Syuhada berdiri di sisi kaunter. Dia merenung sebentuk cincin emas putih bertakhtakan sebutir mutiara yang tersarung di jari manisnya. Setelah istisyarah dan istikharah lamaran Harraz diterima. Kini dia menjadi tunang kepada Harraz. Syuhada tidak pernah meminta apa-apa barang kemas sebagai syarat, namun Harraz sendiri yang memberinya dengan kerelaan hati.
Ibu dan ayah Syuhada turut sama menerima Harraz sebagai calon menantu. Mereka juga tidak mengenakan apa-apa syarat, tidak meminta hantaran berdulang-dulang, dan tidak meminta hantaran yang mahal. Asalkan Harraz bersungguh-sungguh untuk menghalalkan Syuhada itu sudah cukup memadai.
Harraz pula setiap malam tidak habis mencurahkan segala rasa pada DIA Yang Maha Esa. Harapan disandarkan sepenuhnya pada Allah SWT. Kerana jika menyimpan harapan pada manusia, maka kebarangkalian untuk kecewa adalah tinggi. Ya, memang benar jodoh dan pertemuan adalah aturan Allah. Tapi itu bukan bermaksud kita harus berdiam tanpa berusaha.
"Menungkan apa tu?" Tiba-tiba Imanina menyapa Syuhada dari belakang membuatkan lamunannya mati. Bagai hendak tercabut jantung Syuhada, terkejut bukan kepalang.
"Bertuah punya kawan. Terkejut aku tau tak!" Ujar Syuhada sambil mengurut dadanya.
"Tulah termenung lagi kan dah kena," Balas Imanina.
"Zara mana?" Syuhada mengubah topik perbualan. Matanya mencari-cari kelibat Zara, namun bayangan gadis itu tidak kelihatan.
"Zara dah balik. Tulah engkau asyik termenung je Zara balik pun kau boleh tak perasan," Ujar Imanina. Syuhada sekadar tersenyum tipis. Di dalam hati dia beristighfar beberapa kali. Bimbang pula hatinya jadi tidak keruan kerana mengenangkan Harraz. Bukankah rasa cinta yang hadir juga merupakan suatu ujian? Sama ada ia lebih mendekatkan diri pada Allah atau membuat kita lebih jauh.
"Selamat datang," Serentak Imanina dan Syuhada memberi ucapan kepada beberapa orang pelanggan yang menapak masuk ke dalam butik An-Nisa'. Para pelanggan itu mengukir senyuman manis. Imanina dan Syuhada sekadar memerhatikan pelanggan tersebut tanpa mengekorinya. Biasanya pelanggan akan rimas jika diekori dari belakang. Disebabkan itu mereka membiarkan pelanggan memilih sendiri melainkan jika mereka dipanggil barulah mereka menghampiri pelanggan.
"Dik, shawl colour putih tak ada ke?" Soal salah seorang pelanggan.
"Tak adalah kak. Dah habis. Colour lain adalah macam biru, hijau, coklat, hitam, merun." Beritahu Imanina dengan ramah. Dia turut sama membelek helaian shawl yang tersangkut dengan kemas.
"Ala, habis pulak ye. Akak nak colour putih," Ucap wanita itu.
"Kalau tudung bawal colour putih ada. Akak nak?" Pelawa Imanina sambil tersenyum riang.
"Kalau boleh akak nak shawl," Balas wanita itu lagi.
"Kalau akak nak ada satu lagi butik kat sini. Nama dia butik Syafa Collection. Ada jual shawl jugak. Dekat je. Kat sebelah blok ni je," Beritahu Imanina. Dia tidak kedekut untuk berkongsi pelanggan dengan orang lain.
"Oh, yeke? Jenuh akak nak cari. Kadang time kita nak cari colour tak ada. Bila tak cari bersepah-sepah pulak," Ucap wanita itu. Bibirnya melahirkan senyuman ikhlas. Imanina tertawa kecil mendengarnya.
"Macam tulah kak. Bila cari tak ada, tapi kalau tak cari kat mana-mana pun ada," Balas Imanina lagi.
"Oklah dik, terima kasih ye. Akak nak try pergi butik yang awak suggest tu," Sempat wanita itu meminta diri sebelum berlalu dari situ.
"Sama-sama kak, ada masa lagi datang lagi ye." Ujar Imanina. Wanita itu tersenyum lebar meskipun tidak dapat memiliki shawl yang dikehendaki. Namun dia berpuas hati dengan layanan Imanina yang cukup santun dan ramah.
Masa terus berjeda. Malam kian berlabuh. Tiba masannya Imanina dan Marsya menuju ke rumah masing-masing.
Izhar Naim menyelongkar tong sampah. Bau busuk yang terbit dari dalam tong sampah tersebut tidak lagi dipedulikan. Dia sudah tidak berdaya menahan kelaparan yang semakin menggigit ususnya. Siang tadi tiada seorang pun yang mahu memberikannya sedekah. Izhar Naim terus menggali dan meraba isi tong sampah. Dia berhasil menemukan sebungkus makanan dalam bekas plastik. Dia menelan air liur. Tak sabar hendak mengisi perut yang rancak berlagu. Cepat-cepat Izhar Naim membuka plastik tersebut lalu menyuapnya ke dalam mulut. Namun sekali suap sahaja dia terus memuntahkannya.
"Uwekk, nasi basi rupanya. Apalah nasib aku ni Ya Allah," Rintih Izhar Naim sambil memegang perutnya. Dengan perasaan hampa dia beredar dari kawasan tong sampah tersebut. Nampaknya malam ini dia tiada pilihan. Dia terpaksa berlapar.
Izhar Naim menyeberangi jalan dalam keadaan yang tidak bermaya. Tanpa melihat kiri dan kanan dia tetap menghayunkan kaki dengan lemah dan lambat. Sejenak pun tidak menyedari sebuah skuter meluru ke arahnya. Dengan sekelip mata sahaja tubuh lelaki tua itu terbaring di jalan raya.
"Allahu Akbar," Ucap Imanina. Dia mula cemas. Cepat-cepat dia turun dari skuter lalu mendekati lelaki tersebut. Ya, lelaki yang merupakan ayah kandungnya.
Share this novel