29

Romance Completed 23717

LUQMAN diburu resah saat mendengar bunyi tembakan yang dilepaskan dari dalam gudang. Dia takut jika terjadi sesuatu kepada Yusuff dan Ammar sedangkan mereka tidak membawa apa-apa senjata sebagai perlindungan!
"Takkan nak tunggu kat sini?" rungut Luqman lagi. Dia dan Faiz serta beberapa orang anggota polis yang lain sedang bersembunyi di sebalik pokok ara yang memisahkan antara satu tembok rumah.
"Kita kena tunggu beberapa minit lagi. Untuk pastikan keadaan sekeliling kita selamat. Kalau kita masuk sekarang, risau pulak banyak perangkap!"
"Tadi Yusuff dengan Ammar masuk okey je? Takde pun perangkap!"
"Sebab dorang nakkan Yusuff dan Ammar! Kalau dorang dah kenakan jerat pada mereka berdua, takde gunanya panggil Yusuff dan Ammar kat sini!"
"Macam mana kau tahu semua ni? Kau macam dapat baca je pemikiran orang jahat macam tu kan?"
Faiz tergelak. Pistol yang ada di tangannya sejak tadi digunakan untuk menggaru wajahnya.
"Aku ni polislah! Dah biasa sangat berdepan dengan situasi macam ni. Jadi sedikit sebanyak aku tahulah apa pergerakan minda dorang tu.."
"Kalau macam tu, mesti kau tahu apa yang berlaku kat dalam kan?"
"Tak sure sangat. Tapi apa yang aku tahu...." Faiz sudah memeriksa isi peluru yang tinggal. Risau sekiranya isi peluru tersebut tidak mencukupi untuk digunakan sebentar lagi. Kemudian, sebilah pistol diserahkan kepada Luqman.
"Dorang kat dalam tengah nego. Atau lebih tepat lagi, tengah nak lengah-lengahkan pembunuh supaya pihak polis dapat buat kerja dorang!" Faiz menyambung bicaranya.
Luqman meneliti setiap corak dan pattern pada pistol tersebut. Kali pertama dia berdepan dengan pistol yang sebenarnya. Biasanya, dia hanya bermain dengan pistol mainan sahaja!
"Kau tahu guna pistol?" Faiz meragukan keupayaan Luqman.
"Tahu. Dulu, selalu guna pistol"
"Seriuosly?" Faiz mengangkat kening. Wajahnya sudah berubah serius.
"Pistol mainan!"
Faiz tergelak. Hampeh punya Luqman! Punyalah serius dia bertanya!!
"Tapi aku tahulah guna benda alah ni. Kau tak payah risaulah. Aim kat suspek, tarik picu lepas tu... booommmm! Tembakan mengena!"
"Jangan tembak aku pulak!" gerutu Faiz apabila pistol diacukan ke arahnya.
"Faiz, kita orang..." Mizan terkejut dengan apa yang dilihatnya.
"Apa yang korang buat ni?"
"Berlatih!" Jawab Luqman selamba.
"Jangan ignore dia! Haaa, apa benda tadi?"
"Pasukan kita dah get ready. Nak gerak sekarang ke?"
Faiz berfikir sejenak. Jam di tangan di kerling. Sudah pukul 11 malam. Jika mereka menunggu sahaja, risau pula keadaan di dalam sementelah tidak ada apa-apa khabar dari dalam.
" Kumpulkan orang-orang kita!" arah Faiz, tegas. Operasi kali ini memerlukan banyak tenaga dan persiapan yang rapi. Yang pasti, dia tidak mahu ada nyawa yang melayang atau mereka kembali dengan gagal! Yusuff, Rania dan Ammar harus diselamatkan!

PEREMPUAN tersebut berjalan mengiringi Yusuff dan Ammar yang sudah terduduk di samping Rania. Wajahnya menyinga, umpama harimau yang kelaparan, menunggu untuk melahap umpan! Tetapi umpan dia kali ini sangat besar. 3 orang sekaligus!
"Aziah! Kenapa kau buat semua ni? Semua orang percayakan kau!" Suara Yusuff mengendur. Tidak mampu dia percaya dengan apa yang disaksikannya saat ini. Rupa-rupanya, Aziah juga adalah dalang di sebalik konspirasi ini!
Aziah tersenyum sinis. Dia menarik kerusi lantas duduk berhadapan mereka. Wajah Ammar ditatap sebelum berubah ke wajah Rania yang sudah keletihan. Wajah gadis itu sudah lebam dek kerana pukulan Daim petang tadi.
"Aku bosan kena berpura-pura selama ni! Aku dah tak nak sorok identiti aku lagi! Aku penat kena jadi Aziah yang lembut, yang baik hati, yang buat tak tahu dengan keadaan sekeliling! Heyy, tu bukan aku tahu tak?"
"Habis tu kau sapa? Dan kenapa kau buat semua ni?" tanya Ammar pula. Benarlah seperti cerita Hanie pagi tadi. Aziah memang misteri!
"Sebelum aku dedahkan identiti aku, korang tak nak tahu ke apa yang terjadi sebelumnya?"
Yusuff menahan amarah. Sepanjang penculikan ini berlaku, inilah pertama kali ketenangannya terusik. Dia begitu mempercayai Aziah tetapi gadis itu menikamnya dari belakang.
"Korang tak nak tahu ke apa yang dah jadi kat mall haritu?"
"Angkara kau kan???!" Yusuff sudah menghambur amarah. Dia masih ingat lagi apabila tubuh Rania hampir menjadi mangsa tanah saat dua orang lelaki yang menggunakan motorsikal hendak melanggarnya.
Aziah tergelak besar. Memang angkara dia. Sudah lama dia perhatikan gerak geri Rania. Menunggu masa untuk menghapuskan gadis itu, tetapi peluang selalu datang lewat! Dan Yusuff, selalu menjadi penghalang!
"Kotak tu! Kotak ugutan tu! Kerja kau jugak kan?" tebak Yusuff lagi. Wajahnya menyeringa. Kalau tidak mengenangkan Aziah itu perempuan, sudah lama diterkamnya hidup-hidup!
"Kau ni bijaklah Yusuff! Yaaa... kotak yang aku hantar kat kau tu memang kerja aku! Aku saja je nak takutkan kau! Tapi bila kotak yang aku hantar seharusnya sampai kat tangan Rania, tetapi kau pulak ambik alih, aku tak puas hati! Aku terfikir, kenapa kena ada engkau dalam usaha aku nak hapuskan Rania? Kau boleh je duduk diam! Kau dah tinggalkan dia masa tu kan? Demi adik tersayang kau yang kononnya cinta sangat kat Rania!" Mata Aziah lekap pada wajah Ammar.
"Jadi buat apa kau sibuk nak ambik tahu hal Rania lagi? Aku ingatkan bila kau dah buat keputusan untuk tinggalkan Rania, kau dah buat persediaan 100%! Tapi aku silap lagi! Aku tak puas hati. Aku pergi serang Rania dan Ammar kat kampung. Masa dorang on the way balik. But here we go again! Kau datang lagi sebagai penyelamat. Ehhh, aku bosanlah dengan kau Yusuff!! Setiap rancangan aku gagal sebab tindakan bodoh kau! Jadi aku rasa ada baiknya aku babitkan kau sekali dalam hal ni. Sebab kau dah berani mati untuk Rania. Tak salah kalau nyawa kau melayang jugak kan?"
"Nota tu! Nota yang kau campak masa Rania dan Ammar dalam perjalanan balik, kau maksudkan aku kan?"
Aziah tergelak lagi. Kali ini, dengan lebih kuat sehingga bergema satu gudang tersebut.
"Kau memang tak pernah kecewakan aku Yusuff! Apa erkk yang aku tulis kat kertas tu? Aku lupalah!"
"Kau akan hilang dia, bukan satu tapi dua! Bukan hari ini, tapi untuk selamanya!" sampuk Daim yang sedari tadi membatukan diri.
"Thanks honey!" ucap Aziah sambil mengerdipkan mata kepada Daim.
"Nota tu! Kau tujukan untuk aku kan? Bukan satu tapi dua. Kau maksudkan Ammar dan Rania. Sebab dorang orang yang paling aku sayang dalam hidup aku!"
Ammar kaget. Luahan ikhlas Yusuff itu menyentakkannya. Begitu luhur dan ikhlas kasih sayang Yusuff kepadanya tetapi dia? Membalas dengan tuba segala pengorbanan Yusuff!
Aziah tergelak lagi. Seronok pula mengenakan dua beradik ini! "You see, darl! Dia lebih hebat dan bijak dari adik dia! I dah cakap! I was always with him before!" Aziah melemparkan pandangan ke arah Daim.
"Kenapa? Kau buat macam tu??!" sampuk Ammar setelah lama mendiamkan diri. Dia harus tahu punca dan asbab yang menjadikan Aziah sebegini kejam.
Aziah berubah sinis. Dia benci melihat wajah Ammar. Dosa yang telah Ammar lakukan, takkan pernah dia ampuni!
"Aziah Natrah Randell Abdullah! Itu nama yang aku guna masa sesi interview kita 6 bulan yang lepas kan?"
Ammar terdiam. Ya, itulah nama yang Aziah bagitau semasa sesi perkenalan mereka yang pertama. Namun apa kaitannya?
"Nama tu tak wujud except for Natrah binti Randell Abdullah! Mesti kau tertanya-tanya mana datangnya Aziah? Dan siapa Aziah? Bercelaru kan? Well, aku jelaskan pada kau segala-galanya pada hari ni! Supaya lepas ni bila kau mati, kau takkan mati dalam pertanyaan!"
Ammar dan Yusuff sedang dihambat perasaan yang hebat kala ini.Berdepan dengan psiko Aziah dan si busuk hati Daim! Rania yang terbaring di antara mereka ditenung. Gadis itu sudah kelihatan lemah. Hanya mampu mendengar tetapi tidak mampu bercakap.
"A.Z.I.A.H" Aziah mula mengeja namanya.
"Now, spell my name backwards!"
Ammar dan Yusuff mula mencongak di dalam hati. Wajah mereka mengeruh. Kemudian, mereka saling berpandangan.
"Haiza!" Ucap mereka serentak.
Aziah tergelak besar sambil menepuk tangan. Identitinya sudah terdedah.
"Good! Bijak! A.Z.I.A.H kalau diterbalikkan menjadi H.A.I.Z.A! Ya, Haiza! Akulah Haiza!!"
Ammar mulai bingung. Setahu dia, Haiza sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Bahkan dia sendiri yang menghadiri majlis pengebumian gadis tersebut.
Dalam pada itu, Yusuff sempat melihat bayang-bayang seseorang di sebalik sebuah lorong gelap. Dia mengerutkan dahi. Apabila bayang-bayang tersebut mulai tunduk, barulah Yusuff dapat melihat itu rupanya Faiz. Dari kejauhan, Faiz memberi isyarat untuk diam dan cuba untuk melengahkan mereka. Yusuff memahami maksud isyarat tersebut. Dia akan melengahkan Aziah dan Daim serta konco-konco mereka sementara Faiz dan pasukannya membuat kerja.
"Tapi kau dah meninggal dunia! Orang yang dah mati takkan hidup semula!" Ammar menidakkan hakikat itu.
"Ya, memang adik aku dah meninggal dunia! Tapi pada mata kau! Pada mata dunia! Bukan pada mata aku!" seorang lelaki bertubuh sasa keluar dari satu lorong. Dia berjalan mendekati Aziah.
Ammar tambah panik. "Hasyim!"
"Kau dah buat adik aku merana! Sekarang, masanya untuk kau dan kawan-kawan kau ni!!" Hasyim menapak ke arah Yusuff dan menumbuk wajah tersebut. Yusuff ingin membalas, tetapi serangannya terbatas.
"Kalau kau cuba membalas, adik dan girlfriend kau akan mati!" Hasyim mulai mengugut. Daim sudah mengacukan pistol ke arah Ammar dan Rania, bersedia untuk melepaskan tembakan sekiranya Yusuff berbuat olah.
Pukulan demi pukulan mengena ke setiap anggota badan dan wajah Yusuff. Apabila dia sudah lemah, Hasyim memberhentikan pukulannya. Duduk di hadapan Yusuff lalu mengeluarkan pistol yang tergantung di tepi tali pinggangnya. Pistol tersebut diacukan ke arah Yusuff.
"Jangan bunuh abang aku! Jangan bunuh dia!!" Ammar mula memberontak. Dia ingin bergerak namun belum pun sempat berbuat demikian, Daim terlebih dahulu menumbuk wajahnya.
"Kenapa Haiza?! Kenapa kau buat semua ni?" Ammar sudah lemah. Dia terbaring di atas lantai, tidak jauh dari tempat Yusuff rebah.Memandang mata Yusuff yang seakan hendak terkatup, dia jadi takut. Dia tidak mahu kehilangan Yusuff.
Haiza menapak ke arah Ammar. "Kenapa aku buat semua ni? Tanya diri kau sendiri! Apa yang dah kau buat pada aku??"
Nafas Aziah mula tidak teratur. Ingin rasanya menghabiskan nyawa Ammar saat itu juga. Namun dia harus bersabar.
"Kau tak tahu betapa sakitnya bila orang yang kita sayang tinggalkan kita! Kau tak rasa peritnya bila kena permain! Kau tak tahu nilai kasih sayang Am. Kau tak tahu! Dan kau tak tahu selama 6 tahun ini, apa yang aku kena lalui atas dosa-dosa engkau!
Ya, memang aku kemalangan 6 tahun yang lepas. Dan masa tu jugak ada satu lagi kemalangan yang berlaku. Nyawa aku dan nyawa budak perempuan tu dalam bahaya. Kami ditempatkan dalam hospital yang sama. Abang Hasyim buntu! Dia tak tahu nak buat macam mana. Tapi aku bernasib baik sebab aku diberi peluang untuk hidup. Dan budak perempuan tu meninggal dunia sebab dia kehilangan banyak darah. Masa tu, abang Hasyim dapat satu idea. Dia nak aku kembali untuk balas dendam pada kau!
Jadi, dia komplot dengan salah seorang pekerja dari hospital tu untuk beli satu mayat dan palsukan kematian aku. Mayat yang abang Hasyim beli tu, dia buat nisan dan letak nama aku atasnya. Itu untuk buat kau percaya yang aku dah meninggal!" Nada Aziah sudah berubah sendu. Mengingat kembali saat-saat apabila dia mengumpul semua kekuatan! Enam tahun bukan satu tempoh yang pendek untuk mereka merancang segalanya. Segala keringat dicurahkan hanya untuk kembali membalas dendam.
"Budak yang meninggal tu, nama dia Natrah. Natrah binti Randell Abdullah! Aku bagitau abang Hasyim yang aku nakkan wajah seperti dia. Kalau aku kembali dengan wajah aku sendiri, balas dendam aku akan jadi susah! Jadi, kami cari seberapa banyak maklumat yang berkaitan dengan Natrah dan aku pulak, buat pembedahan plastik. Merubah wajah menjadi seperti Natrah. Bila aku dapat tahu Natrah ada sepupu di Malaysia, aku mula rancang idea lagi. Menyamar sebagai Natrah dan hidup seperti biasa. Dan dalam masa tu, aku kerah orang-orang aku untuk cari kau. Tapi dalam usaha tu, aku tak sedar rupanya Ammar Yazid yang aku cari selama ni duduk sebelah aku je! Family Natrah tak tahu apa yang terjadi kat Malaysia. Itu satu bonus untuk aku. Apatah lagi, sikap Hanie yang tak tahu langsung mengenai kematian Natrah memudahkan lagi kerja aku!"
"Kau dah puas sekarang kan?! Kau dah palsukan kematian kau, kau guna wajah arwah Natrah dan kau rancang semua ni, kau ingat kau akan lepas ke?" Ammar memberontak lagi. Hatinya sebal dan kesal. Dia dikaburi oleh sikap naif yang ada pada Aziah. Rupa-rupanya Aziah itu samaran Haiza.
Ammar mendengar suara Aziah tergelak. Seperti gembira kerana rancangan yang telah disimpan rapi selama enam tahun ini bakal terlaksana.
"Don't you want to know about Nara? And Murni as well?" Aziah sudah menunduk, berbisik ke cuping telinga Ammar.
Ammar mendengus. "Siapa Nara? Dan apa yang terjadi pada Murni?"
"Nara tu, shortform untuk Natrah Randell Abdullah. Emel yang aku guna untuk ugut kau tu memang emel Natrah. Tapi lepas aku dapat tahu kau maklumkan benda ni pada kawan polis kau tu, aku inactive kan akaun tersebut. Dan malangnya, kawan polis kau dapat tahu tu emel Natrah! Emel orang yang dah meninggal dunia! Dan pasal Murni. Ish! Ish! Ish! Penyibuk tu sengaja cari nahas!"
Aziah teringat saat-saat mereka membakar tubuh Murni sehingga rentung. Wajahnya sengaja dihancurkan agar pihak polis atau sesiapa pun tidak dapat mengecam identitinya. Tetapi dia lupa pada kad pengenalan Murni! Dan di situ, mereka sudah salah langkah!
"Kenapa kau bunuh dia?!" tanya Ammar lagi.
"Kan aku dah cakap tadi! Sebab dia penyibuk sangat! Dia terdengar perbualan aku dengan Daim. Dia siap ambik video lagi. Bila aku dapat tahu, aku mula berfikir untuk hapuskan dia. Rancangan aku, identiti aku akan terdedah kalau Murni bagitau kau! So to play safe, aku bunuh Murni!! Dan emel terakhir yang Murni kirimkan pada kau, thanks to Daim! Dia menyamar untuk pastikan kau tak syak apa-apa! But still, kita orang gagal lagi. Dapat dikesan dengan mudah! Kawan polis kau tu bijak! Dia dapat kesan beza tulisan Daim dengan Murni. Oh myyy!! Jadi aku hilang sabar! Aku dah tak nak tunggu lagi. Kalau aku tunggu, takut-takut nanti aku tak sempat bunuh korang! So here we are!!"
Saat itu, sebuah tembakan dilepaskan ke udara. Keadaan mula kucar-kacir. Konco-konco Daim mulai keluar dari sarang mereka dan memulakan serangan.
Yusuff bangkit lantas mencampakkan pistol yang diacukan Hasyim kepadanya. Pistol itu tercampak ke sisi Rania. Hasyim dan Yusuff mulai bergelut.
Ammar bingkas bangun lalu menyepak perut Daim. Pistol terlepas dari tangan Daim. Ammar ambil peluang untuk menyerang Daim secara bertubi-tubi.
"Ni untuk papa aku!" Sebuah tumbukan dilemparkan ke pipi kanan Daim.
"Ni pulak untuk arwah ibu aku!" Dia tumbuk pipi kiri Daim.
"Ni untuk Rania!" Perut Daim pula jadi sasaran.
"Dan ni, untuk aku dan abang aku!!" Ammar menyerang Daim dari semua bahagian sehingga lelaki itu lembik dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Luqman dan Faiz tidak sempat hendak menangkap Aziah. Aziah bertindak tangkas apabila pistol Daim yang tercampak jauh digapai. Dia hendak melepaskan tembakan ke arah Yusuff namun Rania lebih tangkas apabila tembakan yang dilepaskannya mengena tepat ke dada Aziah. Dan, gadis itu rebah! Berlumuran darah.
Ammar mulai menangkap tubuh Rania yang hampir hendak rebah ke lantai. Rania sudah pengsan!
"Ammar, bawak Rania keluar dari sini. Cepattt!!" arah Yusuff.
"Tapi kau macam mana?" Tubuh Rania sudah dicempung.
"Kau pergi dari sini sekarang. Nyawa kau dan Rania lebih penting. Aku cover kau! Cepatt!!"
"Aku tak nak Yusuff. Tapi aku nak abang aku balik!! Dengan selamat!"
Yusuff mengukir senyum. Mendengarkan kata-kata itu, sudah cukup untuk menenangkan hatinya.
"Woii!! Takde masa nak berjejak kasih! Kita kena keluar dari tempat ni sekarang!" rungut Luqman sambil melepaskan tembakan dari tadi.
"Dorang terlalu banyak! Aku akan cover Ammar dan Rania. Kau dapat bertahan kan?"
Luqman mengangguk. Mereka terpisah di situ. Yusuff menghantar Ammar dan Rania keluar selain melindungi mereka. Setelah memastikan Ammar dan Rania selamat, dia kembali ke gudang untuk menyelamatkan yang lain. Kegelutan terus berlaku sehinggalah tiga das tembakan dilepaskan ke udara. Keadaan kembali terkawal. Daim dan konco-konconya berjaya ditangkap. Yusuff rebah ke lantai saat tembakan Hasyim mengena tepat ke bahunya.
"Yusuffff!!!"Semua suara menjerit. Mata Yusuff terkatup. Yang kedengaran hanyalah bunyi riuh-rendah dari sekelilingnya.
"Rania..."Yusuff menutup mata sambil tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience