DIA merenung sayu pusara milik arwah ibunya. Setitik demi setitik air matanya mengalir lalu membasahi pipi. Dia tidak mampu untuk bersuara, namun untuk mendiamkan diri juga dia sudah penat. Tangannya menyentuh batu nisan yang terukir nama ibu. Dibelai seketika lalu bibirnya singgah di situ.
Digapai buku Yasin di sebelah. Dengan ucapan basmallah, dia memulakan bacaan dengan sayu dan penuh penghayatan. Dan di kala itu juga beribu kenangan bersama arwah terlayar di ruang minda.
Arwah seorang ibu yang penyayang dan lembut tutur kata. Dia tidak pernah meninggalkan solat, bahkan mereka sering berjemaah bersama. Menutup aurat merupakan kewajipan utamanya. Segala makan minumnya dijaga dan diurus dengan baik. Selama tinggal bersama arwah, tidak pernah dia merasa apa-apa kekurangan dalam hidupnya. Malah, arwahlah sumber kekuatannya, tempat dia mengadu dan bermanja. Apabila ditanya soal ayah, dia hanya akan menjawab, ibulah emak dan ayahnya. Kerana dia tidak pernah kenal siapa ayahnya. Selama 32 tahun dia hidup, sekali pun dia tidak pernah mengenali seorang insan yang bergelar ayah. Pun begitu, arwah tak pernah membuat dia merasa akan kekurangan kasih sayang seorang ayah. Betapa dia menyayangi dan mengagumi ibu.
Usai pembacaannya, buku Yasin disimpan di sebelahnya. " Ibu, Yusuff nak berangkat ni. Terima kasih untuk semuanya. Esok In Shaa Allah, Yusuff datang lagi ye? Assalamualaikum" Batu nisan tersebut dikucup.
Langkah kaki diatur menuju ke kereta. Dia harus melunaskan setiap amanah yang telah diberikan oleh arwah kepadanya. Dan untuk amanah itu, dia berharap agar dipermudahkan segala-galanya. Aamiin!
Share this novel