RANIA memecut laju Honda Jazz dan meninggalkan tempat itu sejauh yang boleh. Dia tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan Yusuff untuk seketika. Kenapa Yusuff membohonginya? Kenapa lelaki itu tega memperlakukannya seperti ini? Seminggu ini, dia begitu merindui Yusuff. Menginginkan lelaki itu dalam setiap langkahnya. Tidak pernah sedikit pun dia berpaling dari Yusuff. Dia seperti orang yang sudah hilang akal, mengejar dan mencari Yusuff ke mana-mana. Tetapi lelaki itu??
Sempat berseronok dengan wanita lain. Memuji keindahan yang ada pada wanita lain. Itukah sumpah setia dan janjinya pada Rania? Itukah maksud di sebalik lamarannya tempoh hari?
Siapakah sebenarnya dia di dalam hati Yusuff? Adakah sebagai tempat untuk melepaskan bosan semata-mata? Atau sebagai hiburannya di kala sepi? Arghhhh!!
Rania sebak. Sedih. Kecewa. Kenapa semuanya harus seperti ini? Dia yang memberi harapan, melakar pelangi bahagia tetapi dia juga yang menghapus angan-angan indah mereka bersama!
Rania menyeka airmatanya yang tidak henti-henti singgah di pipi. Dia tidak mampu mengawal perasaan sehingga tidak sempat untuk berhenti di lampu merah. Dia hilang kawalan, dan dalam kegelutan itu, sebuah kereta berpacuan empat roda dari arah yang bertentangan juga tidak sempat menekan brek.
Rania tidak sempat mengelak. Kepalanya terhantuk ke stereng kereta. Dia tidak mampu untuk keluar. Pandangannya kabur. Namun dia sempat melihat orang ramai mula merapatinya. Dalam kekecohan itu, dia sempat menangkap sesusuk tubuh yang dia kenali. Rania panar!
YUSUFF membuang pandang ke luar melalui jendela yang terkuak sedikit. Kesesakan lalu lintas tidak sedikit pun menarik perhatiannya. Dia sebak melihat keadaan Rania yang berbalut di kepala dan terbaring tidak sedarkan diri.
Dia teringat kembali peristiwa tadi. Dia kenal kereta yang dipandu Rania. Disebabkan kelajuan yang dibawa Rania itu diluar kawalan, dia mengejar Rania dari belakang. Entah apa yang merasuki fikiran gadis itu sehingga dia tidak berhenti apabila lampu isyarat menyala merah. Yusuff kaget. Dia menunggu dengan sabar untuk lampu bertukar warna namun kesabarannya menipis apabila sebuah kereta Hilux yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua buah kereta berlanggar. Yusuff bergegas keluar dari kereta lantas berlari mendapatkan Rania.
Dia sempat menarik Rania keluar dari posisi. Lantas, dicempung tubuh genit itu ke dalam keretanya. Dibawa Rania ke hospital dengan harapan agar gadis itu dapat diselamatkan. Dia juga sempat menghubungi Luqman, Hanie, Ammar, Opah dan mak su Rok mengenai keadaan Rania.
"Nia.." Suara Opah yang sudah larut dalam kesedihan menyapa gegendang telinganya. Rania sudah sedarkan diri. Namun, dia masih di situ. Tidak berganjak walau seinci.
"Syukur, Nia dah sedar" takuk Luqman pula. Tangan Rania digenggam erat sebelum dilepaskan ke sisi Ammar.
Maksu Rok pula keluar mendapatkan doktor. Opah mencium ubun-ubun Rania. Dia tidak henti-henti berdoa akan keselamatan Rania. Dia sudah kehilangan Rizal dan Khadeejah, tetapi dia tidak sanggup jika cucu yang satu itu pergi meninggalkannya juga.
Rania membalas genggaman erat Ammar. Dalam saat itu, dia perlukan Yusuff tetapi lelaki itu seakan membencinya, memandang dia dari jauh.
"Nia, you're saved now!" tutur Ammar sebaik melihat jari-jemari Rania bergerak. Dia juga seperti Yusuff, dipagut rasa ketakutan dengan keselamatan Rania.
Ketika mereka semua sibuk dengan keadaan Rania, Luqman berjalan mendekati Yusuff. Ditepuk bahu sahabatnya itu berkali-kali. Dia melihat wajah Yusuff yang sugul tanpa secalit warna. Hairan juga dengan sikap Yusuff yang menjauhkan diri dari Rania. Kalau tidak, dialah insan yang pertama yang akan mengambil berat jika sesuatu terjadi kepada Rania.
"She needs you" ujar Luqman.
"No, she needs Ammar!" sahut Yusuff dengan perasaan kecewa di dalam hati. Matanya hanya terlekap pada genggaman Rania pada Ammar. Dia cemburu namun apalah dayanya untuk bersuara. Dia sudah terlanjur berjanji, dan untuk memuaskan hati semua pihak, janji itu tidak akan pernah dimungkiri!
RANIA tersedar dari lena. Perlahan-lahan, dia mencelikkan matanya. Dia kaget apabila melihat Yusuff berdiri di sisi sambil memandangnya tak putus-putus. Saat itu, hanya mereka berdua yang berada di situ.
"Go!!!" ucap Rania sepatah. Wajahnya sudah dipalingkan dari memandang tampang lelaki itu. Sungguh, dia rindu akan wajah itu namun hatinya masih sakit. Perit! Sehinggakan dia tidak mampu untuk membenarkan mana-mana penawar singgah di hati.
Yusuff maju setapak. Dia harus meminta maaf kepada Rania kerana telah memperlakukannya seperti itu. Dia tidak inginkan kata perpisahan, namun dia tiada pilihan. Bukan juga niat dia untuk membebankan fikiran dan hati Rania. Tetapi keadaan akan semakin pulih sekiranya mereka berhenti merindui satu sama lain.
"Nia. I'm sorry for disappointing you! Sorry kalau awak harus terluka dengan semua ni. But I'm doing this for reasons! I'm doing this for you!"
Sungguh, kata-kata Yusuff menambahkan lagi nanah di hati. Kenapa tidak Allah tarik sahaja nyawanya ketika dia terlantar sakit tadi? Setidak-tidaknya, kematian mampu menyembuhkan segala duka.
"Nia. Listen! Saya akan sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk awak. Saya takkan sesekali menyesali apa yang telah terjadi di antara kita berdua. Saya mintak maaf untuk kesakitan yang harus awak terima kerana dosa saya! Dan maafkan saya kerana hadir membawa duka dalam hidup awak.
Saya tak mampu bahagiakan awak Nia! Lupakan saya. Ada insan lain yang lebih layak untuk awak. Ada insan lain yang akan menjaga awak, melindungi awak melebihi saya. Dan ada insan lain yang sayang dan cintakan awak melebihi sayang dan cinta saya pada awak!"
Rania sudah menangis. Inikah pengakhirannya? Inikah kesudahan hubungan mereka? Dan inikah bahagia yang Yusuff janjikan pada dia?
Rania dapat mendengar derap kaki Yusuff yang semakin jauh meninggalkannya. Sudah tidak ada jelingan manja dan kata-kata semangat yang akan didengarinya lagi selepas ini. Rania menoleh memandang ke arah pintu, dengan harapan dia dapat melihat Yusuff untuk yang kesekian kalinya. Namun hampa. Kerana bayang-bayang Yusuff sudah hilang dibawa angin.
ATAS saranan doktor, Rania akhirnya dibenarkan pulang setelah tiga hari menjadi penghuni tetap di situ. Pada pagi itu, Hanie dan Ammar telah melawat Rania dan membantu gadis itu. Hanie membantu mengemaskan pakaian Rania. Manakala Ammar telah menguruskan segala proses discharge Rania.
Setelah semuanya selesai, mereka berjalan mendekati Range Rover milik Ammar. Hanie pula menuju ke keretanya kerana pagi tadi dia dan Ammar menaiki kereta masing-masing.
Hanie mengambil kesempatan untuk menjenguk Rania seketika. Namun apabila dikhabarkan oleh doktor akan kesembuhan Rania, Hanie tumpang gembira.
"Babe, aku balik naik kereta aku. Nanti Ammar hantar kau balik. Aku sengaja singgah, jenguk kau. Tapi tak sangka pula kau discharge harini" ujar Hanie sambil memandang wajah pusat lesu Rania. Dalam diam, dia berasa simpati akan nasib yang menimpa sahabat baiknya itu. Rania seperti hilang punca. Tubuhnya mengecil. Pipinya juga sudah kelihatan kurus. Dia ingin bertanya lebih lanjut, namun melihatkan keadaan Rania yang kurang stabil, dia membatalkan niatnya. Dia pasti akan mengorek rahsia dari Rania suatu hari nanti.
"Sorry pasal kereta kau" tutur Rania. Dia kesal dengan tindakannya yang terlalu mengikut hawa nafsu.
Hanie tersenyum. "Takde hal lah! Insurans dah cover semua. Tak payah risau sangat okay?"
Rania mengangguk. Mereka berpelukan. Rania sudah membuat keputusan untuk bermalam di vila Opah. Hatinya tidak kuat untuk berada berdekatan Yusuff buat sementara waktu ini. Biarlah hatinya sembuh dari luka ini, walaupun dia sendiri tidak pasti kapankah saat itu akan tiba.
"Aku balik rumah Opah. Mungkin dalam masa yang panjang. Nanti apa-apa, aku bagitau kau ye?" kata Rania sesudah melepaskan pelukannya.
Hanie tergamam dengan keputusan Rania. Namun tidak pula dia bertanya. Dia yakin, Rania ada sebabnya tersendiri. Biarlah, sekurang-kurangnya ada yang menjaga Rania.
"Okay, kau jaga diri baik-baik tau? Nanti kalau ada masa, aku lawat kau. Boleh kita borak-borak" ujar Hanie. Rania mengangguk kepala.
"Sampaikan salam aku pada Opah dan Maksu" Hanie sempat berpesan sebelum mereka berpisah di situ.
KEADAAN sunyi di dalam kereta. Baik Rania mahupun Ammar, keduanya mengunci mulut sepanjang perjalanan. Mereka hanya bertemankan bunyi celoteh DJ di hujung radio. Sesekali, Rania bersuara kerana menunjuk kepada Ammar. Dia tahu, lelaki itu belum tahu selok-belok ke rumah Opah.
Ammar berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.Di kesempatan itu, dia curi-curi pandang ke arah Rania. Gadis itu tidak bergerak, duduk menghadap pandangan hadapan sambil berpeluk tubuh. Wajahnya serius. Tiada segaris senyuman lagi yang bisa dia lihat pada tampang manis itu.
"Nia..."
"Hmmm?" Rania menggumam tanpa menoleh ke arah Ammar.
"Are you okay? Lapar tak? Kalau lapar, kita singgah makan dulu" pelawa Ammar. Dia kasihan akan nasib Rania tetapi dia harus tetap meneruskan rancangannya agar gadis itu menjadi miliknya seorang. Tiada lagi Yusuff!!
Rania hanya menggeleng kepala. Dia tiada selera. Yang dia inginkan saat itu hanyalah Yusuff. Tetapi itu semua tidak mungkin kerana Yusuff sudah membuang dia jauh-jauh. Yusuff sudah membencinya. Yusuff hanya berpura-pura selama ini. Tetapi dia, masih menginginkan lelaki itu di sisi. Rania sudah menangis.
Ammar kaget apabila mendengar sedu-sedan Rania. Dia bingung harus bagaimana. Semakin dibiarkan, semakin kuat kedengaran tangisannya. Apabila lampu sudah bertukar hijau, Ammar segera memecut lalu membelok ke kiri. Dia berhenti di bahu jalan. Brek tangan ditarik.
"Nia. Hey, Nia!!" Bahu Rania digoncang.
Rania tidak memberikan apa-apa tindak balas. Sebaliknya, tangisannya semakin galak. Dan Ammar semakin buntu! Sudahnya, dia hanya membiarkan Rania berendam airmata. Dia tidak mampu memujuk kerana Rania sudah membuat garisan sempadan antara mereka.
YUSUFF duduk sambil merenung gambar Rania yang disimpan di atas meja. Dia begitu merindui Rania namun perasaan itu hanya mampu dipendam. Gadis itu bukanlah miliknya lagi. Dan tidak akan pernah menjadi miliknya sampai bila-bila. Dia tahu, dia sudah melukai Rania. Dia juga sedar, Rania pasti akan membencinya di atas yang telah dia lakukan. Namun dia terpaksa. Demi kebahagiaan insan-insan yang disayanginya, inilah harga sebuah pengorbanan yang dia harus dia tebus.
Teringat kembali janji-janjinya pada gadis itu, dia rasa dialah manusia paling jijik. Mengingatkan kembali betapa berdosanya pernah menyentuh Rania, dia rasa malu pada diri sendiri. Dia melepaskan tanggungjawabnya kepada orang lain dengan rasa terpaksa. Dia selalu tampak bahagia, namun hatinya terseksa. Jiwanya merana. Iya, Datuk Taj bahagia kerana sikap yang ditonjolkan Ammar terhadap syarikat adalah kerana pertolongannya. Ammar gembira kerana telah mendapatkan apa yang diingininya selama ini juga kerana ihsannya. Namun dia? Hanya mampu menjeruk rasa dengan bertemankan foto Rania. Dan dia tahu persis, Rania turut sama terluka.
"Maafkan saya, sayang. Tapi saya terpaksa" Foto Rania dikucup. Airmatanya mengalir. Dan untuk kesekian kalinya, dia tidur beralaskan foto Rania.
HARI PERTAMA Rania di vila Opah. Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Bibirnya sentiasa pucat. Tubuhnya semakin mengecil. Bahkan, dia tidak bercakap dengan sesiapa walaupun dengan Opah. Makannya sudah jarang dia sentuh. Kalau ada pun, itu kerana dipaksa Opah. Tetapi cuma untuk satu atau dua suap sahaja.
Hari kedua. Ketiga. Keempat. Kelima. Sehinggalah masuk tempoh seminggu. Rania masih membisu. Wajahnya lesu. Bibirnya kering. Dia masih enggan bercakap dengan sesiapa. Sepanjang tempoh itu juga, Ammar kerap datang seusai waktu kerja. Walaupun sedar kata-katanya tidak pernah mendapat response daripada Rania, namun dia tidak pernah jemu bercerita dan meluahkan isi hati. Dia tahu kehadirannya tidak pernah disenangi oleh gadis itu. Namun dia tidak pernah ambil pusing semua itu.
Setiap kali dia menjenguk Rania, setiap kali itulah dia akan membawa sejambak mawar merah. Diletak dan disusun rapi di tepi meja katilnya. Namun dia tahu Rania tidak pernah ambil tahu akan itu.
"Harini kan, papa puji saya tau? Dia cakap, saya dah semakin membaik. Papa bangga dengan saya. Akhirnya, saya mampu menjadi anak yang papa harapkan. Nia, saya happy sangat!"
Namun seperti biasa, Rania hanya diam membisu, duduk termenung di atas kerusi dan tidak tahu apa yang terjadi di sekelilingnya.
Ammar mendengus kasar. Dia bosan apabila diperlakukan sebegitu rupa oleh Rania. Dia punya maruah dan harga diri namun semudahnya diinjak-injak oleh Rania.
"Nia, sampai bila awak nak macam ni? Sampai bila awak nak diamkan diri? Kenapa saya tak boleh dapat kasih sayang dari awak? Hina sangat ke saya di mata awak? Kenapa Nia? Kenapa?" Ammar sudah berlutut, memandang wajah Rania. Dia benci apabila Rania menunduk wajah, seolah-olah gadis itu jijik melihatnya.
Ammar mencengkam lengan Rania. Dia ingin Rania sedar akan kehadirannya, cintanya, dan pengorbanannya terhadap gadis itu.
" Please forget everything about Yusuff! He doesn't want you! Dia dah benci awak. Dia dah takde rasa sayang kat awak lagi"
Rania mendengus apabila nama Yusuff dibangkitkan. Dia menolak kasar tubuh Ammar lantas menekup kedua telinganya menggunakan tangan.
Ammar bangkit. Dia tidak berputus asa. Rania harus diberi pengajaran! Dia mendekati Rania dan menarik tangan gadis itu. Rania meronta-ronta, namun dia tidak peduli. Sesakit apapun Rania, dia ingin gadis itu tahu akan keperitan yang dialaminya selama ini.
"Listen to me, Rania! Yusuff dah buang awak. Walaupun awak menangis dan merayu sekalipun, dia takkan menoleh pada awak lagi. He has had enough of you!"
Rania menepis tangan Ammar. Dia sudah menangis. Dia menekup kembali telinganya. Dia tidak mahu mendengar semua itu. Dia benci pada Yusuff. Dia juga benci pada Ammar!
"Awak tak boleh terus seksa hidup awak macam ni! Yusuff happy dekat sana tapi awak??? Macam mayat hidup terkenangkan dia kat sini! Bukak mata awak Nia!!Awak tak nampak ke? Yusuff dah benci awak!!!"
"Argggghhhhhhh!!!" Rania sudah menjerit. Dengan kekuatan yang dia punya saat itu, dia bangkit dari kerusi lantas menolak kuat tubuh Ammar. Lelaki itu terdorong jauh sehingga kepalanya terhantuk ke dinding. Darah pekat mulai mengalir keluar.
" Ya Allah! Raniaaaaa..." Jerit Maksu Rok lantas bergegas mendapatkan Ammar yang sedang dalam kesakitan. Opah yang ketika itu sedang berbual dengan Luqman dan Zulaikha, terus berlari ke arah jeritan Maksu Rok.
Luqman dan Zulaikha masing-masing terperanjat dengan apa yang telah terjadi. Rania diamuk amarah! Opah bergegas mendapatkan Rania.
Share this novel