Setelah menunaikan solat maghrib, Harraz menghantar adik sepupunya ke restoran Embun Urai yang terletak di Tasik Prima. Di restoran itulah tempat di mana Imanina dan Diana bakal bertemu seperti yang dijanjikan.
"Nak abang tunggu ke atau macam mana?" Tanya Harraz sebaik sahaja tiba di kawasan parkir kereta berdekatan restoran Embun Urai.
"Tak payah kot. Abang balik jelah. Nanti kalau Nina dah nak balik Nina call abang ok," Pinta Imanina.
"Ok, hati-hati tau. Tapi kalau abang tak nak ambik macam mana?" Harraz sengaja mengusik.
"Nina report kat Syuhada hah biar padan muka abang," Balas Imanina dalam nada mengugut.
"Pandai kau ugut abang ye. Dah dah dah turun cepat," Arah Harraz.
"Ok, jangan tak ambik Nina pulak kalau tak siaplah abang," Ujar Imanina memberi amaran. Dia menghadiahkan pandangan tajam buat Harraz. Harraz sekadar tersenyum.
"Yelah, yelah. Elok-elok. Ada apa-apa call abang ye," Pesan Harraz. Imanina menganggukkan kepala kemudian membalas senyuman Harraz. Pintu kereta segera dibuka. Cepat-cepat dia melangkah keluar dari perut kereta. Setelah itu, Harraz segera membawa keretanya meninggalkan Imanina untuk seketika.
Imanina memasuki restoran tersebut. Matanya liar mencari tempat duduk kosong di bahagian tepi. Mujurlah ketika itu orang tidak ramai senanglah dia mencari tempat duduk. Dia melabuhkan punggung pada sebuah bangku yang tersedia. Setelah memesan segelas air ais lemon tea, dia segera share location pada Diana di whatsapp. Diana pula baru sahaja menapak keluar dari rumah.
Beberapa minit kemudian, seorang pelayan wanita datang membawa ice lemon tea yang dipesan oleh Imanina tadi. Imanina sempat mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman manis pada pelayan itu. Mereka saling bertukar senyuman. Sementara menunggu kedatangan Diana, Imanina membuka laman muka buku. Sambil meneguk air yang terhidang, sambil fokus dia menghadap media sosial. Hampir setengah jam dia bermain fac. Paras air di dalam gelas sudah separuh. Scroll punya scroll punya scroll dia terbaca sebuah status yang begitu menarik perhatiannya.
"Aku cemburu pada wanita itu,
yang cekal mencari cinta Ilahi,
yang cintanya tinggi pada Nabi.
Aku cemburu pada wanita itu,
yang tabah meniti ujian,
yang sentiasa mengadu dan bercerita pada Tuhan.
Aku cemburu pada wanita itu,
yang istiqomah menjaga aurat,
yang tahu menjaga ikhtilat.
Aku cemburu pada wanita itu,
yang menjaga bibirnya dari mengata, yang lidahnya basah dengan zikir sentiasa.
Aku cemburu pada wanita itu,
yang memiliki sifat malu,
yang matanya menjaga pandangan selalu.
Aku cemburu pada wanita itu,
yang kaya dengan ilmu di dada,
yang amalnya hebat tak terkata.
Aku cemburu pada wanita itu,
yang gagah mengejar syurgawi,
yang tidak terjerat dengan duniawi.
Aku cemburu pada wanita itu,
yang hidupnya diredhai Allah
yang dirinya seorang wanita solehah.
Puisi itu dibaca sehingga habis. Sekeping hatinya tersentap. Puisi tersebut benar-benar menyentuh hati. Imanina menundukkan wajah. Matanya memandang lantai yang dipijak. Fikirannya melayang jauh mengenangkan diri sendiri. Merenungkan diri yang sering lalai dan selalu jauh dari Tuhan. Solat selalu lambat, baca Al-Qur'an pun jarang-jarang, amal pun kurang, ilmu lagilah ke laut. 'Teruknya aku Ya Allah,' Ucapan dibisikkan dalam sanubari.
Dua minit selepas itu, telefon pintarnya berbunyi mematikan lamunannya. Whatsapp yang baru diterima segera dibaca. Mereka saling berbalas mesej.
"Dalam lima belas minit lagi saya sampai," - Diana
"Ok, saya tunggu tau. Saya duduk kat tepi. Saya pakai t-shirt lengan panjang warna coklat, tudung warna peach, skirt labuh warna hitam."- Imanina
"Oh, ok. Senang sikit nak cari awak nanti," - Diana
"Nak minum apa-apa tak? Kalau nak saya orderkan awal-awal" - Imanina
"Rasanya tak payah kot. Thanks." - Diana
"Ok, most welcome," - Imanina. Perbualan mereka tamat di situ.
Lima belas minit kemudian, insan yang dinanti-nantikan muncul juga.
"Assalamualaikum, awak ke Imanina?" Sapa Diana sambil tersenyum. Imanina bingkas berdiri menyambut kedatangan gadis itu.
"Waalaikumussalam, ye sayalah Imanina," Jawab Imanina dengan riang. Dia turut melontarkan senyuman.
"Sayalah Diana Adira," Diana memperkenalkan dirinya. Keduanya berjabat tangan.
"Duduklah," Pelawa Imanina. Dia memerhatikan penampilan Diana. Cantik, sejuk mafa memandang. Puji Imanina dalam diam. Diana mengenakan shawl labuh dan sehelai jubah. Cuma malam itu dia tidak memakai niqab.
Diana segera duduk berhadapan dengan Imanina. Dia turut sama meneliti paras rupa dan penampilan Imanina. Cantik, comel, dan simple. Pujinya di dalam hati.
"Baiklah, awak boleh direct to the point. Apa yang urgent tu awak cakaplah," Ujar Imanina. Air di dalam gelas diteguk lagi.
"Sebenarnya berat untuk saya cakap tapi tulah saya kena cakap jugak. Zulfadhli yang mintak saya buat macam ni," Jawab Diana perlahan.
"Zulfadhli suruh awak? Kenapa ye? Pasal apa?" Bertubi-tubi pertanyaan yang tersembur dari dua ulas bibir Imanina. Diana menghela nafas mencari kekuatan untuk meluahkan segala rahsia yang terpendam.
"Nina, untuk pengetahuan awak saya dengan Zul masih couple," Ujar Diana.
"Hah?" Imanina melopongkan mulutnya.
"Apa awak merepek ni Diana?" Sambungnya lagi. Awalnya dia tidak percaya dengan keterangan tersebut.
"Saya tak merepek Nina. Antara saya dengan awak Zul pilih saya, dan dia tak nak pilih awak. Dia baru je bagi tahu saya semalam. Kalau awak tak percaya, awak boleh tanya dia," Diana terus bercerita.
"What? Drama apa lagi ni? Tak cukup ke dengan hal yang korang buat sebelum ni," Ujar Imanina. Dadanya berombak kencang. Jari-jemarinya berasa seram sejuk seperti memegang ketulan ais.
"Jangan terus emosi. Kita bincang elok-elok," Balas Diana.
"Zulfadhli tipu kita dua. Dia tipu saya yang awak dengan dia dah putus. Dan dia tipu awak yang saya dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan. Dia tipu bersebab. Sebenarnya dia dah tak cintakan awak. Dia cintakan saya. Sebab tulah dia tipu saya untuk dapatkan saya balik. Dia tipu awak pulak sebab dia tak tahu macam mana nak berterus-terang kat awak," Dengan jujur Diana memberi penjelasan. Imanina mula berasa sebak. Sakit hatinya bagaikan disiat-siat. Kolam matanya kian berkaca-kaca.
"Bukankah sebelum ni awak dah undur diri?" Soal Imanina mengimbas semula tragedi mereka bertiga.
"Ye, memang saya dah undur diri. Masa tu saya betul-betul tak nak kacau hubungan korang. Tapi Zul cari saya balik. Tiap hari dia mesej saya, dia selalu video call dengan saya," Terang Diana lagi membuatkan jiwa Imanina bertambah dirundung pilu. Pilu yang teramat. Air matanya hampir saja menitis. Namun tangannya laju menepis air mata itu.
"Sampai hati korang buat saya macam ni. Awak pun perempuan, takkan awak pun tak faham apa yang saya rasa. Dan awak sanggup lukakan hati kaum sejenis awak sendiri! Tergamaknya!" Balas Imanina. Suaranya terketar-ketar.
"Saya mintak maaf Nina. Saya tak ada niat nak lukakan hati awak. Saya dah terlanjur sayang dengan Zul dan Zul pun sama macam tu jugak. Terimalah hakikat yang hubungan awak dan Zul dah tamat. Zul sedikit pun tak sayangkan awak. Dia dah bosan dengan awak," Ujar Diana lagi. Kata-kata tersebut ibarat pedang yang menikam dada.
"Bosan? Bosan sebab dah jumpa yang lain kan," Duga Imanina.
"Saya harap awak tak akan ganggu dia lagi. Lupakanlah dia," Ucap Diana selamba.
"Apa? Jangan ganggu? Lupakan? Diana, awak dengar baik-baik. Saya tak ganggu dia cuma dia yang tak jujur dengan saya. Kalau dia bagi tahu saya awal-awal pasal hubungan korang, saya tak akan dekati dia. Hari tu pun dia cari saya lagi, dia mintak getback. Saya terima je dia balik. Bila dah dapat, dia cari awak balik. Hebat lakonan dia!" Ujar Imanina.
"Dan pasal lupakan dia. Saya dengan dia dah lama. Dah bertahun. Awak ingat senang ke nak lupakan dia? Ingat petik jari je dah lupa ke hah! Baik, mulai hari ni saya tak nak masuk campur dalam hubungan korang. Penat diperbodohkan macam ni. Semoga awak bahagia dengan dia," Tambahnya lagi.
"Saya minta maaf Nina. Maafkan Zulfadhli jugak," Pinta Diana.
"Cukup Dian. Saya nak balik, assalamualaikum," Imanina mengakhiri bicaranya. Pantas dia menyambar beg tangan dan mencapai telefon pintar. Dia mengatur langkah ke arah meja kaunter lalu membayar bil minumannya tadi.
'Patutlah kau malas layan aku, patutlah kau malas balas whatsapp aku, patutlah kau selalu marah aku, rupanya kau dengan dia Zul. Sampai hati kau. Kau lelaki paling kejam yang pernah aku jumpa!' Ucap hati kecilnya.
Dengan hati yang terluka, kakinya diatur keluar. Dia menangis sambil berjalan. Pandangan orang ramai terhadapnya tak lagi dipedulikan. Setibanya dia di luar restoran, dia mendail nombor Harraz meminta dirinya dijemput pulang.
"Nina kenapa menangis ni?" Tanya Harraz sambil fokus membawa kereta. Imanina menangis tersedu-sedan. Tekaknya berasa sakit dek tangisan yang bertalu-talu. Kesedihan tak mampu dibendung lagi.
"Nina," Panggil Harraz lagi. Risau pula dengan adik sepupunya itu. Tadi riang sahaja sekarang menangis pula. Imanina tidak menjawab sebaliknya hanya esak tangisan yang bersuara. Sekali-sekala tangisannya membuatkan dia terbatuk-batuk.
"Ini mesti pasal Zul kan?" Teka Harraz. Imanina menganggukkan kepalanya.
"Kurang ajar punya lelaki. Haishh! Kau tunggulah nanti balasannya," Marah Harraz. Siapa yang tidak marah jika ahli keluarganya disakiti. Cubit paha kanan paha kiri sakit juga.
Share this novel