ZULAIKHA menghempas pintu kereta dengan kuat. Enjin kereta dihidupkan. Air-con kereta dipusing ke suhu yang paling sejuk, berharap agar udara sejuk itu mampu membuang kedinginan yang bersarang di hati saat ini. Perasaannya bercampur baur. Antara sedih, gembira dan benci. Dia sedih kerana berjauhan dengan Luqman dalam masa beberapa bulan ini lantaran kerja yang menuntut masa yang maksimum. Namun walang hatinya bertukar gembira apabila dia dibenarkan pindah ke cawangan lain, di mana dia akan sentiasa lebih dekat dengan Luqman. Itu pun setelah dia berjaya memujuk papa. Kalau tidak, mahu mogok berbulan-bulan dengan papa. Tatkala hati dipenuhi bunga-bunga asmara dan perasaan gembira yang menghiasi taman hati kerana bakal bertemu dengan pujaan hati, dia dikejutkan dengan berita kemasukan opah ke hospital. Luqman sempat menelefon untuk memgkhabarkan berita itu. Tanpa melengahkan masa, dia bergegas ke hospital namun sakit hatinya bertambah parah apabila melihat kemesraan yang dipamerkan oleh Rania dan Luqman. Lebih parah lagi apabila Rania memeluk erat tubuh Luqman tanpa menghiraukan sesiapa pun di situ.
Dek kerana terlalu perit rasa yang bersarang di lubuk hati, dia membatalkan niat untuk menjenguk opah. Selagi adanya Rania di situ, selagi itu dia akan menahan diri daripada ketemu opah.
Zulaikha menyandarkan badan ke dada kerusi. Matanya terkatup rapat. Bayangan dan senyuman manja Luqman mulai menguasai ruang fikiran. Dia rindukan lelaki itu. Dia inginkan lelaki itu dalam setiap langkahnya. Dia rindukan kenangan mereka. Tanpa sedar, pipinya basah. Dia pernah meluahkan rasa cemburunya pada Luqman kerana perhatian yang diberikan oleh lelaki itu ternyata berjaya direbut Rania. Dia dan Luqman sudah sah bergelar tunang orang. Walaupun mereka belum sah menjadi suami isteri, tapi pertunangan itu adalah ikatan yang dipersetujui oleh kedua hati mereka. Bahkan ikatan itu juga merupakan 'one step closer' mereka untuk ke alam rumahtangga. Sudah jelas-jelas dia merupakan orang penting dalam hidup Luqman namun mengapa lelaki itu bahkan Rania sendiri tidak menyedari akan hakikat tersebut? Haruskah dia merebut Luqman daripada Rania sedangkan dia adalah tunang Luqman sendiri?
" Saya takde apa-apa dengan Nia. We're close friends" Itu kata-kata yang sering mematikan hujahnya apabila soal itu dibangkitkan di hadapan Luqman. Memang mereka 'close friend' tapi terlalu 'close' juga boleh membawa bahana pada hubungan mereka. Apa yang harus dilakukannya? Dia tidak sanggup kehilangan Luqman namun untuk terus menerus menahan hati dengan keakraban Luqman dan Rania juga dia tidak tega. Ya Allah, ujian apakah ini?
Ketukan yang bertalu-talu pada cermin kereta menyentakkan Zulaikha. Dia menyeka air mata yang sempat singgah di pipi lalu menurunkan cermin kereta perlahan-lahan. Wajah Luqman tersenyum manja menyambut kedatangannya pada hari itu.
" Biiiii.." rengeknya manja.
" Kenapa ni? Kenapa tak masuk? B dah lama tunggu. Opah pun tunggu sayang jugak"
" Errr, opah dah sedar ke?" Zulaikha sedikit terkejut. Namun bersyukur juga jika berita itu menjadi kenyataan.
" Dah. Alhamdulillah, dia baru sedar setengah jam tadi" Wajah Luqman ceria apabila menyampaikan berita itu. Zulaikha tersenyum gembira. Dalam hati, dia panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas berita itu.
" Jomlah lawat opah. Takkan nak duduk dalam kereta ni lama-lama?" Luqman sudah membuka pintu kereta, mengajak Zulaikha berjalan bersamanya.
Zulaikha menurut. Setelah keluar dari kereta, dia mengunci keretanya lalu berjalan beriringan dengan Luqman. Lengan Luqman dipaut manja.
" Siapa yang temankan opah masa ni?" Sengaja dia bertanya kerana ingin tahu akan keberadaan Rania.
" Nia" Sepatah saja jawapan Luqman. Dia agak kurang selesa apabila nama atau isu Rania dibangkitkan di hadapan Zulaikha. Bukannya dia tidak tahu tunangnya itu kuat cemburu. Risau sekiranya berlaku pergaduhan lagi sementelah sudah berkali-kali dijelaskan kepada Zulaikha akan hubungan mereka. Namun hati seorang perempuan, siapa yang dapat menebak bukan?
" Ohhhhh.. " Zulaikha mula tidak senang hati. Entah kenapa nama Rania selalu sahaja menjadi racun dalam hidupnya. Seolah-olah gadis itu bakal merobek semua kebahagiaannya.
" Nanti lepas kita balik dari lawat opah, kita kluar makan? Lama dah kita tak date. B rinduuuu" Suara lembut itu hampir membuatkan lutut Zulaikha tidak berdaya. Dia tersenyum girang, justeru mengangguk kepala. Ajakan dari Luqman tidak pernah mampu hatinya menolak.
Luqman menggenggam erat tangan Zulaikha sambil tersenyum, mengerti akan rajuk Zulaikha yang sudah hampir lesap. Dia memang inginkan masa berdua dengan tunangnya setelah agak sekian lama mereka tidak menghabiskan masa bersama.
" Nanti nak naik kereta siapa?" Baru dia teringat yang Luqman juga memandu keretanya ke situ. Masakan mereka mahu naik asing-asing. Dia tidak mahu begitu.
" Nanti Nia bawakkan. Yusuff naik kereta dia sendiri. Tadi mereka pergi bersama. Balik nanti, kena asing-asinglah" terang Luqman. Bercakap soal itu, dia masih terkejut akan hubungan Rania dan Yusuff. Mereka ada apa-apa ke? Kenapa nak kena pergi bersama? Ataupun mereka memang dah lama date berdua?
Pintu lif terbuka. Luqman dan Zulaikha memboloskan diri ke dalam lif bersama beberapa orang jururawat.
" Tapi B hairanlah sayang"
Zulaikha memandang wajah Luqman. " Pelik kenapa?"
" Pasal Nia dengan Yusuff"
Kali ini, kening Zulaikha bertaut. Ada sesuatu yang menarik yang ingin disampaikan oleh Luqman. Dan berita itu sudah semestinya akan membuatkan hatinya disapa kegembiraan.
" What's up with both of them?"
" Dia orang tu macam bercinta. Yusuff tu, walaupun nampak pendiam, tapi bila pasal Rania, jadi orang meroyan pulak. Si Nia tu pulak. Kecoh semacam tapi bila berdepan dengan Yusuff, pandai pulak malu-malu" Luqman tergelak kecil. Lucu apabila membayangkan gelagat kedua sahabatnya itu. Namun jika benarlah mereka bercinta, dia akan menjadi orang pertama yang menyokong perhubungan mereka.
" They deserve each other. Tapi betul ke dia orang bercinta B?" Zulaikha memberi komen, sekaligus ingin mendapatkan kepastian. Jika benar, maka tidak usahlah dia terlalu khuatir akan kesetiaan Luqman padanya. Namun jika sebaliknya, dia harus melipat gandakan usaha untuk memenangi hati Luqman, tidak kira dengan apa cara sekalipun!
" B kurang pasti. Tapi kalau dia orang bercinta, bagus jugak. Padan sangatlah dua-dua tu. Hmmm"
Zulaikha mengagak Luqman seperti kecewa dengan berita tersebut. Cemburukah dia dengan keakraban Rania dan Yusuff?
MAK SU ROK menapak masuk ke dalam bilik yang menempatkan Opah Orkid. Setelah dipastikan keadaan opah yang beransur sihat, dia dipindahkan ke wad biasa oleh doktor. Sedikit perkembangan yang mampu membuat semua orang menarik nafas lega.
Rania dari tadi melekat dengan opah, tidak mahu langsung berganjak. Dialah orang yang paling risau apabila menerima berita tentang kesihatan dan keadaan opah. Sehari suntuk menemani opah di hospital, sehingga dia tidak langsung menjamah sebarang makanan. Tepu sudah perutnya kala itu.
" Kau baliklah Nia. Berehat. Mandi, makan, solat. Kali ni, biar aku pulak yang jaga opah" Luqman tawar diri. Kasihan melihat keadaan Rania yang sudah seperti orang sakit juga. Matanya yang sembam dek kerana menangisi keadaan opah. Bibirnya yang pucat dan rambutnya yang sudah tidak rapi, namun wajah itu tetap terlihat cantik pada mata lelakinya.
" Nanti aku pun boleh jaga mak" Mak Su Rok bersuara sepatah. Dia menari kerusi lalu duduk di samping opah. Jari jemari opah diramas lalu dibawa ke bibir. Pengalaman hampir-hampir kehilangan opah menyedarkan dia akan betapa pentingnya wanita itu di sisinya. Dia mungkin seorang mak saudara yang jahat dan tidak berhati perut, namun dia masih lagi seorang anak yang taat pada emaknya. Walaupun tidak betah melihat wajah Rania di situ, namun dikuatkan hati demi opah.
" Kamu semua ni risau sangat. Doktor, nurse kan banyak. Tak payahlah susah-susah nak jaga opah. Opah dah sihat. Esok lusa dah boleh balik rumah. Lama kat sini, boleh buat opah tak bernafas tahu?"
" Mak ni degillah. Duduklah dulu dua tiga hari kat sini. Doktor masih perlu pantau lagi keadaan mak tahu tak?" Mak Su Rok membantah cadangan opah.
" Yelah opah. Opah dengarlah cakap Mak Su. Nanti kalau opah sakit lagi, siapa yang susah? Siapa yang risau?" Zulaikha sokong kata-kata Mak Su Rok. Matanya hanya tertancap pada wajah lesu opah. Untuk memandang wajah Rania di sebelah opah, hatinya tidak kuat.
" Haishhhhh, ni opah tak suka ni! Semua buat mogok bersepadu ke apa ni? " Opah Orkid separuh merajuk.
Rania memeluk tubuh opah. " Opah stay sedikit masa lagi okay? Nanti opah dah keluar hospital, Nia belanja spaggethi, carbonara, pizza, burger..."
" Jangan nak memandai! Kau ingat opah tu sebaya kau ke? Dahlah jarang balik vila, ada hati nak belanja macam-macam" Mak Su Rok lancarkan peluru bantahan.
Rania mengeluh. Masa-masa macam ni pulak dia buat serangan psikologi! Demi opah, dia kuatkan hati dan kuncikan bibir untuk tidak membidas sebarang kata pedas dari mak saudaranya itu.
" Nia janji ye? Opah nak rasa semua tu" Opah Orkid tukar topik, tidak mahu semua bermasam muka gara-gara Rokiah!
Rania tersenyum sambil menaikkan ibu jarinya ke atas. " Syipppp"
Mak Su Rok buat muka mual. Yusuff yang berdiri di sebelah Luqman dapat menangkap reaksi itu. Dia juga dapat merasakan 'cuaca' tidak bagus yang melanda hati Rania dan Mak Su Rok. Namun apakah itu?
" NIA" Rania menoleh saat namanya disapa mesra oleh seseorang. Saat itu, dia berada di kantin untuk mencari sesuatu bagi mengisi perutnya yang kosong.
" Yusuff. Saya ingat awak dah balik tadi"
" Saya solat kejap tadi di surau. Tak jumpa apa yang dicari?" tegur Yusuff tatkala melihat Rania yang ralit membelek-belek setiap jenis menu yang dihidangkan. Seolah tiada apa yang mampu menarik hatinya.
Rania mengangkat wajah, memandang Yusuff.
" Jumpa tapi perlukan kepastian" Dia tidak berkedip memandang wajah tenang itu. Setiap kali menjamah wajah Yusuff, hatinya dibuai ketenangan. Apabila bertentang mata, ada sesuatu magnet yang terus memaksa dia untuk tidak melarikan diri dari pandangan itu. Dan dia, tewas pada sepasang mata yang redup itu! Yusuff!! Lelaki yang pendiam dan berlagak tenang, namun auranya cukup besar sehingga mampu membuat hidup seorang Rania kucar-kacir!
Yusuff membalas pandangan mata Rania. Setapak demi setapak, dia memberanikan diri mendekati Rania sehingga tubuh mereka hampir bersatu.
" Kepastian apa?"
" Kepastian. It's whether a Yes or No! "
" Yes untuk apa? No untuk apa?"
Rania mula kalah. Mata Yusuff sudah cukup menggundah-gulanakan hatinya yang sememangnya bergolak hebat tika itu. Jika dia gagal mengawal rasa itu, dia risau dia dan Yusuff akan tumbang!
" Errrrr Yes or No untuk makanan ni. Errrrr sama ada dia bagus untuk perut atau tidak" Rania tergagap-gagap membalas, cuba menyembunyikan gelisah di hati. Dia memalingkan wajah, memandang sekitar kawasan itu. Tidak ramai orang saat itu. Mungkin masing-masing sudah beransur pulang. Waktu melawat juga sudah semakin tamat.
" Ohhhhh yang tu. Kena buat pilihan elok-elok. Kalau tak, nanti merana hati. Sengsara hidup" Yusuff berbisik di cuping telinga Rania. Serentak dengan itu, bulu romanya meremang. Haishhh, lelaki yang satu ini bisa buat dirinya tumbang!!
" Kalau tak jumpa jugak yang mana bagus, you are welcomed to ask for my help" Yusuff mengerdipkan matanya sambil tersenyum manis.
Rania senyum hambar. Kata-kata Yusuff mendebarkan jiwanya. Dia berkias dengan aku ke? Susah untuk diteka perasaan dan tingkah laku lelaki itu, kerana perwatakannya yang lebih banyak mendiamkan diri. Tidak terlalu terbuka, namun Rania masih ingin mencuba untuk menyelami hati lelaki itu.
Share this novel