Bab 21

Romance Series 7360

Dihadapannya terduduk seorang wanita moden, pandai bermake up, menyesuaikan rambut dengan bentuk wajah bujurnya, berkulit cerah dan kelihatan pandai bergaya dengan pemakaiannya. Beg tangannya juga mengikut tema warna pakaiannya. Dia memang seorang wanita yang cantik.
Jelita berasa gementar tatkala bersama-sama dengan wanita itu, kerana jika ingin dibandingkan dengan dirinya, jauh berbatu-batu. Sudahlah pakaiannya biasa sahaja, berwajah pucat kerana tidak sihat dan juga tidak bijak berketerampilan indah seperti wanita itu.
Mereka dihidangkan dengan minuman, dan juga segelas air masak suam yang diminta oleh wanita itu, mungkin dia kurang berminat dengan minuman manis.
“So, dah berapa lama awak dan Nubhan bercinta?”
Jelita tahu, perbualan mereka adalah berkisarkan mengenai ‘cinta bohongan’ yang dicipta sendiri oleh Nubhan sebentar tadi. Dia perlu menjawab pertanyaan wanita itu dengan tenang supaya dia tidak nampak berbohong.
“Lima bulan” itu adalah tarikh awal perkenalan antara dia dan Nubhan sebelum ini.
“Lima bulan, so masih baru jadi sudah semestinya banyak benda yang awak tidak tahu mengenai dia”
Jelita tidak menjawab akan itu. Dia menunggu pertanyaan lain pula.
“Saya dan Nubhan pernah bercinta dan saya adalah cinta pertama Nubhan. Nubhan seorang lelaki yang gentleman, baik, romantik, bijak dalam pelajaran dan popular di zaman study kami”
Jelita menganggukkan kepalanya. Wanita itu kelihatan bahagia apabila teringat kembali zaman bercinta mereka dahulu.
“Saya akui, saya menyesal dengan apa yang telah saya lakukan kepada dia sebelum ini, dan saya telah pun melukakan hati dia, tapi sekarang saya sangat perlukan dia kembali untuk kekuatan saya menjalani kehidupan saya. Jelita, mungkin awak rasa saya gila dengan apa yang saya nak beritahu dekat awak tapi boleh tak kalau awak lepaskan Nubhan untuk saya?”
“Ha?” mata Jelita terkebil-kebil mendengar permintaan Alia. Alia kelihatan terdesak untuk kembali semula kepada Nubhan.
Sekali pun dia dan Nubhan benar-benar bercinta takkan dia nak terima cadangan Alia bulat-bulat. Tetapi sekarang mereka bukan pasangan yang sebenar. Apa yang harus dia katakan kepada Alia supaya tidak menyakiti hati wanita itu.
“Jelita, saya nampak cara awak pandang Nubhan bagaimana, Nubhan berpura-pura cakap yang awak ni kekasih dia sajakan sebab dia nak saya tinggalkan dia. Beritahulah yang semua ini tidak benar. Awak perempuan dan saya pun perempuan, awak pasti faham perasaan saya bukan..saya sudah lama merindui dia dan saya perlukan dia sangat-sangat”
Jelita melongo kecil. Fikirannya tidak menentu pada ketika itu. Apa yang harus dia lakukan, dan dia sangat pasti Nubhan pasti mahu dia bermain sebagai ‘kekasih’ kepada Nubhan.
Dia menarik nafas perlahan dan merenung mata bergetar Alia dengan lembut.
“Saya minta maaf, kalau awak perempuan awak pasti faham perasaan saya. Saya juga ingin disayangi oleh seorang lelaki dan lelaki itu adalah Nubhan. Alia, masih ramai lelaki kat luar sana yang boleh sayang dan cintakan awak”
“Tetapi mereka tak sama seperti Nubhan. Saya tetap mahukan Nubhan!” tiba-tiba Alia bersuara kuat.
Nubhan berjalan ke arah mereka setelah dia berasa tidak sedap hati meninggalkan mereka berdua.
Alia bangun dengan pantas, tangannya meraup gelas berisi air suam lalu dia menjirus ke arah wajah Jelita. Jelita tersentak terkejut dan wajahnya sudah basah dengan air putih kemudiannya.
Pada masa yang sama Nubhan sampai dan sempat melihat apa yang berlaku. Wajahnya cuak apabila melihat wajah Jelita sudah kebasahan dan keadaan Alia yang sedang berang.
“Alia!” Nubhan bersuara kuat ke arah Alia.
Alia memandang marah ke arah Nubhan dan setelah itu tanpa berkata apa-apa dia meninggalkan Santai Cafe dan sempat diperhati oleh enam tujuh orang pelanggan yang duduk di bawah.
Nubhan mengambil kain bersih dari dalam poket apronnya dan terus membantu Jelita mengelap wajahnya yang kebasahan.
“Jelita saya minta maaf..”
Nubhan duduk di sebelah Jelita sambil memegang wajah Jelita dengan pandangan risau. Jelita masih dalam keadaan terkejut. Sangkanya dia pernah melihat adegan pelakon disimbah air dari dalam gelas minuman mereka di kaca televisyen, tetapi kelihatannya adegan itu benar-benar berlaku kepada dirinya.
Dalam masa yang sama, seseorang sedang berdiri di situ sambil memandang ke arah mereka dengan pandangan tidak senang. Jelita terlebih dahulu melihat lelaki itu dan kemudian baru Nubhan. Nubhan menarik tangannya dan dia berdiri memerhati Jelita dan juga lelaki itu. Suasana menjadi janggal secara tiba-tiba.

****

“DIA datang secara tiba-tiba dan aku terpaksa berbohong dengan dia dan cakap yang kami adalah pasangan kekasih dan bakal bertunang tidak lama lagi” terang Nubhan kepada Khairy.
Khairy memandang wajah Jelita yang kepucatan dan dia berasa sedikit risau melihat keadaan Jelita. Tetapi dia kelihatan terkejut apabila mendengar pengakuan yang keluar daripada mulut Nubhan. Dia tidak sangka Nubhan berfikir untuk membohongi Alia.
“Dia percaya ke dengan semua tu?” tanya Khairy dengan rasa was-was tetapi dalam masa yang sama dia tidak selesa dengan pembohongan Nubhan.
“Sampai bila kau akan terus tipu Alia. Kau dan Jelita tak mungkin akan terus macam ni”
“Nubhan tahu apa yang dia buat, jadi boss tak perlulah risau..” Jelita mencelah kemudiannya.
Kedua-dua lelaki itu memandang tepat ke arahnya. Mata Khairy kelihatan redup melihat ke arah Jelita atau lebih dengan pandangan risau.
Kemudian Jelita teringat kemalangan kecil yang berlaku semalam. Khairy yang telah menyelamatkannya dan telah memberi bantuan pernafasan dari mulut ke mulut. Jelita tersentak kecil ketika matanya terpandang ke arah bibir kemerahan Khairy, ternyata bibir itu tidak pernah menghisap rokok. Warnanya cantik dan semulajadi.
Damn! Jelita Wake up!
Kenapa pula dia perlu berfikir seperti itu.
“Sir, ada hal kat kaunter” panggil pekerja Nubhan.
Nubhan bangun selepas itu dan meminta diri dan secara naturalnya meninggalkan Jelita dan Khairy berdua di situ. Mereka terdiam buat seketika sehinggalah Jelita terlebih dahulu bersuara.
“Saya nak berterima kasih dekat boss sebab selamatkan saya dari lemas semalam. Kalau boss tak datang selamatkan saya sudah pasti saya tak akan berada di hadapan boss lagi...”
“Dan itu akan lebih menyakiti hati saya” jawab Khairy dengan sekali nafas.
“Saya nampak Mona macam tak suka dengan awak” beritahu Khairy kemudiannya.
“Ha? Apa maksud boss?” Jelita mengerut dahi tidak memahami dengan kata-kata Khairy.
“Saya perasan bila dia dengan saya berbincang mengenai cafe dan soal pekerja, dia akan bercakap banyak perkara negatif tentang awak. Dia cuba menyakinkan saya yang awak bukan pekerja yang baik. Tapi apa yang saya tahu dan apa yang saya lihat, kakak saya beritahu yang awak pekerja yang bagus, selalu melakukan tugas dengan baik. Dan apa yang saya lihat awak sama seperti apa yang kakak saya beritahu, jadi bila Mona beritahu sebaliknya, saya hanya berasa musykil dengan caranya, atau sebenarnya dia tak suka dengan awak”
Jelita menarik nafas perlahan dan matanya berpusing-pusing memikirkan kata-kata Khairy.
“Entahlah boss, kita tak boleh buat semua orang suka dengan kita. Kat tempat kerja, semua pekerja bersaing untuk mendapat perhatian sebabkan nakkan bonus awal dan mudah dapat cuti. Mungkin Mona macam tu sebab dia fikirkan yang terbaik untuk Deflova Cafe”
“Tapi kalau boleh saya nak cuba lindungi awak sebab saya kenal awak bagaimana”
“Sejauh mana boss mengenali saya?” tanya Jelita dan memandang perlahan ke arah wajah Khariy. Ingin sekali dia menduga hati lelaki itu.
Kelihatannya senyuman sudah hilang dari kedua-dua wajah mereka.
“Saya kenal awak dari kita awal remaja lagi. Apa yang awak suka, apa yang awak tak suka semuanya saya ambil tahu...”
“Tapi ianya tak akan sama dengan yang sekarang. Kita dah dewasa dan sudah semestinya banyak perkara yang telah berubah”
“Hati saya dan perasaan saya tidak pernah berubah untuk awak Jelita. Kalau awak boleh lihat hati saya, awak akan nampak banyak kesan-kesan luka di dalamnya. Kalau awak boleh berada di tempat saya, awak akan rasa betapa sakitnya hati saya dan kemudian awak akan terus berfikir tentang perkara ini banyak kali...”
Jelita memandang redup ke arah mata Khairy yang bergetar. Dia percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Khairy tetapi dia juga tidak mahu mengalah.
“Tapi bagaimana dengan hati dan perasaan saya pula. Boleh ke boss lihatnya juga. Lebih banyak kesan parut lama dan kemudian ditambah dengan kesan luka yang baru yang entah bila akan pulih. Kalau boss berada di tempat saya boss akan berfikir perkara ini beratus-ratus kali. Hati dan perasaan saya lebih teruk terluka daripada hati dan perasaan boss”
Kedua-duanya terdiam dan saling memerhati antara satu sama lain, dan keluhan demi keluhan keluar daripada mulut mereka.
“Boss, saya tak boleh salahkan boss seratus-peratus dalam hubungan kita. Tapi saya hanya nak beritahu sesuatu kepada boss dan saya nak boss ingat apa yang saya perkatakan kepada boss”
Jelita menarik nafas dalam dan dia sudah bersedia untuk pergi dari situ setelah menghabiskan ayatnya.
“Apa yang boss lihat atau apa yang boss nampak sekarang, saya bukan dia..” Jelita menunggu untuk lima saat selepas itu dan kemudian dia beredar pergi tanpa menemui Nubhan untuk mengucapkan terima kasih sekali lagi kerana memasakkan bubur ajaib untuknya.
Khairy menoleh ke tepi dan dia melihat Jelita berjalan ke arah lintasan zebra dan menunggu di situ.
Walaupun kita dekat tetapi kenapa hati kita semakin jauh, Jelita...
Bisik Khairy dengan rasa hampa dan kecewa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience