BAB 3

Romance Series 7360

“Hari ini saya nak belanja semua staf saya makan, sebagai hadiah saya kepada kamu semua sepanjang bekerja dengan saya. Jadi kita tutup awal sedikit cafe untuk malam ini”
Cik Sakinah berada di hadapan sedang memberi sepatah dua kata kepada sepuluh orang pekerja shift siang dan malam. Jelita duduk di sebelah Mail dan memberi perhatian kepada Cik Sakinah.
“Saya dah minta chef-chef kita untuk masakkan makanan yang lazat untuk dijamukan kepada anda semua. Saya harap semua orang akan menikmatinya dengan gembira”
“Cik Sakinah, besok boss baru akan datang melawat ke, bila tarikh interview tu?” tanya Nana, pekerja part time. Merupakan seorang pelajar Universiti.
Semua orang memberi perhatian kepada Cik Sakinah. Mereka juga tertanya-tanya mengenai interview tersebut.
“Urm, mungkin. Esok juga tarikh interview akan dijalankan. Tapi saya harap, semua orang akan diterima untuk terus kekal di sini. Kamu semua dah banyak tahu pasal cafe ni, jadi sayanglah kalau ada yang terpaksa ditolak”
“Herm, saya risaulah kalau saya tidak diterima untuk bekerja di sini. Kuranglah duit saku saya...” kata Nana, bernada risau.
“Jadi buatlah yang terbaik esok” kata Cik Sakinah bersemangat.
Perut mulai bergelodak tidak sedap. Jelita mula berasa bergemuruh dan wajahnya tidak gembira ketika Cik Sakinah memberitahu yang malam itu mereka akan dihidangkan dengan makanan yang istimewa. Kenapa interview mesti dilakukan pada hari esok. Dia masih belum bersedia untuk melakukannya. Dilihat Mail yang kelihatan tenang sahaja di sebelahnya. Dia ini betul ke tak apa-apa.
“Jadi kalau kami tidak diterima untuk bekerja di sini, boss baru akan cari pekerja baru pula ke?” tanya staf yang lain.
“Ya, sudahlah. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Kamu semua dah pakar kat sini. Jadi teruskan macam biasa. Layankan sahaja pertanyaan dia tu nanti”
Makanan sudah pun dihidangkan di atas meja. Kesemuanya nampak menyelerakan, tetapi wajah masing-masing nampak tidak bermaya apabila memikirkan hari esok.
“Jadi kalau esok interview, Deflova cafe tak akan dibukalah ya...” kata Nana yang mengambil tempat duduk di sebelah Jelita.
Jelita tersenyum keras.
“Herm, agak-agak macam manalah rupa boss baru kita tu. Jangan-jangan lebih garang dari Cik Sakinah...aduh, takut pula memikirkan hari esok...”
“Hisyh! Kau ni Nana, boleh tak jangan negatif sangat fikir tu. Buat macam biasa sudahlah...” kata Mail dengan wajah tenang.
“Abang Mail, saya ni macam nak gila dah tau sejak dua tiga hari ni. Cik Sakinah sendiri yang beritahu boss baru kita tu lebih cerewet daripada dia. Dengan Cik Sakinah pun dua kali makan hati inikan pula dengan adik dia tu..” Nana berbisik antara mereka.
Jelita yang berada di tengah-tengah mereka berwajah tegang. Rasanya bukan Nana sahaja yang mahu menjadi gila, tetapi dirinya juga. Dia berasa risau jika dia tidak dapat melakukan dengan baik keesokkan harinya.
“Sudahlah, tak payah fikir jauh sangat. Buat, doa dan tawakal. Ada rezeki kau, adalah nanti...Jelita kau kenapa diam je ni? Tadi kau sendiri yang cakap lapar macam nak mampus, ni tiba-tiba pula terkuis-kuis sudu tu..” tegur Mail dengan kerutan di dahinya.
Jelita tidak menjawab dan dia memaksa dirinya mengunyah makanan dengan rasa berat. Esok adalah hari penentu corak perjalanan hidupnya, memikirkan akan hal itu sepanjang malam dia tidak dapat tidur dan akhirnya dia memutuskan untuk membiarkan kedua-dua matanya menjadi panda.

****

JELITA melihat Mail di hujung tempat dan rakan sekerja yang lain sedang mengisi survey dengan kerutan di dahi dan wajah yang tegang di setiap meja. Jelita tidak tahu apa yang sedang mereka lakukan sekarang. Belum pernah lagi dia mengisi survey untuk panggilan temuduga sebelum ini. Dan soalan yang ditanya tidak ada kena mengena dengan Deflova Cafe.
Mona tidak terkecuali untuk mengisi survey walaupun dia adalah pembantu cafe Cik Sakinah sebelum ini. Dia kelihatan yakin, yang dia akan kekal bekerja di situ. Untunglah...
Sebanyak empat helai A4 depan belakang yang perlu diisi. Ayat surveynya sangat panjang dan meleret-leret dan luar dari kefahaman. Rasanya soalan ini lebih mencabar dari soalan final exam di UiTM dahulu.

Apakah unsur-unsur jenayah yang boleh dikategorikan sebagai akta jenayah paling berbahaya?

Adakah sebelum ini anda pernah terlibat dengan pengambilan dadah, pil hormon dan seangkatan dengannya?

Pada tahun berapakah portugis menawan tanah Melayu?

Inilah sejarah pertama dalam hidupnya, dia merasa ingin menangis, muntah hijau dan pengsan mengisi survey yang mengandungi 200 soalan. Untuk apa survey ini dilakukan? Adakah kebijaksanaan juga diperlukan untuk bekerja di Deflova Cafe.

Sila selesaikan soalan add math di bawah:

Dia berharap dia tidak akan bertemu dengan matematik seperti ini lagi, tetapi pada hari ini dia perlu menyelesaikan dua soalan yang berkaitan dengan add math. Normal ke tidak boss baru mereka ni?
Aku bekerja sebagai pelayan je kut? Bukannya bidang engeneering ke arkitek ke sampai nak kena jawab soalan add math ni? Bisik Jelita dengan rasa ingin menangis.

Jangan cuba meniru!

Jelita menganggak boss baru mereka bercita-cita untuk menjadi pengawas peperiksaan mungkin. Siap tinggal pesanan jangan cuba meniru. Ceih!

Sila berikan pandangan pertama anda terhadap saya. Isi dengan ikhlas dan jujur.

Jelita menarik nafas dalam dan tangannya mulai mencoret-coret dengan mata kuyunya. Jika dia cepat menghabiskan menjawab survey, dia akan dapat berehat seketika untuk tidur. Otaknya semakin tepu untuk menjawab soalan yang ke 197.
Ah! Tulis sajalah.
Habis sahaja menjawab survey, Jelita meletak borang survey di atas meja kaunter dan dia kembali ke mejanya untuk tidur seketika. Matanya sudah tidak berdaya untuk dibuka. Dia harus tidur untuk menghilangkan rasa mengantuknya.
Setengah jam selepas itu, dia merasakan ada tangan yang menolak-nolak bahunya membuat dia kembali terjaga dan memandang ke arah Mail dengan mata pedih.
“Sempat lagi kau tidurkan. Cepatnya kau jawab soalan...”
Jelita berdiri dan melihat semua orang sudah berada berhampirannya.
Pada ketika itu di hadapan mereka berdiri Mona dengan wajah cemas dan sedikit gementar.
“Korang, nanti masuk bilik seorang demi seorang tau. Boss dah ada dalam bilik” kata Mona dengan suara perlahan.
Hilang terus rasa mengantuk Jelita apabila mendengar boss baru mereka sudah pun berada di situ. Masa bila dia datang. Jangan-jangan dia dah melihat Jelita tidur tadi. Alamak! Habislah..
“Mona dah beri borang survey kat boss tadi, nanti tunggu dia panggil nama. Korang standby tau” Mona beredar dari situ.
Jelita menarik kerusi ingin duduk kembali tetapi dia kembali berdiri tegak semula apabila terdengar namanya dilaung dari dalam bilik.
“NUR JELITA BINTI ISMAIL”
Matanya bulat terus apabila dia merupakan orang pertama untuk ditemuduga.
“Akak, good luck” kata Nana ketika dia melihat wajah Jelita pucat lesi terus.
“Go! Go Jelita” kata Mail memberi semangat.
Terasa berat sahaja kakinya melangkah menuju ke bilik boss baru mereka. Kenapakah semua ini harus berlaku kepadanya. Sudahlah merepek-repek jawapan yang diberikannya. Soalan add math pun dijawab macam budak tak pernah belajar. Sudah memang dia tidak pernah belajar pun kat sekolah sebelum ini. Dia bukan budak sains. Kemudian dia teringat kembali jawapan yang menyuruh dia menjawab,
Sila berikan pandangan pertama anda terhadap saya. Isi dengan ikhlas dan jujur.

Kata dengan jujur, jadi sehabis jujur dia menjawab soalan itu.
Mungkin dia akan dibuang kerja kerana jawapannya kepada soalan itu.
Tuk..tuk...
Dia mengetuk pintu bilik itu dengan tangan mengeletar. Sebelum melangkah masuk dia sempat berselawat perlahan untuk menenangkan perasaannya.
“Masuk!”
Jelita melangkah masuk dan melihat boss baru mereka yang duduk secara tepi sedang membaca survey milik Jelita. Kedua-dua tangannya digenggam rapat. Dia sangat cemas pada ketika itu apabila melihat boss baru mereka kelihatan tidak gembira membaca survey miliknya.
“Tercegat apa lagi kat situ, duduklah...” arah boss baru mereka yang tidak diketahui namanya.
Jelita tersentak kecil dan dia pantas duduk.
“Saya rasa boss seorang yang sangat perfectiones. Dalam erti kata boss lebih cerewet daripada Cik Sakinah. Kalau Cik Sakinah tu harimau, boss mesti macam singakan. Saya tak fahamlah kenapa saya kena jawab soalan yang merapu-rapu macam ni. Boss ni okay ke tidak. Boss tahu tak saya tak tidur malam sebab memikirkan interview ni. Saya ni pekerja yang BERDEDIKASI, CEKAP DAN AMANAH. Tak pernah buat salah. Kalau ada pun sikit je...bla..bla..bla...” boss baru mereka cuba meniru gaya Jelita bercakap tetapi dengan suara lelakinya.
Jelita menundukkan wajahnya kerana berasa malu dengan jawapan yang diberikan. Dia tidak terfikir pula survey itu akan diperiksa di hadapannya.
“Jujur betul apa yang awak tulis ni” borang survey itu diselak dengan rasa tidak penuh berminat. Dia masih tidak memandang wajah Jelita dengan sepenuhnya.
“Suruh isi survey pun merapu-rapu...”
“Boss yang buat soalan merapu-rapu, saya pun jawablah merapu-rapu...” tanpa disedarinya, Jelita membuka mulut. Kemudian dia sendiri terkejut dengan jawapan yang diberikannya.
“Tengok tu dah pandai melawan”
“Maaf boss, tapi saya beritahu apa yang sebetulnya. Belum pernah lagi orang yang kena interview kena jawab soalan survey banyak macam ni”
“Habis tu awak dah mula nak mengeluhlah ni...”
“Bu..bukan macam tu boss, bukan macam tu. Soalan survey tu tak ada kaitan langsung dengan Deflova cafe. Sudahlah banyak pula tu. 200 soalan. Muntah hijau jadinya”
“Setiap orang yang nak bekerja di bawah saya, tak akan ada alasan yang teruk macam awak. Orang yang bekerja dengan saya tak ubah macam hamba saya...awak kena ingat tu...”
Jelita memandang lama ke arah boss baru mereka. Dia kata ‘tak ubah macam hamba dia’. Ini dah melampau!
“Dalam hieraki pekerjaan tak akan ada perkataan hamba dan raja. Boss bukan raja kami dan kami bukan hamba boss. Boss tak boleh layan kami macam kami ni menagih nakkan pekerjaan ni. Cik Sakinah yang cerewet tu pun tahu menjaga hati kami, tapi boss ni benar-benar kejam”
Boss baru mereka tersenyum dari tepi. Dia langsung tidak mahu memandang ke arah Jelita.
“Boss patut minta maaf dengan apa yang boss dah katakan kepada saya tadi, boss cakap saya dan yang lain-lain tak ubah macam hamba boss, boss tak ada hak untuk cakap macam tu kepada kami” Jelita bersuara tegas walaupun hatinya sudah pun berdegup dengan sangat laju.
Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh mendapat kekuatan untuk mengeluarkan kata-kata seperti itu.
“Awak rasa dengan sikap awak macam ni, layak ke saya ambil awak sebagai pekerja saya. Dengan sikap awak macam nilah, kerja jadi cleaner pun belum tentu awak boleh dapat...”
Jelita segera bangun. Hatinya terasa panas dengan kata-kata lelaki itu.
“Sepatutnya boss tanya diri boss dahulu, layak ke boss jadi ketua kami kat sini?”
Jelita beredar keluar selepas itu. Apa nak jadi kepadanya, dia sudah tidak mahu ambil kira lagi. Lagipun dia cuba menjaga hak asasinya sebagai manusia. Dia tidak suka diperlekehkan seperti itu.
“Jelita, kau nak pergi mana tu?” panggil Mail sebaik sahaja dia melihat Jelita berjalan laju menuju ke pintu utama cafe.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience