"Zah, semalam ayah ada call abang. Ayah ajak kita jumpa petang ni. Kau nak ikut tak?" Harraz memulakan bicara. Ayah Harraz, iaitu Hasan sudah lama bercerai dengan Maimunah. Namun sebagai seorang anak Harraz masih menjaga hubungan baiknya dengan Hasan. Hasan sudah pun berkahwin lain dan dikurniakan seorang cahaya mata.
"Nak. Pukul berapa kita jumpa ayah? Kat mana?" Tanya Mumtazah.
"Pukul satu petang. Pukul 12.30 kita gerak dari sini. Jumpa kat tempat biasa. Kau jangan lambat bersiap eh." Pesan Harraz. Bukan dia tidak kenal sikap adik kembarnya itu, kalau ada pertandingan lambat bersiap Mumtazah lah juaranya.
"Ok bang. Jangan risaulah. Azah janji tak akan lambat bersiap lagi." Jawab Mumtazah penuh yakin.
"Yelah tu."
"Nina tak nak ikut sekali ke.?" Tanya Harraz lagi.
"Nina nak temankan mak kat rumah la. Lagi pun Nina nak rehat je hari ni, esok kerja." Jawab Imanina. Nasi goreng yang berada di dalam pinggan masih belum habis. Satu suap dua siap tiga suap Nina memaksa untuk menyuap makanan ke dalam mulut. 'Arghh, tak sangka pula gara-gara cinta nak makan pun tak lalu.' Imanina bermonolog di dalam hati.
"Nina, abang tengok Nina macam tak lalu je nak makan. Kenapa ni? Nina tak sihat ke?" Tegur Harraz. Hairan dengan sikap adik sepupunya. Selalunya bila bersarapan pagi Imanina lah yang paling berselera tetapi pagi ahad itu lain pula. Minda Harraz mula meneka bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu.
"Nina sihat lah. Cuma, Nina tak ada selera makan." Ujar Imanina sambil membetulkan tudung. Bibirnya enggan meluahkan masalah yang menimpa. Selagi dia boleh selesaikan sendiri, dia tidak mahu menyusahkan hati Maimunah dan Harraz. Apa yang berlaku, cukuplah hanya Mumtazah yang tahu. Hubungannya dengan Nur Mumtazah sangat rapat. Rahsia Mumtazah itulah rahsianya, rahsianya pula itulah rahsia Mumtazah. Mumtazahlah tempatnya bermanja dan tempat mengadu.
"Betul ni?" Harraz meminta kepastian.
"Ya, betul."
"Kalau Nina ada masalah ke tak sihat ke bagi tau lah. Jangan pendam sorang-sorang." Sampuk Maimunah sambil tersenyum. Antara anak saudara dengan anak kandung langsung tiada bezanya. Kasih sayang dan perhatian tetap dicurahkan sama rata. Bagi Maimunah, kehadiran Imanina menyerikan lagi kehidupan mereka sekeluarga.
"Baik mak." Jawab Imanina ringkas. Dia berhenti mengunyah makanan. Air teh yang masih panas diteguk perlahan-lahan.
"Jangan cakap kat abang yang Nina nak diet pulak." Ujar Harraz. Sengaja mahu mengusik Imanina.
"Amboi abang ni. Abang ingat Nina tu buang tabiat ke apa pagi-pagi nak diet. Kalau nak diet pun mana ada orang diet pagi-pagi. Sarapan pagi kena makan banyak macam raja, makan tengahari kena makan kuantiti sederhana, makan malam pulak makan sikit je macam pengemis." Ngomel Mumtazah panjang lebar. Berlagak seperti seorang guru mengajar anak murid.
"Entah abang ni. Nina dah kurus la. Tak terfikir pun nak diet." Kata Imanina. Harraz tersenyum lebar. Baru hendak mengusik, tetapi dia pula terkena balik.
* * * * * * *
Mumtazah meratakan bedak ke mukanya yang halus. Sekadar bedak tipis sahaja sudah memadai. Gincu bewarna peach dicalit ke bibir. Setelah itu, dia mencapai sehelai shawl yang bewarna ungu tua untuk menutupi apa yang sepatutnya.
Imanina memandang aksi Mumtazah yang sedang melilitkan shawl di kepala. Kemudian dia mengalihkan pandangan tepat-tepat ke arah dinding bilik. Lebih kurang sepuluh minit lagi angka jam menghampiri 12.30 pm.
"Cantiknya colour shawl tu Kak Zah. Beli kat mana?" Tanya Imanina ingin tahu.
"Bakal suami Kak Zah yang belikan. Dia hadiahkan istimewa untuk Kak Zah." Jawab Mumtazah dengan nada yang riang sambil mengemaskan selendangnya.
"Untunglah Kak Zah dapat Abang Luqman. Dapat bakal suami yang baik." Ujar Imanina.
"Baru bakal je. Belum sah lagi. Apa pun Nina doakanlah moga dia jodoh Kak Zah." Dua bulan saja lagi Mumtazah bakal mendirikan rumah tangga bersama Luqman. Siapa sangka lelaki yang selalu bergaduh dengan Mumtazah adalah lelaki yang datang meminangnya. Benarlah orang kata, kalau bergaduh lama-lama jatuh cintalah jawabnya. Demikianlah takdir mereka.
"Nina selalu doakan Kak Zah." Ucap Imanina lagi. Mumtazah melirik wajah dan penampilannya di hadapan cermin. Tubuhnya dibaluti jubah kosong bewarna hitam dipadankan dengan shawl bewarna ungu. Cukup kemas dan ringkas. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, Mumtazah menghampiri Imanina yang duduk di bucu katil.
"Kalau Kak Zah tanya something boleh?" Soal Mumtazah.
"Tanya jelah kak. Sejak bila pula kena minta izin ni." Balas Imanina.
"Nina dengan Zul macam mana? Dah putus ke atau..?" Kata-kata Mumtazah terhenti di situ.
"Nina tak tau lah kak nak putus atau teruskan. Nina masih sayangkan dia."
"Nina." Panggil Mumtazah. Tangannya mendarat pada bahu Imanina.
"Tak salah kalau Nina bagi Zul peluang. Tapi akak nak pesan jangan berharap sangat dengan Zul sebab hati manusia ni mudah berubah." Nasihat Mumtazah. Imanina terdiam seribu bahasa. Hanya membalas bicara dengan renungan mata.
"Dahlah. Jangan fikirkan sangat ye. Makin difikir, makin kusut fikiran. Kalau memang Nina dengan Zul ada jodoh tak akan lari ke mana." Ucap Mumtazah penuh kelembutan. Imanina mengangguk perlahan. Hatinya turut mengakui kebenaran kata-kata Mumtazah.
Tok tok tok
Kedengaran bunyi ketukan pintu.
"Azah, jom kita gerak." Harraz memanggil adik kembarnya di sebalik daun pintu.
"Ok bang." Mumtazah cepat-cepat menyambar beg tangannya kemudian berlalu dari situ. Imanina menarik nafas lega. Mujurlah Mumtazah menepati janjinya untuk bersiap cepat, kalau tidak bersiap-siaplah dia kena bebel oleh Harraz.
Imanina baru berkira-berkira hendak menapak ke ruang tamu, tidak semena-mena telefonnya berlagu lagi. Sah, mesti panggilan dari Zulfadhli. Imanina menarik nafas dalam-dalam mengumpul kekuatan sebelum berbicara dengan lelaki tersebut. Dalam kebuntuan membuat pilihan, Imanina nekad. Zulfadhli layak diberikan peluang. Dia yakin, Zulfadhli mampu berubah!
Share this novel