Bab 13

Romance Series 7360

“Aku perasanlah, antara kita semua, Jelita seorang sahaja yang boss tak pernah naik suara kalau buat silap. Aku ni dah bernanah telinga dengar boss membebel bercakap pasal services setiap hari. Pantang salah sikit je bisinglah dia. Memang super perfections betul” luah Mona tidak senang hati kepada Lisa ketika mereka berehat bersama-sama.
Tidak lama kemudian, Nana menyusul untuk makan tengah hari bersama-sama seniornya.
“Saya dengar suara kak Mona macam tak puas hati dengan seseorang je, kenapanya?” risik Nana mengambil tempat duduk di antara mereka berdua. Lisa memberi ruang tengah untuk Nana.
“Pasal Jelitalah..”
“Kenapa dengan akak Jelita?”
“Eh! Kau tak perasan ke yang Jelita tu macam nak mengampu boss je”
Nana kelihatan terkejut mendengarnya. Dia memandang kiri kanannya risau jika Jelita atau pekerja lain terdengar perbualan mereka.
“Macam mana akak boleh tahu, eh saya tak percayalah yang akak Jelita jenis macam tu. Dia itukan orang yang baik dan lemah-lembut” dalih Nana menyebelahi Jelita.
Mona membuat wajah bosan.
“Aku tahulah kau rapat dengan dia, tapi takkan kau tak nampak langsung sifat-sifat buruk dia tu”
Nana berfikir sendiri. Dia sendiri tahu bagaimana sikap Mona yang suka memandang rendah terhadap pekerja lain kecuali orang-orang yang suka mendengar cakapnya sahaja. Terutamanya Lisa yang selalu berada di belakangnya dan mereka berdua sangat rapat.
“Tak baiklah akak Mona cakap macam tu, mungkin akak Mona hanya berasa cemburu sahaja dengan dia” kata Nana naif. Dia tidak berasa serba-salah dengan apa yang diperkatakannya.
“Hey, aku rasa otak kau ni dah kena basuh dengan si jelita tu. Ikut kaulah nak percaya cakap aku ke tidak, apa yang pasti aku tahu yang Jelita tu nak ambil perhatian boss supaya boss boleh naikkan pangkat dia...”
“Nak naik pangkat apa pula, akak Monakan assitant boss, kedua tertinggi kat Deflova Cafe ni”
“Yalah, aku tahulah pasal tu. Tapi aku rasa tempat aku macam tak selamat. Aku kena lakukan sesuatu supaya boss lebih percayakan aku daripada Jelita. Tengoklah cara boss layan Jelita pun lain je aku tengok. Bercakap berbisik-bisik. Macam pasangan kekasih je aku tengok...” reaksi wajah Mona terlihat sedikit cemburu.
“Akak jealous ya, tengok boss layan akak Jelita baik” Nana sekadar mengusik.
“Siapa cakap aku tak jealous. Memang patutlah aku jealous. Aku ni assitant boss, boss sepatutnya layan dan faham aku dengan baik berbanding pekerja bawahan macam Jelita tu...”
“Hemmm...” Lisa berdehem menegur Mona kemudiannya.
“Aku ni pun pekerja bawahan juga, Nana pun pekerja bawahan juga, kalau ya pun, tak perlulah cakap macam tu” tegur Lisa.
Mona buat dengar tak dengar sahaja. Mona tidak bersuara apa-apa selepas itu. Dalam fikirannya dia sedang memikirkan jalan untuk menarik perhatian boss dan kenakan Jelita suatu hari nanti.

****

HAMPIR SATU JAM SETENGAH dia menyiapkan bab 14 manuskrip novel yang masih belum bertajuk itu. Dia menutup laptopnya sesudah dia berasa penat menulis. Dia bersenaman tangan di meja solonya. Setelah itu, dia memegang telinga mug dan mendekatkan mulut mug ke mulutnya, sangkanya air masih lagi ada tetapi rupa-rupanya minumannya sudah pun habis. Dia memandang kiri kanannya jika ada yang melihat kelakuannya.
Kalau orang lain tahu ni, pasti dia akan berasa malu. Dia meletakkan kembali mug di atas pelapik dan mulai mengemas mejanya. Laptop dan buku notanya disimpan di dalam beg laptop semula. Dilihat jam sudah pun menunjukkan pukul 10:20 malam. Dia bercadang mahu duduk sehingga pukul 10:30 malam dan kemudian dia akan pulang ke bilik hostel pekerja.
Nubhan tahu dimana tempat Jelita suka duduk ketika mahu bersendirian, jadi dia naik ke tingkat dua untuk menegur Jelita sebelum Jelita pulang.
Jelita terdengar bunyi orang menarik kerusi dan duduk di sebelahnya dan dia memalingkan wajah ke arah orang itu dan mengukir senyuman kecil.
“Hai!” tegur Nubhan.
Jelita mengangkat tangan.
“Dah siap buat kerja?”
Jelita mengangguk.
“Awak memang suka menulis ke? Awak sebenarnya menulis buku ke atau novel?”
“Ya, menulis adalah hobi saya dan saya memang sangat suka menulis. Ianya membuatkan saya seperti berada di satu dunia yang lain. Saya dapat lupakan masalah-masalah saya. Sebenarnya saya tengah menulis manuskrip novel”
“Wow! Macam menarik je. Novel? Mesti awak ni jenis yang romantikkan. Sebab kebiasaannya orang yang suka pada novel ni, orang yang suka ber’feeling’ dan suka mengambarkan watak-watak hero dan heroin yang gah”
Jelita tersenyum biasa.
“Ada sesetengah penulis sahaja yang macam tu. Tak semestinya bila dia suka novel dia suka ber’feeling’ dan berimpian nakkan hero atau heroin yang sama macam dalam novel. Apa yang awak tahu pasal novel sebenarnya?” menarik juga kalau dia mendengar pendapat orang lain.
“Urm, apa yang saya tahu pasal novel...” mata Nubhan ke atas dan dia kelihatan sedang memikir dengan mendalam mengenai pendapatnya tentang novel.
“Novel buat orang yang suka membaca, berimaginasi dan membuatkan mereka gembira” Nubhan terlihat yakin dengan pendapatnya.
Jelita tersenyum ringkas setelah mendengar pendapat daripada Nubhan. Fikirnya, Nubhan bukan seorang yang suka membaca novel. Ada ke lelaki minat membaca novel. Kalau ada pun 10 peratus sahaja daripada perempuan.
“Sebenarnya, ianya lebih kepada pengajaran daripada pengalaman. Kebanyakkan novel yang ditulis, berasaskan daripada pengalaman. Bila seorang penulis menulis mengenai pengalaman mereka, pembaca akan lebih menghayati apa yang penulis nak sampaikan. Itu sebenarnya yang lebih berkesan” ketika Jelita berkata, matanya sedang memandang satu arah. Dia menarik nafas perlahan.
Nubhan terdiam buat seketika dan dia merenung ke arah Jelita. Dilihat wajah Jelita yang kelihatan suram sahaja. Dia dapat merasakan di sebalik senyuman dan mata yang bersinar itu tersembunyi sesuatu yang memilukan.
Tidak lama kemudian tiba-tiba hujan turun membasahi bumi KL. Nubhan memandang ke luar. Pada waktu itu juga, Jelita ingin pulang.
“Tengah hujan tu, takkan awak nak balik” beritahu Nubhan.
Jelita turut memandang ke luar tingkap berkaca yang tertutup dan dia kembali duduk dengan sedikit keluhan. Kalau tahu hujan akan turun dia akan pulang dengan lebih awal.
Jelita memandang ke luar, tiba-tiba ingatannya kembali kepada zaman remajanya. Dia teringatkan kegembiraan dan juga kesedihan yang ditempuhinya selama ini, membuatkan dia berasa ingin menangis bersendirian di situ.
“Ceritalah tentang diri awak kalau awak rasa awak perlukan seseorang untuk mendengarnya” beritahu Nubhan yang seperti memahami keadaan Jelita pada ketika itu.
“Cerita tentang diri saya?”
“Ya”
Jelita mengambil masa untuk bercerita. Kenapa tidak dia bercerita mengenai dirinya kepada Nubhan. Baginya Nubhan adalah seorang lelaki yang baik dan dia selesa apabila bersama-sama dengan lelaki itu, persis dia bersama-sama dengan kenalan lama.
“Jelita Maisarah adalah akak kembar saya. Kami berdua sememangnya kembar seiras. Tak ada beza antara kami Cuma kami berlainan sikap dan perasaan. Jelita Maisarah selalu sokong dengan apa yang saya buat. Waktu saya beritahu yang saya nak belajar main piano dia orang pertama yang sokong saya dan tak habis-habis memberi kata semangat kepada saya, sehinggalah suatu hari dia telah melakukan sesuatu dan membuatkan hati saya terluka, sebelum pertandingan kami berdua bertengkar hebat, apa yang saya ingat dia tak sengaja telah menolak saya dan saya terjatuh. Saya Cuma menampung tubuh saya, tanpa saya sedar saya telah mencederakan pergelangan tangan kanan saya sendiri. Akibat daripada itu, saya terpaksa menarik diri dan Jelita Maisarah tidak pernah meminta maaf dengan apa yang dia lakukan kepada saya.
“Kebetulan dia juga bermain piano dan saya tak tahu yang dia berlatih secara diam selama ini. Apabila saya menarik diri, Jelita Maisarah terus mengantikan tempat saya, dan dia mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu. Orang tua kami sangat berbangga dengan dia, dan seperti menyisihkan saya, tapi saya tahu Jelita Maisarah pasti tidak sengaja untuk melakukan itu semua. Hanya saya seorang sahaja yang tidak bagus....”
Nubhan mendengar dengan baik apa yang diceritakan oleh Jelita. Kelihatannya dia mengenali dua orang kembar yang mempunyai sikap yang berbeza.
“Tak baik pula kalau saya menceritakan kisah lama kami, lagipun Jelita Maisarah pun sudah tiada”
Nubhan tersenyum biasa.
“Tapi pasti banyak perkara yang awak lalui selama ini dengan dia, dan hati awak terluka dengan perbuatan dia tu...”
Jelita termenung kecil dan matanya sedikit kemerahan. Dia memandang ke luar, hujan turun dengan sangat lebat seperti tidak mahu membiarkan dia pulang dengan lebih awal.
“Awak pernah rasa jatuh cinta?” tanya Jelita menukar topik perbualan secara tiba-tiba. Jika boleh dia tidak mahu bercerita mengenai kembarnya lagi.
Nubhan kelihatan sedikit terkedu dengan pertanyaan Jelita.
“Pernah” Nubhan mengakuinya dan dia menarik nafas perlahan.
“Bagaimana kalau kita beralih kepada diri awak pula?”
Nubhan mengangguk kecil. Dia mulai memikirkan seseorang.
“Cinta pertama saya tidak mendapat restu daripada orang tua kami. Kami menerima tentangan yang hebat. Keluarga dia mahu menetap di luar negara dan mereka mahukan anak mereka mengikut mereka bersama. Pada waktu itu usia kami baru menginjak 20 an. Baru nak mengenali erti cinta sebenar. Tapi itulah orang kata tak ada jodoh”
“Urm, kalau ditakdirkan awak bertemu dengan dia kembali, awak akan cuba untuk bersama dengan dia semula?”
Nubhan memikirkannya dan disebalik senyumannya dia memikirkan ‘kalau’ perkara itu benar-benar berlaku.
“Saya tak pasti sebab saya dah buang perasaan saya terhadap dia. Lagipun saya kena move on. Cinta saya bukannya hanya untuk seorang. Bagaimana dengan awak? Awak pernah ke rasa jatuh cinta?”
Jelita ketawa perlahan dan dia mengetap bibirnya dengan wajah sedikit malu.
“Saya tak tahu perasaan saya bagaimana sekarang, sama ada saya masih suka kepada dia atau tidak. Tapi entahlah, sekarang saya tak dapat menganggaknya lagi”
Tidak lama kemudian, pekerja Nubhan datang ke arah mereka dan berkata sesuatu.
“Sir ada teman lama sir nak jumpa”
“Teman lama? Ouh, baiklah...” Nubhan memandang ke arah Jelita.
“Jelita, urm, saya nak kena turun ke bawah, awak nak ikut sekali?”
Jelita mengangguk dan mereka berdua turun ke bawah bersama. Jelita mengikut belakang Nubhan, dan ketika mereka sampai di tingkat bawah, langkah Nubhan terpaku secara tiba-tiba. Matanya terbuntang ke arah seseorang. Seorang wanita berambut panjang dan hitam, memakai jaket labuh dan berskirt paras lutut dan berkasut tumit tinggi tiga inci, diperhatinya.
Jelita memandang belakang Nubhan. Itu ke kawan lama Nubhan, Ya Allah cantiknya dia seperti bidadari yang baru turun dari kayangan. Puji Jelita di dalam hatinya.
Wanita cantik itu menoleh ke arah Nubhan dan dia terus mengukir senyuman lebar dan melangkah mendekati Nubhan.
“Hai..” wanita itu menegur dengan suara lembut.
Nubhan masih terdiam seperti sebentuk patung. Matanya bergetar melihat wajah cantik dihadapannya itu.
Tidak lama kemudian, muncul Khairy pula dan turut ke arah mereka. Wajah Jelita pula yang berubah apabila melihat Khairy memandang ke arahnya. Tetapi kemudian Khairy bersuara ke arah Nubhan.
“Alia dah kembali, surprise!” kata Khairy dengan suara gembira.
Hanya dia seorang sahaja yang nampak gembira, tetapi tidak kepada Nubhan.
Melihat Nubhan terpaku seperti itu, Khairy terus memegang bahu Nubhan.
“Kau ingat lagi tak hadiah istimewa yang aku nak bagi kat kau, inilah hadiah istimewanya”
Alia tersenyum malu ke arah Khairy. Dia menyelak rambutnya ke belakang.
“Nampaknya dia macam tak sudi nak berjumpa dengan Alia” beritahu Alia kemudiannya dengan wajah sedikit hampa. Manakan tidak senyum pun tidak, tegur pun tidak.
Jelita berura-ura ingin pergi, dan tahu kedudukan dia di antara mereka bertiga. Nubhan memandang ke Jelita, dan masih memikirkan keadaan Jelita. Hujan sudah tidak turun selebat tadi.
“Jelita?” panggil Nubhan.
Jelita berhenti. Wajah Khairy dan Alia berubah.
“Awak nak balik dah ke?”
Jelita memandang ke luar dan dia mengangguk pasti.
“Hujan dah tak lebat sangat. Saya rasa lebih baik kalau saya balik sekarang, mana nak tahu kalau sekejap lagi hujan kembali lebat” beritahu Jelita dengan senyuman kecil dan dia sangat yakin Khairy sedang memerhati ke arahnya.
“Saya hantar awak balik, tunggu sekejap saya ambil payung” Nubhan hilang ke belakang.
Jelita berdiri di situ dan dia tahu dia sedang diperhati oleh Khairy dan juga wanita cantik bernama Alia itu. Jelita hanya berasa sedikit hairan, kenapa Nubhan nampak tidak teruja melihat teman lamanya itu.
Nubhan kembali dan pada ketika itu jugalah Khairy mendekati mereka.
“Kau nak kemana Nubhan?”
“Aku nak teman Jelita balik ke bilik dia semula, lagipun dia tak ada payung..”
“Apakata kalau aku je yang hantar Jelita balik”
Wajah Jelita terus terkedu seperti cicak tertelan kapur. Dia menelan air liur perlahan.
Nubhan memandang wajah Jelita seperti berharap Jelita akan berkata sesuatu dan menyelamatkan dirinya.
“Alia, dia nak sangat jumpa dengan kau, takkan kau nak tinggal dia kat sini. Tak elokkan. Dia dah lama nak jumpa dengan kau. Kau pergilah layan dia, tak apa aku boleh hantarkan Jelita...” Khairy mengambil payung dari tangan Nubhan.
“Tak apalah, kalau macam tu saya boleh pulang sendiri...” kata Jelita cuba mengambil payung dari tangan Khairy pula. Tetapi Khairy berpura-pura tidak mendengar dan dia terus menarik tangan Jelita menuju ke pintu utama cafe. Nubhan memandang ke arah mereka sebelum dia mendapat Alia dengan pandangan sedikit hampa kerana Jelita tidak berkata apa-apa kepadanya.
Jika boleh Jelita ingin pulang dengan sendiri, tetapi Khairy seperti mempunyai agenda dia yang tersendiri. Kenapa tidak dia pulang sendiri ke biliknya, lagipun bukannya jauh pun. Kalau balik berteman dahlah kena berkongsi payung pula tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience