Bab 31

Romance Series 7360

“Kenapa tak cakap kat mama, yang Khairy nak bawa teman wanita ke sini?” Rozita sempat berbisik ke telinga anaknya sewaktu Khairy terlebih dahulu pergi mendapatkannya dan memeluknya erat, melepaskan rasa rindu.
Jelita tersenyum gugup, apabila ini adalah kali pertama dia menemui mama Khairy. Orangnya kelihatan masih muda, cantik dan pandai bergaya dan kelihatan seperti seorang yang peramah. Jelita menghulurkan tangan dan salamnya disambut mesra dan tiba-tiba tubuhnya ditarik rapat. Kedua-dua belah pipinya dilagakan dan Khairy tersenyum melihatnya.
“Ma, cuba ma tengok muka dia ni betul-betul ada iras-iras sesiapa tak?”
Rozita masih memegang kedua-dua belah tangan Jelita dan matanya memandang lembut ke arah Jelita. Dia tersenyum manis.
“Ini ke Jelita, yang anak mama asyik sebutkan selalu tu”
Khairy ketawa dan memandang malu ke arah Jelita. Wajah Jelita pula kelihatan masih janggal. Dia hanya tersenyum sahaja.
“Mari, mari masuk. Mama dah sediakan makanan yang sedap untuk kamu berdua. Mujurlah hati mama teringat nak masak lebih, rupa-rupanya Jelita nak datang ke rumah, mari masuk sayang...mari...” ditariknya Jelita masuk dahulu dan Khairy mengekor dari belakang. Nampaknya tak susah untuk dia mendapatkan restu daripada mama jika dia ingin melamar Jelita suatu hari nanti.
“Maaflah, kat ruang tamu tu bersepah sikit. Mama ni ambil upah buat hantaran orang, bosan kadang-kadang tu tak tahu nak buat apa...” Rozita membawa Jelita ke meja makan. Makanan sudah pun terhidang di atas meja. Rozita terus ke dapur untuk mengambil air minuman yang telah siap dibancuh dan juga menambah pinggan nasi.
“Eh, tak apa mak cik. Saya boleh bawakan...” Jelita berasa tidak selesa apabila ada orang sebaya emaknya di kampung melayan dia seperti itu.
“Janganlah panggil mak cik. Dulu waktu Jelita sekolah menengah dulu, Jelitakan panggil mama sahaja”
“Ouh...” Jelita tersenyum tawar. Mama? Jelita Maisarah memanggil mama Khairy sebagai ‘mama’.

“Duduklah sini Jelita...” Khairy memanggil.
Jelita duduk di hadapan Khairy dan melihat Rozita sedang menuang minuman mereka pula.
“Eh, tak apa, saya boleh buat sendiri...” Jelita cuba untuk mengambil jug minuman tetapi tangannya ditolak lembut oleh Rozita.
“Tak apa, mama boleh buatkan, lagipun ini kali pertama Jelita datang rumah mamakan...tak apa Jelita, duduklah”
Khairy sibuk mencedok nasi ke dalam pinggan mereka.
“Mama makan sekali ya...” ajak Khairy.
“Ya...sikit sahaja jangan banyak sangat...”
Setelah mencedok nasi ke dalam pinggan nasi mamanya, Khairy meminta pinggan Jelita pula.
“Banyak sangat ni...” kata Jelita apabila dia melihat Khairy sengaja mencedok nasi putih banyak untuknya.
“Awak tu kurus sangat, kena tambahkan sikit berat badan tu...” kata Khairy.
Rozita ketawa kecil apabila melihat Jelita membuat muka ke arah Khairy.
“Tak apalah, kalau tak boleh habiskan nasi tu nanti suruh sahaja Khairy makan selebihnya..” kata Rozita.
Khairy tersenyum sahaja.
“Wah, macam special je masakan mama hari ni. Ada ayam masak lemak cili api, ini kegegemaran Khairy ni...”
“Sebab mama fikirkan Khairylah mama masakkan ayam masak lemak cili api ni. Jelita makan tak masakan mama ni?”
Jelita pantas mengangguk.
“Makan ma...” lidahnya kaku pula ingin memanggil wanita itu ‘mama’ “Ayam masak lemak cili api ni pun makanan kegegemaran Jelita”
“Padan sangatlah tu. Khairy pun suka makan lauk ni...”
Khairy mengangguk laju dan dia segera mencedok seketul ayam bahagian peha ke dalam pinggan Jelita.
“Ha, makanlah..jangan segan-segan. Ada banyak lagi kat dalam periuk tu...”
Usai makan, mereka duduk di ruang tamu. Rozita menunjuk hantaran-hantaran yang dalam proses untuk siap. Dia membuat bersendirian. Senang nak buat sebab tak ada budak kecil yang akan menganggunya.
“Cantiknya ma hantaran ni semua. Pandai mama reka dan hias...” Jelita berasa kagum melihat hantaran yang bertema hitam dan putih itu.
“Ini hantaran sebelah perempuan, jadi kenalah kemas dan cantik...”
Khairy turut sama melihat dan mengangguk-gangguk sendiri. Rozita memandang ke arah anaknya itu.
“Sebelum ni Khairy tak berminat pun kalau mama sibuk buat hantaran ini kenapa tiba-tiba nak datang tengok hantaran yang mama buat ni. Dah sampai seru ke?” usik Rozita sambil memandang ke arah Jelita yang masih tidak menyedarinya.
Khairy ketawa kecil.
“Mama ni, kalau anak mama ni dah sampai seru tapi masih ada orang yang belum bersedia, Khairy tak boleh buat apa-apa lagi ma...”
Jelita masih tidak menyedari akan perbualan dua beranak itu. Dia hanya tertarik melihat hantaran yang digubah oleh mama khairy.
“Yalah, dah anak mama ni lambat bertindak. Jangan lama-lama sangat nanti kena kebas pula...”
Khairy ketawa sahaja sambil mengelengkan kepalanya. Kemudian, dia teringat sebab utama dia datang singgah ke rumah mamanya.
“Ma..” Khairy duduk di sebelah Rozita di atas sofa panjang, wajahnya kembali serius semula.
“Ma, Khairy ada benda nak tanya dengan mama”
“Herm, tanya apa?” Rozita memandang ke arah anaknya itu.
“Mama tahu tak pasal orang tua Nubhan. Awal pagi tadi, sebenarnya Khairy dengan Jelita bertolak ke Pahang dan kami singgah di Villa orang tua Nubhan, tapi kami menerima maklumat yang bercelaru. Mama tahu apa-apa tak tentang hal ni...”
Seelok sahaja Khairy menyebut mengenai orang tua Nubhan, wajah Rozita terus berubah kepucatan. Dadanya sedikit berombak dan dia bernafas sedikit pantas. Kemudian dia memandang ke arah lain dan berpura-pura melihat gubahan hantarannya. Dia tidak mahu anaknya melihat wajahnya yang kepucatan.
“Ada seorang pak cik ni beritahu kat kami, villa tu dah beberapa tahun tak ada penghuni. Rasanya khairy masih belajar di luar negara pada kejadian tu. Mama mesti tahu sesuatukan mengenai mereka”
Jelita memandang ke arah Rozita. Dia melihat sendiri Rozita seperti teragak-agak untuk menjawab pertanyaan Khairy dan kelihatan seperti dia sedang menyorokkan sesuatu. Hati wanita Jelita, merasainya bahawa Rozita tahu akan sesuatu.
“Ma?”
“Urm, Khairy tolong ambilkan kabus kat kaki Khairy tu...” Rozita meminta secara tiba-tiba cuba menutup keresahannya pada ketika itu.
“Ma?”
“Khairy, mama tak tahu apa-apa mengenai mereka. Selepas Khairy belajar ke luar negara, mama dah tak pergi melawat mereka di Pahang. Khairy pun tahukan mama akan pergi ke Pahang hanya dengan Khairy sahaja. Jadi mama memang tak tahu apa-apa mengenai mereka...”
Mendengar akan perkara itu, Khairy berasa sedikit kecewa kerana tidak mendapat maklumat yang sebetulnya. Bukan bermaksud dia tidak mempercayai kata-kata Jelita dan pak cik tua itu, Cuma dia inginkan kepastian daripada orang yang rapat dengan keluarga Nubhan dan orang itu sudah semestinya adalah mamanya.
“Lagipun, mereka sudah tidak menghubungi mama lagi. Mama pernah juga cuba telefon mereka, tapi tak pernah berjawab. Betul mama tak tahu apa-apa pun mengenai mereka...” beria-ia Rozita memberitahu.
Khairy memandang ke arah Jelita yang sedari tadi asyik merenung ke arah mamanya, mungkin Jelita syak mamanya cuba berbohong. Tetapi sebagai seorang anak, tak mungkin dia akan merasakan mamanya sedang berbohong pada ketika itu.
“Khairy tak tahu di mana Nubhan berada sekarang. Dia cakap dia sedang bercuti dengan keluarganya. Mama tak rasa pelik ke bila Khairy cakap macam ni dekat mama. Dulu dia pernah beritahu dekat Jelita mengenai orang tuanya yang ditimpa kemalangan, tapi bila dekat Khairy dia cakap dia sedang bercuti dengan orang tuanya”
“Mungkin dengan orang tua angkatnya, mana kita nak tahukan...” Rozita cuba memanipulasi pemikiran anaknya yang sedang kebingungan.
Khairy mengeluh berat dan dia mengeleng kepala sendiri.
“Khairy masih berkawan dengan Nubhan ke?”
Khairy mengangguk dan wajah Rozita berubah kepucatan semula.
“Ouh... dia tak ada beritahu apa-apa kepada Khairy?”
“Beritahu apa?”
Rozita pantas mengelengkan kepalanya apabila mata anaknya bertembung dengan matanya. Rozita pantas melarikan wajahnya dan berpura-pura sibuk membelek kabus dan kain hantaran.
Khairy melihat jam ditangan. Rasanya dia harus menghantar Jelita pulang dan merasakan Jelita sudah pasti berasa penat untuk separuh hari ini.
“Kalau macam tu tak apalah ma. Khairy nak kena hantar Jelita balik dulu. Dah separuh hari dia teman Khairy. Khairy pun kena masuk cafe petang ni. Entah apa yang jadi kat cafe pun tak tahulah sepanjang pagi tadi...”
“Ha, yalah...”
“Terima kasih ma sebab masakkan lauk yang sangat sedap. Terasa rindu pula dengan air tangan mak kat kampung...”
“Nanti senang-senang datanglah rumah mama, mama sunyi bila akak si Khairy ni sambung belajar kat luar negara tu. Khairy ni pula nak hidup berdikari tak mahu duduk sekali dengan mama...” ayat Rozita sedih pula.
“Ma, bukan tak nak tinggal sekali tapi Khairykan lelaki, jadi lelaki kenalah belajar hidup berdikari, nanti senanglah dah ada keluarga, tak perlu nak harapkan mama itu dan ini...”
“Yalah, dah bernanah telinga mama ni dengar..ha pergilah hantar Jelita ni balik. Mama tengok wajah dia pun dah kepenatan tu..”
“Baiklah ma.. Khairy balik dulu ya. Nanti dua tiga hari nanti Khairy datang melawat mama...”
Ketika Khairy sedang menyarung kasut ke kakinya, dia sempat melihat kereta milik arwah papanya yang ditutup dengan plastik tebal. Rasanya kenderaan itu sudah lama berada di dalam garaj.
“Ma, ma dah tak bawa ke kereta papa tu...rasanya masih elok lagikan...”
“Eh, nak buat apa. Mama dah malaslah nak pandu kereta ni. Mama lebih suka naik teksi je sekarang ni. Duduk belakang jadi ‘mam’” Rozita ketawa menghilangkan keresahan hatinya.
Kemudiannya Khairy menghulur tangan ingin bersalaman dengan Rozita.
“Hati-hati bawa kereta tu...” Rozita sempat melambai ke arah kenderaan anaknya sewaktu kenderaan anaknya keluar dari kawasan pintu pagar elektrik.
Khairy sempat membunyikan hon dan matanya terpandang ke arah sebuah kereta yang di dalamnya mempunyai pemandu yang tidak terlihat wajahnya. Rasanya kenderaan itu dari tadi lagi berada di tepi rumahnya.
“Boss, boleh saya cakap sesuatu tak?” Jelita bersuara setelah sekian lama dia menyimpan perkara itu di dalam fikirannya.
“Herm? Tanyalah...”
“Boss tak rasa ke yang mama boss macam sorokkan sesuatu daripada kita?”
“Entah, saya rasa tak kut..sebab mama tak pernah berbohong dengan anak-anaknya dan dia pun tak suka kalau anak-anaknya bercakap bohong dengannya...” begitu mudah Khairy menjawab.
Jelita terdiam buat seketika. Dia tak rasa seperti yang Khairy rasakan pada ketika itu. Mungkin sukar untuk Khairy meragui kata-kata mamanya sendiri.
“Kenapa Jelita, apa yang awak tengah fikirkan sekarang?”
“Boss, boleh tak kalau saya nak bagi pendapat saya sendiri...”
“Herm, pendapat? Apa dia?”
“Saya yakin yang mama boss rahsiakan sesuatu daripada kita. Tengoklah dari cara dia menjawab pertanyaan boss. Dia tak pandang mata boss pun waktu tu”
“Jadi awak nak cakap yang mama berbohong, macam tu?” Khairy memotong dan dia kelihatan tidak suka apabila Jelita meragui mamanya pula.
“Bukan..bukan itu maksud saya..Cuma saya hanya rasa...” dia berkata perlahan.
“Perempuan. Banyak perkara yang mereka rasakan dan banyak perkara yang mereka fikirkan. Kadang-kadang apa yang mereka fikirkan luar dari kemampuan mereka sendiri. Suka syak dan fikir yang bukan-bukan. Terlalu ikut kata hati...” wajah Khairy berubah serius pula. Apabila berkaitan dengan mamanya dia tidak suka ada orang lain bercakap yang bukan-bukan tentang mamanya.
Jelita sedikit berasa hati apabila Khairy berkata seperti itu kepadanya. Mungkin juga Khairy tidak suka orang lain memperburukkan mamanya.
Setelah itu Jelita diam tidak berkata apa-apa lagi. Daripada dia membuka mulut dan bercakap tentang hal yang bercanggah dengan Khairy lebih baik dia mendiamkan diri sahaja. Khairy mungkin tidak akan bersetuju dengannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience