Episod 5

Romance Completed 3451

Nur Mumtazah kelihatan anggun memakai baju kurung pengantin bewarna putih yang dihiasi lace dan dilapisi manik. Tudung putih dan mahkota yang terletak elok di atas kepala menjadikannya lebih berseri. Luqman pula kelihatan segak memakai sepasang baju melayu bewarna putih lengkap bersongkok hitam dan bersampin. Keduanya duduk sopan di atas pelamin. Majlis yang diadakan di dalam sebuah dewan sederhana sahaja tetapi cukup meriah dengan kehadiran pihak pengantin lelaki dan perempuan, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.


"Semua orang tengok sini. Bismillahirrahmanirrahim, satu dua tiga senyum." Arah Harraz sambil memicit punat di kamera. Upacara mengambil gambar bersama raja sehari semakin rancak.


"Syuha, jomlah pergi pelamin. Kita ambik gambar, boleh buat kenangan." Ajak Imanina pada sahabatnya.


"Tak naklah. Seganlah." Ujar Syuhada.


"Nak segan apanya? Yang kat pelamin tu kakak sepupu aku la, bukan orang lain. Ala, kejap je. Bolehlah, please." Rayu Imanina.


"Hmm..yelah. Kejap je tau." Jawab Syuhada.


"Ok, jom." Imanina menyambar tangan Syuhada membawanya ke arah pelamin yang tersergam indah. Mahu tidak mahu Syuhada terpaksa menurut kehendak sahabatnya.


"Abang Harraz, boleh tolong tangkap gambar kami tak?" Tanya Imanina. Harraz dari tadi tidak berganjak dari situ, sibuk seperti seorang fotografer. Terpandang wajah Syuhada, jantungnya berdegup laju. Kehadiran gadis itu membuatkan hatinya tidak keruan.


'Kenapalah kau datang sekarang Syuhada?' Macam nak jatuh jantung aku ni.' Getus Harraz di dalam hati. Syuhada seorang muslimat yang berbudi bahasa dan sopan-santun. Tidak hairanlah jika Harraz terpikat pada Syuhada. Harraz bukanlah seorang lelaki yang tergila-gilakan wanita berparas cantik, tetapi cukuplah jatuh cinta pada seorang wanita yang sejuk mata memandang seperti Syuhada.


"Ok, boleh je." Jawab Harraz. Syuhada tersipu-sipu malu di atas pelamin. Lebih-lebih lagi saat bertentang mata dengan Harraz. Dalam diam, dia sebenarnya menyimpan perasaan pada lelaki itu tetapi cinta yang berputik dipendamkan dalam hati. Cukuplah hanya Allah yang tahu.


"Ok, sekarang turn Nina pulak tangkap gambar." Ujar Harraz. Mereka bergilir-gilir mengambil gambar. Sebaik sahaja Harraz tiba di atas pelamin, Syuhada terus melangkah.


"Syuha, sinilah. Kita nak gambar berempat ni." Panggil Mumtazah.


"A'ah. Bukannya selalu pun dapat gambar macam ni. Mana tahu lepas ni giliran korang pulak naik pelamin. Hehe." Kata Luqman. Mata Harraz membuntang. Sepantas kilat jarinya mencubit lengan adik iparnya. Malu pula dia diusik sebegitu. Lebih-lebih lagi di hadapan Syuhada.


"Janganlah usik. Tambahlah Syuhada tu malu." Balas Mumtazah. Dia bangun dari kusyen lalu menarik tangan Syuhada. Imanina tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat aksi mereka di atas pelamin. Macam tengok wayang pula.


"Kak Zah, Abang Luqman, Abang Harraz, Syuhada senyum lebar-lebar tau."


"Lagi sekali. Tukar kedudukan ,buat posing sikit." Arah Imanina. Harraz dan Syuhada duduk di kusyen pelamin sementara itu Mumtazah dan Luqman berdiri di sisi kusyen bagaikan pengapit.


'Budak ni saja nak kenakan aku.' Bisik Harraz sendiri. Malunya kian menggunung , dadanya bergetar hebat. Syuhada menjarakkan sedikit jarak antara dia dan Harraz. Ikutkan hati mahu saja dia cepat-cepat lari dari situ. Disebabkan Mumtazah, dia akur dan menghormati wanita itu.


"Terima kasih la Lia sebab sudi datang." Ujar Maimunah pada Dahlia, isteri kepada Hasan.


"Sama-sama. Ala, kita kan dah macam satu keluarga. Lagi pun, Zah tu kan anak Abang Hasan jugak. Syukurlah Zah dah kahwin." Balas Dahlia sambil tersenyum. Di kesempatan itu mereka mengambil masa untuk berbual.


"Alhamdulillah, saya harap Luqman dapat jaga Zah dengan baik." Ujar Maimunah lagi. Akhirnya, seorang puteri yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh kini di bawah penjagaan Luqman.


"Insya Allah, saya yakin Luqman boleh jaga Zah. Luqman tu pun baik orangnya dan boleh diharap." Sampuk Hasan. Sebagai seorang ayah, semestinya dia mengharapkan yang terbaik buat anaknya. Walaupun Hasan sudah tidak ada apa-apa pertalian dengan Maimunah, tetapi pertalian darah antara dia dan Mumtazah tak akan pernah putus sampai bila-bila. Kasih sayang antara anak-beranak tidak pernah pudar.


"Harap-harap macam tulah. Kita doakan yang terbaik." Ucap Maimunah. Sekuntum senyuman dihadiahkan buat sepasang suami isteri itu. Sekelumit pun Maimunah tidak memelihara kuman-kuman dendam pada Hasan. Dia menganggap bekas suaminya seperti sahabat. Yang lepas biarlah lepas. Yang berlalu biarkan berlalu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience