"Cikgu dah periksa semua karangan, isi dah cukup cantik. Huraian dah cukup baik. Satu je yang korang tinggal. Peribahasa dan kosa kata. Kan cikgu dah ajar banyak kali, kalau nak karangan kita cantik setiap perenggan tu kena letak satu peribahasa. Lagi satu. Rajin-rajin cari kosa kata. Sebab kosa kata boleh buat pemeriksa tertarik baca karangan kita," ujar Fuad Asyraf terhadap murid-murid tingkatan lima Optimis.
"Siapa sini yang masih ingat kosa kata yang cikgu pernah ajar sebelum ni?" soal Fuad Asyraf sambil berjalan mengelilingi kelas.
"Saya cikgu," jawab salah seorang di antara pelajar tersebut.
"Apa dia Hamzah? Sebutkan salah satu dengan maksud dia sekali," pinta Fuad. Dia kini berdiri berhampiran papan tulis. Pelajar bernama Hamzah itu turut berdiri dan menjawabnya.
"Kondusif bermaksud selesa atau sesuai," ucap pelajar itu.
"Hah pandai pun. Duduk Hamzah. Yang lain?" soal Fuad lagi. Matanya liar memerhatikan murid seramai 45 orang.
"Saya nak jawab. Pidana yang bermaksud jenayah," jawab salah seorang pelajar wanita.
"Hah pidana, kondusif, lagi apa?" Fuad tidak berputus asa mendengar jawapan daripada anak muridnya.
"Alma mater. Maksud dia sekolah, universiti, tempat belajar," jawab seorang pelajar lagi. Fuad Asyraf tersenyum lebar. Dalam masa yang sama dia berasa pelik. Mereka bukan tidak tahu apa-apa tentang kosa kata, tapi sengaja tidak mengaplikasikan dalam penulisan.
"Lagi?" soal Fuad tanpa henti.
"Anjakan paradigma. Maksudnya perubahan demi kebaikan," jawab pelajarnya lagi.
"Meluaskan horizon pemikiran. Maksudnya, meluaskan pandangan atau pemikiran," para pelajar terus menjawab.
"Drastik bermaksud cepat, mendadak," kedengaran suara salah seorang dari mereka melahirkan jawapan.
"Bijak pun. Korang ni bijak, bukan tak bijak. Tengok tadi, boleh je jawab. Kenapa tak masukkan dalam karangan? Apa yang susahnya?" tanya Fuad Asyraf. Namun kali itu seorang pun tiada sesiapa yang berani menjawabnya. Semuanya kehilangan kata-kata.
"Kelas, SPM dua bulan je lagi. Masih ada masa. Cikgu dah bagi korang kosa kata, peribahasa, frasa-frasa bombastik tapi korang tak jaga ilmu tu. Kalau korang punya gaya macam ni macam mana nak berjaya," ucap guru bahasa melayu itu dengan tegas. Semua pelajar masih membisu.
"Tingkatan lima Optimis walaupun kelas paling bawah korang kena buktikan yang korang boleh! Buktikan korang bukan lemah! Korang boleh je kalahkan kelas-kelas atas. Kuncinya apa? Berusaha diiringi doa. Jangan malas. Kejayaan tak akan datang bergolek sendiri," Fuad menyalurkan kata-kata semangat. Dia tidak mahu jika anak didiknya itu terus tenggelam dalam lautan kemalasan.
"Baiklah. Cikgu nak bagi korang homework. Cikgu sebut soalan, korang tulis. Pastikan siap esok. Soalan dia, "Rakyat Malaysia digalakkan untuk menguasai bahasa asing. Pada pendapat anda, apakah kepentingan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing?"Faham dan jelas soalannya kan?" Ujar Fuad Asyraf. Suaranya memecah kesunyian kelas.
"Faham cikgu," jawab semua pelajar secara serentak. Mereka turut menyalin soalan yang diberikan tadi. Loceng berbunyi menandakan waktu pulang telah tiba.
"Semua dah boleh balik. Jangan lupa siapkan homework. Siapa tak hantar esok, siaplah dia. Tahulah cikgu nak buat apa. Baiklah kelas itu je setakat hari ni. Assalamualaikum," Fuad Asyraf mengakhiri sesi mengajarnya hari itu.
"Waalaikumussalam cikgu," jawab semua murid-murid tersebut. Fuad Asyraf menyambar bahan ajarannya di atas meja kemudian pantas melangkah keluar. Murid-murid pula bingkas memasukkan alat tulis ke dalam bag sekolah setelah siap menyalin soalan tadi. Tidak sabar hendak pulang ke rumah masing-masing.
Fuad Asyraf memasuki bilik guru dengan mimik muka yang kelihatan cukup letih. Dia menuju ke arah meja dan kerusinya. Kemudian, dia duduk pada kerusi itu.
"Kenapa ni Fuad? Nampak macam letih je," tegur Cikgu Rumaisha yang duduk di sebelahnya.
"Penat dengan karenah murid-murid, Kak Mai," beritahu Fuad dengan jujur.
"Biasalah tu Fuad. Budak-budak sekarang ni memang banyak ragam. Sabar jelah," balas Cikgu Rumaisha. Dia duduk sambil menyusun beberapa buah buku yang sedikit bersepah.
"Akak bayangkan jelah. Kita dah ajar diorang, tapi diorang punya malas tu sampai apa yang diorang dah tahu diorang buat-buat tak tahu je. Dah tahu tapi tak nak tulis kat karangan. SPM dah nak dekat dah," luah Fuad sambil memicit kepala yang tidak sakit.
"Kelas mana tu?" soal Cikgu Rumaisha ingin tahu.
"Kelas lima Optimis," ujar Fuad.
"Hmm kelas bawah ni memang bermasalah sikit. Diorang bukan tak pandai, tapi diorang selalunya ada masalah yang menyebabkan diorang tak semangat nak berjaya. Markah tinggi ke, markah rendah ke diorang buat tak ambik kisah. Kita sebagai guru kita tak boleh salahkan diorang seratus peratus. Kadang diorang perlukan motivasi. Sebab tu akak selalu jemput bekas pelajar cemerlang datang ke sekolah ni untuk bagi tips dan motivasi untuk pelajar lain," Jawab Cikgu Rumaisha sambil tersenyum. Dia berhenti menyusun buku tatkala mejanya sudah kelihatan rapi dan kemas.
"Berkesan ke cara tu?" soal Fuad. Kedua guru itu saling berpandangan.
"Insya Allah boleh membantu. Guru-guru yang lain pun selalu buat macam tu. Kalau Fuad nak buat jugak, boleh je. Lima tahun yang lepas, ada sorang pelajar cemerlang daripada kelas bawah. Nama dia Imanina Marsya, dia dapat 9A1B. Tapi sayangnya dia tak sambung study. Yelah mesti ada sebab lain kenapa dia tak sambung," beritahu Cikgu Asyikin lagi.
"Macam menarik je tips ni. Saya pun baru tiga tahun mengajar kat sini. Tak tahu pulak ada pelajar cemerlang daripada kelas bawah," balas Fuad.
"Tu bukan baru tu dah kira lama tu. Kalau Fuad nak, akak boleh tolong anak murid Fuad tu. Akak kenal dia. Dia kerja kat butik. Nanti akak bincang dengan dia. Manalah tahu sabtu depan dia sudi datang sini, bagi tips, bagi motivasi untuk pelajar lain," Ujar wanita berusia 34 tahun itu.
"Boleh je kak. Mana tahu dia boleh bagi aura semangat kat pelajar kelas bawah. Dia pun daripada kelas bawah jugak. Sesiapa yang tak pernah mengalami, tak akan mudah memahami," jawab Fuad. Ada senyuman yang lahir dari bibirnya.
"Insya Allah nanti akak contact dia. Akak tolong aturkan. Fuad relaks ok. Jangan serabut. Akak faham Fuad pun cuba lakukan yang terbaik. Siapa tak kenal dengan Cikgu Fuad Asyraf ni, tahun lepas dapat anugerah guru paling rajin," puji Cikgu Rumaisha untuk menaikkan semula semangat rakan seperjuangannya itu.
"Alhamdulillah. Rajin je tapi tak lah sepintar Cikgu Rumaisha ni," ujar Fuad pula. Mereka saling bertukar senyuman.
"Hadza min fadhli rabbi. Dahlah Fuad, akak balik dulu. Fuad jangan sengaja balik lambat pulak, kesian Ain tunggu kat rumah pengasuh. Ok, assalamualaikum," ujar Cikgu Rumaisha sebelum berlalu meninggalkan bilik guru.
"Yelah kak. Hati-hati. Fuad nak solat zuhur dulu, lepas tu ambik Ain. Waalaikumussalam," perbualan mereka tamat di situ.
Fuad kini memasang wajah yang ceria. Hatinya disapa semangat baru. Tidak sabar pula dia melihat siapa pelajar cemerlang itu. Malah dia juga tidak sabar melihat pelajar tersebut berkongsi motivasi dan memberi ceramah kepada pelajar kelas bawah, terutamanya tingkatan lima Optimis.
Mungkinkah selepas itu akan ada perubahan? Fuad tersenyum sendiri. Tiada yang diimpikan melainkan melihat anak didiknya menempah kejayaan cemerlang.
Share this novel