"Hah? Ayah terima dia?" soal Imanina seakan tidak mempercayai pengakuan ayahnya. Dahinya berkerut seribu. Dia sama sekali tidak menyangka ayahnya bersetuju menerima lamaran Fuad Asyraf. Seorang lelaki yang dia tidak kenal. Baru tiga kali bertemu itu pun secara tidak sengaja.
"Ya, ayah terima dia sebab ayah yakin dia boleh jadi suami yang baik untuk kau," beritahu Izhar Naim bersungguh-sungguh. Pertama kali dia melihat Fuad Asyraf hatinya betul-betul tertarik pada kesopanan dan ketulusan lelaki itu. Fuad tidak seperti lelaki lain yang mahu mengajak anak dara orang pergi tengok wayang, keluar makan, atau bersiar-siar di mana-mana. Sebaliknya, dia datang melamar dalam cara yang baik.
"Apa ni ayah? Nina tak kenal dia pun. Lagi satu kenapa ayah tak tanya Nina dulu sebelum ayah buat keputusan?" tanya Imanina lagi. Dia mendengus perlahan. Kalau boleh mahu sahaja dia menjerit di situ. Tetapi mengenangkan keluarga ada di hadapan mata, dia cuba mengawal emosi yang menusuk jiwa.
"Ayah tengok Fuad tu baik je. Ayah tak mahu kau salah pilih. Apa salahnya kalau ayah yang pilihkan?" ujar Izhar Naim. Dia yakin sebulat-bulatnya dengan keputusan yang dibuat.
Harraz yang berada di ruang tamu itu, fokus mendengar perbualan anak-beranak tersebut. Setelah melihat Imanina membisu, gilirannya pula untuk membuka mulut.
"Nina, sedangkan orang yang kau dah kenal bertahun-tahun pun boleh tinggalkan kau macam tu je. Tak semestinya orang yang kita dah kenal tu boleh jadi yang terbaik untuk kita. Dan tak semestinya bila kita tak kenal seseorang, dia tak baik untuk kita. Cuba kau fikir baik-baik," ucap Harraz sepenuh hati. Imanina memandangnya sekilas.
"Ya, apa yang abang cakap tu betullah. Tapi abang tak rasa ke benda ni cepat sangat? Nina tak ready apa-apa lagi pun. Lagi satu, Fuad tu ada anak kot," jawab Imanina. Bukan alasan yang dia lontarkan tetapi sekelumit pun tiada rasa cinta terhadap Fuad.
"Ada anak ke, duda ke, teruna ke bukan status dia yang boleh membahagiakan rumah tangga. Asalkan dia beriman, berakhlak, ada adab, tak malas bekerja tu dah menepati ciri-ciri seorang suami yang baik. Cepat sangat apanya? Bukannya kitorang mintak kau kahwin esok lusa. Kita plan je," balas Harraz selamba sambil mengenyitkan sebelah matanya pada Izhar Naim. Ayah saudaranya itu tersenyum seketika. Imanina menelan air liur perlahan-lahan. Perit untuk dia menerima kenyataan tersebut.
"Nina tak sayangkan dia la bang. Takkan Nina nak paksa pulak? Boleh tak kalau nina yang buat pilihan sendiri?" Gadis itu kelihatan semakin bengang. Air mukanya masam mencuka.
"Boleh jadi sesuatu yang kita sayang akan menjadi sesuatu yang kita benci. Boleh jadi sesuatu yang kita benci akan menjadi sesuatu yang kita sayang," kata Harraz. Dia berusaha meyakinkan adik sepupunya itu. Dia juga yakin bahawa Fuad adalah yang pilihan tepat buat Imanina.
"Nina, jangan salahkan sesiapa nak. Mungkin ini yang terbaik buat anak ayah," ujar Izhar Naim pula. Bibirnya mengukir segaris senyuman berharap Imanina bisa kembali ceria. Imanina membalasnya dengan senyuman tipis.
"Mungkin yang pergi tu adalah cinta dan yang datang sekarang adalah jodoh," ucap Harraz membuatkan Izhar Naim tertawa kecil. Tak habis-habis bermadah.
"Cakap senanglah. Yang rasa Nina, bukannya abang," luah Imanina Marsya. Jelingan tajam dihadiahkan buat Harraz.
"Yelah yelah. Tapi kan, Fuad tu ok apa. Rupa pun boleh tahan, kerja pun cikgu, akhlak pun bagus tak adanya nak ajak kau pergi mana-mana, datang melamar je. Walaupun dia ada anak, tapi anak dia tu comel sangat. Geram je abang tengok dia," jawab Harraz. Semakin kuat Imanina menentang, semakin rancak dia mempertahankan sebuah pilihan.
Imanina mendengus lagi melepaskan rasa tidak puas hati. Namun tiada siapa yang sudi memahami perasaannya tika itu. Maimunah dan Mumtazah sibuk memasak di dapur. Seandainya kedua insan itu berada dekat dengannya, mungkin keduanya akan berpihak pada Harraz dan Izhar.
"Semua orang nak kau happy je Nina. Semua orang tak nak kau terluka macam sebelum ni. Kadang, Allah beri jodoh bukan seperti yang kita harapkan mungkin Allah beri seseorang yang kita perlukan," Harraz berbicara lembut cuba menyedapkan hati adik sepupunya.
"Abang boleh jamin ke lelaki tu boleh buat Nina happy?" Spontan Imanina mengajukan soalan.
"Abang tak jamin apa-apa. Semuanya Allah yang izinkan. Seseorang membahagiakan seseorang pun atas izin Allah jugak. Semuanya dari Allah. Manusia berusaha je apa yang termampu. Macam abang, abang cuba bahagiakan family kita, abang cuba bahagiakan Syuhada, abang cuba bahagiakan mak dan ayah mertua abang. Abang usaha happykan orang lain dalam masa yang sama abang letak harapan pada Allah," balas Harraz lagi. Izhar Naim tersenyum seakan urusan itu diatur oleh anak saudaranya. Dia bersyukur. Mujurlah Harraz tidak membantah dengan cadangan yang dibuat.
Imanina terdiam. Bibirnya dikunci rapat-rapat. Dia kehilangan kata-kata. Bukan itu yang dia harap dan inginkan. Memang dia mahukan seseorang yang boleh membimbing. Namun baginya waktu terlalu cepat memilih dirinya. Memang dia sudah move on dari Zulfadhli namun bukan bermakna dia cepat-cepat mahukan pengganti.
'Ahhh kenapa semua ni yang aku kena hadap? Aku tak kuat,' Imanina berbisik di dalam hati.
Izhar Naim merenung wajah anaknya. Sungguh, dia tidak berniat mahu lukakan perasaan puteri kesayangannya itu. Hanya bahagia yang dia panjatkan pada Tuhan.
Share this novel