36

Romance Completed 23717

LAPAN BULAN KEMUDIAN

API di dapur itu dimatikan. Siap! Rania tersenyum dan menjengah isi periuk. Daging salai lemak cili api dimasak bersama sayur pegaga harum semerbak terasa keenakannya. Di atas meja sudah tersedia ikan kering sepat, sambal tumis petai, sup sayur petola dan ayam goreng berempah. Menu permintaan Encik Amran Yusuff, suaminya yang tercinta! Hari itu sudah masuk hari kelima mereka bermalam di vila Opah. Datuk Taj dan Fazlin turut sama meluangkan masa di vila tersebut. Begitu juga dengan Encik Zainol dan Puan Suraya.
Rania tersenyum bahagia. Sejak dia berbadan dua ini, Puan Suraya sudah ajak suaminya itu pindah ke tempat Rania. Katanya, dia ingin menjaga Rania sepanjang tempoh kehamilan dan proses berpantang nanti. Mama Fazlin juga begitu. Dia ingin Rania dijaga dengan tangannya sendiri. Dia kurang percaya akan khidmat jururawat yang pernah Yusuff cadangkan dulu.
Rania hanya menurut sahaja. Ini adalah pengalaman pertamanya mengandung. Dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai itu. Adakalanya, dia tercuit juga dengan telatah mak dan mama Fazlin.Kedua mereka sering bertengkar, walaupun di atas hal yang kecil sahaja. Terutama sekali apabila dibincangkan nama anak yang bakal lahir nanti. Bermacam-macam cadangan nama sehingga Rania hampir pengsan gara-gara itu.
"Sayanggg!" jerit Yusuff dari hadapan pintu. Rania sudah menepuk dahi. Petanda suaminya sudah pulang. Kalau tidak satu rumah mendengar jeritan sayangnya, memang tidak sah. Baik di rumah papa, atau di rumah mak, mahupun di vila Opah. Rumah sendiri tak payah ceritalah!
"Assalamualaikum anak ayah! Harini nakal tak?" Yusuff sudah menunduk mencium perut Rania. Usia kandungan isterinya sudah memasuki ke enam bulan.
"Waalaikummussalam. Harini anak ayah nakal sikit. Tendang sana, tendang sini! Penat ibu nak kejar!" omel Rania. Sejak perutnya semakin membesar, anaknya sudah sering memberikan respon. Kadang-kadang respon yang luar biasa!
Tangan Yusuff dicium sebelum pipi dan dahinya menjadi sasaran suaminya itu. Yusuff agak manja semenjak dia berbadan dua. Pantang tersalah kata sedikit, kalau tidak pandai memujuk, sudah pasti mogoknya sampai ke larut malam!
"Sakit ke sayang?" Yusuff mulai bimbang.
"Taklah! Baby selalu tendang je. Baby ni aktiflah bang! Kadang Nia sendiri pun tak larat" adu Rania, sedikit manja.
Yusuff mengusap pipi Rania. Belas melihat keadaan Rania yang sudah berbadan dua itu. Dia pada mulanya terkejut apabila dikhabarkan mengenai Rania yang sudah berbadan dua itu. Ketika itu, mereka baru dua bulan mendirikan rumah tangga. Dek perasaan teruja yang melampau dengan rezeki seawal itu, dia yang pada masa itu sedang menguruskan projek terbaru di Singapura terus menempah tiket balik ke Kuala Lumpur. Dan kini, apabila kandungan Rania memasuki bulan keenam, bimbangnya seakan tak pernah surut. Belum jam 3, dia sudah terpacak di hadapan rumah.
"Baby ni ikut ibu dia kot! Suka tendang-tendang abang!" Yusuff sengaja mengusik.
Rania sudah merona merah. "Abangg!!"
Yusuff tergelak sakan. Tubuh Rania dipeluk mesra. Wajah Rania menjadi sasaran bibirnya.
"Abangg, nanti dorang tengoklah!" Rania geram. Manjanya Yusuff semakin menjadi-jadi. Itu belum lagi di rumah mereka sendiri.
"Papa ni rasa kenyang je. Tapi bila tengok korang berdua ni, perut ni rasa lapar balik pulak!" Datuk Taj yang baru menuruni anak tangga, sempat mengusik. Dia menarik kerusi lalu menghantar punggung di situ.
Yusuff tersengih. Pun begitu, dia tetap tidak pedulikan papa. Tangan Rania pula diraih lalu dibawa ke bibir.
"Abang ni kannnn!!" Yusuff menghambur tawa. Dia puas apabila sudah mengenakan Rania seperti itu.
"Ni apa kecoh-kecoh ni?" Puan Suraya dan Encik Zainol bergegas ke dapur apabila mendengar hingar-bingar mereka di situ.
"Rania ni ayah. Asyik nak bermanja je dengan Yusuff"
"Ehhh abang ni!! Apa pulak Nia! Dia sendiri yang manja, dia salahkan orang lain pulak!" gerutu Rania. Perangai menyakat suaminya itu semakin menjadi-jadi juga sejak akhir-akhir ini.
Encik Zainol dan Puan Suraya sudah duduk di kerusi. Melihat lauk pauk sedia terhidang di atas meja, selera mereka naik semula.
"Sayang masak semua ni?" tanya Yusuff sambil membimbing Rania ke kerusi. Kerusi ditarik lantas menjemput Rania duduk.
"Aah"
"Kan abang dah cakap! Tak payah ke dapur lagi. Perut tu dah makin membesar" Yusuff sempat risau.
"Semalam abang nak makan semua ni kan? Jadi Rania masakkan untuk abang"
Yusuff sudah mengeluh. Rania tetap dengan kedegilannya. Memang dia ada meminta lauk tersebut malam semalam. Tapi itu pun hasil dari tangannya sendiri. Sejak sudah tidak bekerja sebagai chef, dia rindu pula hendak ke dapur.
"Mak dengan mama kan ada untuk jaga Nia. Kamu tak payah risau sangatlah!" sahut Mama Fazlin pula. Dia faham dengan tahap kerisauan anaknya yang satu itu. Tetapi selagi adanya dia dan Puan Suraya di situ, mereka pasti akan menjaga Rania dengan baik.
"Haaa dengar tuu!! Mak dengan mama kan ada?" Rania senyum saat dibela sebegitu.
"Kalau dah Nia bawak geng, Yusuff diam jelah! Karang belum sempat bersuara, dah kalah!"
Kata-kata Yusuff mengundang tawa di bibir mereka semua.
"Apa bising-bising ni?" Suara Opah yang menegur dari tingkat atas menyapa mereka. Yusuff membantu Opah menuruni anak tangga. Kemudian, dia menarik kerusi untuk Opah duduk.
"Kami borak-borak kosong je Opah" sahut Rania. Yusuff sudah mengambil posisi di sebelah Rania. Pantang dia kalau berjauhan dengan isterinya itu.
"Opah gembira kita berkumpul di sini semua. Walaupun tak lengkap lagi jemaah ni. Opah nak ucapkan terima kasih di atas kasih sayang dan hubungan kekeluargaan yang erat ni. Opah tak sangka, perkahwinan Rania dan Yusuff dapat satukan dua buah keluarga sekaligus. Opah tak mintak banyak, moga-moga hubungan kita ni sentiasa erat dan diberkati Allah SWT" ucap Opah sambil tersenyum mesra.
Dia bersyukur masih mampu melihat kebahagiaan ini sebelum menutup mata. Harapan dia, agar kebahagiaan ini kekal sampai bila-bila.
Yusuff mengetuai bacaan doa makan. Selesai mengaminkan doa, mereka mula menjamah makanan yang sedia terhidang di atas meja.

SELESAI mengerjakan solat Isyak bersama, Yusuff memimpin Rania duduk di balkoni bilik. Memerhati dada langit yang bersinar indah dengan kerdipan bintang-bintang. Seberapa banyak bintang di langit, sebesar itulah cintanya pada Amran Yusuff ini!
"Tadi Ammar ada called abang" Yusuff memulakan cerita. Teringat akan kisah Ammar petang tadi, dia senyum sendiri. Adiknya yang satu itu sibuk dengan urusannya di Dubai. Perniagaan Datuk Taj yang sudah berkembang maju di Dubai memerlukan lebih banyak tenaga kerja di sana. Oleh itu, Datuk Taj sudah sebulat suara untuk menghantar Ammar di sana. Dia ditemani Suzy, yang satu masa dahulu pernah menjadi setiausaha papanya.
"Iya? Ammar cakap apa?" Lama sudah dia tidak mendengar cerita lelaki itu. Kali terakhir mereka berborak adalah lapan bulan yang lepas. Ammar tak henti-henti meminta maaf dan berjanji tidak akan mengganggu kehidupannya bersama Yusuff. Dia tersenyum sendiri. Dia sudah melupakan segala yang pernah terjadi di antara mereka. Untuk apa berdendam dengan masa lampau kalau hati sendiri pada akhirnya tidak pernah tenang?
"Ammar cakap, Dubai menjadi saksi cinta dua hati. Geli hati pulak abang dengar"
Rania angkat kening. "Maksud abang?"
"Ammar and Suzy!"
"Dorang bercinta?"
"Yupp! And Ammar cakap bulan depan dia nak balik Malaysia. Sekaligus nak ikat si Suzy tu ketat-ketat. Takut terlepas ke tangan orang lain!"
Rania tersenyum gembira. Akhirnya Ammar berjaya juga menemui cinta sejatinya. Tidak disangka jodohnya di hadapan mata. Walaupun mereka sering berpapasan, namun mereka tidak menyangka Allah telah melukis takdir mereka bersama.
"Jodoh tu rahsia Allah kan sayang?Rahsia yang takde siapa dapat duga"
Rania mengangguk, setuju dengan kata-kata Yusuff.
"Sampai ada orang tu lari diri sampai ke Ipoh!" sakat Yusuff.
"Abanggggg!!!" Rania sudah mencuit lengan suaminya.
"Tapi, kat situ jugak kita tengok satu lagi kisah cinta!" sambung Rania lagi.
"Siapa?"
"Hanie dan Faizlah! Tadi Nia ada skype dengan Hanie. Seronok dia bang! Tengah honeymoon kat negara Korea. Tapi Hanie tu tak habis-habis nak berleter. Tak tahulah macam mana Faiz tu boleh hadap dia" Rania sempat gelak. Membayangkan hari-hari yang harus dihadapi oleh Faiz apabila berdepan dengan leteran Hanie.
"Kalau dah cinta, tu bukan satu kesusahan tau? Faiz tu dah biasa hadap orang jahat, keganasan apa semua. Sekarang, berhadapan pula dengan Hanie. Rasanya Hanie tu lagi gerun berbanding semua musuh dia!" sampuk Yusuff pula. Dia turut tergelak apabila membayangkan riuhnya kehidupan mereka.
"Luq dan Ika apa cerita?" tanya Rania pula. Sejak sudah berbadan dua, dia sudah jarang melawat Luqman di kedai makannya. Yusuff juga melarangnya dengan keras dan hanya membenarkan dia keluar jika ada suaminya itu bersama.
"Luq sekarang dah jadi businessman. Sejak dia kawen dengan Ika, nampak sangat dia dah semakin matang. Dah terbuka sikit fikiran dia tu!" cerita Yusuff lagi.
Rania tersenyum. Alhamdulillah, mereka semua dikurniakan bahagia yang In Shaa Allah akan berkekalan. Dia mengecap nikmat bahagia ini kerana kesabarannya yang berbunga mekar. Lantas, suburnya sabar itu Allah balas dengan benih bahagia. Dia sedar, akar untuk bahagia adalah berteraskan sabar dan redha. Dan untuk kebahagiaan ini, dia inginkan bersama Yusuff dan anak yang bakal lahir tidak lama lagi.
"Abang lupa pulak. Tadi Mizan ada called. Dia suruh kita pergi Ipoh. Dia ada buat kenduri selamat sikit"
"Kenapa bang?"
"Good news! Laila mengandung dua bulan! Sayang tahu kan, dorang dah lama tunggu rezeki ni"
Rania mengucap syukur. "Alhamdulillah, satu lagi berita gembira! Tapi ada satu lagi good news yang Nia baru terima tadi"
"Apa dia?"
"Maksu Rok nak kawennn!!" Rania sempat terjerit kecil. Dia menerima berita itu melalui panggilan telefon daripada Maksu Rok. Alhamdulillah, ibu saudaranya itu sudah bertemu jodohnya. Kini, tak perlulah Opah risau akan keadaan Maksu Rok. Kerana Maksu Rok akan dijaga oleh prince charmingnya!
Yusuff turut sama mengukir senyum menerima berita itu. Sejak berkahwin, dia dan Rania selalu menerima kejutan yang tak disangka-sangka dari orang sekelilingnya.
"Yusuff, buat apa bawak Nia tu berangin?" Dari beranda rumah, Puan Suraya sudah bersuara diktator!
"Budak-budak sekarang ni memang degil!" sahut Mama Fazlin pula.
"Dah tahu bini kamu tu mengandung, jangan dibawak berangin! Tak elokkk!" sampuk Puan Suraya lagi.
Yusuff dan Rania mulai gelabah. Dalam banyak-banyak hal, ini saja persamaan mak dan mama Fazlin. Kuat membebel!!
Lantas, Yusuff memimpin Rania masuk ke dalam bilik. Menutup pintu gelangsar seraya membawa Rania ke katil. Seperti biasa, Rania akan berbaring di ribanya dan tangannya akan membelai rambut Rania.
Rania tersenyum. Bahagia diperlakukan begitu oleh suaminya.
Yusuff selalu berkata, yang dia angaukan suaminya itu. Ya, memang tidak mampu disangkal akan hakikat itu. Kerana dia sudah terlanjur cinta pada lelaki itu. Oopps, hatinya memang sudah terjatuh sayang!


.TAMAT.

P/S: thanks pd sesiapa yang dah sudi meminjam telinga dan menadah mata utk cepisan karya ini. Segala kekurangan mahupun kelebihan ataupun terlebih bahasa diharap dapat dimaafkan. semoga kita semua hidup dlm lingkungan cinta Allah dan org2 tersayang.
#be safe, fight for covid19
salam sayang ;)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience