Mona merapikan dirinya sebelum masuk ke dalam bilik bossnya. Dia baru sahaja menambah make up pada wajahnya supaya cela-cela di wajahnya tidak kelihatan dan membuatkan dia lebih mempunyai rasa berkeyakinan. Hari ini dia ingin meminta bonusnya dinaikkan, harap-harap dia dapat memujuk bossnya itu.
Tuk..tuk..
“Masuk!”
Mona menarik nafas dan kakinya terus melangkah masuk ke dalam. Dia tersengih sebaik sahaja dia menutup pintu rapat. Dia tidak mahu pekerja lain mendengar perbualan mereka.
“Ha, ada apa?” tanya Khairy memandang sekilas ke arah Mona dan kemudian menyambung memeriksa skrin laptopnya.
“Boss? Erm...” Mona menyelak rambutnya ke tepi.
“Boss saya sebenarnya ada sesuatu nak bincang dengan boss..” Mona bersuara lembut. Tanpa diminta duduk, dia terus duduk di hadapan Khairy.
“Bincang apa?”
“Erm, sebenarnyakan..saya..saya...kalau boleh...saya nak...nak...boss...”
“Nak apa!” Khairy bersuara kuat, terus mengejutkan Mona.
“Boss, janganlah bersuara kuat macam tu..terkejut saya...” Mona mengurut dadanya.
Khairy memandang tajam ke arah Mona dan perasan wajah Mona lebih putih dari lehernya.
“Saya nak minta bonus saya dinaikkan boleh tak boss. Lagipun sayakan assitant boss, kita berduakan rapat, jadi boss kenalah consider dengan permintaan saya ni..”
“Kejap, awak cakap apa tadi, kita berdua rapat?”
“Mak..maksud saya, rapat antara boss dengan assitant boss sajalah. Itu yang saya maksudkan...boss janganlah salah faham...” Mona tersengih.
“Beri saya tiga alasan kenapa saya kena naikkan bonus awak?” Khairy memberi tumpuan penuh ke arah Mona. Seperti mahu menelan lagaknya. Berkerut-kerut wajah Mona memikirkan tiga alasan yang diminta oleh bossnya.
“Urm, sebab yang pertama, saya seorang pembantu boss yang berdisiplin. Apa yang boss tugaskan kepada saya, saya akan selesaikan dengan secepat mungkin. Kedua, saya jujur dengan pekerjaan saya dan ketiga, jawatan saya lebih tinggi daripada cashier, pelayan dan dua orang chef kita” Mona menerangkan dengan wajah bangga.
Khairy ketawa berdecit dan kemudiannya dia tersenyum sinis.
“Alasan-alasan yang awak bagi dekat saya tu, langsung tak kena dengan kefahaman saya tentang diri awak. Awak ingat saya tak pantau cara awak buat kerja. Mona, jangan ingat kedudukan awak lebih tinggi daripada pelayan, cashier dan juga chef kat sini. Awak tu Diploma saja, be humble sikit”
Terkedu seketika Mona dengan setiap ayat yang keluar dari mulut bossnya.
“Kalau pretasi kerja awak tak bagus, hari ini juga saya boleh gantikan awak dengan orang lain yang sama level dengan awak..”
“Maksud boss, boss nak ambil Jelita sebagai assistant boss pula” Mona terus menuduh dengan cepat. Matanya bulat ketika dia menuturkan kata-katanya itu.
“Kalau awak nak, saya boleh buat..” Khairy berkata tanpa berasa belas kasihan terhadap Mona.
“Boss mana boleh buat macam tu dekat saya. Saya dah tiga tahun bekerja kat sini. Saya lebih senior daripada Jelita tu. Dia bukan tahu apa-apa pun pasal jadi pembantu boss ni, lagipun dia tu memang layak jadi pelayan je”
Wajah Khairy tegang. Dia tidak suka Jelita dipersendakan seperti itu. Dia sangat yakin Mona tidak menyukai Jelita.
“Awak jaga mulut awak tu sikit, jangan suka memandang rendah terhadap kebolehan orang lain, jangan sampai suatu hari dia lebih berjawatan bagus dan tinggi daripada awak. Tolong ubah perangai tu dahulu sebelum nak menyakinkan saya yang awak tu seorang pekerja yang bagus” Khairy berkata dengan garang.
Mona mencemik wajahnya. Dia sedikit terkesan dengan kata-kata bossnya dan merasakan bossnya memang sengaja menyebelahkan Jelita.
“Saya tak kisah berapa lama awak bekerja kat sini, cara awak bekerja dan sikap awak tu, tak menyakinkan saya yang awak tu pekerja yang bagus”
“Boss bolehlah menyebelahkan Jelita tu, sebab boss ada hubungan dengan diakan, boss kena adil dengan saya juga..”
“Saya tak menyebelahkan sesiapa pun, saya hanya cuba melindungi orang yang tidak salah dan saya perasan awak kerap bercakap buruk mengenai Jelita dan pekerja-pekerja lain yang awak tak suka. Ubah perangai awak tu Mona, kalau awak terus bersikap macam ni, jangan harap saya akan berikan ganjaran kepada awak. Sudah! Sekarang saya nak awak buat kerja awak kat luar” Khairy berkata dengan nada tidak suka.
Mona menarik wajahnya dan dia segera beredar keluar dengan hati tidak keruan.
****
“KAU okay tak ni Mona, kenapa tak sentuh makanan kau tu, tak sedap ke staff meal hari ni?” soal Lisa yang sudah pun separuh menghabiskan staff mealnya.
“Ee, benci aku tahu tak...benci..” garpu di tangan kirinya dihentak-hentak pada potongan daging di dalam pinggannya. Matanya penuh dengan kebencian.
“Kalau ya pun tak suka dengan daging tu, janganlah buat makanan macam tu. Itukan rezeki. Kalau kau tak nak baik bagi kat aku..” ketika Lisa cuba menarik pinggan Mona, sepantas kilat Mona menampar tangan Lisa.
“Aduh!”
“Kau tahu tak, aku bengang gila dengan boss tu..”
“Kenapa pula dengan boss?”
“Yalah, tahulah dia tu boss, tapi nak hina-hina aku pula...”
“Dia cakap something yang buruk ke tentang kau?” Lisa tertarik ingin tahu.
Mona mencemikkan wajahnya. Saat matanya terpandang ke arah senyuman Jelita yang sedang duduk berehat bersama-sama Mail dan juga pekerja yang lain, dia menjadi lebih bengang. Kerana Jelita, permintaan dia untuk naik bonus tidak dapat. Pasti Jelita ada berkata sesuatu kepada boss.
“Perempuan tu mesti belagak gila bila boss sebelahkan dia je...” kata Mona dengan nada tidak berpuas hati.
“Ha? Siapa?” tanya Lisa, naif.
“Eh! Kau ni, kenapalah lembap sangat otak tu. Dah kalau aku sebut tu faham-faham sajalah. Si Jelitalah...”
“Ouh” Lisa kelihatan tidak tertarik untuk mendengarinya. Dia masih berasa serba-salah di atas apa yang telah dia lakukan kepada Jelita. Kasihan Jelita, tidak pasal-pasal jatuh ke dalam air, dan hampir-hampir lemas.
“Tadi aku pergi minta kat boss untuk naikkan bonus aku tahun ni, tapi boss tak bagi. Sudahlah dia suruh aku bagi kat dia tiga alasan, aku penat mengerah otak aku fikir tiga alasan yang dia nak. Tapi dia langsung tak bagi muka kat aku. Aku yakin Jelita mesti ada beritahu kat boss something”
Lisa mengeluh perlahan. Dia tidak tertarik untuk menambah api dalam kata-kata Mona.
“Hoi, yang kau ni kenapa diam pula ni?”
Lisa mengeleng kepala perlahan.
“Mona, aku rasa perut aku tak selesalah. Aku nak pergi ladies dulu ya..” Lisa berpura-pura sakit perut dan dia meninggalkan Mona.
Kalaulah ada orang yang tahu yang sebenarnya dia yang sengaja membuat Jelita jatuh ke dalam air tempoh hari, mesti dia akan dikutuk dan dimarah. Paling teruk sekali dia akan dibuang kerja. Macam mana dengan keluarganya di kampung. Ibu bapanya sudah tua, dan tidak larat bekerja, takkan nak harapkan mereka lagi. Adik-adiknya juga masih bersekolah, siapa yang akan bantu mereka nanti.
Tiba-tiba dia berasa menyesal kerana membuat apa yang diminta oleh Mona, dan merasakan Mona sengaja mempergunakannya.
****
“ALA...hujanlah...” Mail merungut kecil. Dia melihat jam di tangannya, dan tangan kirinya memegang topi keledar. Pekerja lelaki tidak disediakan tempat tinggal, jadi Mail terpaksa berulang-alik dari rumah kakaknya yang berdekatan dengan Shah Alam.
Jelita tersenyum ringkas ke arah Mail. Dia mengambil payung yang selalu disediakan di dalam lokernya. Sediakan payung sebelum hujan, pesan mak.
“Sabarlah, nanti redalah tu. Takkan kau nak redah naik motor hujan-hujan macam ni. Jalan pun licin”
“Aku nak balik cepat, akak aku tu suruh aku jaga anak buah aku. Dia nak pergi rumah mak saudara belah suami dia, jatuh sakit kat hospital” beritahu Mail.
“Calllah, akak kau beritahu tengah hujan ni. Lagipun bahayalah naik motor tengah-tengah hujan macam ni”
“Herm, yalah”
Mail mengeluarkan telefon bimbitnya dan terus menghubungi kakaknya. Jelita menoleh ke arah belakang dan melihat Lisa berjalan ke arah mereka. Sebaik sahaja mata mereka bertemu, Jelita perasan Lisa seperti tidak mahu memandang lama ke arahnya. Jelita hanya berasa tidak seronok akan hal itu.
“Lisa? Kau ada payung tak? Aku ada payung ni. Kalau kau nak kita boleh kongsi dan balik ke bilik sama-sama? Kau nak tak?” pelawa Jelita, bermanis muka.
“Eh! Tak apalah. Aku boleh lagi stay kat sini sampai hujan berhenti. Lagipun kalau balik awal pun bukan boleh buat apa” tolak Lisa yang tidak menjangka Jelita akan pelawanya berkongsi payung.
“Urm, okay..” balas Jelita, perlahan.
Dilihat Lisa yang berdiri sedikit jarak daripadanya. Jelita mendekati secara perlahan-lahan dan cuba mengajak Lisa berbual.
“Lisa, kau kenapa macam nak elak daripada aku je? Aku ada buat kau terasa hati ke?” tanya Jelita.
Lisa sedikit terkejut dengan pertanyaan Jelita. Dia pantas mengeleng kepala laju.
“Eh, tak adalah. Mana ada! Kau silap ni” Lisa tersengih bodoh.
“Betul ke ni? Urm, mungkin aku salah faham kut...”
Lisa tersenyum ragu-ragu. Dadanya berdebar secara tiba-tiba. Kulit mukanya berubah menjadi bahang dan membuatkan wajahnya kemerahan. Lisa terkejut apabila pipinya disentuh dengan belakang tapak tangan Jelita.
“Lisa? Kau tak apa-apa ke? Kau sakit ke?” soal Jelita sedikit risau.
Lisa mengeleng-geleng kepala laju.
“Kalau kau sakit, lebih baik kau pulang dahulu dan rehat kat rumah sahaja. Ha, hujan pun makin reda..jomlah” Jelita cuba mengajak sekali lagi dengan memeluk lengan Lisa. Secara drastiknya, Lisa menarik tangannya sedikit pantas dan wajah Jelita berubah.
“Lisa?”
Mata Lisa bergetar. Kemudian dia memandang ke belakang dan melihat Mona sedang memandang tajam ke arahnya.
“Lisa, kenapa ni?” Jelita masih cuba untuk mengambil tahu akan hal Lisa.
Lisa tidak berkata apa-apa dan beredar meredah hujan yang sedikit reda. Dia berlari di bawah awan yang masih gelap.
Jelita memandang dengan pandangan risau. Dia sangat yakin, Lisa bersikap lain dengannya semenjak mereka pulang dari Pulau Tioman. Mungkin Lisa berasa serba-salah kerana tidak sengaja membuatnya jatuh ke dalam air pada hari itu.
Hurmm...Jelita bernafas perlahan.
Share this novel