Bab 14

Romance Series 7360

Sudahlah berkongsi payung, sah-sahlah kena jalan rapat. Jelita cuba untuk tidak melanggar sisi bahu Khairy. Mereka berdua melintas untuk ke seberang jalan dan terus masuk ke kaki lima bangunan. Kemudiannya Jelita berhenti dan berdiri mengadap ke arah Khairy yang sedang menutup payung kembali.
“Boss, tak apalah boss. Saya boleh balik ke hostel sendiri. Boss tak payahlah hantar saya sampai ke depan. Buatnya rakan-rakan yang lain nampak macam mana?” beritahu Jelita sedikit gusar. Risau jadi bahan gosip pula nanti.
“Tak apalah, cakap sahajalah saya hantar awak balik”
“Boss cakap memanglah senang, tapi yang kena nanti saya. Banyak soalan pula nanti”
“Saya rasa kalau Nubhan yang hantar awak balik, mesti awak tak akan cakap macam nikan?”
Jelita mengerut dahi dan melepaskan keluhan perlahan.
“Kenapa mengeluh? Salah apa yang saya cakap?”
“Tak ada apa yang salah dan tak ada apa yang betul pun. Boss adalah boss kami, tolong jangan layan saya lebih daripada pekerja lain. Saya tak nak mereka cakap perkara yang bukan-bukan...”
“Kalau mereka tanya, cakap sahajalah tentang perkara yang sebenar”
“Boss boleh tak kalau boss jangan bersikap macam ni”
“Saya tak akan berhenti bersikap macam ni, selagi awak tak maafkan saya dan berikan peluang kedua untuk saya”
Jelita terdiam buat seketika. Dia menarik nafas dalam. Macam manalah dia nak larikan diri daripada lelaki ini.
“Kan saya dah beritahu dulu, kalau boss nak saya maafkan boss, boss lupakan segala memori yang boss ada dengan saya...”
“Saya tak boleh nak buat macam tu. Sebab saya perlu jaga hati saya juga. Kalau kita berdua berkeras untuk terus bersikap macam ni, hubungan kita tak akan pulih dan salah seorang perlu berusaha untuk perbaiki hubungan kita ni”
Jelita memandang wajah Khairy dengan rasa sedikit tertekan. Semakin dia ingin menjauh semakin lelaki itu mendekatinya.
“Saya terpaksa buat macam ni sebab saya tahu awak pun tak mahu kita macam nikan, jadi Jelita tolong benarkan saya untuk pulihkan hubungan kita dan kita kembali seperti dahulu..”
Jelita memandang ke arah tempat lain sebelum dia berkata sesuatu dengan mata sedikit bergetar.
“Jelita dahulu dah tak ada, sekarang kat depan boss ni adalah Jelita yang berbeza. Jelita yang lain dan tak akan mungkin sama dengan Jelita yang boss harapkan!” Jelita bersuara keras.
Khairy memandang tepat ke arah mata Jelita. Dia tidak tahu pula dia akan membuat Jelita menjadi sedih seperti itu.
“Saya tahu awak menyimpan perasaan marah dan benci terhadap sayakan? Disebabkan itu awak jadi macam ni”
“Kalau macam tu, jangan berharap apa-apa lagi, saya tak mungkin akan menjadi Jelita macam yang boss nak! Tolonglah,” Jelita beredar dengan cepat selepas itu dan dia separuh berlari anak jauh ke hadapan meninggalkan Khairy di situ.
Khairy tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Fikirannya melayang jauh dan dia berasa sedikit tertekan dengan keadaannya seperti itu. Bagaimana cara dia melembutkan hati yang keras itu? Akhirnya dia mengeluh sendiri dan memutuskan untuk pulang ke Santai Cafe semula.

****

“AWAK apa khabar?” Alia memulakan perbualan setelah Nubhan meletakkan minuman di hadapannya dan duduk bersama dengannya.
“Alhamdulillah, baik macam sekarang” jawab Nubhan pantas.
“Ouh” Alia memandang sekeliling dengan mata bersinar.
“Tak sangka awak dah mempunyai cafe sendiri. Nampaknya awak tak pernah lupakan cita-cita awak macam yang awak beritahu dekat saya dahulu”
Nubhan tersenyum ringkas, matanya tidak terlalu tepat memandang wajah Alia. Alia memandang ke arah Nubhan dan dapat merasakan Nubhan tidak menyambut kehadirannya dengan sepenuh hati. Masih marahkah dia?
“Nubhan?” Alia memanggil perlahan. Seketika kemudian matanya bergetar dan suaranya juga turut berubah sebak.
“Awak masih marahkan saya ke?”
“Untuk apa saya marah dekat awak?” balas Nubhan tanpa memandang tepat mata Alia.
“Saya tahu setelah saya ke luar negara, saya tidak lagi menghubungi awak. Tapi sebenarnya saya nak sangat telefon atau menghantar emel kepada awak, tapi saya tak boleh melakukannya. Ibu bapa saya sangat marah kalau dapat tahu saya cuba masih mempunyai hubungan dengan awak lagi. Lagipun pada waktu itu saya perlu memilih antara awak dan abang sepupu saya”
“Jadi awak memutuskan untuk memilih abang sepupu awak yang kaya-raya tu berbanding memilih student yang tidak mempunyai apa-apa tujuan dalam hidup, sebab awak tak tahu bagaimana kehidupan saya selepas ini jika awak memilih saya dan kerana itu awak pilih abang sepupu awak...” dan matanya merenung tajam ke arah Alia.
Alia terkedu dan wajahnya tampak kecewa dengan kata-kata Nubhan.
“Nubhan, apa yang berlaku semua ini bukan kehendak saya tapi kehendak family saya”
“Kalau awak betul-betul cintakan saya awak akan pertahankan cinta kita macam mana saya merayu dan melutut depan mak ayah awak! Saat itu saya sedar yang mak ayah awak tidak mahu terima saya kerana saya tak ada apa-apa. Mereka tak yakin saya boleh bahagiakan awak!”
Mendengar kata-kata yang menyakitkan itu, Alia terus menangis sebak. Dia berharap tangisannya akan mendapat perhatian daripada Nubhan. Nubhan tidak suka melihat dia menangis sewaktu mereka berhubungan dahulu.
Dibiarkan sahaja Alia menangis tanpa ada rasa ingin memujuk kembali. Jika dia memujuk dia perlu berjanji sesuatu kepada Alia. Seketika kemudian, Nubhan terlihat ke arah Khairy yang memilih untuk duduk di meja solo dan minum bersendirian di situ dan kelihatan dia sedang memikir sendiri. Pasti memikirkan hal Jelita setelah dia terpaksa membiarkan Khairy menghantar Jelita pulang tadi. Sesuatu pasti telah berlaku jika tidak tak mungkin wajah Khairy semuram itu.
“Saya masih sayangkan awak, Nubhan dan saya boleh beritahu ibu bapa saya yang awak telah berjaya sekarang. Mereka sudah pasti tidak akan menolak. Kita akan kembali bahagia seperti dahulu”
Mendengar kata-kata Alia seperti itu, Nubhan tersenyum sinis. Sudah diludah mahu dijilat kembali. Dia bukan seperti itu.
“Saya minta maaf, tapi saya rasa kita tak mungkin boleh kembali seperti dahulu. Awak tinggalkan saya terkontang-kanting dan sewaktu saya memerlukan seseorang berada di sisi saya awak tak pernah kotakan janji awak”
Alia menundukkan wajahnya dan dia berasa sangat malu dan kecewa.
“Saya tinggalkan awak di sini, selepas awak habiskan minuman tu, bolehlah awak pulang. Seorang wanita cantik seperti awak, tak sesuai berada di luar lewat malam. Saya belanja minuman awak” Nubhan bangun kemudiannya dan berjalan ke ruang belakang. Ketika dia melintasi Khairy dia melihat Khairy langsung tidak memandang ke arahnya dan kelihatan temannya itu lebih banyak termenung dan melayan perasaan sendiri daripada bermain dengan telefon bimbitnya.

****

“KAU dah rosakkan mood aku malam ni” beritahu Nubhan sebaik sahaja dia menarik kerusi duduk di meja yang sama dengan Khairy. Ketika dia kembali 10 minit selepas itu, dia melihat Alia sudah pun pulang.
Khairy memandang wajah Nubhan tanpa rasa serba-salah. Wajahnya mendung sahaja pada ketika itu.
“Macam mana kau dengan Alia, apa yang kau dan dia bualkan?” tanya Khairy, ingin tahu perhubungan mereka berdua.
“Macam itu sajalah. Aku tak boleh terima dia kembali, dan kau pun tahu aku dah lama move on”
Khairy mengangguk kecil.
“Alia sebenarnya dah berkahwin dengan abang sepupu dia tu, tapi perkahwinan mereka tak bertahan setelah suami dia tu main kayu tiga, jadi Alia tuntut penceraian daripada suaminya. Mereka masih dalam proses untuk penceraian”
Nubhan kelihatan terkejut mendengarnya, Alia tidak pula menyebut mengenai perkahwinannya tadi.
“Alia tak beritahu kau apa-apa ke?”
“Dia tak sebut pula pasal perkahwinan dia tu”
“Mereka masih belum mempunyai anak, dan dia sendiri beritahu aku yang dia sangat rindukan kau sejak beberapa tahun ini”
Nubhan mengeluh kecil.
“Lain kali kalau dia cari kau untuk dapatkan aku, tolong jangan beritahu apa-apa pun pasal diri aku dekat dia. Aku merayu sangat-sangat dekat kau, sebab aku dah tak mahu ada apa-apa hubungan dengan dia lagi. Hati aku dah tawar dan aku tak mungkin akan terima cinta dia semula” terang Nubhan dengan suara tegas.
Khairy mengangguk faham kemudiannya. Dia juga perlu menghormati keputusan Nubhan.
Tidak lama kemudian Nubhan pula teringat akan sesuatu.
“Kau hantar Jelita tadi sampai ke bilik dia ke? Tak maksud aku sampai ke hostel”
Berubah air muka Khairy apabila nama Jelita disebut pula. Mungkin seperti itulah perasaan Nubhan apabila dia bertanyakan Alia.
“Kami hanya meluahkan perasaan tidak puas hati, itu sahaja dan selepas itu dia balik sendiri” seringkas yang boleh dia memberitahu.
“Ooo, patutlah muka kau macam tak seronok je. Sebelum dia balik, aku ada borak dengan dia macam biasa”
“Dia ada beritahu kau apa-apa ke pasal aku?”
“Tak, hanya cerita mengenai diri dia dan kisah aku, itu sahaja”
Khairy memandang cemburu ke arah Nubhan.
“Nampak macam hubungan kau dengan dia pun makin rapat”
“Mungkin dia selesa dengan aku dan menganggap aku tempat yang sesuai untuk meluahkan perasaan. Macam kau, kalau ada masalah kau akan datang cari aku, dan macam itulah Jelita”
Khairy tersenyum tawar. Dia menyisip sedikit minuman, air suam itu menghangatkan tekaknya.
“Kalaulah aku tak tinggalkan dia dulu, pasti dia tak akan marah sampai sekarang. Sekurang-kurangnya kami berdua boleh rapat seperti dahulu” Khairy berkata dengan nada kecewa.
“Kalau macam itu, kau lakukanlah sesuatu. Buat hati dia lembut kembali, tapi jangan sampai memaksa dia”
Khairy mengangguk kecil dan mereka berdua mengubah topik perbualan yang lain pula. Khairy berasa lega sekurang-kurangnya, Nubhan tidak mempunyai perasaan terhadap Jelita. Lagipun Nubhan sudah tahu mengenai hubungannya dengan Jelita bagaimana. Jadi tidak ada sebab Nubhan mahu menyimpan perasaan terhadap Jelita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience