LAILA menapak ke arah Rania. Duduk di sisi wanita itu sambil bibirnya merekah dengan senyuman. Apabila teringatkan perbualannya dengan Yusuff sebentar tadi, dia jadi seriau. Dia tidak pernah berniat untuk melarikan Rania. Apatah lagi hendak menyembunyikan wanita itu. Jauh dari arus pemikirannya.
"Kenapa Laila? Muka awak nampak pucat" tegur Rania saat wajah Laila berlaga dengan matanya. Dia suka melihat wajah yang dimiliki Laila. Putih bersih, dan bentuknya yang agak bulat itu menambahkan lagi kecomelannya. Lesung pipit yang menghiasi pipi kiri menambahkan lagi kemanisan pada wajah Laila. Sempurnanya wajah tersebut!
"Err takde apa-apa!" Dia mula berlagak selamba. Menimbang-tara sama ada mahu bertanya atau mendiamkan diri mengenai perkahwinan Rania tempoh hari. Jika dia bertanya, dia risau perasaan Rania berkocak semula sementelah dia mampu melihat Rania agak tenang setelah beberapa hari di situ. Namun seandainya dia terus mendiamkan diri, dia pula yang dihimpit resah. Gatal saja mulutnya hendak bertanya namun mendengarkan bunyi tayar pada permukaan tanah, Laila dan Rania masing-masing menoleh.
Yusuff membuka pintu kereta lantas menghadap rumah kayu tersebut. Dia pasti ini rumah Laila. Melalui pemandangan rumah yang sempat dikirimkan oleh Laila kepadanya melalui WhatsApp sebentar tadi, dia tahu dia tidak salah alamat.
Rania bingkas bangun saat wajah itu muncul di hadapan mata. Bagaikan mimpi, dia memutarkan mata beberapa kali. Bermimpikah dia? Gara-gara rindu pada si suami, Rania bermimpikan sekujur tubuh itu.
"Nia.."
Saat mendengarkan namanya dipanggil oleh bibir itu, Rania tahu dia tidak bermimpi. Yusuff sudah berdiri tidak jauh darinya. Dia menitiskan airmata. Lantas, dia berlari ke arah Yusuff dan mendakap erat tubuh itu. Kepalanya disembamkan ke dada bidang milik Yusuff.
Yusuff mengucap syukur berkali-kali di dalam hati. Pertemuan semula dengan isteri tercinta umpama mimpi jadi kenyataan. Dia tidak sanggup kehilangan Rania lagi. Cukup sudah jarak itu memisahkan mereka. Kini dia tidak akan melepaskan Rania pergi dari sisinya lagi.
Dahi Rania dikucup manja. Betapa dia mengasihi wanita ini.
"Nia nak mintak maaf sebab dah larikan diri dari abang. Nia tahu, Nia salah. Nia tak fikirkan perasaan abang. Nia ego. Nia ingat, Nia boleh selesaikan semuanya. Tapi Nia silap. Nia berdosa pada abang!" Tangan Yusuff sudah diraih lalu dibawa ke bibir. Berdosanya pada Yusuff!
Ammar yang baru menapak keluar dari kereta hanya mampu tersenyum. Dadanya terasa lapang setelah berjaya mempertemukan mereka semula.
Laila ternganga. Dia keliru. Dia tidak bisa menebak apa yang sedang terjadi. Tetapi dia tetap bersyukur kerana pertemuan itu telah mengembalikan senyuman Rania yang hilang selama dia di sini. Persoalannya cuma satu. Siapa yang Rania nikahi lima hari yang lalu? Ammar atau Yusuff?
"Abang yang salah. Abang yang selalu nak Nia ikut telunjuk abang! Abang tak pernah faham perasaan Nia! Maafkan abang ya sayang?" Bibirnya jatuh lagi pada dahi Rania. Tubuh Rania didakap erat. Kalau boleh, dia mahu begitu sahaja dengan Rania. Tetapi mengenangkan Ammar dan Laila yang dari tadi jadi pemerhati, dia terasa malu pula.
Sebuah kereta Honda City berwarna kelabu berhenti di sebelah Range Rover milik Ammar. Hanie, Mizan dan Faiz menapak keluar. Apabila terpandangkan kelibat Hanie, Rania terus berlari mendapatkan sahabatnya itu. Tubuh Hanie bersatu dengan tubuhnya.
"Kau sihat Nia? Ya Allah Nia!! Punyalah semua tempat kita orang jelajah, kat sini sarang kau erkk?" Hanie sempat berleter sesudah melepaskan tubuh Rania.
Rania menutup telinga. "Baru lima hari tak jumpa kau! Dah berleter macam mak nenek!"
Yusuff ketawa kecil. Rania dan Hanie! Tiada satu pun yang bisa memisahkan dua sahabat itu meskipun mereka berlainan karakter.
"Aku rindu kau babe!!" Setelah puas berleter, Hanie buat muka sedih.
"Drama queen!" komen Rania.
Laila menghampiri mereka. Dia yang masih keliru dengan kejadian tersebut hanya mampu tersenyum manis. Tidak mengapalah! Dia akan menyoal siasat suaminya nanti!
"Bos! Sumpah, saya tak culik atau larikan isteri bos!"
Yusuff tergelak. Usikannya mengena. Laila memang penakut. Dia tahu, Laila bukan wanita seperti itu. Dia hanya ingin mengusik Laila sahaja.
"Apa maksud Laila tu? Abang buat apa kat Laila?" Rania sudah angkat kening. Dia menapak ke arah Yusuff. Wajah itu ditatap penuh kasih.
"Takdelah! Abang saja je nak usik Laila. Tak sangka pulak dia ambik serius dengan kata-kata abang!"
"Kau kenakan isteri aku?" Mizan pula menyampuk. Dia sengaja buat-buat marah.
Yusuff tergelak lagi. "Sorry bro. Takde niat pun. Lagipun, kalau aku tak cakap macam tu, takut Laila biarkan Rania lari lagi. Payah nak kejar tu!"
"Dah-dah! Yang penting, semuanya dah selesai.Rania dah balik ke pangkuan Yusuff. Mizan dan Laila pulak tak sembunyikan apa-apa. So semuanya clear kan?" sampuk Faiz pula setelah lama menjadi pendengar.
"Ada lagi yang tak selesai!" celah Ammar pula.
"Apa yang tak selesai?" sahut Hanie pula.
"Kau dan Faiz!" sahut Ammar lagi.
Rania tercengang. Betul ke berita Ammar itu? Baru lima hari dia menghilang, macam-macam cerita dia dapat! Kalau betul berita itu, maka dialah orang yang paling bahagia!
Hanie tersipu malu. Dia tidak sempat hendak mengkhabarkan berita yang satu itu kepada mereka. Sementelah semuanya sedang berusaha mencari Rania, takkanlah dia nak buat sidang akhbar mengenai hubungannya dengan Faiz? Lagipula, hubungan mereka masih lagi di peringkat awal.
"Yang tu, kau tanya Hanie! Aku tak berani nak komen apa-apa!" celah Faiz pula. Hubungannya dengan Hanie bermula apabila mereka sama-sama bekerjasama dalam menyelamatkan Rania bulan lepas. Dari pertemuan pertama sehingga ke hari ini, dia tahu ada sesuatu dalam diri gadis itu yang dia gemari. Lantas, disuarakan hasrat hati kepada orang tuanya. Maka, hujung bulan ini Faiz akan datang merisik Hanie dan menetapkan tarikh perkahwinan mereka.
"Hanie?" Rania memandang wajah Hanie. Dia inginkan kepastian. Selagi tidak bertemu jawapannya, dia tidak akan berhenti mengasak gadis itu dengan soalan yang sama.
Apabila melihat Hanie mengangguk sambil tersipu-sipu malu, Rania lantas mendapatkan Hanie dan memeluknya. "Tahniah!" Sempat dia bisikkan ke telinga Hanie.
Alhamdulillah, satu lagi berita gembira yang mereka terima hari itu.
"Maknanya lepas Luq kawen, kita makan nasi minyak lagilah ni! Tapi kali ni pulak sponsored by Hanie and Faiz!" Ujar Ammar sambil bertepuk tangan.
Mereka semua tergelak. Masing-masing mengecap rasa syukur yang tak terhingga dengan apa yang telah terjadi.Rania kembali ke sisi Yusuff lalu menggenggam erat jari-jemari suaminya. Rasa kasih yang tak terungkapkan menjadikan dia wanita paling bahagia di sisi Yusuff.
"KALAU Nia tak pernah kembali ke sisi abang, apa yang abang akan buat?" tanya Rania. Saat itu, mereka sedang berada di bilik Yusuff. Menikmati udara segar dari segenap alam di balkoni bilik. Setelah bertemu kembali dengan Rania, Yusuff tidak mahu lagi isterinya itu pergi. Mereka kembali ke Kuala Lumpur, ke rumah agam milik Datuk Taj. Bilik yang tak pernah dia gunakan selama kepermegian Rania kini akan dirasmikan oleh mereka.
Yusuff mencium bahu Rania. Haruman Rania tak pernah gagal untuk menundukkan dia.
"Abang akan bunuh diri" Suara Yusuff kedengaran mengendur.
Rania berpaling. Benarkah itu?
"Abang! Nia seriuslah!"
"Abang pun serius. Kalau Nia tak kembali dan terus pergi, abang akan bunuh diri. Tapi...."Yusuff sengaja berjeda. Sengaja mahu melihat riak wajah Rania. Dia sukakan wajah keanak-anakan Rania itu.
"Tapi apa?" Rania tidak puas hati. Suaminya itu memang sengaja! Dia bersungguh-sungguh ingin tahu, tetapi jawapan selamba Yusuff itu macam tak masuk dek akal!
"Tapi abang akan bunuh diri dengan cara rendam kaki dalam air, minum air kopi yang takde gula, terjun dari katil.."
"Abanggggg!!" Rania sudah memukul-mukul lengan Yusuff. Tu kan!! Betul apa yang dia fikir! Yusuff sengaja hendak mempermainkan dia! Eeee!
Yusuff tergelak. Namun hanya untuk sesaat. Kemudian, wajah Rania ditenung lagi. Mata mereka bersatu. Ada rasa dan nikmat cinta yang begitu mendalam yang terbuku di dalam hati masing-masing.
"Abang akan tetap cari Rania walau kat mana pun Nia berada! Selagi tak jumpa Nia, selagi tu abang takkan berhenti! Tapi abang tahu, Nia takkan lari selamanya dari abang" Dahi Rania dikucup.
"Kenapa abang fikir macam tu?"
Yusuff mengeratkan lagi pelukan di pinggang Rania. Bersatu dengan tubuh Rania, kehendak yang satu itu membuak-buak dalam diri. Namun dia harus sabarkan diri. Tidak mahu tampak terlalu gelojoh! Risau pulak Rania larikan diri lagi!
"Sebab abang tahu Nia cintakan abang! Ingat tak, masa kita tak sehaluan dulu? Walaupun abang selalu nak buang Nia, tapi Nia tetap jugak cari abang? Tetap pujuk abang agar kembali ke sisi Nia? Sayang ingat tak?"
Rania mengangguk. Sebolehnya dia tidak mahu mengingati semua peristiwa pahit itu. Baginya, semua itu sudah berlalu. Dia ingin meneruskan hidup di samping Yusuff dan menyulam benang asmara mereka bersama.
"Macam tu jugaklah abang yakin yang sayang takkan pergi lagi. Dah. Abang tak nak ingat lagi. Semua tu cukup memeritkan! Abang terseksa.." Mengingat kembali bagaimana dia berkorban demi Ammar, rasanya sungguh perit. Pun begitu, dia tidak pernah menyesali semua itu. Kerana baginya, semua yang dilakukan adalah berdasarkan kasih seorang abang kepada adik. Dan dia ikhlas. Kini apabila sudah bersatu kembali dengan Rania, dia rasa sungguh bahagia. Janjinya cuma satu, Rania akan dia bahagiakan!
"Kalau Nia lari lagi, abang bagi tak?" Rania sengaja hendak menguji hati Yusuff.
Wajah Yusuff berubah serius. Rania suka hendak menguji hatinya. "Tak!"
"Kalau Rania nak lari jugak?" Wajah itu sudah sinis.
Yusuff sudah dapat membaca fikiran Rania yang hanya ingin menguji hatinya. Lantas, tubuh Rania dicempung lalu dibawa ke katil.
"Then, I have no choice but to tie you tight!" Bibir Rania dikucup mesra. Dua hati menjadi satu. Mimpi ngeri Yusuff sudah bertukar menjadi malam yang indah. Dan untuk malam yang indah itu, tidak akan dia lupakan sampai bila-bila! Dan Rania, sudah dimililiki secara sah. Tanpa paksaan. Tanpa desakan.
SELESAI menghadiri majlis perkahwinan Luqman dan Zulaikha, Yusuff membawa Rania ke suatu tempat. Dia memandu Nissan Teana yang dibeli hasil dari simpanannya sendiri.
Rania terpana saat matanya lekap pada deretan kondominium yang tersergam indah itu. Yusuff membawanya menaiki lif ke tingkat 13.
"Kita nak ke mana?" tanya Rania.
"Suprise! Mana boleh bagitau?!" jawab Yusuff sambil mengerdipkan mata. Saat pintu lif terkuak luas, mereka melangkah keluar sambil beriringan tangan. Kemudian, langkah kaki diatur menuju ke pintu yang bernombor 13. Rania kaget. Mereka berada di tingkat 13 dan berdiri di hadapan pintu yang juga berangka 13.
"After you" ujar Yusuff setelah pintu terbuka luas. Rania menapak masuk ke dalam rumah. Saat itu, matanya bagai terpukau dek keindahan hiasan rumah itu. Berlatarbelakangkan warna biru dan ungu muda! Ruang tamu yang sederhana luas dihiasi dengan meja dan kerusi kayu yang berukir-ukir.
Rania menapak ke dapur. Barangan di dapur juga lengkap dengan kuali, periuk dan pelbagai jenis alatan. Dia membuka pintu peti sejuk dan melihat ada beberapa barang basah yang sudah tersedia di situ.
Rania memusingkan badan menghadap suaminya. Yusuff tersenyum memandangnya.
"So how?" tanya Yusuff.
"Cantik! Tapi ni rumah siapa?"
Yusuff hanya mengukir senyum. Dia menarik Rania ke sisi. "Kita tengok bilik tidur pulak!"
"Abang, ni rumah siapa?" tanya Rania lagi semasa mereka menaiki anak tangga. Dia tidak berpuas hati selagi tidak ada jawapan yang Yusuff berikan padanya.
Yusuff masih mempamerkan aksi tadi. Tersenyum, tersengih memandang isterinya!
"Abang jangan nak main-main?!! Abang simpan siapa kat rumah ni?" Rania hampir hilang sabar. Cemburu mula beraja di hati. Dia sudah fikir yang bukan-bukan.
Yusuff tergelak. Rania dan hot-temperednya berpisah tiada! Sempat lagi isterinya itu berfikir yang tidak masuk akal. Selama kehilangan Rania, rumah inilah peneman sepinya. Setiap masa dihabiskan dengan mencari Rania. Jika tidak, dia akan ke sini, menghiasi setiap dinding rumah dengan wajah Rania. Bercakap sendirian dan membayangkan jika Rania ada di sisi, membalas setiap bait kata-katanya.
"Sayang ni suka fikir bukan-bukan! Tak baik tau fitnah suami sendiri! Berdosa!"
Rania sudah buat muncung sedepa. Apabila Yusuff sudah mula mengugut dengan kata-kata seperti itu, dia tidak mampu hendak melawan.
Mereka sudah sampai di hadapan pintu bilik.
"Bukaklah!" ujar Yusuff, memaksudkan agar Rania membuka tombol pintu tersebut.
Rania akur pada arahan Yusuff. Saat pintu bilik terkuak, dia hanya pandang gelap gelita sahaja. Terdengar bisikan romantis di cuping telinganya. "Macam nilah hidup abang tanpa Nia. Gelap dan gelita!"
Rania pamer senyum. Lelaki yang satu ini cukup pandai mengambil hatinya.
Yusuff menekan suis di sisi pintu. Ketika lampu menyala, wajah Rania yang sedang tersenyum terlakar cantik pada dinding bilik. Lakaran itu tepat-tepat berhadapan dengan sebuah katil yang terukir bentuk hati. Rania terpana.
"Dan bila abang sedih tanpa Rania, abang akan tengok wajah isteri abang yang cantik ni!"
Mata Rania sudah berkaca. Pandangannya dilemparkan ke arah Yusuff. "Abangggg!!"
"Tahu tak kenapa abang sengaja lukis gambar Nia yang berdepan dengan katil ni?"
Rania menggeleng. Dia sudah diserang beribu sebak dalam hati. Kejutan Yusuff sungguh luar biasa.
"Sebab sebelum abang tidur, abang nak tengok wajah Nia puas-puas. Dan bila abang sedar dari tidur, wajah Nia akan jadi wajah yang pertama abang tengok!"
"Abanggg!" Rania separuh merintih. Ohh hati! Bagaimana harus hidup tanpa lelaki ini?
"Tahu tak, masa Nia larikan diri dulu, abang banyak habiskan masa kat rumah ni? Abang masak makanan kegemaran Nia. Tapi abang tak makan. Abang biarkan makanan tu semalaman dengan harapan bila pagi menjelma, abang sedang tengok Nia duduk makan di meja"
Yusuff sedikit sebak saat menyampaikan itu. Terseksanya saat itu, dia saja yang tahu.
Rania sudah basah dengan airmata. Rupa-rupanya Yusuff sangat terseksa dengan kehilangannya. Dia tidak menjangka sejauh itu sikap Yusuff. Wajarlah dia melihat banyak barang basah di dalam peti sejuk. Itu puncanya!
"Dan kalau abang rasa tertekan, abang akan lukis gambar Nia pada dinding. Gambar tu ambik masa tiga hari je tau nak siapkan? Dan gambar Nia tu, abang sorang je yang lukis. Abang tak nak campur aduk hasil kerja orang lain. Masa abang lukis tu, abang akan bayangkan yang Nia betul-betul wujud di depan abang"
Sekali lagi, Rania terpana dengan pengakuan jujur dari Yusuff. Dan satu sisi lain yang ada pada Yusuff selain romantik, dia juga seorang pelukis! Rania baru sedar kelebihan itu.
Yusuff mengorak langkah menuju ke pintu gelangsar. Dia membukanya luas-luas dan membiarkan angin berhembus masuk.
"Sayang, sini" panggil Yusuff.
Rania bergerak mendekati suaminya. Kejutan ketiga yang Yusuff berikan, sebuah pemandangan yang menuju tepat ke rimbunan pohon-pohon menghijau. Rania melihat betapa indahnya pemandangan yang terlakar di hadapan mata.
"Abang tahu, sayang suka pokok-pokok kan? So, this is for your eyes!" Yusuff mendepakan tangan ke arah pemandangan itu.
"Cantik kan?" tanya Yusuff. Tangannya sudah melingkar ke pinggang Rania.
Rania mengangguk. "Ni rumah kita ke?"
Yusuff tersenyum. "Yup! Rumah ni abang beli sebelum kita kawen lagi"
"Sebelum kita kawen lagi?" Rania teruja. Itu bermakna, Yusuff sudah bersedia ke gerbang rumah tangga bersamanya.
"Iya sayang. Sebenarnya, abang beli ni masa Nia dengan Ammar dulu. Kondo ni hasil gabungan idea abang dengan team abang. Masa tu, abang dapat projek dari papa. 15 unit kondo, tapi yang terjual cuma 14 unit. So, abang buat keputusan nak beli kondo ni dengan saving abang sendiri. Ngam-ngam pulak kondo ni berdepan dengan view yang sayang suka.Dulu kondo ni warna dia hijau. Tapi bila teringat warna kegemaran sayang warna biru, abang cat balik dengan warna tu. Abang deko habis mengikut keselesaan abang. Tapi kalau sayang tak suka, sayang boleh deco balik"
"Abanggg! Nia tak tahu nak cakap apa. Kejutan abang ni memang mengejutkan Nia! Nia tak nak tukar apa-apa. Nia nak keadaan dalam kondo ni tetap macam ni. Tak nak ubah apa-apa, seperti perasaan Nia yang takkan pernah berubah pada abang"
Yusuff tersenyum bahagia mendengarkan ungkapan Rania. Alhamdulillah, isterinya itu menerima seadanya kejutan yang telah dia sediakan sejak mereka belum berkahwin lagi.
"Abang" panggil Rania.
"Hmmmm?"
"Abang tak nak ke potong jambang abang ni?"
Yusuff tergelak. Jambang yang satu ini setia bersamanya. Ternanti-nantikan Rania sehingga dia tak sedar jambang itu sudah tumbuh dengan mekar di situ.
"Nia tak suka ke?"
"Takdelah tak suka! Tapi abang kena trim lagi ni. Biar nampak kemas" Rania sudah memusingkan badan menghadap Yusuff. Bermain-main dengan jambang suaminya.
"Abang tak pernah perasan pulak pasal jambang ni. Dia memang dah tumbuh masa abang selalu terkenangkan Nia dulu. Takde masa nak trim. Masa tu otak tengah kusut. Jadi abang malas nak peduli masa tu!"
"Nanti Nia trimkan okey?"
Yusuff hanya mengangguk.
"Ohh ya! Nia nak tanya abang sesuatu!"
"Apa dia?" Wajah Rania ditenung.
"Dulu kan, masa Nia accident. Masa tu Nia dah sembuh. Lepas tu, Nia selalu dapat tiga kuntum mawar merah dari seseorang. Nia ingatkan Ammar yang bagi. Sebab masa tu Ammar pernah hantar satu jambang besar bunga mawar kat Nia. Abang ke orang tu?" Rania tiba-tiba teringat akan perkara itu. Naluri hatinya kuat mengatakan tiga kuntum mawar tersebut daripada Yusuff. Disebabkan pada masa itu hubungan mereka sudah berakhir, Rania segan hendak bertanyakan kepada lelaki itu. Bimbang seandainya jawapan Yusuff menoreh luka di jiwa.
"Kenapa Nia rasa bunga tu dari abang?" Yusuff sengaja hendak membiarkan Rania berteka-teki. Dia ingin mendengar jawapan dari bibir mungil itu.
"Instinct! Nia tak tahu kenapa tiba-tiba Nia teringatkan abang bila Nia tengok bunga-bunga tu!"
Yusuff tergelak. Jawapan yang kurang memuaskan tetapi dia bersyukur kerana Rania punya naluri yang kuat terhadap setiap pemberiannya.
"Abang takut bila tengok Nia accident. Rasa macam separuh nyawa abang melayang. Abang nak temankan Nia setiap hari, tapi abang risaukan Ammar. Masa tu, dia tergila-gilakan Nia sampaikan abang pun dia tak bagi lawat Nia! Jadi untuk menghilangkan rasa takut dan rindu yang bercampur sekaligus dalam hati abang ni, abang hantarlah bunga-bunga tu pada Nia! Tapi abang kecewa jugaklah bila Nia buang bunga-bunga tu!" tambah Yusuff lagi. Dalam diam, dia selalu perhatikan gerak-geri Rania. Kerana rindukan Rania pada masa itu, dia hanya mampu melihat dari jauh.
Rania terpampam. Satu lagi kejutan yang sungguh mengharukan hatinya. "Kenapa bagi tiga kuntum?"
"Tiga kuntum bunga yang bermaksud I Love You! Abang nak Nia selalu ingat, walaupun abang takde di sisi Nia masa tu, cinta abang akan menemani Nia sampai bila-bila!" Pipi Rania dikucup.
Rania semakin terharu. Rupa-rupanya dalam diam, Yusuff selalu menemaninya dari jauh.
"Abang silap. Nia tak pernah buang pun bunga-bunga yang abang bagi tu! Nia simpan, tersusun elok kat almari"
"Hmm? Habis tu, bunga yang Nia buang dalam tong sampah kat luar vila Opah tu bunga siapa?"
Rania terkejut. Ini pun dia tahu jugak ke?
"Abang intip setiap pergerakan Nia ke?"
Yusuff sudah terperangkap. Kantoi! "Jawablah soalan abang dulu"
"Tu bunga yang Ammar bagi! Nia buang senyap-senyap dalam tong sampah. Masa tu perasaan Nia berbelah bagi. Dan Ammar pulak, selalu paksa Nia untuk terima dia. Nia tak suka kena paksa! Jadi untuk lepas geram, Nia buanglah bunga dia!"
Yusuff sudah menghambur tawa. Selama ini, dia fikirkan Rania tidak sudi menerima pemberiaannya lagi, sebab itulah dia berhenti menghantar bunga tersebut kepada Rania. Rupanya, dia tersilap pandang!
"Abang tak jawab lagi soalan Nia!"
"Iya. Abang mengaku, sejak kita berpisah, abang selalu intip Nia senyap-senyap. Abang risau kalau ada sesiapa yang cuba nak apa-apakan Nia. Selain itu jugak, itu je caranya melepas rindu pada Nia!"
Pengakuan jujur Yusuff tidak sanggup Rania dengar lagi. Bukan kerana bosan, tetapi terlalu besar cinta dan pengorbanan Yusuff kepadanya. Agaknya cinta dia tampak kerdil kalau hendak dibandingkan dengan perasaan Yusuff.
"Ada satu lagi Nia tak tahu. Perasan tak kondo kita ni di tingkat 13? Dan nombor rumah ni pun nombor 13?"
Rania sempat perasankan itu tetapi tidak terluahkan pertanyaan tersebut. Apa istimewanya nombor 13??
"Tahu tak kenapa abang pilih nombor 13?"
Rania berfikir sejenak. Kemudian dia memetik jari sambil tersenyum.
"Sebab kita declare pada 13 Jun kan? Jadi abang pilih nombor tu sebab ianya istimewa pada abang!"
Yusuff mengangguk laju sambil tersenyum. Rania sudah mampu menangkap kejutan tersebut.
"And one more thing! Teana yang kat bawah tu.." Yusuff mengeluarkan kunci kereta Nissan Teana dari kocek seluarnya. Kemudian, dilambungkan ke udara. Lantas diserahkan kepada Rania.
"It's yours!"
Rania ternganga. Seriuosly?? Kenapa hari ini dia menerima begitu banyak kejutan daripada lelaki itu?
"Vios sayang yang rosak tu, abang gantikan dengan Teana ni! Vios tu tak dapat guna lagi sayang! Abang tak sanggup nak bayangkan keselamatan Nia tiap kali guna Vios tu. So I bought you a Teana!"
Rania tersenyum bahagia. Lantas tubuh sasa Yusuff dipeluk erat. Dia tidak pernah menginginkan semua itu daripada Yusuff. Yang dia idamkan hanyalah perhatian dan kasih sayang dari lelaki itu.
Terima kasih abang! Terima kasih Allah!
Share this novel