Episod 34

Romance Completed 3451

Fuad menekan loceng rumah. Sejurus itu, Lina Wajihah pantas membuka pintu dan pagar rumah. Qurratu Ain turut sama mengekori wanita itu dari belakang.


"Abah," panggil Qurratu Ain. Sepantas kilat dia memeluk paha Fuad seerat-eratnya seperti bertahun tidak bertemu. Fuad mengusap-ngusap kepala Qurratu Ain.


"Ain rindu abah," ucap kanak-kanak kecil itu.


"Ala, baru setengah hari tak jumpa dah rindu," balas Fuad. Lina Wajihah tersenyum mendengar perbualan anak-beranak itu.


"Biasalah Fuad. Budak-budak memang macam tu," sampuk wanita berusia 32 tahun itu.


"Ain ni saja nak bermanja lebih-lebih. Kak Lina, ni saya ada belikan akak kek pisang, biskut Lexus, dengan air kotak Dutch Lady ni boleh bagi anak akak sekali," Fuad menghulurkan plastik yang berisi makanan dan minuman tersebut. Lina Wajihah teragak-agak untuk menyambutnya.


"Fuad ni susah-susah je. Akak tak mintak pun semua ni," ujar Lina Wajihah.


"Tak apalah kak. Akak tak mintak pun saya tetap nak belikan. Ambiklah, tak baik tolak rezeki tau," balas Fuad sambil menguntumkan senyuman.


"Yelah, terima kasih," Lina Wajihah akhirnya menyambut pemberian Fuad.


"Sama-sama. Upah untuk akak, nanti saya transfer je kat akaun akak ye," beritahu Fuad lagi.


"Fuad, akak tak mintak sesen pun daripada Fuad. Akak jaga Ain macam jaga anak sendiri. Kita kan jiran. Setakat ambik Ain balik dari tadika, jaga dia sekejap sikit pun akak tak kira," jawab wanita itu. Bicaranya jelas menggambarkan seikhlas mana hatinya.


"Tak apalah akak. Sebagai penghargaan kan," ujar Fuad pula. Dia tetap dengan pendiriannya.


"Tak payahlah. Duit tu awak simpan je, manalah tahu kang jumpa jodoh hah senang. Tak payah pening-pening fikir pasal belanja kahwin. Menabung dari sekarang," ujar Lina Wajihah. Fuad tertawa kecil mendengar kata-kata tersebut.


"Kak Lina ni ke situ pulak," jawab Fuad diiringi tawa yang masih bersisa.


"Ingat akak bergurau ke apa? Akak serius tau. Bukan apa Fuad. Akak sebenarnya rasa kesian kat Ain. Yelah, dia perlukan kasih sayang seorang ibu. Fuad tak terfikir ke nak cari pengganti arwah isteri Fuad?" Spontan Lina Wajihah bertanyakan soalan itu. Fuad terdiam seketika. Tawanya terus mati. Seraut wajah Hasya Qatrunnada menari-nari dalam benaknya. Setelah dia kehilangan isterinya, tiada seorang pun yang berjaya menawan hatinya.


"Saya tak terfikir lagi pasal tu. Entahlah. Mungkin jodoh belum sampai. Jodoh tu Allah yang atur," balas Fuad. Dita tidak mahu menceritakan isi hati yang sebenar. Bukan tiada sesiapa yang mahukan dirinya, tetapi dia yang sengaja menolaknya. Baginya, Hasya Qatrunnada bagaikan tiada pengganti.


"Kalau pun Fuad tak fikirkan diri sendiri, Fuad fikirlah tentang Ain. Dia perlukan kasih sayang ibu, bimbingan seorang ibu. Memanglah jodoh Allah yang atur tapi kita kenalah mencari. Jodoh tak akan datang kalau kita tak berusaha. Tak apalah Fuad. Akak doakan semoga Fuad dikurniakan jodoh yang baik ye," ucap Lina Wajihah.


"Insya Allah kak. Kalau saya kahwin pun jangan risaulah. Akak dan family akaklah orang pertama yang saya jemput," ujar Fuad. Bibirnya kembali tersenyum mempamerkan giginya yang putih.


"Allahumma aamiin. Akak pegang kata-kata Fuad tu, tak jemput nanti siaplah," balas Lina Wajihah dalam nada yang bergurau.


"Hah abah nak kahwin ke?" Qurratu Ain tiba-tiba menyampuk. Dia mula melepaskan tubuh ayahnya dari pelukan. Fuad dan Lina berpandangan sesama sendiri. Akhirnya, mereka berdua menghamburkan tawa.


"Tak adalah. Abah tak kahwin pun. Saja bergurau dengan Mak Cik Lina," beritahu Fuad.


"Tengok Ain pun seronok bila dengar abah dia nak kahwin," usik Lina lagi.


"Nampaknya dia pun dah setuju kalau abah dia cari ibu baru. Dahlah Kak Lina, saya balik dululah. Kirim salam dekat suami akak ye," ujar Fuad sebelum berlalu dari situ.


"Yelah insya Allah akak sampaikan," balas Lina Wajihah. Mendengar perkataan 'balik' , Qurratu Ain segera mencium tangan wanita itu.


"Ain balik dulu. Kita jumpa esok tau," ucap Qurratu Ain.


"Ye sayang. Jumpa esok ye," balas Lina Wajihah. Sempat dia menghadiahkan ciuman pada pipi Qurratu Ain.


"Amboi macam tak nak berpisah je," usik Fuad lagi. Kanak-kanak itu pantas mendapatkan ayahnya.


"Jumpa esok ye Kak Lina, Insya Allah. Balik dulu. Assalamualaikum," ucap Fuad.


"Waalaikumussalam," balas Lina Wajihah. Fuad bersama anaknya bingkas memasuki perut kereta. Lina Wajihah dan Qurratu Ain saling melambaikan tangan. Lina berdiri berhampiran pagar rumah sehinggalah bayangan kedua insan itu hilang dari pandangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience