengira butiran tasbih sambil mengucap kalimah-kalimah syahdu. Airmatanya tumpah lagi, namun kali ini dia mampu mengawalnya. Dia redha jika ini qada' dan qadarnya. Dia ikhlas jika ini penghujung ceritanya.
"Nia!"
Hanie sudah duduk berteleku di sebelah Rania. Wajah Rania yang sembam dengan airmata menimbulkan tanda-tanya di hati.
"Nia, kau nangis ke?"
Rania menggeleng. "Kenapa? Ada apa-apa ke?"
"Ohh, Ammar! Ammar kat luar!"
Ternyata, bicara Hanie mengundang seribu persoalan di benaknya. Rania mengerut dahi. Apa maksud kedatangan Ammar ke mari?
"Tadi, dia called aku. Tanya kampung aku kat mana, lorong berapa, celuk mana..." Hanie bermengah-mengah. Nafasnya sudah tidak seirama dengan rentak hatinya.
"Pelan-pelanlah!" gerutu Rania.
"Okey, Ammar kat luar. Aku nak cakap tu je!"
Rania mengangguk kepala. Dia menanggalkan telekung lantas melipatnya bersama sejadah. Kemudian, disimpan rapi di atas meja lalu menyarungkan selendang ke kepala.
"Jom!" Rania mengajak Hanie untuk bersamanya. Mereka menapak keluar lantas mendapatkan Ammar yang sudah melabuhkan duduk di ruang tamu. Encik Zainol dan Puan Suraya turut serta di situ.
Yusuff menyandarkan tubuh ke dinding bilik. Dia juga bingung saat dimaklumkan oleh Hanie akan kedatangan lelaki itu.
"Nia!" Ammar sudah berdiri. Wajah Rania dipandang tidak lepas. Rindunya terlerai saat wajah itu menyimpul senyum kepadanya.
"Ammar! Awak buat apa kat sini? Tengah-tengah malam macam ni!"
"Saya... saya tak tahu. Saya... saya cuma nak jumpa awak!"
Encik Zainol sudah mengerutkan dahi. Jumpa anak aku jam-jam macam ni! Siapa Ammar? Apa hubungannya dengan Rania? Dan Yusuff???
"Macam ni jelah. Kita cakap esok je. Ni dah nak pukul 12. Kita rehat-rehat. Esok masih panjang untuk mengenali hati budi masing-masing!" Encik Zainol keluarkan arahan.
"Yusuff, Ammar kongsi bilik dengan kamu! " arah Encik Zainol lagi. Dia sudah mengatur langkah untuk ke bilik. Puan Suraya membontoti dari belakang.
Yusuff hanya mengangguk. Dia mendapatkan bagasi Ammar lalu dibawa ke bilik.
"Ammar?!"
Yusuff melihat pandangan Ammar yang sudah jatuh pada wajah Rania. Mereka berpandangan. Meski hatinya sakit untuk menyaksikan semua itu, namun dia harus belajar menerima kenyataan itu bermula dari sekarang. Rania bukan lagi miliknya. Dan tidak akan pernah menjadi miliknya!

"KAU tak bagitau Rania apa-apa kan pasal perjanjian kita?" Pandangan tajam Ammar tertumpu pada wajah sayu Yusuff. Dia mulai takut seandainya Yusuff buka mulut. Sungguh, dia tidak sanggup hendak kehilangan Rania.
Yusuff yang sudah sedia dengan bantal dan selimut di lantai mengangguk perlahan. Malam ini, dia mengalah dengan tidur di lantai. Dia tahu, Ammar tidak sudi hendak berkongsi katil dengannya. Tidak mengapalah! Dia sudi mengalah asalkan orang sekelilingnya berasa bahagia. Ya, dia selalu mengalah dan akan terus mengalah.
"Yusuff! Kau tak tipu kan? Kau masih ingat perjanjian kita kan?"
Yusuff sudah muak dengan sikap pengecut Ammar. Sejak mereka mempunyai perjanjian yang dia dan Ammar saja mengetahuinya, lelaki itu tidak habis-habis mengugut dan mengingatkan dia akan perjanjian mereka. Dia bukan kanak-kanak yang semudahnya lupa. Dia masih ingat dan akan sentiasa patuh pada perjanjian itu walaupun sekarang Rania sudah mengetahuinya. Tetapi itu di luar kuasanya! Rahsia yang terbongkar bukan dari mulutnya sendiri.
"Kenapa kau takut sangat kalau Rania tahu rahsia kita? Kau takut Rania berubah hati? Atau kau takut Rania kembali pada aku?"
Ammar yang duduk di kerusi lantas mengangkat punggung. Yusuff didekati.
"Yes! Aku takut Rania kembali pada kau! Kau ingat senang ke nak dapatkan Rania? Bila dah ada peluang dan kesempatan ni, takkan semudahnya aku nak lepaskan?"
Yusuff tersenyum sinis. "Kau pengecut! Macam mana nak lindungi Nia kalau benda kecik macam ni pun kau takut nak berdepan?!"
Burkkk!! Wajah Yusuff menjadi sasaran penumbuknya. Ammar tidak suka dipanggil pengecut.Dan dia benci akan sikap tenang yang sedang ditunjukkan oleh Yusuff saat ini.
Yusuff mengesat darah yang mengalir keluar melalui bibirnya. Biarlah apa pun yang Ammar lakukan, dia tidak akan membalasnya.
"Yusuff! Ammar!!" Encik Zainol sudah berdiri di hadapan pintu dengan riak terperanjat.

PAGI itu, setelah menjamah sarapan pagi, Ammar dan Yusuff duduk di ruang tamu bersama dengan Encik Zainol. Dia masih tidak puas hati dengan peristiwa semalam. Oleh itu, dia ingin menyelesaikan segala-galanya bersama dua lelaki itu.
Hanie dan Rania mengintip di celah-celah langsir dapur. Sejak dari tadi lagi, Encik Zainol menghalang mereka daripada turut serta akan 'meeting' tersebut.
"Korang berdua ni nak kena dengan mak pulak ke?" sindir Puan Suraya. Dia sudah terduduk di kerusi sambil mengupas kulit bawang.
Rania dan Hanie tersengih lalu menyertai Puan Suraya. Pisau ditarik dari tempatnya lalu tangan mula bekerja. Namun mata mereka tidak lari dari menjenguk ke luar.
"Mata tu tengok sini. Bukan tengok sana. Nanti tangan luka, jangan nak komplen pulak!"
"Mak ni, garang sangatlah!" omel Hanie pula.
"Kalau tak garang, nanti korang semua pijak kepala! Ni mak nak tanya kamu Nia. Apa jadi dengan dorang berdua tu?" Puan Suraya sudah mulakan siasatan.
Rania kaget. Dia sendiri juga bingung bagaimana mahu menjelaskan kejadian sebenar.
"Errr Nia tak tahu mak. Nia pun keliru..."
"Keliru nak memilih ke?" Puan Suraya serkap jarang.
Hanie mengehem. Saja hendak mengatur suara. Ibunya ini penyiasat yang terkemuka! Tiada siapa yang mampu lari setelah ditangkap oleh ibu!
"Errrr.. Nia tak faham maksud mak"
"Nia, mak ni dah pernah muda tau tak? Kalau seorang lelaki sanggup datang malam-malam buta semata-mata nak jumpa kita yang perempuan ni, itu maksudnya dia nakkan kamu! Tak faham-faham lagi?"
"Nia buat-buat tak faham mak!" sampuk Hanie.
Kaki Hanie sengaja Rania pijak. Hanie mengaduh! Haa, padan muka!! Suka sangat nak tambah perisa!!
"Buat-buat tak faham sebab Yusuff?"
Rania terjerat dengan kata-kata Puan Suraya. Arghh sudahh!!
"Mak, Hanie simpulkan je cerita ni! Yusuff suka Rania. Rania pun suka Yusuff. Tapi dalam cerita dorang, muncuk pulak si psiko Ammar tu. Jadi Ammar suka Rania.. Rania pulak tak suka Ammar sebab Rania pilih Yusuff. Tapi masalahnya, Yusuff tetiba je tak suka Rania. Jadi Rania sedih. Bila Rania sedih, Ammar masuk daun! Bila Ammar masuk daun, Rania pulak keliru. Sebab nak terima Ammar atau Yusuff!"
Puan Suraya sudah pening kepala. Penerangan Hanie terlalu kompleks untuk difahami.
"Kau ni dramalah Hanie!!" rungut Rania. Wajah Puan Suraya ditatap kembali.
"Mak, sebenarnya Nia memang takde apa-apa dengan Ammar. Tapi..." Rania mula buka cerita. Perkenalannya dengan Yusuff dan bagaimana mereka jatuh cinta sehinggalah kepada terjadinya perkara rumit ini. Tapi Rania sengaja skip bahagian diari Yusuff dan rahsia lelaki itu. Kerana itu permintaan Yusuff sendiri. Biarlah hanya mereka yang tahu.
"Jadi maksudnya ni, Rania memang tak suka Ammar?"
"Itulah yang Hanie maksudkan dari tadi!" Hanie mencelah.
Rania mengangguk. Rahsia hatinya sudah diketahui oleh Puan Suraya.
"Dah tu, kenapa tak berterus terang je? Ada baiknya kalau Nia berterus terang daripada memendam perasaan macam ni. Bukan apa, nanti yang sengsaranya kamu sendiri! Mampu ke nak bahagiakan Ammar kalau hati kamu sendiri terseksa? Mak takde niat nak hasut kamu. Mak cuma nak Nia berfikir ikut akal dan hati. Tapi bukan berdasarkan hati dan lupa pada akal. Bukan juga berlandaskan akal tetapi tinggalkan hati! Nia faham kan?"
Rania mengangguk. Sedikit nasihat dari Puan Suraya mengurangkan beban di hati. Andai saja dia bisa berterus terang, keadaan tidak akan serumit ini. Yusuff sanggup mengalah sehingga melukai perasaannya. Masakan dia mahu mensia-siakan pengorbanan Yusuff?

ENCIK ZAINOL memandang wajah Ammar dan Yusuff silih berganti. Semakin dipandang, semakin dia perasan persamaan dua wajah itu. Cuma wajah Yusuff agak messy sedikit kerana janggutnya membanjiri bahagian dagu sehingga ke paras bawah telinga. Namun tidak dia nafikan kedua-duanya mempunyai wajah yang sempurna.
"Cakap dengan pakcik. Apa yang terjadi malam tadi? Pakcik ingatkan kamu berdua ni boleh jadi kawan. Tapi dalam diam cuba nak berlawan!"
Yusuff kelihatan tenang dan mampu mengawal perasaan. Sedangkan Ammar dari tadi menjeling tajam ke arah Yusuff.
"Salah saya pakcik! Saya tak suka Ammar usik barang peribadi saya" Yusuff akhirnya berbohong.
"Sebab tu je kamu bergaduh? Atau sebenarnya barang peribadi yang kamu maksudkan tu adalah Rania?"
Ammar dan Yusuff kalut. Lelaki setua Encik Zainol mampu menebak hati dan perasaan mereka.
"Pakcik tak nak tahu lebih lanjut pasal benda ni. Sebab ni soal hati dan perasaan. Apa yang pakcik tahu, kamu berdua sama-sama sayangkan Rania! Tapi untuk puaskan hati kamu, pakcik nak Rania jujur di hadapan kita semua. Hari ini jugak!"
Yusuff dan Ammar sudah kaget. Apakah maksud Encik Zainol tersebut? Adakah dia memaksa Rania untuk memilih antara dua?
Rania, Hanie dan Puan Suraya sudah tercegat di ruang tamu apabila Encik Zainol memanggil mereka. Puan Suraya duduk di sebelah suaminya. Rania mengambil posisi di sebelah Hanie.
"Nia. Ayah nak semuanya clear harini jugak! Ayah tahu, dorang ni sukakan kamu. Nakkan kamu. Tapi ayah jugak tahu, yang kamu sukakan salah seorang dari mereka. Untuk puaskan hati semua pihak, ayah nak dengar keputusan dari mulut kamu sendiri"
Rania sudah memanggung kepala. Dia tidak mampu untuk memahami maksud di sebalik kata-kata Encik Zainol. Keningnya bertaut.
"Pakcik nak Rania pilih ke?" Ammar sudah menguratakan kebimbangan. Bagaiman jika Rania memilih Yusuff?
"Ye" sahut Encik Zainol sepatah. Suaranya sudah kedengaran tegas.
Yusuff memandang Rania yang ketika itu turut sama menjamah wajahnya. Dia mengerutkan dahi lantas menggeleng perlahan-lahan. Dia tidak mahu Rania mengabaikan Ammar. Dia sudah belajar ikhlas untuk melepaskan Rania.
"Ayah. Ni kan soal perasaan Rania. Kenapa nak..."
Hanie tidak meneruskan kata-kata apabila jelingan tajam Encik Zainol hinggap pada wajahnya.
"Nia. Kamu nak selesaikan semua ni kan? Nak semua ni berakhir kan? Sekarang pilihan di tangan kamu"
Rania tertekan. Kenapa semua orang memeningkan kepalanya? Kenapa dia tidak bisa bahagia menurut pandangan hatinya sendiri? Kenapa dia harus memilih sedangkan hatinya sudah lama inginkan Yusuff? Kenapa??? Ayah pun seperti mereka? Memaksa dia memilih?
"Ayah, Nia.."
"Takde alasan Nia! Kamu ingat ayah tak tahu apa yang dah terjadi antara kamu bertiga? Sebelum kamu ke mari, Hanie dah jelaskan segala-galanya pada ayah. Tapi ayah tak sangka ayah akan bertemu dengan Ammar di sini. Jadi inilah peluang untuk menjernihkan segala kesulitan" terang Encik Zainol. Memang Hanie ada menjelaskan segala perihal Rania dan Yusuff kepada dia. Bukan sengaja hendak masuk campur, tetapi Rania sudah dianggap seperti anak kandung sendiri. Dia inginkan kebahagiaan Rania. Oleh itu, dia ingin menyelesaikan segala-galanya pada hari ini juga.
Rania memandang tajam ke arah Hanie. Bagaimana Hanie sewenang-wenangnya berfikir seperti itu? Tanpa pengetahuannya, rupa-rupanya Encik Zainol terlebih dahulu sudah mengetahui kisah sebenar. Ini rupanya salah satu perancangan Hanie. Patut saja gadis itu berbohong mengenai kedatangan Yusuff bersama mereka.
Hanie menunduk tatkala matanya bertembung dengan mata Rania. Dia sudah diserang perasaan takut. Dia bukan sengaja mahu membuka pekung di dada tetapi sewajarnya perkara itu diketahui oleh ayah dan emak sebelum mereka menghidunya.
"Kalau kamu sayangkan ayah dan mak, kamu kena buat keputusan sekarang Rania!" tegas Encik Zainol lagi.
Rania mengesat airmata yang jatuh berguguran. Cukuplah! Dia sudah penat menyakiti hati sendiri. Dia juga sudah penat mengejar bayang-bayang Yusuff. Kalau ini yang Yusuff inginkan, dia akan turuti. Tetapi dia ingin lelaki itu bertanggungjawab ke atas kebahagiaannya!
"Nia nak kawen. Dengan...."
Wajah Yusuff dipandang sebelum berkalih ke arah Ammar. Sebesar mana cinta Yusuff padanya, sebesar itu kasih sayang yang sanggup Ammar curahkan!
"Ammar!"
Yusuff menerima dengan tenang keputusan Rania. Walaupun hati berkocak hebat, namun dia tahu itulah keputusan yang terbaik untuk mereka.
Ammar seakan tidak percaya. Betulkah apa yang baru didengarinya? Lamaran yang pernah dibuatnya ke atas Rania beberapa minggu yang lalu terjawab pada pagi itu!
Encik Zainol dan Puan Suraya hanya mampu tersenyum. Tetapi jiwa mereka melukiskan yang sebaliknya. Semoga kau bahagia nak!
Hanie mengerutkan dahi. Keputusan apa yang telah diambil oleh Rania? Baginya, itu adalah keputusan terbodoh yang pernah Rania utuskan!
"Tapi, Nia nak kawen dalam masa terdekat ni. Nia tak nak tunggu lama-lama!" putus Rania. Sekiranya perkahwinannya ditunda lebih lama, dia risau hati dan perasaannya semakin keliru.
"Okey. Satu bulan dari sekarang!" sampuk Ammar.
"No! Seminggu dari sekarang!"
Keputusan Rania mengejutkan semua. Kawen apa kalau diberi masa satu minggu? Banyak persiapan yang harus mereka lakukan.
"Rania, tarikh tu terlalu dekat! Nak siapkan macam-macam lagi. Sempat ke?" Celah Hanie pula. Kebodohan Rania kadangkala sengaja tampilkan diri!
"Awak sanggup buat apa saja untuk saya kan?" Rania memaling wajah memandang Ammar. Lelaki itu mengangguk. Namun dalam mengangguk, dia juga keliru. Dia juga inginkan perkahwinan dengan Rania, tetapi tidaklah secepat ini!
"Kalau macam tu, awak kena buat apa yang saya nak! Sebelum saya tukar fikiran..."
"Okey. Kita kawen seminggu dari sekarang!"putus Ammar pula. Bertambah risau jika Rania tiba-tiba membatalkan perkahwinan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience