Bab 11

Romance Series 7360

Cuaca terlihat agak panas pada bulan May. Tekaknya menjadi haus pula ketika dia berjalan menuju ke Deflova Cafe tetapi sengaja melalui Santai Cafe dahulu untuk melihat Nubhan di dalamnya. Ketika dia lalu di hadapan Santai Cafe, dia mengangkat tangan dan melambai kecil ke arah Nubhan yang berada di dalamnya. Nubhan melihat ke arahnya dan tersenyum lebar dan turut melambai ke arahnya.
Kemudiannya, Jelita berjalan dengan pantas menuju ke Deflova Cafe. Hari ini dia telah mendapat tugasan tambahan pada hari off daynya. Tugasannya adalah membeli barangan keperluan dapur yang sudah kehabisan, jadi dia perlu membawa seseorang bersama-samanya untuk membeli barangan kering.
Dia bercadang ingin mengajak Nana sahaja memandangkan Nana bekerja di shift malam. Sekurang-kurangnya jika tidak ada idea untuk menulis, ada sesuatu yang dia lakukan pada waktu senggangnya. Tak adalah dia melepak di dalam biliknya dan menghabiskan masa dengan bermain telefon bimbit.
Ketika dia sampai di Deflova Cafe, dia melihat Nana sedang melayan pelanggan dan dia menunggu di ruangan kaunter pembayaran dengan berpakaian kasual biasa.
Tidak lama kemudian dia terlihat Khairy menuju ke arahnya. Makin gugup jadinya dan dia berpura-pura tidak nampak Khairy.
Kemudian hidungnya laju sahaja dapat menghidu perfume wangi yang dipakai oleh lelaki itu. Lelaki itu sudah pun berada di sebelahnya.
“Ikut saya, kita pergi beli barang” kata Khairy tiba-tiba.
“Ha?”
Khairy beredar keluar dahulu tanpa memandang wajah Jelita. Kemudian, Mona mendekati Jelita dan sempat berkata sesuatu.
“Kau hati-hati sikit Jelita. Hari ni mood boss tak berapa nak baik. Habis semua pekerja dia nak marah tadi” kata Mona memberi amaran.
“Kau seriuslah ni...”
“Aku tengah seriuslah ni. Dahlah, boss dah jenguk-jenguk tu...” Mona menghulur sampul putih yang berisi duit untuk membeli barang.
“Dalam ni ada RM300 tau. Guna berhemah sedikit”
Jelita pantas keluar dan dia berlari anak menuju ke kereta Khairy. Khairy sudah pun masuk ke dalam kereta. Sebelum masuk Jelita sempat berselawat kecil berharap Khairy tidak marah kepadanya pada hari ini. Setelah itu dia melangkah masuk ke dalam dan terus memakai tali pinggang keledar. Risau jika kejadian yang lepas berlaku sekali lagi.
Kedua-duanya diam sepanjang pemanduan Khairy. Jelita tidak tahu kemana mereka akan membeli barang-barang cafe. Kebiasaannya mereka akan pergi membeli di pasaraya Giant yang terdekat.
Bila berdua seperti ini, terasa janggal pula. Sudahlah beberapa hari mereka tidak bercakap, dan tiba-tiba kena keluar beli barang berdua pula tu. Betul-betul kebetulan atau dirancang sebenarnya. Tiba-tiba Jelita mengeluh tanpa dia sedar keluhannya itu didengari oleh Khairy.
“Kenapa mengeluh? Tak suka keluar beli barang dengan saya ke?”
Jelita mengerut dahi dan memandang lelaki itu di sebalik ekor matanya. Dia diam tidak menjawab.
“Kalau ada apa-apa yang awak tak puas hati dengan saya, beritahulah”
“Tak puas hati sebab apa pula?” balas Jelita cepat.
“Yalah, awak tu asyik nak mengelak daripada saya je” Khairy menoleh sekilas ke arah Jelita.
“Mana ada saya mengelak daripada boss, saya Cuma nak fokus pada kerja saya. Itu sahaja”
“Saya tak rasa macam tu”
Jelita diam kemudiannya dan dia mengumam sendiri. Wajahnya serius sahaja sepanjang perjalanan mereka.
“Atau awak marah saya paksa awak balik pangsapuri saya dan tunjuk segala surat-surat awak tu”
Jelita memejamkan matanya buat seketika. Malu apabila dia teringatkan kembali surat-suratnya itu.
“Boss saya nak balik surat-surat saya tu”
“Awak yang bagi surat-surat itu kepada sayakan? Kenapa awak nakkan balik, buruk siku!”
Jelita berdecit kecil.
“Boss, waktu saya tulis surat-surat tu, saya baru berusia 14 tahun. Saya sendiri tak ingat apa yang saya tulis waktu tu. Cerita tentang budak sekolah berhingus lagi boss. Boss tak payahlah cakap pasal surat-surat tu lagi. Ianya memalukan saya sendiri” kata Jelita dengan suara makin perlahan.
“Macam mana dengan janji-janji kita?”
“Saya tak pernah ingat dengan semua tu...”
Khairy menarik nafas perlahan. Dia pasti Jelita masih marah terhadapnya.
“Awak marah kat saya sebab saya lari tinggalkan awak waktu awak ditimpa kemalangan dulukan?”
“Saya tak ingat apa-apa waktu tu, jadi boss tak perlu ingatkan apa-apa kepada saya. Saya ikut boss sebab rasa tanggungjawab sebagai seorang pekerja. Maaf kalau saya bercakap kasar, tapi boss kena hormat privasi saya sebagai seorang pekerja juga”
Khairy diam selepas itu. Fikirnya jika dia mahukan kemaafan daripada Jelita dia harus bersabar dengan sikap Jelita. Jika dia berada di tempat Jelita, sudah pasti dia akan melakukan perkara yang sama.

****

KHAIRY menolak troli mengikut rentak Jelita yang berada di hadapannya yang sedang melihat senarai barang yang diperlukan di dalam kertas panjang. Dia hanya memerhati sahaja Jelita memilih barang..
Hampir 40 minit membeli-belah, segala barang keperluan sudah pun lengkap dan mereka menuju ke kaunter untuk membayar. Jelita juga yang menguruskan urusan pembayaran. Kemudiannya, seseorang menegur Khairy.
“Weh Khairy! Kahwin tak berjemput, tahu-tahu dah beli barang dapur. Banyak pula tu”
Jelita pantas memandang wajah Khairy dan berharap Khairy akan menindakkan kata-kata kawan lelakinya itu.
“Kau ni, kalau aku kahwin aku jemputlah kau. Ini pekerja aku, kami keluar beli barang untuk cafe”
Jelita melepaskan keluhan lega di belakang Khairy. Mujurlah dia bercakap benar, ingatkan nak kelentong dah tadi.
“Eh, jadi betullah kau ambil alih cafe akak kau tu. Akak kau kat mana sekarang?”
“Dia sambung study kat oversea dalam jurusan master. Jadi untuk beberapa tahun ini, aku kena handlelah cafe dia tu”
“Wah, lain kali kalau aku singgah cafe tu aku call kau dulu. Bolehlah kita berborak panjang” lelaki itu cuba mengintai ke arah Jelita dan mata nakalnya melirik ke arah Khairy.
“Boleh tahan juga pekerja kau tu. Hai, saya Hisyam” lelaki itu menghulur tangan ke arah Jelita.
Khairy memandang wajah tidak selesa Jelita apabila Hisyam menghulur tangan kepadanya.
“Hisyam, dia tak salam dengan lelaki” beritahu Khairy.
“Ouh, nice. Pakai tudung, sorry lupa. Sebab dah terbiasa...” Hisyam ketawa bersahaja.
Jelita senyum mahu tidak mahu sahaja. Dia merasakan lelaki itu mempunyai pandangan gatal ke arahnya apabila menyedari dirinya dipandang dari atas sehingga ke bawah.
“Okay, tak apalah, aku nak balik dulu ni. Jumpa nanti”
“Okay, bye awak..” kata Hisyam kepada Jelita.
Jelita berjalan di sisi Khairy pada ketika itu.
“Sorry, dia tu playboy. Dia memang ada sifat-sifat gatal sedikit”
Jelita tidak membalas apa-apa. Harap-harap itu adalah pertemuan terakhirnya dengan Hisyam. Pandangan mata gatal manusia lebih menakutkan daripada pandangan mata hantu.
Kesemua barang sudah pun di masukkan ke dalam bonet kereta, dan mereka dalam perjalanan untuk pulang semula ke cafe. Sepanjang perjalanan, Jelita perasan Khairy tidak mengikut jalan untuk ke cafe. Dipanjangkan lehernya melihat tanda jalan. Ini jalan nak ke Tasik Putrajaya.
“Boss, kita nak pergi mana ni?”
“Saya nak rehat sekejap”
Jelita mengerut dahi.
“Kalau boss nak rehat, hantarlah saya balik ke cafe dulu. Boss rehatlah dalam bilik boss”
“Saya nak spent time dengan awak...” jawab Khairy.
Jelita terdiam. Hatinya terus berdegup kencang dan tiba-tiba perutnya menjadi tidak selesa. Suka hati dia je nak bawa aku ke sana sini tanpa tanya dahulu. Bisik Jelita.
10 minit kemudian mereka sampai di tasik Putrajaya. Jelita pantas keluar dahulu dan berjalan laju menuju ke tempat duduk yang berdekatan. Khairy mengikut dari belakang. Setelah itu dia duduk di sebelah Jelita dan meninggalkan ruang tengah di antara mereka.
Jelita menoleh ke tepi dengan wajah tidak gembira. Kedua-duanya mengambil masa sendiri. Hampir lima minit kemudian, barulah Khairy memulakan perbualan.
“Urm, mak ayah kat rumah sihat?” tanya Khairy.
Jelita memandang sekilas ke arah Khairy. Dalam hatinya dia sedikit tersentuh apabila lelaki itu bertanyakan mengenai ibu bapanya yang berada di kampung.
“Sihat, alhamdulillah”
“Keadaan kat Jengka sekarang macam mana ya? Waktu kecil dulu, saya pernah melawat saudara kat Jengka 8”
“Banyak bangunan yang telah dibina. Tarikan utama adalah Stadium Tun Abdul Razak. Kedai-kedai pun dah banyak dibuka, perumahan makin bertambah” jawab Jelita dan fikirannya membayangkan bandar Tun Abdul Razak Jengka sekarang.
“Wah, ya ke. Macam teringin pula nak singgah, boleh sesekali tu saya pergi melawat ibu bapa awak kat Jengka satu”
Jelita memandang wajah Khairy dengan renungan tajam dan selepas itu dia memandang ke hadapan semula.
“Awak kenal ke dengan mak ayah saya?”
“Bukan awak ke pernah tunjuk gambar mak ayah awak sebelum ni”
Wajah Jelita muram selepas itu.
“Saya pernah ke tunjuk gambar adik-beradik saya yang lain?”
“Awak tunjuk gambar kak long awak dan gambar mak ayah awak waktu kita masih remaja dahulu”
“Gambar adik saya?”
“Adik? Bukan awak ada dua orang adik-beradik saja ke?”
Mendengar Khairy berkata seperti itu, Jelita menarik nafas dalam. Tidak sangka Jelita Maisarah sanggup berbuat seperti itu.
“Apa yang awak tahu pasal diri saya?”
“Awak suka makan kuih donut, mempunyai personaliti yang baik, manis, suka tersenyum, rajin dan bijak dalam pelajaran” apa yang diberitahu oleh Khairy semuanya bertentangan dengan apa yang ada pada dirinya.
“Jelita yang saya kenal sekarang sangat tak suka senyum. Mukanya asyik masam sahaja dan suka memberontak secara diam”
Jelita cuba mengawal air mukanya. Tidak mahu terlalu mengikut perasaan pada ketika itu.
“Saya ingat dengan apa yang awak janji pada saya. Awak ingat lagi tak?”
Macam mana aku nak ingat, orang yang pernah berjanji dengan kau tu bukannya aku! getus hati Jelita.
“Awak janji dengan saya, awak nak belajar bersungguh-sungguh dan ikut saya belajar ke oversea. Dekat oversea nanti saya akan tunggu awak. Kita ada banyak masa untuk bersama, mengenali antara satu sama lain dan mengejar cita-cita bersama-sama”
Jelita menoleh ke tepi kemudiannya.
“Saya juga berjanji dengan awak, yang saya akan bekerja keras untuk dapatkan apa yang saya inginkan. Pada mulanya saya hanya anggap awak sebagai seorang adik, tapi lama-kelamaan saya mulai menyimpan perasaan terhadap awak dan saya berniat ingin memberitahu perasaan saya sebelum saya sambung belajar di oversea. Tiba waktu hari lahir awak dan hari ke 100 kita bersama, awak kemalangan di hadapan mata saya, dan saya lari tinggalkan awak kerana perasaan terlalu takut untuk melihat keadaan awak dengan lebih dekat. Saya fikir awak dah tak ada tapi ternyata jodoh kita kuat dan kita bertemu kembali”
Jelita dapat merasakan apa yang dituturkan oleh Khairy datang dari hati yang ikhlas dan jujur. Khairy nampak gembira apabila memberitahunya mengenai perkara itu.
“Dan saya minta maaf sebab saya terpaksa menjadi seorang pengecut. Waktu itu saya terlalu takut melihat diri awak yang berlumuran darah. Saya tak tahu apa yang harus saya lakukan. Kemudiannya selama seminggu saya jatuh sakit kerana saya sentiasa teringatkan kejadian itu dan saya selalu berasa bersalah atas apa yang berlaku kepada awak” terang Khairy dengan suara sedikit sebak.
“Sekarang melihat awak dalam keadaan baik, saya ingin menebus kesalahan saya kerana meninggalkan awak dahulu. Mungkin sukar untuk awak maafkan saya, tapi saya berharap jika awak boleh berikan peluang kepada saya, saya akan buat apa sahaja agar awak dapat maafkan saya”
“Baiklah, kalau macam tu, lupakan apa yang pernah berlaku antara kita berdua. Saya nak balik” Jelita bangun kemudiannya setelah selesai berkata-kata.
Khairy terpempam mendengar permintaan Jelita. Permintaan itu tidak mungkin dapat dia laksanakan. Dia tidak mungkin akan melepaskan Jelita setelah apa yang berlaku kepada mereka sebelum ini. Khairy menarik nafas perlahan dan setelah itu mengangkat punggungnya dan menuju ke kenderaannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience