Bab 19

Romance Series 7360

Jadual perjalanan untuk pulang ke Jeti Tanjung Gombak terngedala pada hari Ahad itu. Hujan turun dengan sangat lebat awal pagi itu dan mereka tidak dapat bertolak pulang dengan lebih awal seperti yang dirancang. Paras air juga meningkat dan Feri tidak dapat singgah di Tekek untuk mengambil penumpang yang ingin pulang.
Pada awalnya mereka merancang ingin pulang selepas Subuh, supaya mereka sampai sebelum tengah hari di KL. Disebabkan itu jadual feri terpaksa ditunda dan mereka masih berada di Tekek menunggu berita dari penjaga di situ.
Nubhan juga turut berada bersama-sama mereka dan dia seperti biasa bersama dengan Khairy, sahabatnya. Jelita duduk dengan kumpulan pekerja yang lain di satu tempat. Masing-masing membuat hal masing-masing. Ingin kembali ke chalet mereka sudah pun check out tadi.
Jelita mengeluh sendiri, dan mulai berasa bosan di situ dan dia memutuskan untuk berjalan-jalan di sekitar Tekek dan sempat berpesan kepada Mail untuk menelefonnya jika mendapat berita mengenai feri mereka.
Selang 20 minit kemudian ketika dia duduk di satu tempat berbumbung mengelak daripada hujan renyai-renyai sambil menjamah roti sandwich dan juga minuman bertin, seseorang menghadirkan diri untuk menemaninya di situ.
Jelita tersenyum sebaik sahaja melihat Nubhan menuju ke arahnya. Nubhan turut membeli sesuatu yang ringan untuk makan bersama-sama Jelita memandangkan mereka semua tidak bersarapan awal pagi tadi.
“Boleh duduk sini tak?”
Jelita ketawa berdecit.
“Duduk sajalah, tak payahlah tanya lagi” balas Jelita.
“Terima kasih” Nubhan mengambil tempat duduk berhadapan dengan Jelita. Dia membeli dua paket roti sandwich berperisa tuna dan juga sebotol kecil air mineral.
“Macam mana mood hari ni, okay?” tanya Nubhan.
“Urm, macam biasa. Sepatutnya kita sekarang dah ada kat feri, tapi terngadala pula. Ingatkan kalau sampai awal bolehlah rehat...herm...”
“Bunyi macam awak tak seronok je cuti ni”
Jelita pantas mengeleng laju.
“Eh, bukan macam tu maksud saya, Cuma..” Jelita terdiam dan tersenyum sahaja.
“Cuma awak seorang sahaja yang tak rasa ini adalah percutian yang menyeronokkan. Saya faham apa yang awak lalui sekarang. Khairy ada beritahu saya tadi, dia cakap tolong pujukkan awak supaya jangan berhenti kerja dahulu. Dia akan cuba sedaya upaya kawal dirinya dan beri ruang kepada awak, dan dia takut kalau awak benar-benar pergi...”
Mendengar akan itu, wajah Jelita sedikit berubah. Roti di tangannya hanya sedikit sahaja yang dijamahnya. Selera makannya tidak bertambah seperti mula-mula tadi.
“Kenapa mesti kami bertemu lagi, kalau semua ini tidak berlaku sudah semestinya hatinya tak akan kecewa...” Jelita berkata perlahan.
“Awak sebenarnya selalu fikirkan perasaan Khairy. Awak takut untuk melukakan hatinya, tapi bukankah itu bermakna awak ada rasa sayang terhadapnya..”
Jelita pantas mengeleng laju dan tangannya terawang-awang ke kiri dan ke kanan.
“Bukanlah..awak tak patut fikir macam tu...”
“Habis tu, awak selalu fikirkan tentang perasaan dia jugakan. Awak boleh menidak pada luarannya, tapi dalaman awak berkata mengenai sebaliknya” Nubhan cuba memerli Jelita secara baik, dan kemudian dia menjamah rotinya dengan suapan yang besar.
Jelita mengeluh sendiri secara tiba-tiba.
“Entahlah, saya tak tahu dengan diri saya sendiri. Ada masa saya rasa nak lari daripada dia, tapi dalam masa yang sama saya nak tengok dia...” Jelita bersikap berterus-terang.
“Awak sebenarnya masih sukakan Khairy bukan?”
Jelita terdiam dan termenung jauh. Betul ke perasaannya sekarang adalah suka, atau dia sebenarnya gembira kerana Khairy sibuk menarik perhatiannya.
“Kalau awak diam tu betullah..”
Jelita tidak tahu bagaimana ingin memberi respon mengenai itu dan dia memutuskan untuk menghabiskan sarapan paginya dan segera ke pangkalan tempat mereka berkumpul tadi dan menunggu sahaja feri di situ.
Dari jauh, mereka berdua menarik tumpuan Mona dan Lisa serta beberapa orang pekerja lain yang tidak ambil kisah melihat Jelita dan Nubhan bersama. Mona terus memandang menyampah ke arah Lisa.
“Ee..demand je kan Jelita tu, sudahlah boss dia nak kaut, kawan baik boss pun dia nak juga, dia tu perasan cantik saja” kata Mona kepada Lisa.
Lisa tidak berkata apa-apa. Dia bukan seperti Mona sentiasa sibuk dengan perhubungan orang lain.
“Tengoklah tu, jalan macam pasangan pula tu, aku rasa Jelita tu sengaja nak buat boss cemburu, aku kena ajar dia, Lisa kau kena tolong aku”
“Ha?! Tolong apa?”
“Berpura-pura tak sengaja tertolak dia, biar dia jatuh dalam air bawah jambatan tu...” Mona berbisik di telinga Lisa.
“Ha? Biar betul!” Lisa separuh bersuara kuat, tetapi sempat disiku lengannya oleh Mona.
“Kau ni coverlah sikit!” bentak Mona dengan suara perlahan.
“Kau pergilah cepat, buat-buat tak sengaja terlanggar dia..”
“Hisyhh, kau ni biar betul...tak naklah..”
“Kalau kau tak nak, aku akan beritahu dekat boss yang kau pernah curi duit dalam mesin secara diam..erm dah berapa kali kau tarik..sepuluh ringgit, kadang-kadang dua puluh..kadang-kadang tiga puluh...”
“Yalah” Lisa menjawab dengan pantas dan memandang ke arah rakan sekerjanya yang duduk sedikit jauh daripada mereka. Risau pula jika ada yang mendengar.
“Cepatlah pergi..” Mona mencuit-cuit siku Lisa kasar.
Lisa berjalan ke arah Jelita dan Nubhan, yang pada ketika itu berhenti di separuh jalan untuk melihat pemandangan di tepi mereka. Lisa terpaksa melakukan hal ini kerana Mona sedang mengugutnya. Jika tidak diikut rahsianya akan terbongkar dan dia juga akan mendapat malu. Wajahnya pucat lesi dan dia tersenyum bodoh ke arah Nubhan dan Jelita yang tidak melihat ke arahnya.
Dia memandang ke belakang, berharap tidak ada sesiapa yang melihatnya. Kemudian, perlahan-lahan dia berdiri di belakang Jelita dengan menahan nafas sendiri. Nubhan menyangkakan Lisa ingin berbual dengan Jelita jadi dia meninggalkan ruang untuk mereka dan berjalan ke arah tempat semua orang berkumpul tanpa disedari oleh Jelita.
Jelita masih asyik melihat pemandangan biru yang terbentang di hadapannya. Nampaknya cuaca semakin baik dan matahari mulai menyinar di kawasan Tekek.
Tiba-tiba..
“BAHHH!!!” Lisa sengaja bersuara keras mengejutkan Jelita dengan mendekatkan mulutnya di telinga kanan Jelita.
Akibat dari tindakan Lisa, Jelita tersentak terkejut dan dia bergerak ke hadapan tanpa disedari jika dia hanya selangkah untuk terjatuh dari jambatan kayu dan masuk ke dalam air.
“AAAAA!!!” Jeritan Jelita kedengaran dan terus menarik tumpuan mereka semua.
GEDEBUS!!!
Jelita terjatuh ke dalam air pada masa yang sama. Beberapa orang yang duduk di situ berdiri sambil memanjangkan leher dan melihat Lisa terbongkok-bongkok cuba membantu Jelita. Nubhan turut memandang ke belakang dengan wajah terkejut apabila melihat Jelita tidak berada di situ secara tiba-tiba.
GEDEBUS!!
Seseorang telah berlari dan melompat masuk ke dalam air untuk menyelamatkan Jelita. Sebelum diselamatkan, Jelita terkapai-kapai meminta tolong, dan sudah berapa banyak air yang ditelannya. Dia bukan seorang yang pandai berenang. Pada ketika itu, Jelita sudah tidak bermaya ketika dia merasakan seluruh tubuhnya tidak mempunyai tenaga untuk timbul di permukaan air dan pada ketika itulah dia menyedari seseorang telah menyelamatkannya dengan memeluk lehernya dari belakang dan wajahnya terdongak ke atas.
Rakan-rakan sekerja yang lain berlari menuju ke tempat kejadian dan mereka sibuk bertanya apa yang telah berlaku? Bagaimana Jelita boleh terjatuh ke dalam air? Lisa berwajah pucat dan dadanya berdebar kencang apabila melihat Jelita lemas.
Tubuh Jelita ditarik naik ke atas semula oleh bantuan rakan sekerja yang lain. Orang yang menyelamatkan Jelita terus memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut tanpa berfikir dua tiga kali sambil menekan-nekan dada Jelita beberapa kali sementara yang lain melihat dengan pandangan risau dan takut jika Jelita tidak dapat sedarkan diri semula.
Lisa sempat melemparkan pandangan resah ke arah Mona, tetapi Mona berpura-pura tidak melihatnya dan wajahnya kelihatan tenang sahaja.
Setelah beberapa kali menekan dada Jelita dan memberi pernafasan dari mulut ke mulut, akhirnya, Jelita kembali bernafas seperti biasa dan dia terus memuntahkan air yang ditelannya. Dia terbatuk-batuk kasar, dan matanya turut kemerahan. Ketika tubuhnya dibantu untuk duduk sebanyak 90 darjah, dia memandang ke satu bentuk tubuh yang kebasahan yang berjalan meninggalkan mereka menuju ke satu tempat.
“Jelita, awak tak apa-apa?” tanya Nubhan dengan pandangan risau.
Jelita sempat melihat ke arah Nubhan , dan hatinya pada ketika itu sangat risau dan sedih dengan apa yang baru berlaku kepadanya. Dia hampir-hampir mati kelemasan. Jika dia tidak diselamatkan, mungkin hanya jasadnya yang akan dibawa pulang ke KL semula dan keluarganya akan datang menuntut jenazahnya.
Dan juga dia berasa sangat pilu apabila melihat orang yang telah menyelamatkannya meninggalkannya di situ bersama mereka. Hatinya berdebar dengan sangat pantas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience