Bab 12

Romance Series 7360

Khairy singgah ke Santai Cafe untuk minum di situ pada malam itu. Ketika dia duduk di meja pelanggan, matanya sempat meliar jika dia melihat Jelita berada di situ juga. Nubhan hadir dengan membawa minuman yang telah dipesan oleh Khairy sebelum dia mencari tempat duduk di sekitar cafe.
Nubhan turut mengambil tempat duduk di sebelah Khairy dan mereka berdua duduk mengadap dinding kaca dan melihat kota bandaraya yang sibuk dengan lautan manusia yang lalu-lalang di situ. Mujurlah Nubhan itu boss kepada Santai Cafe, dapat juga dia mengambil masa untuk menemani sahabatnya itu.
“Muka kau tu macam orang ada banyak masalah je” tegur Nubhan dahulu.
Khairy mengeluh kecil. Tangannya mencapai telinga mug dan menyisip sedikit minuman berkafein ke dalam mulutnya. Kemudian, dia meletakkan semula mug ke atas pelapik panas dan memandang jauh ke hadapan.
“Aku dah buat salah besar terhadap seseorang, aku ingat aku boleh selesaikannya dengan cara baik. Aku dapat bersama-sama dengannya semula, tapi ianya tak semudah yang aku fikirkan. Dia makin benci kepada aku”
“Jelita?”
Khairy mengangguk dan dia memandang wajah Nubhan dengan ekor matanya.
“Aku nampak dia selalu ke sini. Kau ada apa-apa dengan dia ke?” soal Khairy berunsur cemburu tetapi wajahnya kelihatan biasa sahaja.
“Eh! Tak adalah. Dia selalu ke sini sebab buat kerja dia. Dia suka menulis. Katanya ada satu tempat kat sini yang buat dia tenang...” beritahu Nubhan sambil tersengih kecil.
“Buat kerja dengan mengajar dia cara membuat minuman di dalam kaunter kau” kata-kata Khairy seperti peluru pistol yang tepat mengenai dada Nubhan.
Nubhan terdiam dan dia mengawal reaksi wajahnya supaya tidak melatah dengan kata-kata Khairy. Fikirnya Khairy mungkin cemburu dengannya kerana sedikit rapat dengan Jelita.
“Kau cemburu ke?”
Khairy berdecit kecil dan dia memandang ke hadapan semula.
“Kalau aku kata aku cemburu, kau akan cakap aku ni tamak. Kau tahukan kemalangan yang dah menimpa dia dahulu. Serius Nubhan, aku ingat dia dah tak ada. Aku simpan perasaan bersalah aku ni hampir bertahun-tahun. Dan bila aku jumpa dengan dia balik, aku yakin itu dia. Aku kenal rupa paras dia. Tapi dia sedang seksa perasaan aku. Dia layan aku macam kami tak pernah ada apa-apa perhubungan sedangkan dulu kami berjanji bermacam-macam perkara. Aku cuba dekati dia, tarik perhatian dia, tapi dia tak pernah sekali pun bercakap tentang kemalangan tu dan memori-memori lama kami” wajah Khairy tampak sedikit tertekan ketika dia meluahkan perasaannya.
Nubhan terfikir sendiri. Kalaulah dia dapat memberitahu tentang perkara yang sebenar kepada Khairy sudah pasti Khairy tidak akan tertekan dengan perasaan sendiri. Kata Jelita dia ada sebab sendiri kenapa dia tidak mahu memberitahu kepada Khairy, atau sebenarnya dia masih menyimpan perasaan suka terhadap Khairy.
“kau cubalah perlahan-lahan untuk dekati dia, jangan terlalu memaksa. Kalau kau paksa dia untuk terima kau balik, kau akan buat dia pergi lebih jauh daripada kau” pesan Nubhan.
“Kau tak boleh ke pujuk dia untuk aku?”
Nubhan mengangkat tangan ‘surrender’.
“Sorry, aku tak suka jadi orang tengah. Aku bukan tak nak tolong kau, tapi aku tak nak mengeruhkan keadaan. Kalau betul-betul dah tak boleh baru aku akan tolong kau”
Khairy terdiam dan dia mengeluh panjang. Nubhan beredar selepas itu membiarkan Khairy berfikir sendiri.

****

“WEH Lisa, apa yang lama sangat Mona buat dalam bilik boss tu?” tanya Mail ingin mengambil tahu.
“Entah, aku pun tak tahu. Monakan merangkap assitant boss, mestilah ada benda yang mereka bincangkan” kata Lisa sambil mengelap meja yang berdekatan dengannya.
Kebetulan Jelita berada di situ terdengar perbualan Mail dan Lisa.
“Tapi aku rasakan, boss rancang nak tutup cafe kita mulai hari Sabtu ni sampai cuti hari Ahad” tambah Lisa kemudiannya setelah dia mengingati sesuatu.
“Untuk?” Mail kelihatan sedikit terkejut.
“Urm nak bawa kita pergi bercuti kut”
“Seriuslah ni, Jelita kau dengar tak, boss nak bawa kita pergi bercuti” kata Mail dengan suara ceria.
Jelita tersenyum tawar sambil mengemop lantai di sekitar situ.
“Agak-agak boss nak bawa kita pergi mana? Dulu Cik Sakinah pernah bawa kita pergi ke Cameron Highland dengan Pulau Tioman. Jelita sinilah, sudah-sudahlah mengemop tu. Dari tadi lagi kau asyik mengemop tempat yang sama. Dah nak hilang corak kat lantai tu” kata Mail. Lisa turut memandang ke arah Jelita.
Jelita mendekati mereka dan memandang wajah Mail dan Lisa.
“Jelita, aku dah lama nak tanya dekat kau, tapi aku tak berani nak tanya takut kau fikir lain pula”
“Tanya apa ni Lisa?” celah Mail, menyibuk. Dia memandang wajah Jelita kemudiannya.
“Aku perasanlah, antara ramai-ramai pekerja kat sini, kau je yang boss tak panggil untuk evaluate pasal kerja. Kau dah kena evaluate jugakan dengan boss, Mail?”
“Aha, baru dua hari lepas. Kecut perut aku dalam bilik boss. Rupa-rupanya boss perhati kita buat kerja kat sini selama ni dalam diam”
“Aku pun dah kena tiga hari sebelum tu. Nak dekat setengah jam aku dalam bilik boss. Muka boss memang serius semacam sahaja. Banyak benda yang dia tegur aku itu dan ini. Aku risau je kalau dia tanya kat aku soalan yang aku tak boleh nak jawab, selepas itu dia perbetulkan cara aku bekerja”
“Dia suruh kau buat apa?”
“Kurangkan bergosip. Sebab dia kata aku selalu berkepit dengan Mona”
“Eh! Jangan-jangan dia tengah pandang kita tak?” Mail memandang ke arah bilik boss mereka dengan wajah sedikit cuak.
“Aku rasa tarikh evaluate pekerja tahunan pun dah habis. Jelita, kau memang tak kena panggil dengan boss ke?” tanya Lisa dengan sedikit rasa cemburu.
“Kalau boss tak panggil dia, mestilah dia pekerja kesayangan boss” kata Mail tidak mempunyai rasa cemburu terhadap Jelita.
“Ye ke, untunglah...” balas Lisa tanpa senyuman.
Jelita terdiam membiarkan mereka berbual.
“Sudahlah, risau pula aku berbual lama-lama nanti kena panggil dengan boss pula” Mail beredar kemudiannya. Lisa juga sama. Jelita menarik nafas perlahan. Kalau mereka dipanggil kenapa hanya dia seorang sahaja yang tidak dipanggil. Itu bukan bermaksud pekerja kesayangan, tapi kemungkinan gajinya tidak akan bertambah untuk tahun hadapan ataupun dia tak akan dapat bonus setiap pertengahan tahun lagi.
Setelah itu, dia menyimpan kembali mop dan baldi beroda di bilik stor dan berniat ingin berjumpa dengan boss mereka dan bercakap mengenai evaluate pekerja. Seperti yang diketahui Mona masih berada di dalam, dan rasanya lebih elok kalau dia menunggu Mona dan boss menyelesaikan pembincangan mereka.
Tidak lama kemudian, pintu terkuak dari dalam dan Mona keluar dengan satu fail di tangannya.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Mona menarik pintu tutup.
“Nak jumpa boss”
“Hem”
Jelita mengetuk permukaan pintu kemudiannya.
“Masuk!”
Jelita melangkah masuk ke dalam sambil dipandang sipi oleh Mona. Fikir Mona, Jelita mesti mahu mengampu boss untuk kenaikan gaji. Dia mempunyai perasaan yang tidak sedap.
Pintu ditutup dari dalam. Khairy mengangkat kepalanya dan dia tidak menjangka Jelita ingin menemuinya sendiri. Hatinya terasa sedikit gembira dapat melihat wajah Jelita.
Jelita berdiri di hadapan meja kerja Khairy sehinggalah Khairy meminta dia duduk. Jelita mengambil tempat duduk dan dia kelihatan serba-salah untuk bertanya mengenai evaluate pekerja kepada boss mereka.
“Ada apa Jelita?” tanya Khairy dengan suara rendah.
“Urm, saya nak tanya betul ke boss dah buat evaluate pekerja, tapi kenapa hanya saya seorang yang tidak dipanggil?”
Khairy terdiam memikirkannya untuk seketika.
“Penting ke semua tu?”
“Mestilah penting. Kalau boss tak panggil saya, macam mana boss nak tahu tentang permasalahan saya kat sini. Saya juga nak tahu apa kekurangan saya dan kebaikan saya sebagai seorang pekerja dan bagaimana dengan pemarkahan tahunan saya. Boleh ke saya dapat bonus pada hujung tahun?” dia bersuara rendah apabila bercakap mengenai bonus.
Khairy tersenyum lembut. Hatinya terusik melihat wajah gelisah Jelita. Apa sahaja yang Jelita buat nampak comel sahaja di matanya.
“Mesti rakan-rakan sekerja awak menyedari perkara inikan, dan mereka beritahu kepada awak, dan barulah awak datang sendiri mencari saya”
“Haruslah saya datang cari boss sebab saya nak tahu kenapa saya tak dipanggil, boss berniat nak buang saya bekerja ke?” kedua-dua alis matanya hampir-hampir bercantum.
Khairy ketawa ringan kemudiannya.
“Kenapa boss ketawa, saya serius ni”
“Awak nampak comel je bila berkelakuan gelisah macam ni”
Jelita melarikan pandangannya. Orang tengah serius boleh pula dia fikir benda lain. Getus hati Jelita sedikit geram.
“Kalau saya nak evaluate pekerja tak semestinya saya nak kena panggil, hanya ada beberapa sebab sahaja kenapa saya panggil yang lain, contohnya sebab saya nak tegur cara mereka bekerja. Kalau saya tak panggil awak tu, maknanya cara awak bekerja okay pada saya. Lagipun saya tahu cara awak bekerja macam mana. Awak cekap dan jujur dalam apa yang awak buat, dan services pada pelanggan pun bagus. Jelas tak dengan apa yang saya cakapkan ni”
Jelita senang mendengarnya. Dia termanggu lama di hadapan Khairy dan memandang permukaan meja kemudiannya.
“Kenapa Jelita, ada apa-apa masalah lagi ke?”
“Saya risau kalau rakan-rakan sekerja yang lain fikir lain tentang saya. Mereka akan cakap yang boss pilih kasih pula nanti. Selain boss nak jaga perasaan saya, boss kena jaga hati yang lain juga” beritahunya perlahan.
“Awak tak perlu risau tentang perkara tu, kalau awak buat salah saya akan tegur juga”
Jelita mengangguk kecil selepas itu. Dia kembali berdiri dan meminta diri tetapi sebelum keluar dia kembali mendekati meja dan berkata sesuatu.
“Boss, kalau cara boss layan saya dengan baik disebabkan perkara lampau, saya harap boss dapat menilai saya sebagai seorang kakitangan di Deflova Cafe, bukannya sebagai seseorang yang mempunyai memori dengan boss sebelum ini. Saya harap boss dapat bezakannya”
Wajah Khairy sedikit berubah dan setelah itu dia melihat Jelita keluar dari biliknya dengan pelbagai perasaan. Setelah itu dia mengeluh ringan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience