BAB 1

Romance Series 7382

“Hermmmm...” Jelita mengeluh panjang di meja, sambil menongkat dagu dengan menggunakan tangan kirinya dan matanya redup melihat persekitaran bandaraya di hadapannya. Dia sedang mengabdikan rehatnya dengan sebaik mungkin di situ. Bertemankan roti sandwich, laptop di hadapannya dan juga secawan minuman berkafein. Ketika idea mulai menyinggah, dia pantas menarik buku nota berkulit pink dan mencatit sesuatu di atasnya dengan menggunakan pen diy.
Ketika cermin matanya melurut jatuh ke hadapan batang hidungnya, Jelita pantas menolak ke atas kembali. Dia mengenakan shawl di kepalanya, dia juga mengenakan pakaian uniform kemeja berlengan panjang wanita, berseluar slack hitam dan berkasut nike inci. Pada ketika ini dia berasa bersyukur kerana tidak mempunyai ramai kawan yang boleh menganggu aktiviti penulisannya.
Dia masih baru dalam bidang penulisan atau dalam erti kata, dia sebenarnya belum pernah menerbitkan novelnya sendiri walaupun sudah lima hingga enam kali manuskripnya ditolak oleh pihak penerbit. Tetapi dia bukan seorang yang mengenal erti putus asa. Setiap kali idea terlintas di fikirannya dia akan mula menulis di buku notanya dan setelah mempunyai rangka penulisan, dia akan mula menulis di Microsoft Word dengan idea yang mencurah-curah.
Jelita tidak pernah kenal erti putus asa!
Dia akan menjadi seorang penulis walau dengan apa cara sekali pun.
“NUR JELITA!”
Panggilan nama daripada suara garau itu membuatkan Jelita tersentak terkejut. Habis hilang terus ideanya.
Rakan sekerjanya, Mail mendekatinya dengan sengihan. Kemudian dia cuba mengintai apa yang sedang Jelita lakukan pada ketika itu. Mahu bersikap busy body kononnya!
Jelita pantas menutup laptopnya dan mengemas mejanya. Mail duduk di sebelah Jelita dengan memegang kain napkin yang bergumpal di dalam kotak biru yang dibawa bersama-samanya.
“Kau buat apa tu?” soal Mail bersuara ala-ala kepit. Lumrahnya dia seorang lelaki yang lembut dan busy body ingin tahu semua benda.
“Adalah kerja aku. Kau buat apa kat sini”
“Aku tengok kau macam selesa sangat kat sini seorang diri, aku pun datang nak bagi kau kerja” Mail memunggah keluar napkin dari kotak biru.
“Lipat ni. Cik Sakinah minta aku lipat 100 helai napkin bentuk ros. Tak larat aku nak buat seorang”
Jelita mengerut dahi.
“Akukan tengah berehat sekarang ni?” beritahunya bernada tidak berpuas hati tetapi tangannya tetap mencapai napkin yang dihulurkan oleh Mail.
“Ala, berehat pun tolong-tolonglah rakan sekerja kau ni. Ha! Kau buat apa tadi? Kau jangan cakap yang kau buat novel kau tu kat sini. Kalau Cik Sakinah tahu, habislah kau. Dia dah katakan setiap pekerja kat sini tak boleh buat kerja lain selain fokus kerja yang ada kat sini je...” Mail bersuara kuat. Sengaja bunyinya.
Jelita pantas mengebar kain napkin di hadapan muka Mail dengan kasar. Dia meletakkan jari telunjuknya di mulutnya.
“Ssshhhyy! Janganlah cakap kuat sangat. Disebabkan kata-kata kau nilah yang boleh membuatkan Cik Sakinah tahu. Perlahanlah sikit suara tu”
Mail mencebir bibir. Tangannya yang lembut melipat-lipat napkin berbentuk ros dan diletakkan di satu tempat.
“Eh Jelita, aku nak tanya kaulah, kenapa kau suka sangat buat novel tu. Boleh cari makan ke dengan cara tu”
Jelita memikir akannya buat seketika sehinggalah dia membalas pertanyaan Mail.
“Entah, aku sendiri pun tak tahu macam mana aku boleh terlibat dalam bidang ni. Tapi pada asalnya aku suka menulis sewaktu aku di darjah enam selepas aku baca novel-novel kak long aku kat rak. Bayangkan usia aku ni baca novel orang dewasa. Kau rasa? Tapi ada sesetengah bab tu aku tak faham, atau mungkin aku masih terlalu muda. Kalau kau tanya pasal soal cari makan tu, sebenarnya aku tak terfikir pun nak buat duit dengan menulis. Tapi aku rasa membuak-buak nak menulis dan terbitkan novel aku sendiri”
Mail kelihatan tidak berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hobi Jelita. Kemudiannya dia membuka cerita lain.
“Eh! Jelita kau nak tahu tak, tak lama lagi Deflova cafe ni akan diambil alih oleh boss baru. Aku rasa Cik Sakinah nak juallah cafe dia ni dekat orang lain”
“Ha! Seriuslah ni?”
“Ya, dan apa yang aku dengar boss baru kita tu nak temuduga semula pekerja kat sini. Siapa yang layak akan terus bekerja kat sini, dan siapa yang gagal akan diberhentikan. Kejam tak kejam tu...”
Jelita termenung kecil memikirkan perkara itu. Bagaimana kalau dia diberhentikan, sudahlah nak cari kerja kerajaan lambat lagi. Siapa yang akan sambung membayar hutang PTPTNnya kalau dia diberhentikan. Aduh! Gawat ekonomi ni.
“Kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni. Ha! Lagi satu, eh, banyak pula info bocor yang aku beritahu kau ni, tapi tak apalah, sebab kita pun dah berkawan setahun lebih ni jadi beritahu sajalah kat kau. Apa yang aku dengar lagi, boss baru kita tu garang macam harimau tau. Salah sikit je habislah kita. Kau bayangkan catwalt Cik Sakinah macam mana, ha, boss baru kita tu dua kali ganda lagi cerewet daripada Cik Sakinah tau”
“Seriuslah ni?” Jelita mula berasa tidak bersemangat ingin melipat napkin.
“Sebabkan itulah aku minta kau lipat napkin ni, biar Cik Sakinah nampak kita buat kerja waktu tengah rehat. Biar dia tahu yang kita ni pekerja yang rajin dan berdedikasi, sekurang-kurangnya dia boleh promote kita dekat boss baru. Kita tak akan diberhentikan”
Mendengar Mail bersemangat berkata seperti itu, Jelita terus bersemangat semula melipat napkin.
“Amboi laju pula tangan kau lipat napkin...” Mail tersengih.
“Aku kena bersemangat untuk melindungi pekerjaan aku”
“Okay kalau macam tu, kau lipat semua. Aku ada kerja lain nak buat. Kalau dah siap kau masukkan balik dalam kotak biru ni. Nanti kau cari aku kat bawah” Mail berura-ura ingin meninggalkan Jelita bersendirian semula.
“Mail, kau betullah ni nak tinggalkan semua ni dekat aku..kau jangan cakap kau nak kenakan aku”
“Hisyh! Kau ni. Aku memang ada kerja lainlah kat bawah. Aku nak merisik khabar staf lain pasal boss baru kita tu. Nanti kalau ada apa-apa information aku beritahulah kau...” Mail segera beredar dengan cepat.
Jelita menarik nafas perlahan dan kembali melipat napkin dengan fikiran menerawang jauh. Kalaulah dia betul-betul diberhentikan kerja, kak long mesti akan marah dengannya. Sudahlah yang tolong cari kerja pun kak long. Dapat pula jadi pelayan kat cafe Deflova ni. pelayan pun pelayanlah, asalkan kerja halal. Daripada tak buat apa-apa, melepak kat Jengka tak guna juga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience