"Tak mungkin dia ayah Nina. Ingat ni cerita sinetron ke?" Imanina mendengus perlahan. Emosinya seluas laut. Takdir menemukan mereka semula. Harapan Izhar Naim termakbul jua.
"Tak cukup ke dengan bukti DNA semua tu hah? Nama dia pun Izhar Naim bin Izuddin. Takkan dia nak menyamar kot?" Ujar Harraz. Kesabarannya sedikit tercabar dek sikap Imanina.
Harraz memandang tepat-tepat wajah Izhar Naim yang nampak cengkung serta tubuh tubuh yang kurus kering. Jauh sekali jika dibandingkan dengan Izhar Naim yang dahulu bertubuh sasa. Harraz diserbu rasa pilu. Simpati melihat nasib lelaki itu. Lagi kasihan tika dia dapat tahu Izhar Naim menjadi seorang pengemis jalanan.
"Imanina Marsya, ini ayah nak. Ayah yang pernah pukul kamu dulu. Ayah yang pernah abaikan kamu. Tapi sekarang ayah dah sedar. Ayah dah bertaubat. Maafkan ayah nak," Izhar Naim memeluk tubuh anaknya. Betapa dia merindukan Imanina. Bertahun dia menanggung rindu akhirnya terlunas jua.
"Hish lepaslah. Kau bukan ayah aku. Aku tak ada ayah macam kau. Kau keluar dari rumah ni. Keluar!" Bentak Imanina sekuat hati. Sungguh pun begitu, Izhar Naim tidak berputus asa. Dia mendakap kaki anaknya sambil meraya memohon kemaafan.
"Ampunkan ayah nak. Ayah dah sedar silap ayah. Izinkan ayah tebus kesalahan ayah yang lepas," Rintih Izhar Naim. Air matanya mencurah laju membasahi pipi cengkungnya. Hanya Allah yang tahu sebesar apa penyesalannya. Maimunah, Harraz, dan Mumtazah hanya menjadi saksi dua beranak itu. Kata-kata tercicir entah ke mana.
"Lepaslah! Aku kata lepas," Imanina menolak tubuh Izhar Naim sehingga terduduk ke belakang. Dendam masih membara. Maaf belum bisa diberi.
"Astaghfirullah al azim. Nina! Jaga adab. Abang tak pernah ajar kau biadab macam ni!" Marah Harraz. Imanina membisu tanpa menjawab kemarahan abang sepupunya. Pantas dia mengatur langkah menyelak daun pintu dan mengurung diri di dalam bilik. Harraz menghampiri Izhar Naim. Spontan dia memeluk orang tua itu.
"Pak cik sabar ye. Insya Allah nanti hati dia lembut untuk terima pak cik," Ucap Harraz. Dia cuba menyedapkan hati seorang ayah. Kolam matanya kian berkaca-kaca. 'Kesian,' Getus hati kecilnya.
Keras mana pun hati seorang anak, pasti dia boleh menerima semula ayahnya. Cuma mungkin ia mengambil sedikit masa lagi.
"Semua ni memang salah pak cik pun. Pak cik kejam. Banyak dosa pak cik dengan arwah isteri, arwah Firdaus dan Nina sekali," Luah Izhar Naim. Air mata yang mengalir lebat diseka menggunakan jari. Maimunah dan Mumtazah saling berpandangan. Ada bibit-bibit simpati yang kian berputik.
"Macam mana pak cik boleh jadi macam ni?" Harraz memberanikan diri untuk bertanya.
"Lepas pak cik tinggalkan Nina pak cik makin kuat main judi. Kerja pun malas. Pak cik selalu kalah judi. Untuk bayar semua hutang , pak cik pinjam duit dari Ah Long. Pak cik ingatkan dengan cara tu hutang boleh berkurang. Tapi pak cik silap. Sampailah satu hari tu pak cik tak mampu pulak nak bayar hutang kat Ah Long. Ah Long datang kat rumah pak cik, diorang rampas rumah dan kereta pak cik sebagai bayarannya. Habis semua harta pak cik kat rumah kena ambik. Syukurlah Ah Long tak bunuh pak cik. Lepas tu pak cik cuba mintak tolong dari kawan-kawan. Tapi sorang pun tak nak tolong. Pak cik tak ada pilihan. Pak cik terpaksa hidup merempat dan jadi pengemis jalanan. Pak cik tak tahu nak mintak tolong dari siapa. Masa tu barulah pak cik sedar dosa-dosa yang pak cik dah buat. Masa tu baru pak cik menyesal. Menyesal sangat-sangat," Izhar Naim meluahkan kisah duka yang bertakung di dada. Selama ini tiada seorang pun yang mahu mendengar kisah hidupnya. Harrazlah orang pertama yang sudi mendengar. Izhar Naim menangis lagi.
"Banyakkan bersabar pak cik. Semua ni mesti ada hikmah. Selagi saya ada pak cik jangan risau. Insya Allah Saya akan tolong pak cik mana yang saya mampu," Ujar Harraz.
"Kalau boleh pak cik nak mintak tolong sangat. To..tolong bawak pak cik ke kubur ar..arwah isteri dan anak pak cik. Pak nak ziarah ku..kubur arwah," Ucap Izhar Naim tersedu-sedan. Matanya sudah bengkak dek tangisan yang bertalu-talu.
"Baik. Insya Allah esok saya bawak pak cik ke sana. Hari ni pak cik rehat dulu ye. Pak cik tinggallah kat sini. Saya ada belikan baju baru untuk pak cik," Beritahu Harraz bersungguh-sungguh. Izhar Naim terdiam. Dipeluknya Harraz erat-erat. Perasaan sebak dan terharu berbaur menjadi satu. Di saat kita ingin berubah, Allah akan kirimkan insan yang soleh untuk membantu diri kita.
Mumtazah menguak daun pintu bilik. Tanpa diundang masuk dia bingkas melabuhkan punggung di sebelah Imanina.
"Nina," Panggil Mumtazah. Rambut Mumtazah yang mencecah paras bahu dielus dengan lembut. Imanina tidak menyahut apatah lagi memberikan sebarang reaksi. Gadis itu memeluk gambar arwah ibunya. Tika itu fikirannya benar-benar kusut. Hanya ibu yang menjadi penenang walaupun cuma sekeping gambar.
"Kak Zah tahu Nina susah untuk Nina terima ayah. Kalau Nina boleh terima Zul dan maafkan dia kenapa Nina tak boleh maafkan dan terima ayah?" Soal Mumtazah. Imanina diam seribu bahasa. Namun di lubuk hati yang paling dalam dia terpukul dengan persoalan itu. Bicara Mumtazah ada benarnya. Andai kekasih hati boleh diberi peluang kedua mengapa seakan tiada peluang buat insan bergelar ayah?
"Sejahat apa dan sebaik apa pun Pak cik Izhar dia tetap ayah Nina sampai bila-bila. Jangan kenang kisah silam yang lepas. Dia dah bertaubat. Dia sayangkan Nina. Dia nak jaga Nina walaupun dulu dia pernah abaikan Nina. Syurga Nina masih kat bawah tapak kaki ayah," Nasihat Mumtazah selembutnya.
"Mungkin Nina boleh maafkan, tapi macam mana Nina nak lupa semua tu? Nina trauma, Nina fobia. Sekarang Nina tak kira Nina tetap nak berjauhan dengan ayah. Nina tak nak dekat dengan dia. Bagi Nina masa," Akhirnya Imanina bersuara jua.
"Kak Zah faham. Bukan senang untuk lupakan semua tu. Tapi Nina kena cuba slow-slow ye. Jangan ego sangat. Kesian kat ayah," Pujuk Mumtazah lagi.
"Nina tak sangka kak. Pengemis yang Nina bagi makan tempoh hari adalah ayah. Nina siap bagi dia sweater sebab masa tu cuaca nak hujan. Nina risau dia kesejukan. Tak sangka pulak Nina tolong ayah sendiri. Dia tidur kat tepi tempat kerja Nina," Beritahu Imanina lagi.
"Hah? Kiranya sebelum ni korang pernah jumpalah." Ujar Mumtazah.
"Ye kak, tapi masa tu tak tau lagi yang Nina dengan dia anak-beranak. Kalau Nina tahu dia ayah Nina memang taklah Nina tolong dia. Biar dia rasa macam mana sakitnya dia layan Nina dulu," Balas Imanina.
"Astaghfirullah. Tak baik kata macam tu. Sampai mati pun dia tetap ayah Nina. Dia dah tak ada siapa-siapa kat dunia ni. Dia ada Nina sorang je," Ujar Mumtazah lagi.
"Dahlah kak. Bagi Nina masa. Sekarang ni Nina nak sorang-sorang kat sini. Nina tak nak sesiapa pun mengganggu," Imanina berterus-terang. Emosinya masih belum mengecut.
"Kak Zah faham. Nina rehatlah ye. Kak Zah pun nak balik ni. Nina jaga diri ok," Ucap Mumtazah sambil tersenyum. Imanina membalasnya dengan senyuman tipis. Tanpa membuang masa Mumtazah menapak pergi dari situ. Biarlah Imanina bersendiri dulu. Lambat-laun nanti lembutlah hatinya.
Share this novel