34

Romance Completed 23717

YUSUFF melepas lelah. Dia dan Ammar sudah tiba di Mersing. Meskipun sudah berkali-kali diberitahu oleh Encik Zainol mengenai status Rania, Yusuff tetap berkeras tidak mempercayainya. Dia tidak menuduh sesiapa, tetapi sebolehnya dia tidak mahu terlepas pandang.
"Minumlah dulu" pelawa Puan Suraya. Wajah Yusuff yang kusut ditatap sayu. Kemudian, pandangan berlabuh ke wajah Ammar. Sungguh tidak menyangka kedua mereka adalah adik-beradik. Pantas saja wajah mereka itu agak mirip.
"Terima kasih mak" ucap Ammar. Dia juga turut membahasakan Puan Suraya dan Encik Zainol dengan panggilan mak dan ayah.
"Kamu dah cari Nia kat rumah sewa dia?" tanya Encik Zainol pula. Yusuff dilihatnya sangat tidak bermaya. Wajahnya cengkung. Jambangnya agak sedikit panjang.
Kehilangan Rania benar-benar telah mencuri separuh dari diri Yusuff.
"Kami tak jumpa dia kat sana. Rumah tu pun dah kosong. Hanie dah duduk dengan Opah sekarang. Dia risaukan Opah. Jadi sementara ketiadaan Rania ni, dia ingat nak jaga Opah dulu. Rumah tu mungkin akan Hanie sewakan dekat orang lain. Dia rasa seriau duduk situ" cerita Ammar sambil mencicip air kopi. Itu yang dia sempat dengar melalui Hanie. Itu yang terbaik saat ini. Maksu Rok juga tidak selalunya berada di rumah. Tuntutan kerja menyebabkan dia terpisah menjaga jarak dengan Opah.
"Hari-hari Yusuff limpas situ. Tapi takde orang langsung!" keluh Yusuff. Pergi ke mana-mana, dia akan pastikan rumah tersebut dikunjungi dahulu. Risau sekiranya Rania bersembunyi di situ.
Encik Zainol mengeluh. Dia juga sudah buntu. Rania tidak pernah membuat onar seperti ini. Agaknya dia terlalu terluka dan kecewa dengan apa yang menimpanya.
"Sabarlah Yusuff! Setiap kesabaran tu ada ganjaran yang Allah dah sediakan. Mak dengan ayah selalu berdoa semoga Rania cepat-cepat ditemukan. Mak nak tengok kamu dengan Rania hidup bahagia" Itulah doa Puan Suraya setiap kali dia dan Encik Zainol selesai berjemaah. Mendoakan kesejahteraan Rania walau di mana sahaja dia berada.
"Dulu, masa Rania kena culik, Yusuff masih mampu tenang. Sekurang-kurangnya Yusuff tahu mana keberadaan dia.Sekarang, kehilangan dia yang langsung Yusuff tak tahu, buat Yusuff jadi gila! Yusuff fikir macam-macam! Yusuff tak mampu nak tenang mak!" luah Yusuff. Matanya turut sama mengalirkan airmata. Dia terseksa diseksa begitu. Kini, dia merasakan apa yang Rania lalui. Merindui seseorang yang jauh di mata, tetapi dekatnya dia masih tidak mampu kita gapai!
"Mengucap nak! Banyak-banyak ingat Allah. Jangan berputus asa. Kami semua pun merasa apa yang kamu rasa. Bahkan kami tak pernah berhenti mencari Rania" ujar Encik Zainol pula. Setiap kali keluar ke mana-mana, dia akan pastikan pandangannya tidak terlepas dari setiap penjuru alam. Seperti mana Yusuff terseksa, seperti itu juga satu keluarganya terasa!
Yusuff membatukan diri. Ke mana lagi harus langkah kaki ini dibawa untuk mencari sang isteri?

SEUSAI solat berjemaah di masjid, Rania mengambil kesempatan itu untuk mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Malik. Kebetulan pula ceramah pada malam itu bertajuk, Suami Isteri Pelengkap Satu Sama Lain. Rania terasa dengan tajuk itu, seolah-olah sedang menyindirnya!
"Jodoh itu cerminan diri kita. Baik kita, baiklah jodoh kita. Tapi saya tak katalah kalau jodoh jahat, kita jahat. Setiap orang itu diberi Allah akal untuk berfikir. Jadi kita dapat berfikir baik buruk sesuatu perkara" Ustaz Malik memulakan mukadimah.
"Saya suka ceramah ustaz ni! Dia punya ayat-ayat tu power! Menusuk betul ke dasar hati" bisik Laila. Rania tersenyum, lalu mengangguk. Benar kata Laila. Mukadimahnya saja sudah mengganggu-gugat hati Rania, memberi isyarat bahawa jodoh itu datangnya dari usaha dan takdir Ilahi.
"Siapa je kat sini yang takde masalah rumah tangga? Semua ada kan? Termasuklah diri saya sendiri. Tapi cara untuk selesaikan masalah tu yang buat kita makin sayang atau makin tak suka dengan pasangan. Bila kita selesaikan dengan cara betul, maka Alhamdulillah. Rasa sayang tu bercambah. Tapi bila kita selesaikan ikut hawa nafsu dan ego masing-masing, haa.. di situlah bermulanya keretakan rumah tangga! Sebab tu ada je apa-apa masalah, selesaikan dengan cara yang elok"
Rania terkesan. Kata-kata itu seolah-olah ditujukan kepada dirinya.Lantas, dia mengangkat tangan. Ada persoalan yang ingin dia utarakan.
"Ya Puan?"
"Rania"
"Puan Rania. Ada apa-apa yang puan nak tanya?"
Rania mengetap bibir. Bukan niat mahu membuka aib suami tetapi dia perlukan jawapan untuk setiap persoalan.Hatinya keliru. Dan dia tidak mahu terus-terusan mengelirukan hati sendiri.
"Kalau seorang isteri keluar tanpa izin suami, itu satu dosa. Tapi kalau seorang isteri keluar tanpa izin suami kerana hendak mencari ketetapan hati, itu hukumnya masih berdosa ke ustaz?"
Laila mengangkat kening. Soalan Rania kedengaran pelik.Adakah Rania memaksudkan dirinya sendiri? Itukah punca masalahnya? Mencari ketetapan hati?
Ustaz Malik tersenyum. Soalan Rania dianggap satu ilmu untuk semua yang hadir pada malam itu.
"Kalau berkaitan hati, saya tak berani nak komen. Sebab hati kita ni, Allah yang pegang. Tapi kita yang rasa. Dari hati ni jugak punca semua masalah. Tapi puan, untuk menjawab soalan puan, walau apa pun alasan atau asbab seorang isteri keluar dari rumah, jika tanpa izin suami, hukumnya tetap berdosa! Dah masuk hukum nusyuz. Sebab itu saya kata. Kalau ada apa-apa masalah yang berkaitan dengan hati, kena bincang elok-elok dengan pasangan. Seperti yang saya katakan tadi, hati ni punca semua masalah"
Rania hampir hendak menitiskan airmata. Namun dia sekat dengan jari. Tidak mahu nampak ketara pada pandangan Laila akan kondisinya saat itu. Berdosakah dia melarikan diri dari suami sendiri? Yusuff tidak pernah mengasarinya. Hanya berlaku kejam pada hatinya saja. Dan dia merajuk sehingga menjeruk diri jauh dari Yusuff.
"Suami tu punca kita masuk syurga atau neraka. Tapi kadangkala sikap seorang isteri itu jugak boleh sebabkan dia masuk neraka. Jadi kalau ada apa-apa masalah, seeloknya bawaklah berbincang. Jangan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh suami, selagi ianya tak bertentangan dengan syariat Islam"
Rania sudah basah dengan airmata. Pertanyaan yang membelenggu benak mindanya kini sudah mendapat jawapan. Punca masalah rumah tangganya adalah hati. Dia tidak membenarkan hatinya untuk mendengar setiap penjelasan dari bibir Yusuff. Dia ego. Hatinya tercalar. Dia terlalu mengikut hawa nafsu. Dan dia rasa berdosa!!

AMMAR kaget saat diberitahu oleh Faiz berita itu. Dia lantas mendapatkan Yusuff yang ketika itu baru saja selesai menunaikan solat hajat.
"Am dapat berita pasal Rania"
Kata-kata Ammar membuatkan Yusuff terkebil-kebil. Songkok di kepala diletakkan di sisi meja katil.
"Am tak main-mainkan?"
Dia tidak mahu terlalu berharap. Risau sekiranya harapan tersebut punah dan hatinya hancur kembali.
"Tak! Tadi Faiz called. Dia cakap, yang Mizan cakap... " Okey sekejap! Ayat aku pun tak tersusun. Ammar berfikir sejenak lantas memandang wajah Yusuff.
"Abang siap-siap! Kita pergi Perak"
"Apa yang ada kat Perak?" Yusuff masih blurr.
"Rania!" Ammar terjerit kerana saat itu dia sudah menuruni anak tangga. Dia tahu ke mana harus mencari Rania. Sedikit maklumat dari Faiz mampu merubah segalanya.
Yusuff bersiap dengan cepat. Dia tidak ada jalan lain selain mempercayai kata-kata Ammar. Jauh di sudut hati, dia berharap pencarian ke Perak kali ini akan membuahkan hasil!

RANIA menghidupkan kembali telefon bimbitnya. Sudah lima hari dia di sini. Sebarang perkhabaran dari pihak sana kedengaran senyap sahaja. Dia memang sengaja menyahaktifkan telefon bimbitnya kerana tidak mahu diganggu oleh sesiapa.
Saat itu, Rania menerima berpuluh-puluh WhatsApp dari kenalan rapatnya. Hanie, Luqman, Maksu Rok, Ammar bahkan Yusuff sekalipun! Dan mesej yang paling terkesan di hatinya adalah mesej syahdu daripada suaminya...
'Baliklah sayang. Abang merinduimu'
Rania mengalirkan airmata. Kemudian, dia turut menerima beratus-ratus panggilan tak terjawab daripada Yusuff. Hatinya terusik. Yusuff terlalu dihambat perasaan risau. Dia rasa berdosa telah memperlakukan suaminya seperti itu.
Seperti Yusuff, dia juga merindui lelaki itu. Bahkan, terlalu mencengkam rasanya saat itu. Kalau saja suaminya ada di hadapan mata, sudah pasti didakap erat tubuh itu.
Rania berkira-kira hendak menelefon Yusuff tetapi apabila melihatkan bateri handphonenya yang sudah di paras minimum, dia membatalkan saja niatnya. Charger ditarik keluar. Dia harus mengecaj handphone terlebih dahulu. Kemudian, dia akan menghubungi Yusuff dan meminta suaminya menjemput dia pulang. Dia sudah sedar khilafnya. Melarikan diri tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
'Abang, Nia rindu!!!!'

YUSUFF tersenyum saat melihat notifikasi melalui screen handphonenya. Lokasi Rania sudah dapat dikesan. Benar kata Ammar. Rania berada di sekitar Ipoh. Harapannya kembali berbunga. Dia akan menjejaki Rania dan membawa isterinya pulang ke sisinya.
"Macam mana Faiz tahu pasal Rania?"
"Melalui Mizan"
Yusuff mengerutkan dahi. Bagaimana Mizan boleh tahu?
"Dan melalui Laila" sambung Ammar lagi.
"Tadi kau kata melalui Mizan. Sekarang, nama Laila pulak! Mana satu ni?"
Ammar sudah ketawa. Wajah Yusuff yang sudah kembali ceria membuatkan dia mampu menarik nafas lega.
"Macam ni. Laila kan isteri Mizan. Jadi nak dipendekkan cerita, Mizan ceritalah kat Faiz dan Hanie yang Nia ni duduk rumah dorang! Siap bawak backpack lagi!"
Itu yang dia dengar melalui Faiz sebentar tadi. Dia berharap agar Rania benar-benar ada bersama dengan Laila. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan mencari ke mana-mana lagi.
"Kejap. Tadi kau sebut nama Hanie kan? Macam mana Hanie boleh ada dengan Faiz?" Yusuff berasa pelik. Setahu dia, Hanie dan Faiz hanya pernah bertemu beberapa kali sahaja. Mereka juga jarang bercakap apatah lagi rapat.
Ammar manjongket bahu. Dia tidak pasti mengenai hal itu. Yang menjadi keutamaan sekarang adalah Rania. Soal lain, dia ketepikan dahulu. Mempertemukan kembali Rania dan Yusuff akan menjadi penebus kepada dosa-dosanya yang dulu.
Yusuff mendail nombor Rania. Saat panggilan bersambung, hatinya berdebar. Dia rindu untuk mendengar suara itu lagi. Harapannya kembali menurn apabila panggilannya tidak berjawab. Marahkah dia?
Lantas, Yusuff membuat keputusan untuk mendail nombor Laila. Di situ, harapannya kembali memuncak saat taliannya bersambung dengan talian di hujung sana.
"Laila. Saya ni, Yusuff!"
"Boss!!" Laila agak terkejut menerima panggilan daripada Yusuff. Aku ada buat salah ke? Rasanya aku dah apply cuti minggu lepas.
"Kenapa bos call?"
"Awak tanya lagi kenapa saya call? Awak tak sedar ke awak buat silap?" Yusuff sengaja mengeraskan suaranya.
Laila sudah hendak menangis. Dalam pada itu, dia sempat melihat Rania melabuh duduk di pangkin.
"Bos, saya buat silap apa? Saya dah apply cuti minggu lepas bos. Kerja yang bos bagi pun saya dah selesaikan. Saya cuti tanpa tinggalkan kerja yang terbengkalai!"
Yusuff seperti hendak tergelak. "Awak dah larikan isteri saya! Tu silap besar awak!"
Laila terkesima. Isteri Encik Yusuff? Setahu dia, hanya ada Rania di sini. Itupun kerana kehendak Rania sendiri yang meminta pertolongan daripadanya. Lagipula, Rania itu isteri Ammar. Takkanlah....
"Saya tak faham maksud bos! Saya tak larikan isteri bos. Lagipun, cuma ada Rania je kat sini. Mana satu isteri bos?"
Yusuff kaget. Benar seperti yang diduga. Rania rupanya bersembunyi di situ. Dalam hati, dia mengucap rasa syukur kerana Allah telah memudahkan pencariannya.
"Bos!"
"Kalau awak tak nak saya dakwa awak atas kes melarikan Rania yang sekarang sudah bergelar isteri saya, saya nak awak pastikan Rania tidak ke mana-mana! Dan satu lagi, jangan bagitau dia yang saya nak datang!" Yusuff mematikan panggilan. Seronok pula menyakat Laila yang memang kaki penakut itu. Rania, kita akan berjumpa sekejap saja lagi!
Laila terpana. Ohh myyy...! Siapa suami sebenar Rania? Yusuff atau Ammar? Arghhh!! Dia sudah pening kepala. Namun yang pasti, dia tidak akan membenarkan Rania melarikan diri lagi! Titik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience