Bab 8

Romance Series 7382

8

Sekembali Khairy ke ruang tamu semula, lelaki itu membawa sebuah kotak hadiah dan meletakkan dihadapan Jelita.
“Tengoklah”
Jelita mengerut dahi dan tertanya-tanya apa kena-mengena dia dengan kotak hadiah tersebut. Lalu tangannya menyentuh dan dia membuka mulut kotak tersebut dan melihat ada beberapa jenis barangan, surat dan barangan seperti cenderahati di dalamnya. Sambil melihat wajah Khairy dia memegang surat-surat yang bersampul berwarna-warni dan keadaannya seperti sudah dimamah tahun demi tahun.
“Surat tu awak yang tulis untuk saya, awak beritahu yang awak nak berkawan dengan saya dan ada beberapa perkara yang awak tuliskan untuk saya, pada asalnya saya mengabaikan surat-surat awak tu, tapi bila saya melihat kesungguhan awak untuk berkawan dengan saya, suatu hari saya membaca salah satu surat awak, dan hati saya tersentuh dengan kata-kata awak. Sejak dari itu, saya bersikap terbuka untuk menerima awak sebagai kawan saya, walaupun waktu itu kita masih anak muda remaja”
Jelita kelihatan terkejut sebenarnya setelah dia melihat beberapa surat berada ditangannya. Surat-surat ini mengingatkan dia kepada memori lamanya. Ya, dia pernah menulis surat-surat ini dahulu tetapi dia tidak berniat mahu menghantar kepada Khairy. Jadi Khairy adalah pelajar cemerlang yang selalu menjadi bualan mulut guru-guru dan pelajar yang lain.
Tubuhnya menjadi seram-sejuk secara tiba-tiba. Dunia terlihat kecil untuknya sekarang. Dia tidak tahu bagaimana surat-surat ini boleh berada di tangan Khairy.
“Jelita, awak tak ingat saya ke?” Khairy berkata dengan baik dan merenung mata Jelita yang sedang bergetar. Dia pasti Jelita tidak dapat menyorokkan perasaannya lagi. Dia hanya ingin Jelita mengingatinya kembali.
“Selepas saya membaca surat-surat awak, saya memutuskan untuk berkawan dengan awak. Kerana kata-kata awaklah buat saya bersemangat untuk mencapai impian saya. Kemudian, suatu hari saya memutuskan untuk mencari awak, dan sejak daripada itu kita berdua mulai mengenal antara satu sama lain”
Khairy mencari dia? Tetapi kenapa dia tidak pernah mengingati akan hal itu. Dia belum pernah berbual dengan Khairy sebelum ini mahu pun bertentangan mata. Atau sebenarnya Khairy sudah tersalah mengenali orang.
Jelita masih tidak dapat berkata apa-apa.
“Jelita, lihatlah saya. Saya pernah berjanji akan cepat-cepat dewasa, cari duit yang banyak dan kemudian kita berdua akan kekal bahagia dan bersama untuk selama-lamanya. Awak mesti ingatkan janji-janji kita...”
Jelita Maisarah, itu nama kembarnya. Mungkin orang yang Khairy bertemu sebelum ini adalah kembarnya.
“Saya tak sangka yang kita mempunyai jodoh yang sangat kuat. Lihat sekarang, awak berada di hadapan saya. Mungkin awak bersikap seperti ini, disebabkan awak berasa marah kepada saya selepas kejadian kemalangan itu” terlihat Khairy mulai beremosi setelah matanya mulai kemerahan.
“Saya terlalu takut untuk mendekati awak Jelita. Saya tak boleh nak buat apa-apa, dan saya takut melihat awak berlumuran dengan darah. Ianya adalah hari yang ke 100 kita bersama, dan pada hari itu adalah hari lahir awak. Sebelum saya menyambung pengajian ke luar negara, kita berdua berjanji untuk meraikannya di luar dan pada masa itu berlaku sesuatu yang tidak diduga dan awak...”
“Boss..” Jelita mematikan kata-kata Khairy.
“Saya...saya tak tahu macam mana surat-surat ini boleh berada di tangan boss. Hati saya sangat terluka, malu dan marah. Saya tak sangka yang saya akan berjumpa dengan boss kembali. Dan saya rasa boss dah silap orang. Saya...” dia berhenti. Lidahnya menjadi kelu dan tubuhnya mengigil sedikit pada ketika itu.
“Jelita, saya tahu awak marahkan saya...”
Jelita mengelengkan kepalanya.
Sewaktu kemalangan itu berlaku, gadis itu bukan dirinya. Itu adalah Jelita Maisarah, kembar seirasnya. Dia mengingati kembali kejadian itu. Matanya mulai berbinar-binar.
“Jelita?”
“Saya cakap itu bukan saya!” tiba-tiba Maisarah memekik dengan pandangan marah ke arah khairy.
“Awak macam ni sebab berdendam dengan saya kerana saya tinggalkan awak, betulkan?” Khairy nekad mahukan kepastian.
Jelita mengelengkan kepalanya dan dia segera bangun meninggalkan Khairy. Dia tidak boleh berterus-terang dengan lelaki itu, kerana dia merasakan dia telah pun dipermainkan oleh kembarnya sendiri. Kenapa Jelita Maisarah sanggup membuat seperti itu kepadanya? Kenapa Jelita Maisarah tidak pernah memberitahu apa-apa kepadanya mengenai Khairy sebelum ini?
Jelita Maisarah telah berbohong kepadanya!

****

SEMBILAN tahun yang lepas,
Jelita Maisarah tersenyum penuh bermakna ketika dia melihat Nur Jelita sedang menulis surat untuk seseorang. Nur Jelita melihat wajah kembarnya dan selepas itu, Jelita Maisarah merampas surat darinya dan membaca dengan mata bersinar. Nur Jelita segera bangun dan cuba mengambil suratnya dari tangan Jelita Maisarah.
“Mai, dahlah” Nur Jelita berjaya mengambil kembali suratnya dan segera menyelitnya ke dalam buku notanya dan kembali duduk di katilnya sambil memeluk erat bukunya.
“Kau ni kalau suka kat dia, kenapa tak pergi beritahu saja kat dia” Jelita Maisarah duduk di sebelahnya dan sengaja melanggar bahu Nur Jelita.
“Tak naklah, malulah. Nanti dia cakap aku ni tergedik-gedik pula nak berkenalan dengan dia...”
“Yalah, kalau tak cuba mana nak tahukan”
“Tak beranilah, lagipun ramai akak-akak senior yang sukakan dia. Siapalah nak dibandingkan dengan aku, aku ni junior dia je...” Nur Jelita berkata dengan rasa rendah diri.
“Yalah, tapi kau kena mulakan dulu. Kenalkan diri kau dekat dia, dan selepas itu kita tengoklah apa yang berlaku. Lagipun kau cakap dia pengerusi persatuan matematikkan? Alang-alang tu tegurlah dia...” Jelita Maisarah memberi cadangan.
Nur Jelita tersenyum runcing dan mengembungkan pipinya. Memikirkannya membuatkan perutnya menjadi tidak sedap.
“Dah berapa banyak surat yang kau tulis kat dia, tapi satu pun kau tak hantar, cubalah dulu”
“Aku malulah, lagipun aku minat dia sekadar melihat dia dari jauh je. Aku tak yakin yang dia akan cakap dengan aku. Diakan pelajar kesayangan semua guru-guru, tak mungkin dia akan bercakap dengan aku. Eh! Tapikan kau pelajar terpilih untuk belajar bersama pelajar cemerlang, urm untungnya kau dapat tengok dia dengan lebih dekat” Nur Jelita berkata dengan sedikit cemburu.
“Kau nak aku tolong kau tak?”
“Tolong? Tolong macam mana?”
Jelita Maisarah memeluk bahu Nur Jelita kemudiannya.
“Tolong sampaikan surat-surat kau dekat dia? Nak tak?”
“Hisyh! Tak naklah. Seganlah. Nanti buatnya surat tu terlepas kat tangan orang lain, malulah aku”
“Ala kau ni. Janganlah pasif sangat. Belum cuba belum tahukan”
“Tak naklah. Tak apa, aku suka macam ni berbanding beri surat ni dekat dia. Kalau aku dah betul-betul bersedia aku akan beri dekat dia sahaja nanti. Lagipun, umur kita masih terlalu muda untuk kenal erti cinta. Cinta tukan untuk orang dewasa sahaja. Herm, muda sangatlah umur aku kalau nak mula suka kepada seseorang”
Selepas itu, Nur Jelita bangun meninggalkan bilik. Jelita Maisarah tidak gembira melihat adik kembarnya seperti itu. Dia mengeluh sendiri dan memikirkan sesuatu untuk mengembirakan adiknya.
Dan kerana pertolongan dia itulah Khairy telah tersalah orang dan menyangkakan surat-surat itu datang daripada Jelita Maisarah memandangkan mereka mempunyai nama yang kurang sama dan wajah yang seiras dan Khairy tidak menyedari yang mereka adalah kembar seiras.
Khairy merasakan orang yang menulis surat itu adalah seorang yang comel dan baik hati. Dia sering menemui sepucuk surat yang baru setiap hari di bawah mejanya pada waktu rehat. Kadang-kadang surat itu diselit di celah buku teksnya. Dia tidak pernah membaca sebelum ini dan sekadar menyimpannya, dan suatu hari dia tertarik untuk membaca isi di dalam surat-surat itu, dan dia merasakan pelajar junior yang menulis surat kepadanya mengingatkan dia kepada arwah adiknya dan membuatkan Khairy ingin mengenali pelajar perempuan itu.
Beberapa hari selepas itu dia mencari sendiri pelajar itu, dan perkenalan itu membuatkan mereka selesa antara satu sama lain. Khairy akan membantu pelajar perempuan itu dalam pelajarannya dan mereka mengulangkaji bersama-sama. Tanpa pengetahuan Nur Jelita, Jelita Maisarah berkenalan rapat dengan Khairy di belakangnya dan kerana tidak mahu rasa bersalah, Jelita Maisarah telah pun memberitahu perkara ini kepada Nur Jelita sewaktu mereka di tingkatan tiga. Khairy sudah pun tamat sekolah pada ketika itu tetapi masih tetap berhubungan dengan Jelita Maisarah di luar sekolah.
“Jelita, aku nak berterus-terang dengan kau pasal surat-surat kau yang hilang tu. Sebenarnya aku dah berikan kepada Khairy beberapa surat yang kau tuliskan untuk dia, dan suatu hari dia datang cari aku dan beritahu yang dia tidak berminat untuk berkawan dengan kau, katanya dia suka dengan pelajar yang pandai, jadi dia memilih untuk berkawan baik dengan aku...”
Nur Jelita terkejut mendengarnya kerana selama ini dia bertanya kepada Jelita Maisarah mengenai surat-suratnya yang hilang satu demi satu, rupa-rupanya Jelita Maisarah telah pun mengambil suratnya secara diam.
Hari itu adalah hari lahir mereka bersama, tetapi Jelita Maisarah memilih untuk keluar dan menemui Khairy. Katanya Khairy akan menyambung pengajian di luar negara jadi dia menjadi sedih untuk berpisah dengan Khairy.
Nur Jelita merasakan seperti dia telah ditikam dari belakang. Dia tidak tahu apa yang ingin dia katakan kepada Jelita Maisarah. Dan hari itu adalah hari terakhir dia melihat Jelita Maisarah...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience