RANIA duduk di birai katil. Termenung sambil memeluk lutut sendiri. Dia terluka dengan keputusan Yusuff. Fikirnya, setelah semua pertikaian ini selesai, Yusuff akan kembali ke pangkuannya. Namun dia silap membuat percaturan. Ternyata, Yusuff lebih menjaga hati dan perasaan Ammar berbanding dirinya.
Dia teringat akan perbualan mereka di hospital tempoh hari. Ketika itu, hanya dia dan Yusuff di situ. Dia bertemu Yusuff untuk bertanya khabar. Dan juga ingin mengetahui sejauh mana hubungan mereka ini. Tetapi jawapan yang didengari sungguh bertentangan dengan akalnya.
"Tak perlulah awak membuang masa, merebut perhatian saya Nia. Saya dah bagitau keputusan saya. Tolong hormat!"
"Awak dah tak sayangkan saya lagi ke? Kenapa buat saya macam ni? Kalau awak tak nakkan saya lagi, kenapa selamatkan saya dari Aziah? Kenapa tak biarkan aje saya mati?"
"Enough Rania! Keputusan ni dah dibuat sebelum benda ni berlaku lagi. Dan awak sendiri yang memilih untuk berkahwin dengan Ammar"
"Atas desakan awak!" sahut Rania. Dia hampir hilang sabar. Entah kenapa acapkali bertekak lidah dengan lelaki itu, dia selalu gagal mengawal emosi. Pada dia, Yusuff terlalu kejam dan berlaku tidak adil!!
"Ammar dah mengaku kalah. Dia sanggup mengalah demi awak. Dia nak jernihkan balik keadaan. Bahkan, dia sanggup memberi ruang pada kita untuk bina balik apa yang pernah runtuh suatu masa dulu!"
"Dia terpaksa buat semua tu. Bukan dari hati dia sendiri!"
"And how about you? Awak buat semua ni sebab terpaksa jugak kan? Bukan dari hati awak kan?"
"Saya ikhlas melepaskan awak dari sisi saya Nia! Saya dah belajar redha. Saya.. saya nak anggap awak sebagai adik ipar saya!"
Rania kaget. Begitu mudahnya perasaan lelaki itu berubah. Dalam sekelip mata!
"Maafkan saya Rania!"
Dan kini, sekali lagi Rania menangisi apa yang terjadi. Di dalam perhubungan ini, bukan Yusuff ataupun Ammar yang terseksa. Sebaliknya, dia sendiri! Dia ingin melarikan diri dari semua orang namun kakinya seperti sudah digam apalagi setelah Opah dan maksu menerima baik lamaran Ammar kepadanya. Suasana riuh di bawah sana yang sibuk dengan persiapan perkahwinan menyuntik hati wanitanya. Sejak seisi vila itu sibuk dengan persiapan, dia dan Ammar jarang ketemu. Dia juga malas hendak mencari tahu ke mana keberadaan lelaki itu. Kali terakhir mereka bertemu adalah ketika Rania di hospital. Waktu itu, Ammar bersendirian melawatnya.
"HAI" Tegur Ammar sambil bibirnya merekah dengan senyuman. Dia melihat Rania sedang khusyuk membaca novel.
Sebakul buah-buahan sebagai buah tangan diletakkan di atas meja yang bersebelahan dengan katil Rania. Kemudian, dia menghantar punggung ke sisi gadis itu. Apabila melihat Rania yang sibuk dengan agendanya tersendiri, Ammar mula hendak angkat kaki.
"Duduklah" Ammar membatalkan niatnya. Wajah Rania ditenung manja.
"Awak apa khabar?" tanya Ammar.
"Alhamduliah, masih hidup lagi" sahut Rania sambil tergelak.
Ammar tersengih. "Maaf. Keadaan kita jadi makin rumit"
"Takpe. Takde sesiapa yang layak meminta maaf dan memberi maaf. Semua yang berlaku ni ada hikmahnya tersendiri"
Senyap. Hanya bunyi kipas di siling yang jelas kedengaran saat itu. Ammar mempunyai hajat melawat Rania sebenarnya. Dia ingin menjelaskan segala-galanya dan membiarkan Rania memilih. Tanpa sebarang paksaan dan tekanan dari dia atau dari sesiapa.
"Awak sihat?" tanya Rania pula, memecah ruang kesunyian antara mereka.
"Alhamdulillah, masih hidup macam awak jugak"
Jawapan Ammar menyebabkan Rania tergelak.
"Rania, there is something I need to tell you. It's about us"
Rania sudah angkat kening. Apa lagi yang Ammar tidak puas hati?
"Saya datang ni bukan atas niat jahat. Tapi saya datang nak pulangkan balik kegembiraan awak yang pernah saya rampas dulu"
Kali ini, kening Rania bertaut. Dia semakin bingung dengan apa yang cuba dijelaskan oleh Ammar. Novel yang dia baca ditolak ke tepi.
"Talk. I'm listening"
"Kita semua tahu perasaan dan hubungan awak dengan Yusuff. Saya nak mintak maaf sebab pernah menjadi penghalang antara awak berdua. Saya tahu betapa besarnya perasaan awak pada dia. Dan saya jugak sedar betapa dalamnya rasa cinta Yusuff pada awak. Nia, saya nak awak kawen dengan Yusuff!"
Kata-kata Ammar ibarat sebilah pisau yang menusuk tepat ke jantung. Luka dan berdarah. Tetapi tidak sesakit apa yang dia rasakan saat ini! Bernanah dan meninggalkan kesan yang bukan sedikit.
"Awak dan Yusuff mempunyai banyak perbezaan kan? Dari segi sikap dan pemikiran. Tetapi untuk kali ini, saya boleh katakan yang awak berdua mirip!"
Ammar mengerutkan dahi. Dia tidak memahami langsung maksud di sebalik kata-kata Rania itu.
"Awak berdua ada rancang sesuatu ke?"
"Nia, saya tak faham!" Ammar sedikit terusik. Niatnya ikhlas namun dipandang serong oleh gadis itu.
"Yusuff nak saya kawen dengan awak. Sedangkan awak, nak saya kawen dengan dia! Saya ni bola ke yang boleh awak berdua campak dan tikam sesuka hati? Kalau awak nak, awak ambik. Kalau awak tak nak, awak pass pada Yusuff! Macam tu ke perasaan saya pada awak berdua? Takde harga langsung kan?"
"Nia, awak salah faham!"
"Tak! Sekarang, saya nak tanya awak! Awak sayangkan saya kan?"
Ammar memandang wajah Rania dalam-dalam. Soalan yang tidak mampu dia jawab kerana Rania begitu istimewa di dalam hatinya.
"Yes or no?"
"Yes!"
Rania menarik nafas, lantas dilepaskan perlahan-lahan.
"Buatlah saya jatuh cinta pada awak Ammar. Saya takkan menolak hubungan kita ni. Kalau Allah dah tetapkan jodoh kita bersama, seribu Yusuff pun takkan mampu menghalang! Saya dah penat mengejar cinta Yusuff. Saya nak berhenti. Tapi saya perlukan persinggahan yang mampu menampung kasih sayang saya" Rania sebak. Sudahlah hati! Orang di sana tak inginkan kau lagi! Untuk apa mengejar sesuatu yang tak pasti sedangkan kita yang terhegeh-hegeh. Sudahlah hati... Kalau benar Ammar itu jodohnya yang dikirimkan Allah, siapalah dia untuk menolak. Benar kata Yusuff. Mungkin Ammar mampu membahagiakan dia.
"Nia..." Ammar terkelu. Entahkan dia gembira dengan penerimaan Rania yang ditunggu-tunggunya selama ini, atau sebenarnya dia sedih kerana satu lagi pengorbanan Yusuff terhadapnya yang tidak mampu dia tolak!
HARI yang ditunggu-tunggu telah tiba. Hari ketujuh. Hari di mana Rania dan Ammar akan diraikan.Hari penyatuan dua hati menjadi satu. Puluhan jemputan sudah memenuhi ruang vila tersebut. Luqman dan Zulaikha yang sedondon dengan busana berwarna coklat gelap itu tersenyum menyambut tetamu yang hadir. Ada sebahagiaannya sahabat handai mereka sendiri.
Di satu sudut, Hanie bersama Encik Zainol dan Puan Suraya sibuk berleter dengan kenakalan Izham dan Izman. Mereka sibuk bergambar di pelamin yang berlatarbelakangkan biru muda itu.
"Korang ni sibuk mengalahkan pengantin!" rungut Husna sambil memulas telinga Izham dan Izman di kiri dan kanannya. Gelagat mereka itu disaksikan oleh Maksu Rok dan Yusuff.
"Riuh betul dorang tu" komen Maksu Rok. Dia kini sudah berubah sepenuhnya dari segi penampilannya. Kalau sebelum ini, Maksu Rok selalu dengan seluar jeans bottom nya, dan tshirt ala-ala lelaki, sekarang dia sudah kembali ke fitrah semulajadinya. Berpakaian sopan dan bertudung, hasil hasutan Hanie dan Rania.
Hanie juga sudah berubah. Bertudung dan pakaiannya juga agak sopan. Cuma bebelannya saja yang masih tidak mampu dia ubah.
Yusuff tersenyum melihat suasana itu. Dalam keriuhan suasana, dia tetap merasa sunyi. Tetapi tiada apa yang akan dia kesali kerana semua pengorbanannya tidak sia-sia. Dia masih mampu melihat senyuman Datuk Taj dan Fazlin yang berada di khayalak ramai sambil berbual-bual mesra. Bibir Opah juga tidak lekang dengan senyuman, menunjukkan dia bersyukur dengan semua nikmat ini. Yusuff bahagia. Ya, dia bahagia walau tanpa si dia di sisi. Yang pasti, dia akan tetap mencintai si dia tanpa harus rasa menyesal. Kerana dia tahu, mencintai tak semestinya memiliki!
RANIA mundar-mandir. Kiri kanan. Depan belakang. Dia masih lengkap berjubah tanpa ada sebarang persalinan perkahwinan. Gaun pengantin berwarna putih yang tersadai di atas katil dikerling. Dalam tempoh dua jam lagi dia akan menjadi isteri kepada Ammar. Bersediakah dia?
Rania menoleh ke luar jendela. Ratusan hadirin sudah memenuhi ruang vila. Mereka terdiri daripada golongan VVIP dan VIP. Semua itu kenalan Datuk Taj.
"Laaa, tak berkemas lagi minah ni!" rungut Hanie sesudah melangkah masuk ke dalam bilik Rania. Dia terpana seketika melihat suasana yang baru itu. Bilik Rania tampak romantis dan lebih privasi.
"Apasal tak kemas lagi?"
Rania sudah terduduk di atas sofa. Dia malas hendak bertekak dengan Hanie. Gadis itu sudah lebih dari Opah. Sejak beberapa hari yang lalu, dia menjelaskan beberapa pantang sebelum diijabkabulkan. Tak boleh tidur lewat, tak boleh berjumpa dengan bakal suami! Paling Rania tak tahan bila Hanie tidak menyuruhnya menjamah makanan berat. Risau berat naik! Baju pengantin tak muat! Aduhhh, pening Rania!!
"Aku tak nak kawenlah!"
Hanie sudah menepuk dahi. Barangkali wayar otak Rania sudah putus! Haritu gatal sangat nak kawen, sampai bagi tempoh seminggu saja pada Ammar. Sekarang tak nak kawen pulak! Hanie pulak yang pening!!
"Kau jangan nak buat hal boleh tak? Orang dah ramai kat bawah tu! Kau pulak tak nak kawen! Mengadalah kau ni Rania!" gerutu Hanie. Dia turut sama melabuh duduk bersebelahan Rania.
"Babe! Betul ke apa yang aku nak buat ni?"
Hanie mengeluh. Suatu ketika dulu, soalan itu juga pernah menjamah telinganya.
"Kau tanya pada hati kau sendiri! Sebab yang merasa bahagia deritanya kejap lagi, engkau! Bukan aku atau sapa-sapa!"
"Aku tak tahulah! Aku keliru Hanie. Aku keliru"
"Aduhhh Rania! Kau jangan nak buat hal boleh tak? Lagi dua jam kau nak diijabkabulkan tahu tak? Dua jam! Bukan dua hari, bukan juga dua minggu!"
"Aku... "
"Kau dah bagi ruang pada hati kau sendiri untuk cintakan Yusuff sebelum ni kan? Sekarang bagi ruang pulak pada hati kau untuk buang Yusuff jauh-jauh! Dari fikiran kau! Dari hidup kau!"
Ketukan di pintu membataskan perbualan mereka. Hanie menapak ke pintu lantas menguak sedikit ruangnya. Apabila Puan Suraya memunculkan diri, Hanie memberi ruang kepada ibunya. Daun pintu dikunci rapat.
"Mak" Rania memeluk tubuh Puan Suraya.
"Kenapa ni? Kenapa tak berkemas lagi?" tegur Puan Suraya lembut. Sejak dari hari Rania dimasukkan ke hospital sehinggalah sekarang, dia tak pernah berganjak dari sisi Rania. Risaunya pada anak angkatnya itu melebihi segala-galanya. Dia ingin Rania selalu dekat di mata, dekat juga pada hati. Pelukan dileraikan.
"Nia tak nak kawen mak!" Rania separuh merintih. Sungguh, walaupun mencuba berkali-kali, dia tetap tidak mampu menghapus bayang-bayang Yusuff dalam hidupnya.
Puan Suraya sudah mengucap panjang. Rania sudah hilang akal ke?
"Kenapa cakap macam tu? Nia tahu tak, majlis akad nak bermula tak lama lagi?"
Wajah sayu Rania ditatap penuh kasih sayang.
"Nia keliru ya sayang?"
Rania mengangguk pantas.
"Keliru kenapa? Cuba cakap kat mak"
"Nia masih tak dapat nak lupakan Yusuff. Walaupun Nia dah cuba berkali-kali, tapi Nia tak mampu mak! Macam mana Nia nak terima Ammar kalau sepenuhnya hati ni milik Yusuff?"
"Ada fikir ni sebelum kawen ke?"
Rania mengangguk.
"Hati kata apa?" tanya Puan Suraya lagi.
"Hati suruh Nia lupakan Yusuff!"
"Tapi akal suruh kawen dengan Ammar. Tak gitu?"
Rania mengangguk lagi.
"Ingat tak, mak pernah cakap dulu. Buat keputusan jangan berdasarkan akal tapi lupa hati. Tapi jangan jugak buat keputusan berlandaskan hati tapi takde akal. Ingat lagi kan?"
Rania mengangguk.
"Maksudnya, Nia kena buat keputusan berdasarkan hati dan akal. Kalau hati dan akal tak seiring, Nia kena ikut pada takdir. Macam sekarang ni. Hati suruh lupakan Yusuff. Tapi akal kata, Nia kena kawen dengan Ammar. Nampak tak kecelaruan kat situ? Hati dan akal Nia tak bersatu. Sebab Nia masih sibuk nak cari jawapan. Nia keliru dengan diri sendiri"
Penerangan Puan Suraya membawa ketenangan dalam hati Rania. Dia mengesat airmata yang jatuh berguguran.
"Habis tu apa yang Nia kena buat?"
"Bila hati dan akal Nia tak bersatu, Nia kena percaya pada takdir. Kat situ, Allah akan bagi jawapan dia. Tapi Nia kena percaya pada kekuasaan Allah. Dan lepas tu, Nia kena redha untuk terima semua ni. Sebab semua yang terjadi adalah perancangan Allah Yang Maha Esa. Nia faham kan?"
Rania mengangguk lantas mendakap erat tubuh Puan Suraya. Dia harus tenang dan percaya pada kehendak Ilahi.
"Dah, siap-siap jom! Mak dengan Hanie bantu Nia berkemas ya?" Puan Suraya hulur bantuan. Pelukan sudah terlerai.
Rania mengangguk. Ya, dia harus yakin dan percaya pada takdir Ilahi. Allah pasti menyimpan sesuatu yang baik untuknya. In Shaa Allah.
Share this novel