Bab 15

Romance Series 7382

“Okay aku ada benda baik nak beritahu dengan korang semua, tadi Mona baru saja beritahu kat aku, yang hari Sabtu ni boss nak bawa kita semua pergi bercuti. Jadi Sabtu ni cafe akan ditutup” selaku pembantu tidak rasmi kepada assitant Mona, Lisa membuat pengumuman.
“Seriuslah ni...yess...”
“Wah! Kali ini kita nak ke mana? Aku teringin nak jalan ke luar negara”
“Ha?! Banyak kau luar negara. Kerja nak ikut sedap dia je, nak melancong sampai ke luar negara”
“Dah..dah..tak payahlah nak bertekak kat sini. Sepatutnya kita semua kena happy. Sebab dengan cara ini sahaja kita semua boleh merapatkan hubungan antara satu sama lain dan release tension..” beritahu Lisa.
Mail menyiku lengan Jelita dengan wajah gembira.
“Kau mesti excitedkan? Sebab kau kalau bab berjalan memang nombor satu”
Jelita tidak berasa gembira sewaktu Lisa memberitahu perihal itu kepada mereka semua. Wajahnya tidak teruja langsung.
“Ala, Nana tak boleh nak ikut, sebab Isnin ni Nana ada exam. Nana nak kena study” beritahu Nana sambil memuncungkan bibirnya.
Mail cuba memujuk Nana dalam diam.
“Kalau macam tu seorang tak dapat pergi, ada siapa-siapa lagi ke tak boleh nak pergi, nanti aku beritahu dekat Mona, boleh dia uruskan pasal pengangkutan”
Jelita mengangkat tangan secara perlahan.
“Jelita, kenapa kau tak nak pergi?”
Mail memandang ke arah Jelita dengan wajah tidak percaya.
“Weh! Kenapa kau tak nak pergi pula ni?”
“Urm, aku rasa tak dapat nak pergi sebab aku nak kena uruskan sesuatu” beritahu Jelita.
“Herm, ikut kaulah. Lagi ada siapa-siapa lagi tak yang tak boleh pergi?”
Jelita termenung kecil dan dia merasakan sedikit kecewa setelah memberitahu yang dia tidak boleh pergi bercuti bersama. Dilihat wajah Mail yang seakan-akan merajuk dengannya ibarat teman baiknya tidak dapat mengikuti sekali dan perasaan itu tidak berapa seronok.
Berita mengenai Nana dan Jelita tidak dapat menyertai percutian mereka sampai ke telinga Khairy. Khairy menarik nafas dalam apabila berita itu didengarinya. Kemudiannya dia memesan kepada Lisa untuk memanggil Jelita masuk ke biliknnya.
Tidak seperti Mona, Lisa tidak beranggapan buruk terhadap Jelita. Dia menyangkakan Jelita dipanggil pasti kerana ingin menegur kerjanya, itu sahaja.
Jelita masuk ke bilik Khairy dengan wajah tidak selesa selepas itu. Dia sudah tahu kenapa dia dipanggil.
“Saya dengar awak tak boleh ikut sekali percutian hari Sabtu ni, kenapa?” tidak disuruh Jelita duduk, Khairy terus bertanya kepada Jelita sebaik sahaja Jelita sampai di mejanya.
“Saya, saya ada hal yang perlu diuruskan”
“Hal? Maksud awak?”
“Yalah, hal yang perlu saya uruskan”
“Saya tahulah ada hal yang perlu diuruskan, tapi hal apa?” Khairy bersikap lebih keras untuk mengetahui alasan Jelita.
Setelah dipaksa akhirnya dia mengakui sahaja.
“Malaslah. Lebih baik saya lepak kat bilik sambil siapkan manuskrip saya”
“Awak buat kerja lain ke, Jelita?”
“Bukan kerja, tapi saya memang suka menulis, jadi kalau boleh tahun ni saya nak jadi seorang penulis setelah buku saya diterbitkan, manuskrip yang sedang saya siapkan saya nak hantar dekat penerbit-penerbit yang boleh menerima idea saya tu”
“Kalau macam tu buat sahajalah dekat sana. Bukan ke saya cakap nak bawa kamu semua bercuti untuk release tension dan merapatkan hubungan antara kita”
Jelita terdiam memikirkan kata-kata Khairy. Apa? ‘merapatkan hubungan antara kita’, antara mereka berdua atau hubungan antara boss dengan pekerja. Musykil ni!
“Tetap saya tak nak, sebab boss cakap merapatkan hubungan kita, maksudnya boss nak saya melekat dengan boss 24 jamkan?”
“Eh! Saya tak terfikir pula macam tu...ha kalau awak fikir macam tu, baguslah” Khairy membuat muka tidak bersalah.
“Kerja menulis awak tu awak bawalah kat sana. Mana nak tahu tengah naik bot nak ke Pulau Tioman, awak dapat idea ke. Boleh tengok ikan-ikan berenang, dolphin, ikan duyung dan macam-macam lagi”
Jelita tersenyum sinis. Nak menipu pun agak-agaklah.
“Boss pernah nampak ke dolphin dengan ikan duyung kat Pulau Tioman tu? Hebat”
Khairy bangun dari tempat duduknya dan dia mendekati Jelita yang masih berdiri di situ.
Ketika Khairy melangkah ke arahnya, jantung Jelita berdegup dengan laju sahaja. Sudahlah dia berdiri dengan dekat pula tu, membuatkan Jelita terpaksa ke belakang sedikit. Matanya ditundukkan tidak mahu memandang wajah lelaki itu. Malu sebenarnya! “Saya rindukan awak yang dulu...” beritahu Khairy dengan suara separuh berbisik.
Jelita menelan air liur secara perlahan-lahan dan matanya masih tidak memandang wajah Khairy. Terasa menyesal pula kerana tidak meminta diri dengan lebih awal.
“Boss saya nak minta diri dulu...”
Jelita pantas berjalan ke muka pintu, dan ketika tangannya memegang tombol pintu, tiba-tiba pintu ditahan oleh Khairy. Jelita tersentak dengan perlakuan Khairy yang seakan-akan tidak mahu dia keluar dari bilik itu.
Kali ini Jelita berani bertentang mata dengan mata lelaki itu.
“Awak dengar tak dengan apa yang saya beritahu tadi?”
Jelita terus memandang tajam tanpa mengiyakan apa-apa.
“Selama mana awak cuba melarikan diri, saya akan terus mengerja sampai saya dapat awak kembali. Itu janji saya, janji saya untuk awak sekarang. Saya tahu awak pun nak saya buat seperti inikan?”
“Baiklah, saya nak tengok selama mana boss akan terus kerja saya, sebab saya tak akan pandang ke belakang selepas ini”
“Kalau awak tak nak ikut percutian ini, pergi buat pengumuman baru dan beritahu hari Sabtu ini kita akan bekerja seperti biasa”
Jelita membundarkan matanya dan dia berasa sangat tertekan pada ketika itu. Takkanlah kerana dia, semua orang tidak dapat pergi bercuti pada hari Sabtu ini.
“Kalau awak boleh berkeras, saya pun boleh berkeras”
Jelita memulas tombol pintu dengan kasar dan dia beredar keluar selepas itu. Dia terus menyambung pekerjaannya tanpa membuat apa-apa pengumuman. Kalau dia cakap dekat yang lain yang percutian mereka dibatalkan sudah pasti pekerja yang lain akan menyalahkan dia. Dia juga akan diburuk-burukkan.
Ee, semakin geram pula dia dengan lelaki yang bernama Khairy itu.
****

JELITA termenung di mejanya, sedari tadi dia masih tidak menulis apa-apa di Microsoft Word. Idea sudah berada di buku notanya, tetapi dia tidak dapat mengembangkan jalan ceritanya kerana fikirannya pada ketika itu sedang memikirkan cara untuk dia menjauhkan diri daripada Khairy. Khairy seperti memaksa dia pada ketika itu, jadi dia berasa sedikit tertekan dan rimas. Dia tidak boleh memberitahu segala-galanya kerana risau lelaki itu akan terluka, tetapi pada masa yang sama dia ingin jauh daripada lelaki itu tanpa mahu melukakan perasaannya.
Bagaimana kalau Khairy tahu yang sebenarnya Jelita Maisarah sememangnya sudah pun meninggal dunia. Bagaimana penerimaannya selepas itu?
“Jelita?” kali ini dia meluangkan masa di taman berdekatan dengan tasik buatan dan duduk di bangku kayu, laptop di atas pehanya dan buku nota di sebelahnya.
Dia tersentak kecil apabila terdengar suara seseorang menegurnya. Dikerling ke sebelah kirinya dan wajahnya seakan tidak percaya apabila melihat Nubhan berada di situ dan menegurnya.
“Betullah awak Jelita! Saya was-was nak tegur tadi. Tak biasa pula tengok awak kat sini?” Nubhan terus mengambil tempat duduk di sebelah Jelita setelah Jelita mengalihkan buku notanya dan dua biji buku sebagai rujukan.
“Buat novel ke?” tanya Nubhan.
“Aha”
Ketika Nubhan cuba membaca di laptopnya, Jelita terus meletak mode sleep pada laptopnya dan skrin ditutup.
“Kenapa tak sambung?”
“Sebenarnya saya tak selesa nak beri orang baca apa yang saya tulis”
“Kalau macam tu macam mana awak nak tahu manuskrip awak tu menarik ke tidak kalau awak tak bagi orang lain baca dulu”
“Urm...” Jelita tersengih kecil.
“Saya baru je nak menawarkan diri untuk baca manuskrip awak tu, nanti kalau ada part-part yang tak best ke tak logik ke boleh saya berterus-terang dengan awak. Sekurang-kurangnya awak kena minta pendapat orang lain dulu sebelum hantar ke penerbit”
Jelita memikir-mikirkannya.
“Awak kena yakin dengan saya, saya boleh bantu awak. Awak jangan risau saya tak akan copy manuskrip awak tu dan hantar ke penerbit lain dengan meletakkan nama saya. Saya bukan jenis macam tu”
Jelita membuka kembali laptopnya setelah mendapat keyakinan daripada Nubhan.
“Betul awak boleh bantu saya dan berikan komen?”
“Ya, lagipun saya tengah free ni. Daripada tak buat apa-apa boleh saya baca hasil manuskrip awak ni”
“Okay...”
Ini kali pertama dia membenarkan seseorang membaca manuskripnya. Laptop bertukar tangan dan Nubhan mulai membaca. Dibiarkan Nubhan membaca manuskripnya dengan rasa teruja dan risau. Risau jika manuskripnya tidak berapa bagus. Teruja apabila ada seseorang yang sedang membaca manuskripnya.
Selang 20 minit kemudian, Nubhan bersuara untuk memberitahu pendapatnya.
“Nice, menarik jalan cerita, tapi mula-mula tu macam panjang sangat menceritakan mengenai watak utama, sebab dalam manuskrip awak ni ada watak-watak penting lain jugakan. Jadi kalau awak terlalu menceritakan watak utama, bagaimana dengan watak-watak lain. Nanti pembaca jadi cepat bosan, tapi penceritaan awak mengenai latar belakang, tempat dan masa tu dah okay, dan ada parts yang kelakar. Urm, saya baru baca secara laju sampai bab 15”
“Urm, sampai bab 15 je, bab 16 saya baru nak mula tapi saya tak ada idea nak mulakan bagaimana”
“Dah ada rangka ke untuk bab 16?”
“Ada dah, tapi setiap kali saya mula menaip saya akan delete semula, sebab saya rasa macam tak kena dengan jalan cerita. Bahasa yang saya gunakan juga macam merapu je”
Nubhan menyerahkan semula laptop kepada Jelita.
“Tapi, nampak macam awak profesional pula dalam bidang penulisan? Awak minat menulis juga ke?” tanya Jelita.
Nubhan tersenyum ringan, dan dia memandang ke hadapan sambil mengecilkan matanya. Angin di taman sempoi-sempoi meniup wajah mereka.
“Saya pernah ke bengkel penulisan dalam dua tiga kali tapi tak pernah menghasilkan sebarang buku pun, sebab saya dah jumpa dengan cita-cita saya yang sebenarnya, saya nak fokus kepada bidang perniagaan sahaja”
“Ouh..” Jelita berasa cemburu mengenai itu.
“Untung awak, sebab awak dah ada kerjaya awak sendiri. Saya masih terumbang-ambing. Kerja pun dengan orang” dia merendah diri.
“Eh! Tapi sekurang-kurangnya awak ada impian untuk siapkan manuskrip awak dan hantar kepada penerbit. Baguslah tu. Awak ada impian awak sendiri dan itu adalah impian awak jugakan”
Jelita tersenyum lega mendengar kata-kata semangat daripada Nubhan. Nubhan kemudiannya teringat akan sesuatu.
“Saya dengar esok Deflova Cafe tutup ya, sebab bercuti ke Pulau Tioman”
“Ya, Khairy ugut saya kalau saya tak pergi ke sana, semua pekerja tak akan pergi. Entahlah dengan dia tu. Annoying”
Nubhan ketawa.
“Macam satu kebetulan pula”
“Ha? Maksud awak?”
“Sebab esok saya ada kerja juga kat Pulau Tioman. Saya nak jumpa dengan seseorang dan saya akan tinggal kat sana sampai hari Ahad”
“Samalah, percutian kami pun sampai hari Ahad. Jadi bolehlah kita pergi bersama-sama. Yes! Saya ada geng. Sekurang-kurangnya ada orang yang satu kepala dengan saya, daripada melayan si Khairy lebih baik saya temankan awak..” kata Jelita dengan rasa teruja.
Nubhan ketawa sahaja. Dan selepas itu mereka berbual mengenai impian dan cita-cita mereka sehinggalah senja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience