Fuad Asyraf memainkan rakaman video sesi ceramah yang disuarakan oleh Imanina Marsya pada lima bulan yang lepas. Video tersebut berulang kali dimainkan seakan tidak mengenal erti jemu. Fuad tersenyum sendirian. Entah mengapa seronok pula dia menonton video itu.
Setelah pertemuan mereka kali ketiga, mereka tidak lagi saling bertemu atau tersempak di mana-mana. Sudah lima bulan mereka tidak bertemu. Sewaktu pertemuan kali ketiga itu, Fuad juga tidak sempat berborak lebih lanjut bersama Imanina. Terdetik juga di hatinya untuk lebih mengenali Imanina namun rasa malu menghalangnya untuk bertindak. Hendak meminta nombor telefon gadis itu pun dia rasa keberatan. Apa pun, ikhtilat harus dijaga.
Fuad Asyraf merenung skrin telefon. Angka jam menunjukkan pukul 10 malam. Perlahan-lahan dia menuju ke arah bilik anaknya. Tombol pintu dipulas. Daun pintu diselak sedikit membiarkan cahaya lampu dari ruang tamu menerobos masuk ke dalam bilik itu.
Kelihatan Qurratu Ain lena diulit mimpi. Dia mendakap bantal peluk Didi and Friends. Fuad Asyraf menghampiri anaknya. Fuad tersenyum lagi. Bibirnya dibenamkan ke dahi Qurratu Ain.
Qurratu Ain adalah penguat semangatnya. Qurratu Ain adalah penyeri dan penawar hidupnya. Qurratu Ain adalah harta yang tidak ternilai baginya. Qurratu Ain juga adalah lambang kasih antara Fuad dan arwah isterinya.
Setelah meluangkan sedikit masa di situ, dia kembali ke ruang biliknya. Sepasang matanya pula masih segar-bugar. Belum waktunya untuk melelapkan mata. Rasa bosan kian menguadai. Akalnya mula mencerna sesuatu untuk mengurangkan bosan. Fuad mencapai telefon pintar. Dia membuka akaun fac yang sudah lama terabai. Kesibukannya sebagai seorang guru membuatkan dia jarang bersiaran di alam maya.
Dia membaca beberapa postingan yang dikirim oleh sahabat alam maya. Sekali-sekala dia menekan button like. Lebih kurang lima belas minit, dia terbaca satu postingan yang benar-benar menyentuh hatinya. Postingan itu berbunyi, "bukan takdir yang tidak indah, cuma hatimu yang belum cukup tabah."
Ya. Allah sudah atur yang terbaik buat kita, cuma kita saja yang sukar berlapang dada. Adakalanya kita kerap mempersoalkan mengapa jalan cerita hidup kita begini dan begitu, mengapa segalanha tidak indah tetapi rupa-rupanya kita punya hati yang gagal memegang ketabahan.
Fuad meneliti siapa pengirim kata-kata itu. Imanina Marsya. Cepat-cepat dia melihat profile picture sahabat alam mayanya itu. "Hah? Dia?" Fuad berbicara sendiri. Anak matanya dibesarkan. Terkejutnya bukan kepalang. Terpapar gambar Imanina Marsya bersama dua orang wanita. Sah, Imanina Marsya binti Izhar Naim!
"Dia rupanya? Sejak bila pulak aku friend dengan dia kat fac ni?" ucap Fuad seorang diri. Otaknya mengerah ingatan, tetapi gagal. Entah bila agaknya dia bersahabat dengan Imanina. Sungguh sebelum ini dia tidak pernah menyedari hal tersebut. Baru sekarang dia perasan.
Fuad cuba stalk gadis itu. Satu per satu dia memerhatikan wall Imanina. Rupa-rupanya gadis itu juga jarang mengirim status. Mungkin disebabkan kesibukan terhadap kerja sama seperti dirinya.
Fuad Asyraf tersenyum lebar. Hatinya disapa kegembiraan. Bibit-bibit cinta mula berputik. Meskipun tidak pernah berkawan di dunia nyata, sudah lama tidak tersempak di mana-mana, dan tidak pernah mengenali antara satu sama lain namun rasa cinta itu datang tanpa dipinta.
Bayangan Cikgu Rumaisha bermain-bermain di kotak fikiran Fuad. Hanya wanita itu yang mampu menolong dirinya. Dia tidak mahu memendam rasa hinggalah suatu hari dia menyuarakan bicara hatinya pada Cikgu Rumaisha.
"Hah? Kau biar betul?" soal Cikgu Rumaisha. Dia berhenti menyuap char kuey teow ke dalam mulut.
"Betullah kak. Saya nak jumpa Imanina dan saya nak jumpa family dia. Saya nak lamar dia," beritahu Fuad bersungguh-sungguh.
"Kak Mai mesti tahu kan kat mana rumah dia," tambahnya lagi. Cikgu Rumaisha kian terkesima. Lidahnya kelu hendak menjawab pertanyaan itu.
"Kak Mai?" panggil Fuad.
"Ye akak tahu. Tapi akak rasa macam tak percaya pulak. Fuad serius ke?" tanya wanita itu. Fuad menyedut milo ais yang terhidang di atas meja sebelum melanjutkan bicara.
"La ila ha illallah. Kak Mai, saya serius ni. Tak kan nak bergurau kot. Saya memang sukakan dia. Siang malam saya berdoa pada Allah, minta petunjuk dan saya rasa yakin dengan pilihan saya," ujar Fuad.
"Fuad dah fikir masak-masak ke?" soal Cikgu Rumaisha meminta kepastian.
"Dah masak dah kak. Sampai hangus," balas Fuad selamba. Cikgu Rumaisha tertawa mendengar jawapan itu.
"Tapi akak peliklah. Baru tiga kali terjumpa tanpa sengaja Fuad dah jatuh cinta kat dia," ucap Cikgu Rumaisha.
"Cinta kan memang macam tu. Datang tanpa diundang. Saya sebenarnya tertarik dengan cara dia. Yelah dia pun pandai jaga aurat, muslimat yang sopan, pandai jaga diri. Manalah tahu dia jodoh saya," jawab lelaki itu dengan wajah yang serius.
"Yelah yelah oklah. Memandangkan Fuad pun serius, akak boleh tolong. Kalau Fuad nak akak boleh temankan Fuad jumpa family dia," cadang Cikgu Rumaisha. Fuad menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.
"Bila agaknya nak jumpa diorang?" tanya Cikgu Rumaisha lagi.
"Insya Allah, minggu depan," balas Fuad ringkas.
"Ok boleh. Akak harap ini adalah yang terbaik buat Fuad. Apa pun kita berharap pada Allah. Insya Allah tak lama lagi makan nasi minyak lah kita," usik Cikgu Rumaisha sambil tersenyum. Dia kembali menyuap makanan mengisi perut yang lapar. Fuad Asyraf tersengih sahaja.
"Insya Allah," jawab Fuad.
Share this novel