Bab 9

Romance Series 7382

Jelita tidak tahu bagaimana dia ingin berdepan dengan Khairy setelah kejadian semalam. Khairy menyangkakan dirinya adalah Jelita Maisarah, orang yang telah memulakan perkenalan mereka dengan menulis surat-surat.
Dia teringat kembali kata-kata Khairy yang mengatakan dia tertarik membaca surat-suratnya tetapi kenapa Jelita Maisarah memberitahu yang Khairy tidak berminat dengan surat-suratnya dan memilih untuk mencari pelajar perempuan itu dan kemudian tertarik dengan Jelita Maisarah pula. Apakah kerana Jelita Maisarah pandai dalam pelajaran membuatkan Khairy sukakan Jelita Maisarah.
Kepada siapa harus dia percaya? Khairy atau Jelita Maisarah?
Sambil mengelap dinding jernih di bahagian pintu utama, dia termenung kecil. Sedih apabila memikirkannya. Jelita Maisarah telah membohonginya selama ini dengan mengenali Khairy terlebih dahulu daripadanya walaupun mengetahui yang Jelita menyukai Khairy dengan lebih awal.
Herm, tapi itu kisahnya sewaktu dia masih awal remaja, jadi kenapa mesti dia berasa marah dan sakit hati lagi. Jelita Maisarah sudah pun meninggal dunia. Tetapi hatinya tertanya-tanya kenapa Jelita Maisarah sanggup berbuat seperti itu kepadanya.
“Kau kena cepat, kalau kau lambat, mungkin Khairy akan terlepas ke tangan orang lain” kata-kata Jelita Maisarah terngiang-ngiang di telinganya.
Benarlah apa yang diperkatakan kepadanya. Khairy sudah pun mengenali rapat dengan Jelita Maisarah dan mereka mempunyai banyak kenangan manis bersama.
Jelita tersentak apabila menyedari air matanya tiba-tiba sahaja mengalir membuatkan dia segera mengelap matanya dan segera mengelap dinding jernih semula. Semakin dia memikirkannya, air matanya semakin laju mengalir pada wajahnya.
“Weh, kau nampak tak apron aku, aku rasa aku letak atas kaunter tadi” soal Mail tiba-tiba. Dan kemudian dia tersentak terkejut apabila melihat Jelita menangis pula.
“Eh! Kau kenapa ni? Kenapa menangis ni?”
“Mail, aku ada hal sekejap, lagi 10 minit aku balik semula. Tolong cover untuk aku ya....”
“Weh! Takkan kau nak tinggal aku seorang diri opening nii...”
Jelita segera keluar dari Deflova cafe dengan wajah tertunduk dan dia berjalan laju menuju ke suatu tempat. Jarak antara Deflova Cafe dan Santai Cafe berselang-seli dengan lima buah kedai di situ. Jelita risau jika Mail akan memberitahu perihal itu kepada boss mereka, dan bagaimana kalau Khairy datang mencarinya dalam keadaan dia seperti itu. Dia tidak mahu bertemu dengan Khairy.
Sebaik saja dia masuk ke dalam Santai Cafe, dia melihat ke arah Nubhan yang sedang bercakap dengan seorang pekerjanya. Kunjungannya secara tiba-tiba di Santai Cafe membuatkan Nubhan berhenti dan meminta pekerjanya ke belakang seketika.
“Jelita kenapa ni? Sesuatu dah berlaku ke?” tanya Nubhan dengan rasa sedikit risau. Ini kali pertama dia melihat Jelita menangis seperti itu.
“Awak saya tak tahu nak pergi mana, boleh tak kalau saya pinjam tandas...”
Jelita menangis lagi, dan makin dia menyeka air matanya makin kerap turun.
Nubhan mengangguk dan dia memberi ruang kepada Jelita untuk menggunakan tandas peribadinya di dalam biliknya sahaja.
“Saya nak bersendirian...” beritahu Jelita dan Nubhan mengangguk.
Jelita masuk ke dalam tandas di bilik Nubhan dan sebaik sahaja pintu ditutup, dia terdengar tangisan Jelita. Nubhan berada di luar pada ketika itu dan hatinya terkesan apabila dia mendengar Jelita menangis seperti itu. Apa telah berlaku? Khairy marah kepadanyakah? Bukan ke waktu sekarang waktu dia opening di Deflova Cafe. Pasti sesuatu telah pun berlaku dan kerana iu Jelita menangis seperti itu.

****

“MAIL, mana Jelita? Tadi dia opening sekali dengan awakkan?” tanya Khairy apabila menyedari Jelita tidak ada bersama-sama Mail membuat opening pada pagi itu.
“Urm boss, saya rasa Jelita tak sihatlah boss. Dia tak pernah macam ni tadi” beritahu Mail dengan rasa sedikit risau.
“Apa maksud awak, Mail?” Khairy mula berasa tidak sedap hati.
“Tadi, saya lihat dia menangis banyak sangat. Saya risau dia sakit. Selepas itu dia tak cakap nak keluar kejap ada hal dan lepas tu terus keluar dari cafe. Boss nak saya cari dia ke?”
Jelita menangis? Bisik Khairy dengan wajah risau.
“Awak dah cuba call dia?”
“Dah, tapi tak berangkat”
“Tak apalah, biar saya cari dia kat luar. Mungkin dia ada di sekitar sini. Awak terus sambung kerja...”
“Baik boss”
Khairy turut keluar dari Deflova Cafe dan dia melihat sisi kiri kanannya. Dia tidak tahu kemana dia mahu pergi. Sekarang waktu Jelita bekerja, tak mungkin dia pergi dengan lebih jauh, atau sebenarnya dia sedang bersembunyi di satu tempat.

****

“MINUMLAH air ni dahulu, dapat legakan sedikit perasaan awak tu” secawan air dihulurkan kepada Jelita setelah Jelita keluar dari tandasnya 10 minit selepas itu. Dia melihat sendiri mata Jelita yang kemerahan teruk. Kemudian dihulur juga tisu kepada Jelita.
“Terima kasih” Jelita mengelap air matanya dan dia meneguk sedikit minuman berteh itu.
“Teh dapat melegakan perasaan waktu kita rasa tension, minumlah banyak lagi” kata Nubhan.
Jelita tersenyum tawar. Mereka kini sedang duduk berhadapan. Nubhan melihat lama ke arah Jelita yang mengeluh sendiri.
“Maaflah, saya tak bermaksud nak masuk campur, tapi kalau awak selesa dengan saya awak boleh luahkan perasaan awak kepada saya. Kalau saya tak boleh nak membantu, mungkin dengan mendengar masalah awak, kurang sedikit beban di bahu tu” Nubhan berkata dengan lembut.
Jelita menarik nafas dalam. Hidung dan matanya sudah kemerahan seperti clown pula. Malu pula apabila dirinya diperlihat oleh Nubhan.
“Urm, biar saya teka dahulu, awak ada masalah dengan Khairy ke? Khairy ada buat awak marah ke?”
Jelita mengeleng perlahan. Mungkin perkara ini ada kaitan dengan Khairy tetapi hanya 20 peratus sahaja. Hatinya menjadi sedih bila mengenangkan Jelita Maisarah dan apa yang telah dia lakukan di belakang Jelita dan juga kemalangan yang meragut nyawa Jelita Maisarah. 80 peratus ada pada Jelita Maisarah.
“Ianya sukar untuk saya ceritakan kepada awak. Tapi saya ni nampak bodoh sangat ke, sehinggakan tak sedar dengan apa yang orang dah lakukan keburukan di belakang saya. Saya cuba lawan perasaan ini, perasaan ini menyuruh saya untuk membenci orang yang sudah tiada di sisi saya”
Nubhan memberi perhatian kepada Jelita.
“Selama ini saya sangat percayakan dia, tapi saya tak sangka yang dia akan tikam belakang saya dengan menyukai orang yang saya suka. Hampir setahun kemudian dia beritahu yang dia berkenalan rapat dengan lelaki yang saya suka dan meninggalkan saya pada hari lahir saya...dan dia ditimpa kemalangan dan meninggal dunia...dan semalam, lelaki yang menyukai dia mahukan kepastian daripada saya, sedangkan dia telah pun tersalah orang. Orang yang dia jumpa itu adalah kembar saya, dan dia tertarik untuk mencari saya setelah membaca surat-surat yang saya tuliskan untuk dia sebelum ini. Tapi tetap tak samakan, saya bukan dia, dan dia bukan saya...” Jelita kembali menangis semula. Kata-katanya mungkin memeningkan Nubhan yang cuba membuat kesimpulan dari ceritanya.
“Maksud awak lelaki itu tertarik dengan kembar awak tu selepas membaca surat-surat awak dan salah sangka dengan memikirkan orang yang menulis surat itu adalah kembar awak, tetapi sebenarnya awak yang menulis surat itu? Macam itu ke?”
Jelita mengangguk. Ternyata Nubhan seorang yang bijak. Jelita fikir Nubhan akan pening memikirkan kata-katanya tadi.
“Kembar saya meninggal sembilan tahun yang lepas sewaktu kami berusia 15 tahun. Saya mula menulis surat kepada lelaki itu sewaktu saya berusia 14 tahun. Ianya cerita awal remaja dan memalukan jika difikirkan semula. Tapi semalam saya sangat terkejut apabila lelaki itu mengenali saya dan mengatakan saya sedang menyeksa perasaannya sendiri...”
“Orang itu adalah Khairy ke?”
Jelita tergamam. Bagaimana Nubhan sebijak ini boleh memikir fikirannya.
“Saya rasa Khairy pernah beritahu kepada saya mengenai perkara ini. Ada seorang pelajar yang selalu mengirimkan surat kepada dia. Dan saya rasa saya pernah melihat kembar awak. Patutlah saya seperti familiar melihat wajah awak sebelum ini. Maknanya kita pernah satu sekolah dahulu rupanya”
Jelita terdiam dan wajahnya menunduk kerana dia kini malu berhadapan dengan Nubhan. Dia terlupa yang Nubhan adalah kawan baik kepada Khairy. Sudah semestinya dia mengetahui serba-serbi mengenai Khairy.
“Awak tak perlu rasa berat tentang perkara ni. Saya okay je. Lagipun awak kena beritahu seseorang mengenai perkara ini dan tak perlu rahsiakan apa-apa supaya ada tempat untuk awak luahkan dan seseorang boleh memahami awak....”
Tuk..tuk..
Terdengar pintu diketuk dari luar dan kemudian terpancul wajah pekerjanya.
“Sir? Erm, kawan baik Sir nak jumpa?”
“Ouh..” Nubhan memandang wajah Jelita yang sudah tampak cemas. Bagaimana Khairy boleh berada di sini pula?
“Saya tak nak jumpa dia..tolong jangan beritahu dia yang saya ada kat sini” Jelita separuh merayu dan dia kembali masuk ke dalam tandas dan mengunci dirinya di situ.
Nubhan keluar dari biliknya dan dia menemui Khairy selepas itu.
“Nubhan, kau ada nampak Jelita tak lalu depan cafe kau ke apa ke?” tanya Khairy terus.
“Jelita? Tak, kenapa dengan dia?” Nubhan berlagak tenang dan dia membawa Khairy turun ke bawah semula.
“Tak..tak ada apa-apa, Cuma sekarang waktu dia buat opening, tapi dia tak ada kat cafe. Kasihan kawan dia yang lain”
“Ouh, aku tak perasan pula” dia cuba membaca air muka Khairy dan dia tahu sebenarnya Khairy sedang keresahan mencari Jelita Cuma Khairy berlagak biasa sahaja.
“Kalau kau ada nampak dia, kau call aku”
“Okay!”
Khairy beredar selepas itu.
Nubhan kembali ke biliknya dan dia memanggil Jelita keluar semula dari tandas.
“Betul ke dia dah pergi?” tanya Jelita dengan rasa sedikit cemas.
“Dah”
Jelita mengangguk kecil dan melepaskan rasa lega. Kemudiannya, Nubhan bersuara kembali.
“Kalau kita ada masalah dan takut nak berdepan dengan masalah itu, masalah itu tidak akan selesai dengan sendirinya berbanding kita berdepan dengan masalah itu sendiri. Awak fahamkan maksud saya. Awak tak boleh larikan diri awak daripada Khairy sedangkan awak adalah pekerja di Deflova Cafe, kecuali kalau awak berhenti tapi awak kena fikir dua tiga kali, sebelum awak berhenti. Sebelum ini awakkan yang merayu kepada Khairy agar dia tidak membuang awak. Masalah personal kita boleh tolak tepi dulu, yang penting waktu kita bekerja kita kena bertindak profesional”
Ada benarnya apa yang diperkatakan oleh Nubhan kepadanya. Sampai bila dia ingin terus menyorok di sini? Sampai bila Nubhan harus berada di sisinya dan memujuk dia agar berhenti menangis?
“Saya bukan nak menghalau awak, tapi awak kena fikirkan tanggungjawab awak sebagai seorang pekerja, saya beritahu kepada awak sebab saya risaukan awak”
Jelita mengangguk perlahan.
“Maafkan saya kalau saya dah menyusahkan awak”
“Tak apa, saya senang membantu. Tapi kalau awak rasa perlukan saya untuk berkongsi masalah, saya akan sentiasa mendengar”
Selepas itu, Jelita kembali ke Deflova Cafe dan masuk seperti seorang pencuri. Pada masa yang sama dia risau jika Khairy memanggilnya masuk ke bilik sedangkan dia tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu pada ketika itu.
Dan dia berasa lega kerana sepanjang hari lelaki itu tidak memanggilnya dan dia melakukan kerja dengan lebih berhati-hati supaya dia tidak melakukan kesalahan sewaktu bekerja.
Tetapi Jelita tidak tahu segala gerak-gerinya diperhatikan oleh Khairy dari dalam tetingkap bilik lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience