Bab 17

Romance Series 7360

Malam itu mereka barbeque di kawasan khas yang telah disediakan. Ramai-ramai makan bersama-sama memang menyeronokkan. Ada tukang membakar, tukang mengipas dan tukang berhibur dengan bernyanyi-nyanyian.
Jelita duduk di bangku sedikit jauh dari kedudukan mereka berbarbeque. Hanya dia seorang sahaja yang tidak menyertainya. Dia tidak berasa lapar pada ketika itu. Kehilangannya tidak disedari oleh mereka. Ketika dia sedang bermain dengan laman Fac di smartphonenya, Khairy datang ke arahnya dengan membawa makanan dan minuman.
Seelok sahaja dia duduk di sebelah Jelita, Jelita hampir-hampir mengurut dadanya. Entah siapa-siapalah yang duduk di sebelahnya secara tiba-tiba. Wajahnya tidak selesa pada ketika itu.
Khairy meletak pinggan kertas di tengah-tengah mereka.
“Kenapa tak join barbeque sekali?” tanya Khairy dan dia terus menghulur minuman di dalam cawan kertas kepada Jelita.
Jelita mengambil tetapi tidak meminumnya kerana dia tidak berasa dahaga pada ketika itu.
“Saya tak lapar” jawab Jelita.
“Tak lapar sekarang, nanti tengah malam lapar pula”
“Kedai runcit banyak, nanti saya belilah roti ke apa ke buat bekal malam nanti” Jelita memandang ke belakang, ingin melihat jika ada orang yang sedang mencari mereka berdua. Sudahlah dua-dua orang hilang di tempat berbarbeque. Apa pula kata mereka nanti.
“Makanlah sikit, rugi tau. Saya beli ketam, udang, sotong semua fresh dari sini. Besar-besar pula tu”
Khairy mengangkat pinggan kertas yang berisi udang, sosej, dan juga sotong bakar lalu disua ke arah Jelita.
“Ambillah..” Khairy cuba memujuk.
“Tak nak...”
“Rasa dulu, nanti menyesal pula”
“Itukan bahagian boss punya...”
“Bahagian saya, bahagian awak juga..” Khairy berkata dengan selamba tanpa memandang wajah Jelita yang sudah berubah.
“Nah, cuba yang ni” Khairy mengopek sedikit hujung ekor udang besar lalu disua kepada Jelita. Jelita terpaksa mengambil demi menjaga hati Khairy.
“Sedap tak?”
Jelita mengangguk kecil setelah mengunyah sedikit hujung ekor udang.
“Boss, saya tak selesalah berlama dekat sini dengan boss, nanti buatnya mereka nampak kita berdua kat sini, habislah saya boss”
“Kalau mereka nampak, tak apalah. Saya akan bertanggungjawab”
“Bertanggungjawab? Boss nak bertanggungjawab macam mana?”
“Saya akan beritahu dekat mereka semua yang kita sebenarnya mempunyai hubungan. Selesai cerita dan mereka akan senyap selepas itu”
“Ha?! Boss?!”
“Kenapa?”
Jelita sedikit terhenyak dan mukanya mengerutu dengan senyuman lebar Khairy.
“Saya tak naklah boss cakap macam tu. Mulut mereka bukannya akan tertutup takat itu sahaja. Nanti banyak pula tokok tambahnya. Saya ni yang kena hadap dengan pertanyaan mereka tu boss” bersungguh-sungguh dia memberitahu.
“Kalau macam tu saya naikkan pangkat awak, jadi pembantu kepada Mona”
“Tak naklah, lagipun bukannya selama saya akan bekerja dengan boss”
“Apa maksud awak? Awak dapat kerja lain ke?”
“Saya tengah tunggu SPA 8, Insya Allah kalau ada rezeki panggilan temuduga saya akan pergi, lagi pun Deflova tu hanya persinggahan seketika sahaja. Saya baru setahun lebih kat sana, jadi kalau kata nak kenal rapat dengan semua orang tak juga. Pekerja-pekerja kat situ selalu bertukar-tukar orang. Nanti boss dah lama kat situ, boss fahamlah..”
Wajah Khairy tidak gembira apabila mendengar Jelita berkata seperti itu. Dia tidak kisah untuk kehilangan orang lain, tetapi dia sangat risau jika dia kehilangan Jelita buat kali kedua. Hatiya menjadi gusar secara tiba-tiba.
“kenapa tidak awak terus bekerja di Deflova sahaja”
“Boss, tak selamanya saya akan terus bekerja kat situ, saya nak juga cari pengalaman kerja yang lain. Sampai bila saya akan terus jadi pelayan kat Deflova, itu bukan kerjaya utama saya dan itu juga bukan impian saya”
“Mana awak akan pilih, antara orang yang awak sayang atau impian awak?”
“Sudah semestinya saya akan pilih impian saya. Impian saya untuk dapat kerjaya yang lebih selesa dan juga jadi apa yang saya nak”
“Bagaimana dengan orang yang awak sayang?”
Jelita menarik nafas perlahan.
“Orang yang saya sayang lambat-laun akan hadir untuk saya dan sokong dengan apa yang saya lakukan, bukannya fikir tentang diri sendiri sahaja”
Khairy terdiam buat seketika. Jelita mungkin sedang menyindirnya tetapi tidak memaksudkannya walau sedikit pun.
“Tapi sekurang-kurangnya saya harus bersyukur kerana saya adalah salah seorang pekerja di Deflova Cafe. Cik Sakinah banyak beri tunjuk ajar kepada saya sepanjang dia berada di sana walaupun dia sedikit cerewet. Saya dapat kenal orang baru, saya dapat berkomunikasi dengan pelbagai ragam pelanggan, dan banyak perkara dalam setahun lebih ni yang saya lalui. Jadi orang bawah boss, nak-nak pelayan biasa macam saya ni, banyak perkara yang saya kena bersabar”
“Jadi, adakah saya cabaran baru untuk awak, Jelita?”
Jelita diam tidak menjawabnya terus. Dia mengambil masa dan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-katanya supaya dia tidak melukakan perasaan Khairy.
“Ya, boss adalah cabaran baru untuk saya di Deflova. Tapi saya perlu melaluinya kerana itulah kehidupan manusiakan, tak seronoklah kalau tak ada cabarankan? Boss, saya minta maaf dengan apa yang saya nak beritahu dekat boss, tapi boss saya sangat-sangat merayu kalau boss lupakan tentang kisah silam kita” terasa aneh apabila dia perlu menyebut ‘kisah silam kita’ sedangkan kisah silam Khairy adalah bersama-sama dengan Jelita Maisarah, kembarnya!
“Jelita, kenapa hati awak keras sangat untuk maafkan saya” kedengaran sebak sahaja suara Khairy. Dia memandang tepat wajah Jelita.
“Boss tak buat apa-apa salah pun terhadap saya, sedangkan saya yang perlu meminta maaf daripada boss sebab buat boss seperti ini, memendam rasa bersalah terhadap saya selama ini...”
“Jelita, awak sendiri ingatkan janji-janji kita dahulu, biar pun saya selalu mengungkitnya sebab saya nak awak ingat dan pegang dengan janji-janji awak. Biar pun kita masih terlalu muda pada ketika itu, tapi saya yakin apa yang kita janjikan adalah perkara-perkara yang paling bermakna dalam hidup saya. Kita berjanji akan mencapai impian bersama-sama, gembirakan satu sama lain, dan bersama untuk selamanya. Awak masih ingat lagikan dengan janji-janji itu”
Jelita terdiam kemudiannya. Matanya bergetar melihat wajah Khairy yang dalam kesedihan. Tidak dia tidak mahu membuat hati lelaki itu terluka kerananya.
“Jelita, tolonglah saya merayu dengan awak untuk kembali kepada saya kembali. Saya menyesal kerana saya lari tinggalkan awak sewaktu awak ditimpa kemalangan dahulu. Saya dah tanggung perasaan sedih dan rasa serba-salah terhadap awak selama ini, saya nak sangat beritahu kepada awak waktu itu, yang saya sayangkan awak, biarpun kita berjauhan tapi hati kita sentiasa dekat”
Mata Jelita sudah dikaburi dengan air mata, bukannya hanya dia seorang sahaja tetapi Khairy juga seperti itu. Kelihatan dia tidak kisah jika dia perlu menangis di hadapan Jelita kerana dia ingin Jelita mengetahui akan perasaannya pada ketika itu. Hatinya terlalu sarat dengan perasaan kecewa, sedih dan merindui wanita itu separuh mati.
“Tolong saya Jelita, jangan layan saya seperti ini, saya risau dengan diri saya sendiri yang saya tak boleh lepaskan awak”
Air mata Jelita berguguran perlahan. Dia dapat merasai keikhlasan hati lelaki itu, tetapi separuh hatinya menjerit dan mengatakan dia bukan Jelita Maisarah! Dia bukan gadis yang pernah berjanji dan memberi harapan kepada lelaki itu.
Dia menangis setelah dia melihat keadaan lelaki itu. Dia berasa simpati dengan apa yang berlaku. Dalam masa yang lama, dia cemburukan Jelita Maisarah. Jika Jelita Maisarah masih hidup, dialah wanita yang paling beruntung kerana dapat memiliki lelaki baik dan jujur seperti Khairy. Khairy masih berpegang teguh pada janji-janjinya.
“Saya...saya...” bibirnya terketar-ketar untuk menuturkan apa yang berada di dalam hatinya pada ketika itu. Khairy memandang ke arah Jelita dengan wajah sedihnya.
“Saya bukan dia...dan saya minta maaf..” Jelita bingkas bangun dan berlari anak meninggalkan Khairy di situ.
Ketika dia berlari wajahnya tertunduk dan air matanya berduyun-duyun mengalir tidak berhenti. Tangisannya juga dapat kedengaran. Dia tidak tahu kemana kakinya membawa dirinya pergi. Apa yang dia tahu, dia tidak mahu Khairy mengejarnya dari belakang, kerana dia tidak boleh berhadapan dengan lelaki itu dalam keadaan dirinya seperti ini.
Dan tiba-tiba dia terlanggar seseorang, kepalanya masih lagi tertunduk dan dia segera meminta maaf dengan suara sendunya, namun kemudian dia tersentak apabila pergelangan tangannya ditarik dan langkahnya terhenti.
Sebaik sahaja dia mengangkat kepalanya dan menoleh ke belakang, dia melihat Nubhan berada di situ sedang memegang pergelangan tangannya. Tanpa sebarang kata-kata air mata Jelita makin banyak mengalir. Nubhan memandang ke arahnya dengan wajah risau dan terus membawanya ke tempat yang sesuai untuk mereka berbual.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience