Bab 30

Romance Series 7360

Perjalanan menuju ke Pahang hanya mengambil masa dua jam lebih sahaja, dan akhirnya destinasi mereka tiba di Temerloh, Pahang dan mereka sampai di sebuah villa besar yang kelihatan suram sahaja keadaannya. Kawasan kejiranannya pula tidak terlalu ramai. Jelita membaca tanda nama Villa tersebut, ‘love Bella Villa’. Agak tersasul lidahnya ketika dia ingin membaca tanda kayu tersebut.
Khairy melihat ke dalam dan mencari butang loceng. Jelita sedang memerhati ke arah Villa itu dari luar pagar. Entah kenapa dia berasa seram sejuk sahaja apabila melihat villa itu. Seperti villa itu berhantu pula. Tak mungkinlah Nubhan tinggal di villa seperti ini.
“Mungkin tak ada orang kut” kata Khairy. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan cuba menghubungi Nubhan.
“Dapat tak?” tanya Jelita selang seminit selepas itu.
Khairy mengelengkan kepalanya dan dia cuba menelefon lagi.
“Sepatutnya kita kena beritahu dekat dia dulu kalau kita nak ke sini. Mana nak tahu kalau dia keluar ke” kata Jelita. Dia kepenatan berdiri dan berjalan ke arah kereta bersandar di situ sambil matanya ralik melihat villa itu. Villa seperti ini sudah semestinya ada orang yang menjaganya. Tapi melihatkan rumput-rumput yang tumbuh meninggi, daun-daun kering yang tidak bersapu pasti tidak ada orang yang menjaganya.
“Assalammualaikum nak?” tiba-tiba Khairy disapa oleh seorang lelaki tua yang berjalan ke arahnya.
Jelita menegakkan semula tubuhnya dan dia melihat Khairy bersalaman dengan lelaki tua itu.
“Waalaikummusalam..”
“Anak ni cari siapa?” lelaki tua itu bermanis muka.
“Saya sedang mencari kawan saya. Dia tinggal kat sini. Urm, boleh tumpang bertanya, pak cik ada nampak tak mereka kat sini, kami ni datang dari KL”
“Ouh, patutlah pak cik tengok kamu berdua berdiri lama kat luar pagar ni. Pak cik ni duduk sekitar sini je. Ada penyewa baru ke kat sini? Setahu pak cik villa ni dah lama tak ada penghuni”
Seperti jangkaan Jelita benar. Dadanya berdebar resah secara tiba-tiba.
“Pak cik yakin ke tak ada orang yang tinggal kat sini”
“Apa yang pak cik tahu selepas kemalangan tu berlaku, anaknya sudah tidak duduk kat sini lagi. Jadi Villa ni memang terabai hampir beberapa tahun, tak ada pula orang yang berani nak menjaganya sebab ada yang cakap villa ni berhantu”
Glurp!
Jelita menelan air liur kasar.
“Pak cik tahu ke apa-apa mengenai kemalangan tu?” Khairy cuba mengorek rahsia.
“Urm..” lelaki tua itu berfikir mendalam dan agak lambat untuk memberitahu.
“Apa yang pak cik tahu, tuan rumah ni kemalangan di jalan raya ketika mereka berdua nak melawat anaknya di Kuala Lumpur tu. Ayahnya meninggal dunia dan ibunya, pak cik tak pasti akan keadaannya. Urm, anak ni kenal rapat ke dengan keluarga yang tinggal di villa ni sebelum ni?”
Khairy mengangguk.
“Ya pak cik, saya berkawan baik dengan anak pemilik rumah ni. Urm, terima kasih ya pak cik sebab beritahu perkara ni kepada saya...”
“Tidak apa..” lelaki tua itu meminta diri dan meninggalkan mereka.
Khairy mengajak Jelita masuk ke dalam kereta dan ingin segera beredar dari situ.
“Jadi boss percayalah cakap saya tentang orang tua Nubhan?”
Khairy menghidupkan enjin kereta terlebih dahulu dan matanya masih memandang ke arah villa itu.
“Saya rasa salah saya sebab saya tak tanya di mana Nubhan berada sekarang. kebiasaannya dia akan pulang ke villa kalau nak bercuti panjang. Apa yang saya tahu orang tua Nubhan bukan yang jenis suka melancong ke merata tempat. Jadi disebabkan itu saya yakin yang Nubhan akan berada di villa” Khairy berwajah serius. Bulu romanya tiba-tiba sahaja tegak berdiri apabila dia teringatkan cerita lelaki tua itu.
Nubhan sedang bercuti dengan siapa sekarang? Tapi dia ada sebut mengenai orang tuanya kepada Khairy dalam panggilan telefon dahulu.
“Boss? Boss?” Jelita memanggil Khairy apabila dia melihat Khairy termenung jauh pula.
“Jom..saya rasa tak sedap hatilah boss lama-lama kat sini” ajak Jelita ingin segera meninggalkan kawasan itu.
Khairy mengangguk dan memandu kenderaannya beredar dari situ. Kenderaan Khairy melintasi lelaki tua itu yang sudah berada di seberang jalan dan lelaki tua itu memandang ke atas melihat ke arah tingkap yang terbuka sedikit di villa itu. Dia melihat ada seorang wanita berambut panjang memakai blaus kuning, dan wajahnya sangat sama dengan wanita yang bersama-sama dengan Khairy tadi sedang memandang dingin ke arahnya. Kemudiannya lelaki tua itu terkejut apabila tingkap itu ditutup secara tiba-tiba. Lelaki tua itu pantas beredar pergi.
Memang betul villa itu berhantu sebenarnya!

****

PERJALANAN MEREKA pulang ke KL semula penuh dengan pelbagai persoalan yang bermain di fikiran. Tanpa mereka sedar, sepanjang perjalanan mereka tidak banyak berbual. Khairy sedang memikirkan mengenai Nubhan begitu juga dengan Jelita yang masih terbayang-bayang villa itu di ruangan matanya.
“Boss, patut tak kita buat laporan polis sahaja, boss pun dah cuba menghubungi Nubhan tapi tak pernah dapatkan. Hati saya juga rasa tak sedap boss...” Jelita memberi cadangan setelah lama dia memikirkan akan perkara itu.
“Tak boleh Jelita. Itu seperti menganggu privasi Nubhan. Mungkin Nubhan tidak mahu kita menganggunya...”
“Tapi boss, kenapa saya rasa dia macam pelik je sebelum dia pergi tu”
“Pelik macam mana?” Khairy berasa tertarik dengan pernyataan Jelita.
“Urm, sebelum dia pergi bercuti tu, saya ada temankan dia keluar beli barang, dan saya tengok dia beli barang peribadi untuk dirinya sendiri, dan saya rasa hairan sebab dia tak beli pun buah tangan untuk orang tuanya pun kalau dia betul-betul nak berjumpa dengan orang tuanya semula. Macam saya, kalau saya nak balik kampung, saya akan belikan buah tangan untuk keluarga saya”
“Entahlah Jelita, saya rasa Nubhan seperti rahsiakan sesuatu daripada kita. Mungkin benar apa yang awak dan pak cik tu cakap yang ibu bapanya sebenarnya telah ditimpa kemalangan beberapa tahun yang lepas, sebabkan itu tak ada orang yang tinggal di villa mereka tu lagi. Keluarga Nubhan juga sedikit anti sosial dengan orang di sekeliling mereka. Mereka tak mudah untuk membuat kawan. Hidup mereka hanya mereka bertiga sahaja”
Jelita mengeluh perlahan. Dia teringatkan Khairy pernah memberitahunya akan sesuatu.
“Tapi boss pernah cakap yang boss sangat rapat dengan orang tua Nubhan”
“Ya, sewaktu saya di sekolah menengah, saya berkawan baik dengan Nubhan dan Nubhan sering mengajak saya pulang ke Villa bila tiba cuti sekolah. Mama saya juga mengenali mereka. Atau dalam erti kata mereka sangat baik dengan keluarga saya.”
“Ouh...”
Jelita memandang ke hadapan. Dahinya mengerut memikirkan semua itu.
“Saya bingung Jelita, kenapa Nubhan nak rahsiakan semua ni daripada saya...”
“Boss tak pernah tanya ke dekat mama boss. Mungkin dia tahu tentang perkara yang sebenar”
“Betul tu Jelita. Kenapa saya tak pernah terfikir tentang perkara ni...” Khairy tiba-tiba mendapat idea dan dia ingin segera sampai di KL dan bertanyakan perkara itu kepada mamanya pula.
“Awak nak ikut saya jumpa mama saya tak?”
“Huh?” ikut boss jumpa mama boss? Kenapa bunyi macam lain je, macam mereka adalah pasangan yang ingin mendapat restu pula.
“Eh, tak apalah, saya seganlah...”
“Kenapa nak segan pula. Mama saya pun dah lama tak berjumpa dengan awak. Selalunya waktu kita sekolah dulu, waktu hujung minggukan mama akan sediakan makanan untuk awak sekali dan kita bertiga makan bersama-sama di ruang asrama”
Tubuh badannya menjadi seram sejuk pula. Kehidupan Jelita Maisarah dahulu sudah semestinya membahagiakan. Dia dapat bersama-sama dengan orang yang dia suka. Dia terus berdiam tidak berkata. Dadanya berdebar pada ketika itu.
Melihat Jelita diam, Khairy menoleh beberapa kali ke arah Jelita. Jelita nampak tidak gembira dengan cadangan Khairy ingin membawanya berjumpa dengan mamanya. Atau sebenarnya, Jelita hanya berasa segan dengan mamanya setelah sekian lama mereka tidak bertemu.
“Awak janganlah risau. Mama sayakan sukakan awak. Lagipun dia dah tahu pasal awak. Saya yang dah beritahu dekat dia yang awak bekerja dengan saya dekat cafe”
“Ha?” Jelita nampak terkejut kelihatannya.
“Kenapa awak beritahu dekat mama awak pula?” Jelita berwajah tidak tenang ketika dia menuturkan kata-katanya tanpa dia sedari dia telah menukar bahasa panggilan ‘boss’ kepada ‘awak’.
Khairy yang mendengarnya tersenyum lebar.
“Boleh awak ulang balik apa yang awak cakapkan tadi?” sengaja Khairy meminta. Dia tersenyum penuh bermakna kepada Jelita.
“Ha? Yang mana?”
“Ayat akhir awak tu?”
Jelita menarik kepalanya ke dalam. Takkanlah bossnya sudah pekak dan tidak jelas dengan apa yang dia cakapkan tadi.
“Maksud saya, kenapa boss beritahu dekat mama boss pasal saya kerja kat cafe tu...”
“NO! Bukan yang itu. Awak tak panggil saya ‘boss’ tadi, tapi awak panggil saya ‘awak’ tadi”
Jelita membuat wajah pelik. Ada ke dia cakapkan tadi?
“Entah” balas Jelita malas mahu memikirkannya.
“Ya, saya dengar awak panggil saya ‘awak’ tadi”
“Habis tu, boss marah saya panggil macam tu. Lagipun kita bukan kat tempat kerja..” Jelita menoleh ke tepi menutup rasa malunya, kalau benarlah dia memanggil lelaki itu dengan panggilan ‘awak’ tadi, patutlah lelaki itu kelihatan beria-ia gembira pula.
“Saya suka awak panggil ‘awak’ daripada menggunakan ‘boss’, jadi saya nak awak panggil saya ‘awak’ atau pun Khairy sahaja. Tidak pun kalau nak atas sikit boleh panggil saya ‘abang’. Sayakan lebih tua daripada awak”
Jelita membuat muka ke tepi apabila lelaki itu sengaja mahu mengusiknya pula. Terlupa terus kepada Nubhan.
“Awak ikut saya jumpa mama ya?”
Perut Jelita mulai rasa tidak senang. Dia rasa mual dan kepalanya terus berasa pening.
“Boss, kalau saya tak nak boleh tak. Saya rasa macam tak sihatlah...”
“Awak sakit ke?”
Jelita mengangguk dan membuat wajah seperti orang sakit. Dia berharap Khairy akan membatalkan niatnya itu.
“Tak apa, rumah mama ada ubat, nanti saya minta ubat dekat mama sahaja...”
Jelita memejamkan matanya dan sekali lagi memandang ke tepi. Aduh, macam mana dia nak cari alasan untuk tidak pergi berjumpa dengan mama Khairy.
Khairy tersenyum sahaja dan berasa tidak sabar untuk membawa Jelita menemui mamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience