BAB 4

Romance Series 7360

Pada malam itu, Jelita berada di Santai Cafe untuk menghilangkan bosannya. Hari ini dia tidak membawa laptop dan buku notanya seperti biasa. Dia tidak berasa seronok pada hari ini setelah ujian temuduga yang dijalankan siang tadi. Serba-sedikit dia berasa menyesal dengan apa yang dikatakannya kepada boss baru mereka. Seharusnya dia harus mengawal emosinya terlebih dahulu dengan berfikir mungkin boss baru mereka hanya mahu menguji kesabarannya sahaja.
Mungkin dia telah pun dibuang pekerjaan berdasarkan sikapnya pada hari ini. Dia bukan lagi pekerja di Deflova Cafe. Nampaknya dia kena keluar dari bilik sewa yang disediakan oleh Deflova cafe untuk setiap pekerja yang bekerja di situ. Apa kata kak long agaknya jika dapat tahu yang dia telah pun dibuang pekerjaan.
Jelita berjalan menuju ke kaunter bar dan terus duduk di situ lalu pekerja semalam terus mendapatkannya.
“Hai, hari ini tak buat kerja ke?” tanya Nubhan. Kebiasaannya dia melihat Jelita membawa laptop dan buku notanya dan duduk di meja satu mengadap ke arah dinding berkaca.
“Tak, hari ni saya tak ada mood nak melakukannya” beritahu Jelita. Setelah itu dia memesan minuman hangat dan juga sepotong cheese cake.
Nubhan menyediakan minuman Jelita di dalam kaunter. Jika tidak silap hari ini adalah hari interview di Deflova Cafe. Melihat wajah Jelita seperti itu sudah pasti nasib tidak menyebelahinya.
Minuman coklat hangat tersedia di dalam mug dihidangkan di hadapan Jelita dan juga sepotong cheese cake.
“Hari ni saya belanja, memandangkan saya lihat awak macam tak gembira sahaja, macam mana dengan interview pada hari ini?” tanya Nubhan yang berdiri di dalam kaunter mengadap ke arah Jelita.
“Awak kerja kat sini pernah kena jawab survey dulu tak sebelum interview?”
“Survey? Kenapa kat Deflova Cafe buat macam tu ke?”
Jelita mengangguk laju.
“Awak tahu, soalan dia punyalah merapu-rapu. Tak ada kena mengena langsung dengan Deflova Cafe. Sudahlah 200 soalan pula tu dia tanya”
Nubhan memandang aneh dan dia ingin ketawa melihat wajah Jelita yang tidak berpuas hati itu. Mengerut-gerut dia melihat wajah Jelita dan dalam masa yang sama dia merasakan Jelita seorang yang comel.
“Oh ye ke? Habis tu bagaimana dengan interview?”
“Saya orang pertama yang kena panggil. Mula-mula tu saya memang nervous gila-gila. Sebab saya ada penyakit darah bergemuruh. Lepas tu bila dia cakap setiap pekerja yang bekerja dengan dia itu adalah hamba kepada dia, saya terasalah. Jadi saya marah dan saya beritahu dekat dia, dia tak layak jadi boss baru kami. Selepas tu saya keluar dari bilik. Keputusannya saya tak tahu, tapi saya rasa saya dah kena buang...” bibir Jelita muncung sedikit dan wajahnya kelihatan sedih.
Dia memegang mug tanpa meminumnya dan matanya jatuh melihat minuman bercoklat yang masih berwap itu.
Loceng yang digantung di pintu utama cafe berbunyi. Mata Nubhan memandang ke arah seorang pemuda berjambang yang berjalan menuju ke kaunter bar dan duduk selang sebuah kerusi dari Jelita. Kemudiannya dia memandang wajah Jelita jika Jelita memandang pemuda yang duduk berdekatan dengannya.
“Bagi aku minuman yang paling mahal kat sini” pinta Khairy seraya tersenyum kosong ke arah Nubhan.
Nubhan mengangguk dan menyediakan minuman buat sahabat baiknya itu.
“Thanks” kata Khairy sebaik sahaja minuman dihidangkan di hadapannya.
Nubhan terdiam dan dia memandang wajah Khairy dan Jelita silih berganti. Agak-agak apa akan berlaku jika mereka berdua nampak antara satu sama lain.
“So macam mana dengan interview hari ni?” soal Nubhan kepada Khairy dengan niat sengaja mahu menarik perhatian Jelita yang masih tidak memandang sesiapa pun pada ketika itu. Jika boleh dia ingin Jelita melihat Khairy dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya.
“Herm, hambar...” beritahu Khairy.
“Maksud kau?”
“Hambarlah semuanya entah apa-apa tapi aku tak faham dengan kakak aku tu, dia nak juga pertahankan pekerja-pekerja lama dia”
“Kau kena beri peluang kepada mereka dahulu, cara kau tu buat mereka terkejut”
“Terkejut? Kenapa pula nak terkejut. Ini cara aku, jadi mereka kenalah ikut apa yang aku nak. Sudahlah ada pekerja mula-mula sekali aku temuduga berani lawan cakap aku”
Jelita mengangkat kepalanya dan matanya terpaku memandang ke dalam kaunter. Setelah itu perlahan-lahan dia menoleh ke arah lelaki yang duduk selang sebuah kerusi darinya. Dia seperti mengenali suara lelaki itu walaupun tidak melihat wajahnya.
Nubhan memandang ke arah Jelita.
“Interview tak habis lagi dia terus angkat kaki belah. Ada hati nak suruh aku minta maaf pula tu”
“Erm, Khairy aku rasa kau kena pandang sebelah kiri kau” kata Nubhan.
“Kenapa?” Khairy terus memandang ke tepi dan dia melihat ada sepasang mata tajam sedang memandang ke arahnya. Kemudian dia memandang ke arah Nubhan pula.
“Aku tak faham...”
“Kau tak cam ke muka dia?”
“Maksud kau?”
“Jadi enciklah boss baru kami tu, baru saya nampak muka encik dengan jelas...”
Khairy terdengar suara gadis itu dan dia kembali memandang wajah gadis itu semula.
“Dialah orang pertama yang kau interview tu. Takkanlah kau tak cam muka dia?”
“Macam mana dia nak kenal kalau dia duduk pun pandang dinding. Sebab dia lebih suka pandang dinding dari pandang muka orang” kata Jelita menyindir dengan suara perlahan.
“Kejap? Awak ni pekerja yang biadap tu ke?” Khairy cuba memastikan.
“Encik yang buat saya jadi biadap” balas Jelita. Entah semangat apa yang telah masuk ke dalam tubuhnya dan dia menjadi berani untuk bertentang mata dengan lelaki itu.
“Awak cakap saya yang ajar awak jadi biadap..lihat cara awak bercakap sekarang ni. Saya ni boss baru di Deflova Cafe dan bila-bila masa sahaja saya boleh berhentikan awak”
Jelita terdiam dan sedang cuba mengawal perasaannya. Tidak dia tidak boleh kalah dengan lelaki ini. Ini mungkin ujian untuknya. Dia harus mengumpul kembali semangatnya. Jelita menarik nafas panjang dan setelah itu, tangannya mengangkat piring Cheese cakenya dan dia terus meletakkannya di hadapan Khairy.
“Tolong jangan berhentikan saya, saya minta maaf dari hujung kaki sehinggalah ke hujung rambut. Saya tahu saya dah cakap perkara yang tak elok mengenai boss. Saya minta maaf dan saya benar-benar menyesal dengan apa yang telah berlaku” Jelita membuat wajah sedih dan dia sangat berharap Khairy akan memaafkannya.
Nubhan ketawa tidak berbunyi melihat Jelita yang tiba-tiba berubah sikap. Tadi bukan main macam nak meluahkan rasa tidak puas hati kepada Khairy.
Khairy juga terkejut sebenarnya dengan tindakan pantas Jelita. Terkebil-kebil dia melihat wajah Jelita yang seperti sedang merayu kepadanya. Untuk beberapa minit dia hilang idea untuk berkata-kata melihat Jelita berubah kasihan pula.
Kemudian, dia kembali kepada dirinya yang asal dan dia harus berlagak tough dan tidak akan terpedaya dengan kemaafan gadis itu dengan mudah.
“Boss marahkan saya ke? Tolonglah jangan berhentikan saya lagi. Saya betul-betul perlukan pekerjaan ini, kalau saya kena buang kerja matilah saya dengan kak long saya. Keluarga saya dekat kampung mesti akan lebih kecewa...”
Khairy menyedut minumannya sambil diperhati oleh Nubhan dan juga Jelita.
“Kalau macam tu awak kena mengaku yang diri awak tu adalah hamba kepada saya, boleh?”
Jelita menarik kepalanya dengan wajah tidak ceria.
“Kalau atas sikit daripada hamba, hamba tu macam teruk sangat bunyinya..”
Khairy menoleh ke arah lain.
“Boss, sorrylah. Saya betul-betul menyesal. Saya tak patut cakap macam tu. Mungkin boss ada alasan sendiri kenapa boss buat macam tu. Saya ni je yang sensitif sangat. Saya hanya risau saya tidak diterima untuk bekerja di situ lagi sebab itu saya jadi terlalu beremosi”
Kemudiannya Nubhan berdehem setelah dia melihat drama mereka berdua, turut menarik tumpuan Khairy untuk memandang ke arahnya.
“Macam nilah, Khairy aku rasa kau kena melihat cara mereka bekerja dahulu. Kalau mereka bagus, kau kekalkan pekerjaan mereka atau kau boleh ubah mereka untuk ikut citarasa kau. Lagipun mereka dah biasa dengan Deflova Cafe dan tahu setiap pekerjaan mereka di situ. Kalau kau terus buang mereka sesuka hati dan ambil pekerja baru, kau akan lebih banyak kerja yang nak kena buat selepas inikan. Orang baru pun nak kena training jugakan?”
Mendengar kata-kata Nubhan, Jelita terus mengangguk laju dan bersetuju. Dia berharap Khairy akan terpengaruh dengan kata-kata Nubhan.
Tidak lama kemudian Khairy bersuara.
“Baiklah, saya akan menilai cara kamu semua bekerja. Jika saya dapati kamu semua tidak bagus, tidak ada alasan untuk saya cari orang lain sahaja...”
“Betul ke ni boss, terima kasih boss..terima kasih....” Jelita tersenyum gembira. Lega sedikit hatinya apabila Khairy mendengar kata-kata Nubhan. Nampaknya malam ini dia boleh tidur dengan lena.
****

“TERIMA KASIH awak, kalau awak tak tolong saya tadi, mungkin saya dah kehilangan pekerjaan saya” beritahu Jelita kepada Nubhan..
Khairy sudah pun pulang dahulu setelah menerima panggilan telefon daripada seseorang.
“Tak apa, lagipun saya hanya nak bersikap adil. Sekarang awak dah boleh tersenyum semula, baguslah”
Jelita tersenyum lebar. Kemudiannya Nubhan baru menyedari akan sesuatu, mereka berdua belum lagi mengetahui nama masing-masing.
“Erm, saya Nubhan”
“Ouh, saya Jelita...Nur Jelita. Rakan-rakan panggil Jelita je”
“Jelita? Wow klasiknya nama awak. Menarik” puji Nubhan.
“Terima kasih”
“Jadi, dah berapa lama awak bekerja kat Deflova Cafe?” Nubhan cuba memanjangkan perbualan mereka.
“Urm, adalah dalam setahun setengah. Itupun kak long saya yang tolong carikan. Saya beritahu dia saya tak kisah kerja apa pun asalkan halal, sementara saya tunggu untuk interview SPA pula”
“Oh ya ke? Baguslah kalau macam tu, sekurang-kurangnya awak ada sesuatu yang perlu dilakukan”
Jelita mengangguk laju. Dia selesa berbual dengan pekerja lelaki tersebut, dan dalam masa yang sama dia dapat kawan baru.
“Jadinya awak dengan boss saya tu dah lama kenal ke?” tanya Jelita ingin tahu.
“Yup. Kami satu sekolah dahulu, selepas habis SPM mama Khairy hantar dia belajar ke luar negara. Kami terputus hubungan hampir enam tahun dan sekarang kami dah rapat kembali”
“Oh, kawan baik?”
“Ya, kami kawan baik”
“Patutlah dia mudah dengar apa yang awak nak cakapkan tadi. Kalau biar saya seorang mungkin saya tak akan dapat bekerja di Deflova Cafe”
Nubhan ketawa kecil.
“Jadi awak bekerja shift malam sahaja ke?”
“Urm, tak juga. Kadang-kadang full time dari pagi sampai malam”
“Wah, awak buat kerja lebih. Awak kena jaga kesihatan awak juga. Jangan terlalu keras bekerja, nanti awak jatuh sakit” kata Jelita dengan perasaan naif.
Nubhan sedikit tersentuh dengan kata-kata Jelita. Jelita mengambil berat mengenainya.
“Terima kasih, awak orang pertama yang cakap macam tu”
“Ha? Maksud awak?”
“Awak orang pertama yang risaukan kesihatan saya..”
“Ouh...” Jelita tersenyum runcing. Dia kelihatan malu-malu pula apabila Nubhan memandang ke arahnya.
“Takkanlah tak ada orang yang pernah cakap macam itu dekat awak, maksud saya kawan baik awak Khairy, tidak pun kekasih awak ke?” Jelita tersengih.
“Macam yang saya beritahu dekat awak, saya dengan Khairy terputus hubungan hampir enam tahun, dan saya belum pernah dengar ayat itu keluar dari mulutnya. Saya tak ada kekasih”
“Tipulah, takkanlah orang yang ada paras rupa baik macam awak tak ada kekasih. Saya ingat awak ni pernah bekerja sebagai model waktu mula-mula saya datang ke cafe ni”
Nubhan ketawa bersahaja dan mengelengkan kepalanya.
“Habis tu bagaimana dengan ibu bapa awak?”
Nubhan terdiam dan wajahnya kelihatan tidak gembira untuk menuturkannya.
“Ibu bapa saya terlibat dengan kemalangan jalan raya empat tahun yang lepas. Ayah saya meninggal dunia dan ibu saya masih dalam koma”
Senyuman pada wajah Jelita hilang sedikit demi sedikit. Dia sangat terkejut mendengar perkara itu keluar dari mulut Nubhan sendiri. Dalam masa yang sama dia berasa serba-salah kerana membuatkan Nubhan mengingati perkara yang paling menyedihkan dalam hidupnya.
“Awak, saya minta maaf sangat-sangat. Saya tak tahu pun yang...”
“Tak apa, saya dah okay sekarang. Saya dah boleh terima...”
“Saya sangat simpati dengan apa yang telah berlaku...” Jelita pantas memegang tangan Nubhan yang berada di atas meja kaunter bar pada ketika itu dan mata Jelita memandang sayu ke arah Nubhan.
“Eh! Maafkan saya sebab pegang tangan awak. Jangan salah faham saya bukan perempuan yang nak ambil kesempatan...” Jelita menarik tangannya semula. Aduh! Apa yang aku dah buat ni? Bisik Jelita dengan rasa sedikit malu.
Nubhan ketawa kecil.
“Tak apa, saya tahu awak tak berniat apa-apa pun...” Nubhan tersenyum lama ke arah Jelita. Dia selesa dengan gadis itu.
Jelita melihat jam di dinding cafe.
“Dah pukul 10 setengah malam. Saya kena balik dululah. Saya dah berjanji dengan mak ayah saya tak boleh berada di luar sampai lewat malam, walaupunn KL ni selalu muda, tapi sayakan perempuan”
“Oh, tak apa saya faham”
Jelita menyeluk tangan ke dalam tas tangan kecilnya dan kemudian dia teringat akan sesuatu sambil tersengih kecil ke arah Nubhan.
“Tadi awak cakap nak belanja sayakan?”
“Ya sebab saya tengok awak sedih je mula-mula tadi, tapi lepas tengok awak dah kembali tersenyum awak kena bayarlah...” Nubhan sekadar bergurau bersahaja. Kemudiannya dia ketawa.
“Ya, saya belanja awak kali ni”
Jelita tersenyum lega dan menarik kembali tangannya dari dalam tas tangan.
“Kalau macam tu saya balik dulu ya. Bye!” Jelita melambai kecil ke arah Nubhan dan setelah itu keluar dari Santai Cafe dengan hati yang ceria.
Nubhan tersenyum ke arah pintu dan kemudian kembali menyambung kerjanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience