Dalam sekeping gambar yang telah dibingkaikan, kelihatan sepasang suami isteri duduk bersanding sambil tersenyum manis di atas pelamin bertemakan warna hijau dan putih. Hijau melambangkan kedamaian sebaliknya warna putih melambangkan kesucian. Sedamai dan sesuci cinta antara mereka.
Namun kini memori cinta yang terlakar diabadikan dalam kenangan. Sampai bila-bila pun kenangan itu tak akan luput dari ingatan. Fuad Asyraf merenung tersebut. Matanya jatuh pada wanita di dalam gambar itu.
Gambar tersebut ditarik ke dalam pelukan. Tanpa disedari, air matanya menitis perlahan-lahan. Ada rindu yang tidak mampu diucap dengan bicara. Sudah genap tiga tahun arwah isterinya pergi meninggalkannya.
Sepasang matanya beralih pula pada sebingkai gambar lagi. Kelihatan seorang wanita tua, seorang lelaki tua dan dua orang remaja wanita saling berpelukan. Keempatnya kelihatan mesra menggambarkan kasih sayang yang tiada noktah. Gambar itu turut menyimpan beribu kenangan. Ya. Gambar arwah ibu, ayah dan dua orang adik perempuannya. Air matanya semakin lebat melimpah. Rindu tak terkata.
Dalam diam, Qurratu Ain memerhatikan ayahnya. Dia mengatur langkah menghampiri Fuad Asyraf yang duduk di birai katil.
"Abah," Sapa kanak-kanak comel itu. Tangannya kanannya mendarat ke bahu ayahnya. Fuad Asyraf cepat-cepat mengesat air mata. Kedua-dua gambar itu diletakkan semula ke atas sebuah meja kecil yang terletak berhampiran dengan katilnya. Pantas dia menoleh ke arah anaknya.
"Ain. Ain nak apa sayang?" Soal Fuad. Pipi Qurratu Ain yang tembam itu dicubit mesra.
"Mata abah merah. Abah menangis ke?" Soal Qurratu Ain pula. Kanak-kanak itu memang lancar berbicara walaupun terkadang ada sesetengah perkataan yang tidak dapat disebut dengan betul.
"Mana ada merah. Mata abah masuk habuk tadi," Fuad memberikan alasan.
"Oh. Mungkin gambar yang abah pegang tadi ada habuk kot," Balas Qurratu Ain. Dia turun dari katil lalu mendapatkan gambar itu.
"Emm Ain tengok tak ada habuk pun," Ujar si kecil itu. Fuad Asyraf tersenyum. Bijak pula anaknya menyiasat.
"Abah, Ain rindu dengan umi. Abah tak rindu umi ke?" Tanya Qurratu Ain.
"Abah pun rindu umi jugak. Rindu sangat-sangat," Luah Fuad sepenuh hati.
"Mak cik Lina kata, kalau kita rindu orang yang kita sayang kita kena doakan dia," Beritahu Qurratu Ain lagi. Fuad Asyraf terkedu. Si kecil itu seakan-akan kelihatan lebih tabah berbanding dirinya.
"Ain meh sini dekat abah," Panggil Fuad. Qurratu Ain segera menghampirinya. Fuad merangkul tubuh anaknya. Hanya anaknya yang membuatkan dia terus kuat untuk menjalani episod kehidupan. Hanya Qurratu Ainlah satu-satunya keluarga yang dia miliki. Air matanya menitis lagi. Benaknya kembali mengenangkan isteri, ibu dan ayahnya serta dua orang adiknya yang maut dalam satu kebakaran pada tiga tahun yang lepas. Waktu itu, Qurratu Ain baru berusia dua tahun.
Hati siapa yang tidak diserbu pilu. Seluruh keluarga gagal diselamatkan, maut datang menjemput. Mayat telah rentung. Cuma dia dan Qurratu Ain yang terselamat. Jika belum ajal, begitulah.
"Abah jangan sedih. Ain kan ada. Ain pun ada abah sorang je. Senyum sikit abah. Ain suka tengok abah senyum. Ain tak suka tengok abah nangis," Qurratu Ain mengesat air mata jernih milik ayahnya. Fuad Asyraf cuba mengukir senyuman meskipun air mukanya melukis kepedihan yang maha dahsyat.
"Hah macam tulah abah," Qurratu Ain bersuara riang. Dia memeluk Fuad Asyraf seeratnya. Kepalanya dilentokkan pada bahu ayahnya. Lelaki itulah tempatnya untuk bermanja, tempatnya menagih kasih sayang dan tempatnya mengadu tika dia dilanda kesakitan. Fuad Asyraf mengusap-ngusap rambut anaknya itu.
"Ain kecik lagi. Ain tak faham lagi perasaan abah. Abah bersyukur sebab Ain tak faham dengan ujian ni. Sekurang-kurangnya biarlah abah seorang yang rasa semua ni, bukan Ain. Abah nak tengok Ain senyum tiap hari sayang. Tabahkan hatiku ya Allah," Fuad Asyraf bermonolog di dalam hati. Meskipun tiada seorang insan yang bisa membaca isi hatinya, ada Allah yang mendengar rintihannya.
Share this novel