Bab 34

Romance Series 7382

Perlahan-lahan matanya dibuka dan dia melihat syiling putih di atasnya. Dia mengerakkan tubuhnya dan mulai berasa sakit di bahagian kura-kura tangan kirinya. Terdapat jarum dan wayar air yang melekat di tangannya. Dia masih memakai baju yang sama. Tidak lama kemudian, dia melihat Khairy masuk ke dalam.
Khairy terus duduk di kerusi yang telah disediakan di katil pesakit.
“Baguslah kau dah sedar. Hampir empat jam kau tak sedarkan diri. Macam mana keadaan kau sekarang?”
Nubhan tidak menjawab tetapi dia kelihatan tergesa-gesa ingin turun dari katilnya. Khairy pantas menolak dada Nubhan sehingga tubuhnya berlanggar dengan kepala katil pesakit.
“Kau sedar tak kau tengah sakit sekarang?”
Nubhan cuba menepis tangan Khairy tetapi tenaganya tidak setanding dengan tenaga Khairy. Tubuhnya masih terasa lemah.
“Kau sebenarnya bukan pergi bercutikan?” Khairy berkata dengan perlahan. Nubhan melarikan wajahnya.
“Kita ni dah berkawan lama dari sekolah menengah lagi. Aku faham tindak-tanduk kau tu kalau kau nak selindungkan sesuatu. Baiklah aku beri kau masa untuk beritahu segala-galanya, dan aku akan tunggu sampai kau beritahu aku”
Khairy bersandar di kerusinya sambil bersilang tangan. Matanya tacap memandang wajah pucat Nubhan.
20 minit berlalu. Nubhan masih tidak mahu memberitahu apa-apa kepada Khairy. Dia tidak sangka yang Khairy mempunyai kesabaran yang tinggi untuk dengar masalahnya.
“Kau tahukan aku bukan jenis yang kuat bersabar. Tapi untuk kau aku kena berikan ruang sampai kau sendiri beritahu aku. Nubhan, sesuatu telah berlaku kepada kau ke? Kau nampak lain dan aku tahu dari air muka kau tu”
Kedua-dua belah mata Nubhan bergetar. Patut atau tidak dia memberi amaran kepada Khairy mengenai Jelita? Khairy sayangkan Jelita jadi sudah pasti Khairy akan melindungi Jelita.
“Tolong...tolong aku Khairy...” dan matanya mulai berbinar-binar pada ketika itu.
Khairy memberi tumpuan kepada sahabatnya itu. Nubhan tidak pernah seperti ini.
“Aku takut sesuatu akan berlaku kepada Jelita dan kau juga Khairy”
“Apa maksud kau...”
“Tolong bawa aku keluar dari sini Khairy. Aku tak nak duduk kat sini. Aku risau akan ada orang yang akan cari aku...aku tak mahu ikut kemahuan mereka. Aku tak nak mereka sakiti aku lagi..tolong Khairy bawa aku keluar dari sini...”
“Nubhan...”
Nubhan pantas memegang lengan Khairy dengan sangat kuat. Khairy teringat yang Nubhan turut memegang Jelita seperti ini sambil merayu akan sesuatu meminta Jelita berjanji kepadanya.
“Bawa aku keluar dari sini...”
Jelita sedang menunggu di luar wad sementara yang diduduki oleh Nubhan. Dia sedang berfikir sendiri, memikirkan Nubhan yang ada memintanya untuk berhati-hati. Seseorang sedang mengekorinyakah? Tapi siapa? Dia tidak pernah ada musuh sebelum ini. Pelik? Lebih pelik bila sesuatu berlaku kepada Nubhan. Kesan lebam dan cakaran di tangan kiri Nubhan bukan seperti satu kemalangan, tetapi ianya seperti dibuat oleh seseorang, atau dalam erti kata mudah, seseorang telah melakukan sesuatu kepada Nubhan.
Dia terdengar suara Khairy yang semakin hampir kepadanya. Jelita segera bangun dan dia melihat Khairy sedang memapah Nubhan dengan memegang lengan Nubhan.
“Kenapa ni? Dah boleh balik ke?”
“Kita kena bawa Nubhan keluar dari sini, Jelita tolong saya...”
Jelita mengangguk kemudiannya. Dia tidak tahu perkara yang sebenarnya yang cuba dirancang oleh Khairy dan Nubhan tetapi dia mulai menyedari yang sebenarnya Khairy ingin membawa Nubhan keluar dari hospital tanpa arahan dari doktor.
Ianya suatu kerja gila yang belum pernah dilakukan oleh Jelita dan ini adalah pengalaman pertamanya. Tetapi kelihatannya Nubhan sendiri yang mahu keluar dari hospital. Mungkin sesuatu telah berlaku kepadanya dan kerana itu Nubhan tidak mahu duduk lama di situ.

****
NUBHAN telah dibawa pulang ke apartment mewah Khairy. Khairy fikir ini cara dia untuk melindungi Nubhan dengan menjaga Nubhan di rumahnya sahaja sehingga kawan baiknya itu sembuh. Jelita ikut sama ke rumah Khairy dan dia tidak boleh membantah untuk tidak ikut sama sekali kerana dia juga risaukan Nubhan.
Pembantu rumah Khairy menyediakan minuman dan kudapan buat Jelita yang berada di ruang tamu bersendirian pada ketika itu. Dia ingin melihat keadaan Nubhan tetapi tidak enak pula jika melawatnya di bilik seperti itu sahaja.
Tidak lama kemudian, Khairy keluar dan dia duduk di ruang tamu untuk menemani Jelita pula.
“Sorry lama tunggu. Awak nak pergi tengok Nubhan tak?”
“Urm, tak apalah. Lagipun lebih elok kalau biar dia berehat sahaja dulu”
Khairy mengangguk perlahan. Khairy teringat yang Jelita telah pun berjanji sesuatu kepada Nubhan, jika boleh dia ingin tahu apa yang mereka berdua bualkan sebelum dia sampai di Santai Cafe.
“Jelita, saya bukan nak bersikap masuk campur dalam urusan awak dan Nubhan tapi boleh saya tahu apa yang dia nak awak berjanji dengan dia sewaktu di bilik Cafenya tadi?”
“Ouh...” Jelita teringat akan itu.
“Dia minta saya berhati-hati. Terus-terang saya cakap saya memang tak faham kenapa Nubhan cakapkan macam itu kepada dia. Wajahnya nampak risau sahaja. Dia tak mahu saya bersendirian jika ingin ke mana-mana. Katanya saya dalam bahaya...”
Wajah Khairy serius sahaja mendengar kata-kata Jelita.
“Apa yang sebenarnya yang telah berlaku kepada Nubhan. Dia ada beritahu sesuatu kepada boss ke?”
“Saya rasa dia sedang rahsiakan sesuatu daripada saya. Dia tak nak kita berdua dalam susah dan bahaya, seperti dia nak kita lebih berhati-hati dengan sekeliling kita. Jangan mudah percayakan kepada sesiapa pun...”
“Boss?”
“Ya?”
“Maaflah dengan apa yang saya nak cakap dengan boss, tapi tak boleh ke kalau boss tanya semula kepada mama boss tentang orang tua Nubhan...” dia sudah melihat wajah Khairy berubah, dalam erti kata Khairy tidak suka bila mamanya disebutkan semula.
“Ya, saya tahu dia mama boss. Tapi kita bukan berniat nak cakap dia berbohong dengan kita, mungkin dia sebenarnya tahu akan sesuatu Cuma dia tak boleh nak beritahu dekat boss, atau dia segan dengan saya. Boss anak dia, mungkin kalau boss pujuk dia cakap elok-elok mungkin dia akan beritahu dekat boss...”
Jelita bercakap dengan perlahan dan lemah-lembut. Dia sedang cuba memujuk Khairy dan berharap Khairy akan bersikap terbuka dengan apa yang dia perkatakan.
“Boss juga yang baru cakap, jangan percayakan kepada sesiapa pun, dalam kurungan boss tak cakap pun tidak terkecuali orang yang paling rapat dengan kita sendiri”
Khairy menarik nafas dalam. Dia tidak mahu meragui mamanya sendiri tetapi ada benarnya apa yang Jelita beritahu kepadanya, mungkin mama tahu akan sesuatu. Sewaktu dia bertanya kepada mamanya semalam, dia perasan wajah mama berubah dan dia tahu bila mama cuba rahsiakan sesuatu daripadanya Cuma dia sahaja yang mahu mengelakkannya kerana tidak mahu menekan mamanya.
“Baiklah saya tak akan paksa boss, tapi kalau boss fikir itu jalan yang terbaik untuk tahu dengan lebih tepat tentang hal ni, lebih baik boss tanya sahaja pada mama boss. Tanya secara berhemah dan jangan cuba untuk menekan”
“Awak masih meragui kejujuran mama saya ke?” tanya Khairy sekadar ingin mendengar apa yang sedang bermain di fikiran Jelita pada ketika itu.
“Saya tak akan marah, saya hanya ingin tahu apa yang awak sedang rasakan”
Apabila Khairy berkata seperti itu, Jelita memandang lama ke arah Khairy dan dia mengangguk.
“Perempuan akan faham perempuan yang lain, dan itu yang saya rasa apabila saya melihat cara mama boss menjawab pertanyaan boss semalam. Saya dapat rasakan yang mama boss merahsiakan sesuatu”
Khairy berfikir akan perkara itu. Jika perasaan Jelita benar, mungkin cuba bertanya sekali lagi tidak akan terluak apa-apa pun. Khairy mengangguk berat kemudiannya.
“Baiklah saya akan cuba bertanyakan kepada mama sekali lagi..”
Jelita tersenyum lega. Sekurang-kurangnya Khairy mendengar nasihatnya. Bertanya sekali lagi bukan bermakna meragui dan tidak percaya tetapi mereka hanya mahukan kepastian itu sahaja.

****

“MAK MAH saya nak hantar Jelita balik dahulu. Mak Mah tolong tengok-tengokkan kawan saya ya. Kalau dia nak apa-apa tolong dia ya. Lagi satu saya nak pesan, kalau ada orang tak kenali datang, jangan bagi masuk” pesan Khairy kepada pembantu rumahnya.
“Baiklah, mak Mah faham”
Jelita dan Khairy beredar pergi dari situ.
Sewaktu mereka berada di dalam kereta, Khairy berkata sesuatu.
“Saya akan cuba bercakap dengan Nubhan tentang perkara ni, tapi saya tidak mahu terlalu mendesak dia. Dia kelihatan tidak stabil dan lemah sekarang. Entah apa yang telah berlaku kepada dia sewaktu percutian itu”
“Betul ke dia pergi bercuti atau sebenarnya dia ke tempat lain” kata-kata jelita telah membuatkan Khairy berfikir secara mendalam mengenai perkara itu.
“Saya tak mahu sesuatu berlaku kepada dia. Saya akan melindungi dia kalau dia perlukan saya”
Jelita berasa terharu dan kagum dengan sikap peribadi Khairy. Dia seorang sahabat yang mengambil berat mengenai sahabatnya. Sanggup pula dia membenarkan kawan baiknya tinggal di rumahnya. Mungkin itulah hubungan mendalam antara Khairy dan Nubhan. Mereka saling memahami dan menjaga antara satu sama lain. Itulah yang dipanggil sahabat sejati. Sahabat yang sentiasa ada apabila diperlukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience