RANIA menyarungkan shawl ke kepalanya. Shawl yang berwarna peach itu kelihatan cantik pada wajahnya. Dia tersenyum memandang wajah sendiri di dalam pantulan cermin.
"Cantik dah tu!" Suara Opah menyapa gegendang telinganya. Opah sudah bertenggek di hadapan pintu bilik sambil melakar senyum. Dari tadi, dia perhatikan gelagat Rania yang mencuba pelbagai jenis tudung dan shawl.
Rania merona merah. Shawl yang tersarung di kepala, ditanggalkan. "Opah!"
"Laa kenapa tanggalkan?" omel Opah lalu berjalan mendekati Rania. Shawl yang Rania tanggalkan, disarung kembali ke kepala Rania.
"Tampak lebih manis" puji Opah. Apabila melihat Rania tersenyum dengan mengenakan shawl tersebut, dia jadi teringat pada arwah Khadeeja. Wajah cucunya itu persis akan wajah anaknya.
"Nia nak pakai tudung?" Opah cuba menebak. Sejak akhir-akhir ini, Rania banyak berubah. Dia mulai positif dan menerima takdir dengan cara yang baik. Rania juga selalu bertanyakan soal solat dan agama kepadanya. Satu perubahan yang mampu membuatkan dia menarik nafas lega.
"Tak apa ke Opah? Kalau Nia pakai tudung?" Sebenarnya, Rania agak malu dengan perubahan ini. Dia mula berjinak-jinak dengan tudung. Dia mahu kekal positif dan belajar menerima takdir dengan hati yang terbuka. Dia ingin melupakan Yusuff. Dia mahu menutup kisah lampau bersama lelaki itu. Dia ingin melupakan dosa silam yang pernah dilakukannya ketika bersama lelaki itu. Dan yang penting, dia mahu menjadi muslimah yang sejati dan beristiqamah.
"Laaa, apa pula cakap macam tu? Tahu tak, Allah jadikan setiap wanita dengan sebaik-baik kejadian? Aurat kita yang ada ni, semua kena tutup. Berdosa tau tayang aurat pada ajnabi"
"Opah, ajnabi tu apa?"
Rania dan Opah sudah melabuh duduk di kerusi yang ditempatkan di balkoni bilik. Mata Opah sempat menangkap hijaunya keindahan alam ciptaan Allah.
"Ajnabi tu orang yang bukan mahram dengan kita. Orang yang bukan mahram ni, maksudnya orang yang boleh kita kahwini tetapi haram untuk bersentuhan selagi takde apa-apa ikatan yang sah"
Rania menelan liur. Kenyataan Opah seakan-akan menyindirnya. Suatu ketika dulu dia dan Yusuff selalu alpa pada dosa. Dia membiarkan sewenang-wenangnya tubuh badan itu disentuh oleh Yusuff. Untung saja mereka tidak terlanjur terlalu jauh! Jika tidak, dia pasti sudah menconteng arang ke wajah Opah dan Maksu.
"Kalau sengaja kita tunjuk, dah jatuh dosa!" terang Opah lagi.
Rania mengangguk kepala. Dia mulai faham dengan penerangan Opah itu. Sejak tinggal bersama Opah, dia mulai berminat untuk mendalami ilmu agama. Dia memang dilahirkan Islam tetapi dia sudah jauh menyimpang dari agama itu. Dia kesal dan menangisi akan dosa-dosanya dulu.
"Opah harap, Rania mampu jadi seorang muslimah yang sejati. Pelan-pelan belajar okey sayang?" Tutur Opah yang lembut itu menusuk ke kalbu. Rania mengangguk pantas. Dia berjanji, dia akan sebaik mungkin menjadi seorang muslimah yang sejati.
Bunyi enjin kereta menyentakkan mereka. Rania dan Opah memandang ke bawah. Range Rover berwarna hitam itu parkir di hadapan rumah. Tahulah mereka siapa gerangan pemandunya.
"Tu lelaki ajnabi bagi Nia. Yang boleh Nia kahwini tetapi selagi tak sah, dia tak boleh tengok aurat Nia!"
Rania sudah merona merah. "Opahhh!!"
Opah tergelak. "Dah. Pakai tudung tu. Opah turun bawah dulu"
Rania mengangguk. Dia menghantar langkah Opah dengan pandangan mata yang sayu.
AMMAR terpana saat melihat perubahan terbaru Rania. Dari duduk di sofa, dia sudah berdiri dan matanya tidak berkelip memandang tampang manis itu. Rania tampak lebih ayu apabila mengenakan tudung yang dipadankan dengan jubah berwarna biru muda itu.
Hatinya berdebar-debar. Dia semakin jatuh sayang pada gadis itu.
"Opah cakap, tak baik tenung anak dara orang lama-lama! Nanti hilang manis!" tukas Rania tatkala pandangan Ammar hanya melekap padanya. Dia sudah berdiri di hadapan Ammar.
"Opah pulak cakap dengan saya, kalau pandang anak dara orang lama-lama, kena masuk meminang! Takut manis dia buat saya tak boleh tidur!!" sahut Ammar pula.
Rania diam. Wajahnya kemerahan. Malu punya pasal, dia hanya menunduk ke bawah, merenung karpet merah yang dilemparkan di atas lantai marmar itu.
"Opah cakap lagi, kalau diam tandanya setuju!" Ammar masih galak mengusik. Namun dalam usikan itu, dia berharap agar pancingnya mengena. Dia memang sudah jatuh cinta pada Rania. Sayangnya pada Rania tidak mampu dibandingkan dengan apa-apa pun kekayaan di dunia ini!
"Ammar!!!" Rania separuh menjerit. Malu apabila diusik sebegitu. Ohh hati! Kau jangan buat hal!
"Tak boleh panggil Ammar lagi tau?! Dah kawen nanti, kena panggil abang! Beza kita 4 tahun. Awak kena tunjuk hormat pada suami awak" usik Ammar lagi.
Rania terkelu. Teringatkan Yusuff saat Ammar menyebut perkataan 'abang' tersebut. Yusuff juga pernah meminta dia untuk memanggil lelaki itu dengan panggilan 'abang'. Rania menarik nafas. Dia harus bijak mengawal emosi. Yusuff, tolong pergi jauh-jauh dari hidup saya!!
"Mengadalah awak ni! Siapa entah nak kawen dengan dia?" Rania sudah duduk, menuang air kopi ke dalam cawan. Lantas, diteguk perlahan air tersebut. Sengaja hendak menyembunyikan debar di dada.
"Awaklah! Saya nak kawen dengan awak. Bukan dengan orang lain!" sahut Ammar pula. Dia juga sudah melabuh punggung ke sofa, bertentangan dengan Rania. Wajah Rania ditenung lagi. Kali ini, dengan lebih serius.
"Apa pandang-pandang ni?" Rania tidak selesa apabila dipandang sebegitu. Nafasnya bisa terhenti. Salah satu perbezaan Ammar dengan Yusuff adalah cara pandangan mereka. Jika Yusuff memandang, pandangan dia lebih redup dan dia suka akan pandangan itu! Berbeza pula dengan Ammar, pandangan lelaki yang satu ini lebih menyesakkan! Pandangan yang inginkan sesuatu!!
"Saya serius Nia. Please consider my feeling"
Ini yang dia tak suka ni! Pantang diberi kesempatan, Ammar pasti mengasak dia dengan soalan begitu. Dia bukan tidak sukakan Ammar, namun dia perlukan lebih masa dan ruang.
"Sorry. Saya takkan paksa awak. Tapi saya harap awak akan bagi peluang pada saya"
Melihatkan kesenyapan Rania, dia tahu gadis itu masih belum bersedia. Dan dia tidak akan memaksa. Selagi Yusuff masih berpegang pada janjinya, selagi itu dia aman bersama Rania.
"Saya nak mintak maaf pasal hari tu. Pasal saya tertolak awak sampai awak jatuh" Rania menukar topik perbualan. Teringat kembali saat dia 'membelasah' Ammar dengan teruk tempoh hari.
Ammar tergelak. Rania bijak merubah topik perbualan mereka. Tidak mengapalah. Dia masih punya banyak waktu untuk memenangi hati gadis tersebut.
"It's okay. Bukan selalu pun kena! Kuat jugak awak kan? Itu pertama kali saya kena belasah dengan perempuan!"
Rania ketawa dengan pengakuan jujur dari Ammar itu. Apa boleh buat, dia memang sudah dibesarkan dalam situasi begitu. Kehilangan kedua orang tuanya membuatkan dia lebih berdikari dan melindungi diri sendiri.
"Saya belajar untuk melindungi diri saya"
"Dari perasaan marah atau dari saya?"
"Dua-dua!"
Kata-kata Rania mengundang tawa di bibir Ammar. Rania memang seorang gadis yang hebat. Dia sangat mengkagumi keberanian dan kebolehan gadis itu.
"Ohh ya! Sebelum saya terlupa, kenapa awak bagi saya tiga kuntum bunga mawar setiap hari? Sebelum ni, awak bagi satu jambang besar"
Ammar mengangkat kening. "Tiga kuntum mawar? Nia, saya cuma bagi awak jambangan bunga hari tu. Tu pun masa awak sakit. Lepas awak sembuh, saya dah stop bagi awak bunga!"
Rania kaget. Bermakna tiga kuntum mawar merah yang selalu diterimanya setiap pagi itu bukan dari Ammar. Tetapi dari orang lain. Tetapi siapa? Takkan Yusuff??!
Ammar sudah berubah riak. Siapakah yang berani mencuba untuk mengorat Rania? Adakah Yusuff? Tidak mungkin kerana mereka sudah ada perjanjian. Dia tahu persis, Yusuff tidak akan semudahnya melanggar janjinya. Kalau bukan Yusuff, siapa?
Rania dan Ammar sama-sama kebingungan. Walau siapa pun dia, mereka harus secepatnya cari tahu.
"YUSUFF, kau kena ikut aku! Benda ni penting"
Yusuff sudah pening kepala. Sejak dari tadi, Hanie cuba untuk memujuk dia pulang ke kampung bersama. Katanya, ada urusan penting yang harus dia tahu.
"Aku tak dapat nak janjilah!" Itu sahaja yang Yusuff suarakan. Dia sudah selesai mencuci keretanya. Pili air ditutup. Wajahnya diraup beberapa kali.
Hanie tidak berputus asa. Dia ingin menyelamatkan Yusuff daripada Aziah. Meskipun dia belum menemui maklumat tepat mengenai gadis itu yang sudah dianggap misteri, namun dia harus mengambil langkah berjaga-jaga.
"Kau nak sesuatu terjadi pada Nia ke? Baru kau setuju ikut aku balik?" Hanie cuba mengugut dengan menjual nama Rania. Dia tahu, Yusuff akan kalah pada sebaris nama itu.
Yusuff terkedu. Dia jadi bingung. Wajah Hanie dipandang. Apa kena-mengena perkara tersebut dengan Rania? Jika betul nyawa Rania dalam bahaya, dia tidak sanggup untuk duduk diam sahaja.
Hanie sembunyi senyum. Tekaannya tepat sekali. Wajah Yusuff yang berubah riak sempat dia tilik.
"Apa maksud kau?" Yusuff sudah berdiri di hadapan Hanie. Wajahnya serius. Dia ingin mengorek rahsia tersebut melalui Hanie.
"Susah aku nak explain! Kalau kau nak tahu lebih lanjut pasal benda ni, kau kena ikut aku balik. Kalau tak, kita semua akan kehilangan Rania! "
Bicara Hanie yang berbaur ugutan itu membuatkan Yusuff dipukul rasa pilu. Untuk apa dia berkorban selama ini jika nyawa Rania masih dalam bahaya?
Tidak! Meskipun jiwanya sudah terpisah dari Rania, namun dia tidak akan membiarkan apa-apa pun menimpa gadis itu. Wajah Hanie ditenung lagi. Lantas, dia mengangguk dan menerima rancangan Hanie meski dia belum mengetahui perkara sebenarnya.
"Okay good! Benda ni rahsia antara kita! Kau tak boleh bagitau siapa-siapa lebih -lebih lagi pada Aziah! Dan jangan tanya aku apa-apa soalan selagi kita tak balik kampung!"
Titik. Dia sudah selesai dengan Yusuff. Sekarang, Rania pula! Dia tidak tahu sejauh mana kejahatan atau niat busuk yang berlegar di kepala Aziah. Namun, dia lebih risaukan keselamatan Rania. Entah kenapa dia jadi tidak sedap hati apabila mengingatkan perkara itu. Yang pasti, Rania juga harus dibawa pulang!
HANIE mengerdipkan mata berkali-kali. Melihat seorang wanita yang berubah penampilan itu, hatinya jadi terusik. Dia masih tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Baru sebulan mereka tidak bersua muka, Rania sudah berubah mendadak sebegini!
Tubuh genit Rania didakap erat. Entah mengapa tiba-tiba sahaja airmatanya mengalir. Dakapan itu melegakan hatinya. Dia rindu pada Rania.
"Hanie.." tutur lembut Rania menyentakkan dia. Pelukannya terlerai. Dia menyeka airmatanya. Rania tergelak kecil. Dia menarik Hanie untuk masuk ke dalam rumah. Di situ, mereka bertembung dengan Opah dan Maksu Rok.
Lantas, tubuh Opah dan Maksu Rok dipeluk silih berganti. Di situ, airmatanya tumpah lagi. Opah dan Maksu Rok masing-masing kebingungan.
"Dia buat jejak kasih!" usik Rania apabila Opah dan Maksu Rok memandangnya. Saat pelukan terlerai, Hanie menampar lembut lengan Rania. Perangai je tak berubah minah ni!!
"Maaflah Opah, maksu. Tiba-tiba mata masuk habuk"
"Heiii! Aku baru je lepas habis kemas rumah. Habuk mana yang singgah rumah aku ni?" Rania sambung sakat.
"Kau ni kan Niaaa! Dari dulu sampai sekarang tak berubah-rubah!" Omel Hanie, sedikit manja.
"Dengan kau je aku tak nak berubah!" takuk Rania lagi.
"Kamu sihat?" tegur Opah pula. Sudah lama rasanya mereka tidak bersua muka. Kali terakhir adalah ketika Rania dimasukkan ke hospital sebulan yang lalu.
"Alhamdulillah! Sihat je Opah. Opah dan maksu sihat?"
"Alhamdulillah, sama-sama sihat ni" sahut Maksu pula.
"Dan bertambah gemuk!" jawab Rania pula.
Mereka berempat ketawa. Hanie dapat melihat 'kegemukan' yang Rania maksudkan. Rania tampak sedikit berisi berbanding sebulan yang lepas. Wajahnya juga tampak lebih ceria. Senyumannya tidak lekang menghiasi wajah. Dia tumpang gembira melihat perubahan pada diri Rania.
"Jom borak kat bilik aku. Dah lama rasanya kita tak borak-borak kan?" usul Rania. Hanie mengangguk.
Setelah pamit dengan Opah dan Maksu Rok, kedua mereka memanjat anak tangga menuju ke bilik. Saat pintu bilik terbuka luas, Hanie bagaikan dipukau. Bilik Rania sangat cantik dan kemas. Berkonsepkan biru muda, dan tidak terlalu padat dengan hiasan. Terdapat satu ruangan kecil yang menempatkan buku-buku ilmiah. Dia dapat mengagak itu adalah ruang solat. Di satu sudut, Hanie dapat melihat berpuluh kuntuman mawar merah di atas meja konkrit yang diletakkan bersebelahan dengan katil Rania. Dia tersenyum.
"Kita borak kat balkoni je. Dapat rasa fresh air sekali" Hanie memberi cadangan. Rania mengangguk.
Rania dan Hanie menghantar punggung ke kerusi kayu. Untuk seketika, Hanie dapat menikmati betapa indahnya ciptaan Allah. Pokok-pokok yang menghijau dan burung-burung yang berterbangan ke sana sini cukup menyejukkan hati.
"Kau sihat?" Hanie memulakan perbualan. Wajah Rania ditatap. Dia sempat melihat Rania tersenyum.
"Macam yang kau tengok" sahut Rania. Sihat luaran, tetapi dalaman? Allah sahaja yang tahu.
"Kalau dari fizikal, nampak yang kau sihat. Berisi sedikit dari sebelum ni. Kalau dari sudut rohani, itu aku tak sure. Barangkali, ada sesuatu yang nak kau kongsikan dengan aku? Agar aku lebih tahu bagaimana rohani dan emosi kau" Hanie sudah mula berkias. Tidak mudah untuk menebak sekeping hati Rania. Kerana gadis itu banyak berkongsi rasa dengan Yusuff. Sejak di kejauhan, dia mulai sedar betapa pentingnya mempunyai sahabat sebaik Rania.
Rania mengeluh. Pandangannya tertancap ke hadapan.Kelihatan, dua ekor burung sedang bertenggek di atas pokok. Berkongsi kasih sayang lalu terbang ke udara bersama-sama. Alangkah indahnya jika bisa terbang bebas seperti burung. Meneroka pelosok alam sambil menikmati keindahan ciptaan Allah.Dan yang paling penting, tidak perlu rasa terjejas dengan permainan jiwa!
Rania menoleh ke sebelah. Menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus keluar. Dia tahu, selama ini dia terlalu memendam rasa. Dia terikut-ikut sifat perahsia yang dimiliki Yusuff. Tetapi dia tetap tidak bisa menjadi seperti lelaki itu. Menjeruk perasaan, menyimpan rahsia bertahun-tahun kerana dia belum sekuat Yusuff. Dia masih perlukan seseorang untuk berkongsi rasa.
"Aku..."
Hanie pantas menoleh tatkala Rania sudah mula bersuara.
"Aku bercinta dengan Yusuff" Rania menyambung kembali. Hanie tidak terkejut kerana itu yang dia ketahui melalui Aziah.
"But we broke up a month ago" Dan itu... betul-betul buat Hanie kaget!
Rania memulakan cerita. Segala-gala yang dilaluinya bersama Yusuff, semua dia kongsikan kepada Hanie. Sesekali, dia mengesat airmata yang jatuh ke pipi. Sungguh tidak tertahankan hati apabila kisah duka itu dibuka semula. Kerana masih ada segelumit rindu dan cinta pada lelaki yang bernama Yusuff!
"Kenapa dia buat kau macam tu?" tanya Hanie sesudah Rania menamatkan ceritanya. Sisa-sisa airmata yang bertakung dikesat perlahan.
"Aku tak tahulah! Puas dah aku fikir, tapi aku tetap tak bertemu jawapannya! Dia dah benci aku, Nie. Dia dah tak nak kat aku!" Rania separuh merintih. Hanie bangkit dari duduk lantas menerpa ke arah Rania. Untuk seketika, tubuh mereka bersatu.
"Kau ada cuba tanya dia?" Tanya Hanie lagi seraya melepaskan pelukan. Dia kembali ke posisi asalnya.
Rania menggeleng kepala. "Dia tak nak jumpa aku! Panggilan aku tak dijawab. Mesej aku pun tak dibalas. Aku macam pengemis! Merayu nakkan dia tapi dia..."
Rania tidak sanggup meneruskan kata-kata. Cukuplah hati ini menangis. Kerana dia tidak adil pada hatinya sendiri. Dia ingin bebas dari Yusuff, meskipun agak payah untuk dilakukan, namun dia harus tetap bergerak.
"Lately ni, dia agak rapat dengan Aziah" Hanie kelihatan teragak-agak untuk bercerita apabila berkaitan dengan Aziah.
Rania dibalut perasaan cemburu. Lelaki! Pantang lihat yang berdahi licin, mulalah naik daun!!
"Nia, aku datang ni bukan nak cerita pada dorang. Tapi aku nak ajak kau balik kampung. Jumpa mak ayah aku. Dorang rindukan kau" Hanie tukar topik.
Dia melihat wajah Rania berubah riang. "Bila? Aku nak ikutlah! Lama tak jumpa dorang"
Hanie menarik nafas lega. Cepatnya mood dia berubah! "Hujung minggu ni nak? Aku ambik cuti seminggu"
Rania mengangguk. Bagus juga jika dapat lari seketika dari Yusuff dan Ammar. Dua-duanya bikin hati merana!
"Ehh kerja macam mana? Sorrylah kalau tinggalkan kau sorang-sorang kat tempat kerja" Rania baru teringat akan soal itu. Dia sudah apply cuti dua bulan atas urusan darurat. Tetapi darurat yang dia maksudkan adalah darurat hati! Nasib baik tadika swasta, dia tidak perlu banyak penjelasan!
Hanie berdecit. "Okey je! Dorang faham kenapa kau cuti lama. Hal kerja, kau tak payah risau! Semua settle!"
"Kita pergi berdua je kan?"
Hanie kehilangan kata-kata. Kalau dia berterus terang mengenai keberadaan Yusuff, pasti Rania membatalkan hasratnya. Padahal tujuan sebenar Hanie membawa Rania dan Yusuff adalah kerana keduanya agak rapat dengan Aziah.
"Haah. Kita berdua je" Akhirnya Hanie terpaksa berbohong. Takpelah, tipu sunat!
Rania tersenyum riang. Sudah lama dia tidak balik Mersing. Bertemu dengan keluarga Hanie yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Hmmm! Dia mesti membawa sesuatu sebagai buah tangan nanti.
RANIA menolak troli yang penuh berisi makanan. Hari itu, dia sengaja keluar ke pasar raya untuk membeli sesuatu sebagai buah tangan untuk keluarga angkatnya di Mersing. Meskipun sudah dihalang oleh Hanie berkali-kali, namun kedegilan Rania tetap tidak mampu dilawan.
"Banyak sangat ni Nia! Ni untuk berbulan-bulan ni!" Hanie terkejut saat melihat troli yang ditolak Rania dipenuhi pelbagai makanan dan barang dapur. Ini salah satu yang tidak digemarinya akan sikap Rania. Kalau mereka ke Mersing, gadis itu pasti membeli barangan yang bukan sedikit jumlahnya. Macam nak borong satu pasara raya lagaknya!!
"Alahh, banyak apanya ni?" Rania menjawab acuh tak acuh. Matanya masih melilau sekeliling, mencari sesuatu yang boleh dibawanya balik.
"Nia, dah cukup! Banyak sangatlah!" tegur Hanie tatkala Rania meletakkan tiga bungkus fishball ke dalam troli.
"Mana ada banyak. Ni untuk Izman. Adik kau tu minat kan makan ni?" Rania teringat beberapa bulan yang lepas, dia pernah mengajak Izman ke pasar raya untuk mencari barang dapur. Apa yang dia tahu, Izman membeli beberapa bungkus fishball dan apabila ditanya, katanya minat!
"Kau ni kan, terlalu manjakan sangat si Izman tu! Naik lemak budak tu tau!"Omel Hanie. Dia tidak pernah marah akan sikap Rania yang turut sama menyayangi adiknya. Tetapi dia kurang berkenan akan sikap Rania yang kerap kali memanjakannya.
"Izman tu naik lemak bukan sebab aku manjakan dia. Tapi sebab dia kuat makan!" sahut Rania selamba. Hanie sudah menepuk dahi. Ada-ada je jawapan dia!
Yusuff memerhati dari jauh gelagat dua gadis tersebut. Dia agak terperanjat melihat perubahan diri Rania yang mengenakan tudung dan berjubah merah jambu itu. Rindunya pada Rania cukup menggila. Tetapi melihat Rania dari jauh, itu sudah cukup memadai baginya.
Rania dan Hanie menolak troli menuju ke kaunter pembayaran. Setelah membuat pembayaran, Hanie membantu Rania menjinjit beg plastik. Mereka berjalan menuju ke kereta Hanie yang diparkir di hadapan mall.
Tiba-tiba ada sebuah motorsikal datang dari arah belakang lantas menolak tubuh Rania yang sedang menapak ke arah kereta. Rania terjatuh di tengah-tengah jalan.
"Rania!" jerit Hanie tatkala melihatkan keadaan Rania itu. Sebuah kereta dari arah yang sama tidak sempat berhenti lalu hendak melanggar tubuh Rania yang terbaring di jalan.
Rania tidak sempat melarikan diri dengan keadaannya itu. Namun belum pun sempat kereta tersebut hendak melanggarnya, dia ditarik oleh seseorang. Rania terselamat!!
Dua lelaki berhelmet full face yang membonceng motorsikal tadi mendengus kasar lantas berlalu meninggalkan tempat itu. Percubaan pertama mereka gagal. Namun tidak mengapa. Mereka masih punya waktu untuk melunaskan rancangan mereka.
Rania kaget saat bertentang mata dengan lelaki itu. Dia tidak dapat menahan airmata yang sudah pun jatuh ke pipi. Sungguh, wajah itu yang dirinduinya selama ini. Sudah sebulan lebih Yusuff menyepikan diri. Lelaki itu tampak sedikit kurus. Dagunya dikelilingi janggut sehingga ke paras telinga.
"Nia!" jerit Hanie. Dia sudahpun mendekati Rania dan Yusuff. Nafas lega ditarik sedalam-dalamnya apabila melihat keselamatan Rania terjamin.
Rania yang berpaut pada leher Yusuff segera melepaskan pautannya. Wajah Yusuff tidak berganjak dari bebola matanya.
"Yusuff.." tegur Hanie. Lelaki itu hanya tersenyum. Dia tidak memandang wajah Rania sebaliknya memfokuskan pandangan ke arah motorsikal tadi.
"Thanks" ucap Hanie. "Atas pertolongan kau selamatkan Rania" Hanie menyambung lagi.
"Lain kali, hati-hati" Ucap Yusuff seraya berlalu meninggalkan mereka. Rania terasa hulu hatinya pedih. Kenapa Yusuff mengabaikannya? Kalau lelaki itu membencinya, kenapa tidak dibiarkan saja nyawanya melayang sebentar tadi?
Rania tidak puas hati. Dia ingin mengetahui segala-galanya daripada lelaki itu. Dia mengejar Yusuff dari belakang.
"Kenapa larikan diri? Jangan jadi pengecut boleh tak?"
Yusuff memberhentikan langkah. Kata-kata Rania menambahkan lagi parah di hati. Kalaulah dia tahu....
"Memang saya pengecut. Sebab tu pengecut macam saya tak layak untuk awak! Ada yang lebih layak dan baik untuk awak.."
"Siapa?" Rania sudah diamuk radang.
Yusuff terdiam. Airmata yang mengalir, cuba untuk ditahan keluar. Dia menggenggam penumbuknya.
"Siapa haa?? Cakaplah siapa yang layak untuk saya!"
"Ammar!" Jawapan Yusuff menyakitkan hati Rania. Dia tidak mahu Ammar. Dia tidak sukakan lelaki itu lebih dari seorang kawan. Kenapa Yusuff tidak pernah memahami kehendaknya?
Hanie yang baru muncul dari belakang, segera menepuk bahu Rania. Dia tahu Rania sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
Rania menepis tangan Hanie. Langkahnya maju setapak.
"Stop! Jangan datang dekat!" Yusuff memberi amaran tegas. Dia memalingkan tubuh berhadapan dengan Rania. Jika Rania inginkan kepastian dan jawapan, dia akan memberikannya hari itu juga!
Yusuff menarik nafas dalam-dalam. "Tolong jangan kejar saya lagi. Saya dah bosan dengan awak Nia! Dengan semua masalah awak, semua perasaan awak! Saya dah muak, awak faham tak??! Saya tak pernah ada perasaan pada awak. Saya cuba nak cabar diri saya untuk memikat awak. Itu saja. Ternyata, awak seorang perempuan yang terlalu cepat jatuh ke dalam jerat saya!"
Rania sudah menampar pipi Yusuff. Airmatanya juga sudah bergenang. Dia bencikan lelaki itu. Dia bencikan senyumannya. Dia bencikan wajahnya. Dia benci semua yang ada pada Yusuff!
"Hubungan kita satu kesilapan Rania. It shouldn't happen! Jadi tolong! Jangan kejar saya lagi. Kalau tak, saya akan anggap awak...." Yusuff tidak mahu menyebut perkataan tersebut. Seperti mana Rania terluka, seperti itu juga dia merana.
"Sebagai pengemis yang mengemis cinta dari seorang lelaki yang tak pernah sukakan awak!"
Usai mengungkap itu, Yusuff berjalan menuju ke keretanya. Dia sudah dibanjiri airmata. Pintu kereta dikuak lantas dia meloloskan diri ke dalamnya. Maafkan saya, Rania! Maafkan saya...
Rania sudah bergenang dengan airmata. Bicara Yusuff itu ibarat pisau yang dihunus ke jantung. Tepat mengena! Dia ingin pulih sepenuhnya, namun dugaan ini merobek kembali ketenangannya.
Hanie mendekati Rania lantas dipeluk erat tubuh itu. Dia kasihan dengan nasib Rania. Setahu dia, Rania dan Yusuff pernah rapat suatu masa dulu. Kenapa Yusuff berubah sejauh ini? Teganya dia menyakiti dan mempermainkan hati suci Rania.
Share this novel