Bab 32

Romance Series 7360

Khairy mengeluh sendiri. Beberapa kali dia cuba menghubungi Jelita pada malam itu. Dia menyedari mungkin dia telah membuat hati Jelita berubah dengan kata-katanya siang tadi. Bukan dia tidak perasan Jelita langsung tidak berkata-kata apa selepas Khairy cuba memerlinya. Tetapi salah ke jika dia hanya berniat mahu melindungi mamanya sendiri.
Jelita terlalu mudah meragui kejujuran mama jadi dia berasa sedikit marah akan hal itu. Dia berniat mahu membuat mamanya turut menyayangi Jelita tetapi Jelita pula fikir yang bukan-bukan mengenai mamanya. Tak mungkin mama ingin berbohong pula walaupun pada mulanya dia berasa mamanya cuba menyorokkan sesuatu daripadanya, tapi sebagai seorang anak dia harus menyokong mamanya.
Khairy terduduk di kerusinya dan dia cuba meninggalkan pesanan kepada Jelita meminta Jelita menjawab panggilannya. Hampir sepuluh minit setelah pesanan dihantar tetapi Jelita masih enggan menjawab panggilannya.

Jelita, saya harap awak faham keadaan saya. Please angkat panggilan saya...

Pesanan hanya tinggal pesanan. Jelita tak mungkin akan membalas pesanannya. Begitu terasa sekali hati Jelita akan kata-katanya. Dia bukan berniat mahu melukakan hati Jelita tetapi dia hanya mahu Jelita berhenti berfikir yang bukan-bukan mengenai mamanya itu sahaja.

Jelita, saya minta maaf. Mungkin kata-kata saya telah melukakan hati awak.

Pada ketika itu, Jelita sekadar membaca sahaja pesanan yang dihantar oleh Khairy. Dia tidak bermaksud mahu membuat lelaki itu serba-salah kerananya Cuma dia hanyakan masa untuk bersendirian dan dia belum bersedia untuk bercakap apa-apa dengan lelaki itu selepas kejadian siang tadi.

Kalau awak masih marahkan saya, saya akan beri ruang untuk awak. Selamat malam Jelita. Tidur baik-baik...

Jelita masih tidak mahu membalasnya. Dia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja lampu bersebelahan katil bujangnya dan menarik bantal lalu dipeluknya erat. Tanpa sedar air mata Jelita mengalir secara tiba-tiba. Dia teringatkan Jelita Maisarah dan membayangkan bagaimana Khairy dan Jelita Maisarah gembira sebelum ini. Pasti terlalu banyak memori yang disimpan oleh mereka dan kerana itu Khairy tidak boleh melupakan Jelita Maisarah dan telah salah anggap yang Jelita adalah Jelita Maisarah.
Walaupun Jelita Maisarah sudah pun meninggal dunia, tetapi Jelita masih mencemburui Jelita Maisarah dan dapat merasakan betapa besarnya kasih-sayang Khairy terhadap Jelita Maisarah.
“Awak jahat Khairy, saya benci awak...kenapa awak selalu membuat hati saya berubah-ubah...” Jelita berkata perlahan dan dia membiarkan sahaja air matanya mengalir sendiri, menemani lenanya pada malam itu.

****

SUDAH lebih seminggu Nubhan tidak berada di Santai Cafe. Setiap pagi Jelita akan melalui Santai Cafe untuk ke Deflova Cafe. Dan setiap pagi juga dia cuba mencari bayang Nubhan. Tidak sebelum ini jika dia berjalan kaki untuk ke Deflova Cafe, Nubhan akan melambai tangan ke arahnya dan tersenyum sambil mengucapkan selamat pagi kepadanya.
Jelita menarik nafas perlahan dan kemudian menyambung perjalanannya. Sewaktu dia melangkah masuk ke dalam Deflova Cafe, orang pertama yang menunggunya di dalam adalah Khairy. Hanya khairy sahaja yang berada di dalam pada waktu itu.
Khairy memandang lama ke arah Jelita sehingga Jelita masuk untuk punch card di holder. Jelita tidak berwajah gembira pada ketika itu dan bukannya dia tidak tahu matanya sembap gara-gara air matanya tidak mahu berhenti pada malam tadi. berbagai-bagai perkara yang berada di dalam pemikirannya dan menganggu perasaannya.
“Jelita, masuk ke bilik saya sekejap...” dan Khairy berkata ketika Jelita masih berada di punch card holder berdiri secara membelakanginya.
Jelita menarik nafas dalam dan terdengar bunyi tapak kasut itu mulai meninggalkannya. Kemudiannya dia cuba menarik nafas sekali lagi dan menjaga emosinya supaya tidak mudah dibaca oleh Khairy.
Dia melangkah masuk ke dalam dan berdiri di hadapan meja Khairy yang sudah pun duduk di atas kerusinya. Jelita menundukkan wajahnya.
Khairy cuba melihat wajah mendung Jelita dan dia menyedari kedua-dua mata Jelita sembap, sudah pasti malam tadi sesuatu telah berlaku kepadanya dan kerana itu matanya sembap seperti itu.
“Awak, malam tadi saya minta maaf..sebabkan saya ke awak menangis?”
Jelita mengeleng sambil mengetap bibirnya. Dadanya menjadi sangat ketat ketika dia cuba menahan perasaan sendiri.
“Saya minta maaf, saya tak bermaksud nak cakap macam tu dekat awak. Awak kena faham, sekarang saya ada dua orang manusia yang perlu saya jaga hati dan perasaannya. Pertama mama dan kedua awak, Jelita”
Kata-kata Khairy mudah pula meresap masuk ke dalam hatinya membuatkan Jelita ingin kembali menangis semula.
“Awak tak apa-apa ke Jelita...” Khairy bertanya dengan rasa sedikit risau apabila dia melihat Jelita lain macam sahaja pada ketika itu.
Jelita pantas melarikan wajahnya setelah air matanya mengalir secara tiba-tiba. Dia terus memusingkan badannya ke belakang.
Khairy segera bangun dan dia mendapatkan Jelita berniat ingin memujuk Jelita semula.
“Jelita, saya minta maaf, saya tak bermaksud nak buat awak menangis lagi...hey..” Khairy merendahkan bahunya mahu melihat wajah Jelita.
Air mata Jelita makin banyak pula yang mengalir membuatkan Khairy tidak tentu arah jadinya. Dia tidak bermaksud mahu membuat Jelita menangis awal pagi itu. Dia menarik Jelita dan meminta Jelita duduk sementara dia separa melutut di hadapan Jelita untuk melihat wajah Jelita dengan lebih jelas.
“Saya minta maaf ya...saya tak nak awak menangis kerana saya, hurmm...” Khairy segera mencapai tisu di atas mejanya dan dia cuba mengelap air mata Jelita yang berlinangan laju di pipi wanita itu.
Setelah itu Jelita mengambil tisu tersebut dan mengelapnya sendiri. Malu sebenarnya apabila dilayan seperti anak kecil yang dimarahi oleh ibunya pula. Tetapi pada masa yang sama dia berasa senang dengan layanan Khairy. Khairy mudah meminta maaf dan Jelita tidak terasa beban dengan tangisannya selepas itu tetapi berasa puas setelah menangis di hadapan lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia mahu lelaki itu memahami isi hatinya dan tahu apa yang sedang dia rasakan pada ketika itu.
Khairy tersenyum lega setelah melihat Jelita tidak menangis lagi.
“Awak masih marahkan saya lagi?”
Jelita mengeleng kepala perlahan.
“Baguslah. Saya mengaku saya tak pandai memujuk orang menangis tapi untuk orang yang saya ambil kisah saya akan buat dia berhenti menangis. Payah macam mana pun saya akan cuba, kerana hati saya akan sakit juga kalau melihat orang yang saya sayang terluka kerana saya sendiri”
Jelita mengesat matanya yang pastinya sudah kemerahan teruk. Macam manalah dia nak keluar dari bilik ini. Risau pula jika Mail banyak bertanya jika melihat dia keluar dari bilik boss dalam keadaan seperti ini.
“Saya...” ketika Jelita ingin berkata sesuatu, Khairy mulai memberi tumpuan kepada Jelita.
“Banyak perkara yang menganggu saya malam tadi. Saya tak boleh nak luahkan perasaan saya ni kepada sesiapa pun. Macam yang boss tahu saya memang rapat dengan Nubhan kerana layanan dan sikapnya seperti seorang abang. Bila dia tak ada secara tiba-tiba saya mulai rasa kehilangan dan saya belum bersedia untuk kehilangan secara mengejut seperti itu. Dan saya juga ingin meminta maaf kalau saya telah membuat boss terasa hati dengan apa yang saya cakapkan tentang mama boss semalam. Saya tak memaksudkannya”
Khairy tersenyum sambil melepaskan nafas perlahan-lahan. Dia masih berlutut separuh dihadapan Jelita.
“Tak apa, saya juga bersalah sebab cakap perkara yang membuatkan awak terasa dengan saya”
Kemudiannya Khairy bangun dan melihat ke arah pintu biliknya. Dia terlihat bayang di bawah pintu biliknya, bayang seperti ada orang yang sedang memasang telinga mendengar perbualannya dengan Jelita.
“Saya rasa ada orang yang sedang mendengar perbualan kita, lebih elok kalau awak stay kat sini dahulu dan biar saya yang keluar. Kalau Mail tengok mata awak macam ni pasti banyak tanya pula..” Khairy berkata perlahan.
Kemudiannya dia pantas keluar dari bilik dan ingin menangkap orang yang mencuri dengar perbualan mereka. Sangkaannya benar apabila dia melihat Mail berwajah seperti cicak tertelan kapur sedang tersengih ke arahnya.
“Kamu buat apa kat sini?” tanya Khairy bermata dingin.
“Er..er saya..tak sebenarnya saya..saya nak mop kat depan bilik boss ni..ha...nak mop...” Mail memberi alasan.
Khairy memberi pandangan tajam ke arah Mail dan Mail pantas beredar dari situ. Tidak berani berlawan mata tajam dengan bossnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience