"Kalau Dian boleh tolak lamaran Khalid kenapa Dian tak boleh tolak Zulfadhli? Dalam islam tak ada istilah couple sebelum berkahwin. Tak ada istilah couple islamik walaupun seorang lelaki dengan perempuan hanya berhubung melalui telefon. Semuanya mengundang zina hati. Untuk apa Dian nak kejar cinta seorang lelaki ajnabi, sedangkan cinta pada Nabi SAW pun masih terkapai-kapai. Cinta pada Allah pun masih ketinggalan. Sedarlah sayang. Cuba faham apa yang umi sampaikan. Tanam rasa malu dalam diri kita," Nasihat daripada Mardhiyah itu terngiang-ngiang di telinga Diana.
"Putuskan hubungan dengan lelaki tu. Abah nak Dian sambung belajar. Tak payah jauh-jauh. Sambung je kat Kolej Islam As-Sofa kat Negeri Sembilan," Bicara daripada Saifullah pula yang berlegar di kotak fikiran gadis itu.
Diana Adira menghela nafas panjang. Dia sudah tahu keputusan apa yang hendak dibuat. Tiada gunanya menegakkan cinta si dia yang belum halal andai cinta pada Tuhan masih bengkok.
Telefon di atas meja direnung lama. Perlahan-lahan tangannya menyambar telefon tersebut. Dia membuka aplikasi whatsapp. Jari-jemarinya terketar-ketar saat menaip sebaris mesej.
"Assalamualaikum Zul, Hubungan kita sampai sini je. Maafkan saya," - Diana.
Ada air mata kejahilan yang merembes keluar. Ada penyesalan yang mula terbit dan ada rasa bersalah yang menggunung pada seseorang. Ya, rasa bersalah terhadap Imanina. Jika bukan kerana dia rela jadi orang ketiga, Imanina tidak akan terluka.
Beberapa minit kemudian, telefonnya berbunyi. Cepat-cepat dia melihat skrin telefonnya.
"Waalaikumussalam. Dian, kenapa tiba-tiba macam ni? Awak serius ke atau bergurau ni??" - Zulfadhli.
"Saya serius. Saya tak main-main. Apa yang kita buat selama ni salah. Dan kita tak patut teruskan hubungan n,"- Diana
"Dian, kalau saya ada buat salah saya minta maaf. Tapi jangan buat saya macam ni," - Zulfadhli
"Awak tak buat salah pada saya. Kita berdua yang salah sebab couple macam ni. Lepas ni saya tak akan ganggu awak lagi dan awak jangan ganggu saya. Ini demi kebaikan kita. Kalau kita ada jodoh, yakinlah jodoh tu tak akan ke mana. Jaga diri, assalamualaikum,"- Diana
"Kerana awak saya sanggup lupakan Nina tapi ini yang awak balas. Baik, saya tak akan paksa awak. Moga awak bahagia dengan keputusan sendiri. Waalaikumussalam," - Zulfadhli.
Diana mengesat air matanya menggunakan jari. Dia tekad dengan keputusannya. Ihfazillah yahfazka. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Bait kata itu mengetuk pintu hatinya.
Zulfadhli mendengus kasar. Dia bangkit dari duduk. Meja belajarnya ditumbuk sekuat hati. Biar seluruh dunia tahu akan kemarahannya. Faizal yang berada di bilik itu, tersentak dengan perbuatan sahabatnya.
"Arghhhh!" Jerit Zulfadhli. Perasaan marah dan hampa bergabung menjadi satu.
"Zul? Kenapa ni?" Faizal memberanikan diri untuk membuka mulut. Zulfadhli membisu. Dadanya berombak kencang. Nafasnya tercungap kerana menahan marah.
"Istighfar banyak-banyak Zul," Ucap Faizal lagi. Zulfadhli menoleh sekilas ke arah sahabatnya yang sedang duduk bersila di lantai sambil memegang sebuah majalah solusi yang baru dibaca separuh halaman. Lelaki itu memang tidak boleh dipisahkan dengan bahan bacaan.
Zulfadhli kembali melabuhkan punggungnya ke kerusi. Wajahnya diraup beberapa kali sebelum meluahkan masalah yang dihadapinya.
"Pasal Dian. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba dia nak putus dengan aku. Aku punyalah setia dengan dia, dia buat aku macam ni. Sakit hati aku tau tak!" Beritahu Zulfadhli. Faizal menggelengkan kepalanya. Dia sudah dapat mengagak hal itu pasti berlaku.
"Aku bukannya nak hukum kau. Tapi macam yang pernah aku cakap sebelum ni. Bila kau kejar yang sempurna, kau akan kehilangan yang terbaik. Kau kejar Dian pastu kau buang Nina macam sampah dan last-last Dian minta putus," Ujar Faizal. Zulfadhli membisu sekali lagi. Pandangannya beralih ke luar tingkap.
"Apa yang kau rasa sekarang ni macam tulah yang Nina rasa. Hidup ibarat roda, Zul. Hari ni kita buat orang, esok lusa kita pulak yang terkena. Kau tak akan rasa sakit selagi benda tu tak kena kat batang hidung kau sendiri. Kalau kita tak nak terluka, jangan melukakan. Hidup ni berputar-putar. Aku harap lepas ni kau berubah. Apa yang dah berlaku kau jadikan pengajaran," Ujar Faizal panjang lebar.
Zulfadhli termenung sendirian. Hatinya tertampar dengan bicara yang lahir dari bibir Faizal tadi. Seraut wajah Imanina dan Diana berselang-seli bermain di fikiran.
"Semua ni memang salah aku. Aku layak dapat hukuman sebegini," Bisiknya sendiri. Kekesalan kian bermukim di dalam hati.
Share this novel