Hampir satu jam Zulkarnain dan Zulfadhli berhubung melalui telefon. Zulkarnain gigih menasihati anak sulungnya itu. Kemelut yang dicetuskan oleh Zulfadhli baru-baru itu turut menggemparkan jiwa seorang ayah.
"Kalau papa nak cakap pasal Imanina baik tak payahlah. Kita cakap je pasal hal lain. Tak ada moodlah cakap pasal perempuan tu," Zulfadhli mengarah dan berlagak bagaikan seorang raja. Apa sahaja yang dia pinta, harus ditunaikan. Dia lupa dengan siapa dia berkata tika itu.
"Papa bukan nak cakap pasal dia, tapi papa nak cuci telinga kau. Siapa suruh kau senang-senang buang dia macam sampah? Siapa-siapa pun akan naik angin dengan perangai kau ni," Zulkarnain meluahkan rasa geramnya.
"Buruk sangat ke perangai Zul ni papa?" Soal Zulfadhli yang masih buta menilai baik buruk diri sendiri.
"Papa nak tegur mana yang buruk tu dan kau betulkan keburukan kau. Dengar sini baik-baik. Papa nak kau putus dengan Diana seperti mana kau putus dengan Nina," Arah Zulkarnain dengan tegas.
"Apa ni papa? Urusan Zul pun papa nak masuk campur jugak. Biarlah Zul yang handle sendiri. Zul ni bukannya budak-budak lagi. Zul tahulah nak buat apa. Mama dan papa uruskan jelah restoran tu, tak payah pening kepala fikir pasal Zul," Balas Zulfadhli panjang lebar. Ayahnya baru melontarkan sebaris kata dia punya jawapan pula ibarat seorang yang memberi syarahan.
"Zul, jangan nak melawan cakap papa. Kau ingat tak? Keredhaan Allah juga terletak pada keredhaan kedua ibu bapa," Nasihat Zulkarnain.
"Hish papa ni. Nak berceramah kat Zul pulak. Tak habis-habis. Macamlah apa yang Zul buat tu salah sangat. Ala, pandai-pandailah si Nina tu move on. Zul tinggalkan dia pun bukannya boleh buat dia mati. Lainlah kalau dia sendiri yang nak bunuh diri," Lancang mulut lelaki berusia 24 tahun itu menutur kata membuatkan api kemarahan ayahnya bertambah menyala.
"Astaghfirullah. Zulfadhli! Jaga mulut kau tu! Jangan kurang ajar! Papa tak pernah ajar kau macam ni! Kalau kau ada anak , kau nak ke anak kau tu dipermainkan oleh lelaki hah? Kau tahu tak perbuatan kau tu dah menyakiti hati anak dara orang. Kau sedar tak kau dah conteng arang kat muka papa dan mama!" Tegur Zulkarnain. Suaranya mula meninggi.
"Nak buat macam mana? Dah Zul tak suka kat dia. Takkan Zul nak paksa diri sendiri kot? Papa nak Zul tinggalkan Diana? Memang taklah!" Jawab Zulfadhli selamba tanpa rasa bersalah. Lidahnya berbisa mengalahkan perempuan.
"Zul, jangan cabar papa! Jangan kurang ajar! Ubah perangai kau tu! Jangan sampai papa tak kirimkan kau duit sesen pun! Papa hantar kau belajar kat sana untuk menuntut ilmu, untuk buang kejahilan, untuk jadi orang yang berguna bukannya untuk jadi lelaki yang entah apa-apa!" Zulkarnain semakin galak melepaskan kemarahannya. Suaranya memecah kesunyian bilik. Athirah tersentak. Bahu wanita itu sedikit terangkat. Tidak pernah dia mendengar suara suaminya marah sebegitu.
"Apa nak jadi dengan kau ni Zul? Hah? Bila papa tegur cuba dengar bukannya asyik menjawab je. Kalau nak jawab, jawab elok-elok. Susah sangat ke nak dengar cakap papa? Papa minta kau putus dengan Diana sebab papa nak kau fokus dengan study dulu. Soal bercintan-cintun tu belakang cerita. Bertaubatlah Zul. Nak bercinta biar lepas nikah. Tak mati pun kalau kau tak couple," Ujar Zulkarnain lagi. Zulfadhli terdiam. Telinganya menjamah kata-kata ayahnya yang pedas itu. Tak mati pun kalau tak couple. Fuhh, cukup pedas dan membuat jiwanya tersentap.
"Faham tak apa papa cakap ni?" Tanya Zulkarnain.
"Faham papa," Balas Zulfadhli lambat-lambat.
"Faham betul-betul. Jangan mulut je kata faham," Ujar Zulkarnain. Suaranya dikendurkan sedikit.
"Ya papa," Ucap Zulfadhli dalam nada yang terpaksa.
"Ingat dan buat apa yang papa pesan. Lupakan Diana. Sedangkan Imanina kau boleh lupa , tak kan Diana kau tak boleh lupa pulak. Korang putus jelah. Bagi papa itu jelah jalan terbaik untuk kamu bertiga. Masing-masing bawak haluan sendiri barulah adil," Cadang Zulkarnain. Dia tidak mahu Imanina semakin terluka. Walaupun Imanina bukanlah anaknya, namun dia juga mempunyai anak perempuan. Sudah tentu dia memahami perasaan Imanina.
Zulfadhli mendengus perlahan. Di lubuk hatinya yang paling dalam, dia membantah sekeras-keras nasihat ayahnya itu. Perasaan memberontak kian membuak-buak cuma sengaja ditahankan.
"Zul, kau dengar tak apa papa cakap?" Soal Zulkarnain lagi apabila menyedari anaknya itu membisu seketika.
"Dengar papa," Ujar Zulfadhli.
"Bagus. Tapi bila papa dapat tahu kau buat hal lagi, nahaslah kau," Zulkarnain seolah memberi satu amaran padu. Bukan kerana dia membenci, tapi kerana sayang ketegasan harus diutamakan.
"Ya papa," Balas Zulfadhli ringkas. Suaranya kedengaran seperti orang yang kehilangan 'mood' untuk bersuara.
"Ok. Lepas ni solat taubat banyak-banyak. Istighfar dan jangan ulang kesilapan yang sama," Pesan Zulkarnain.
"Yelah," Jawab Zulfadhli.
"Cara kau bercakap ni macam terpaksa je," Zulkarnain bijak menghidu tingkahlaku anaknya. Zulfadhli menggaru-garu kulit kepala yang tidak gatal. Ikutkan hati mahu sahaja dia tamatkan panggilan dari ayahnya itu.
"Tak adalah papa. Zul dengar je apa yang papa cakap," Zulfadhli menafikan segalanya.
"Zul, bila papa tegur kau macam ni maksudnya papa sayangkan kau. Papa tak nak kau makin jauh dari Allah. Kalau papa tak sayangkan kau papa tak tegur kau. Papa biarkan je. Apa yang kau nak buat lantaklah. Tapi papa tak macam tu," Zulkarnain tidak berputus asa menyedarkan anaknya. Sebagai ketua keluarga dia wajib membimbing anak-anak.
"Baik papa. Zul faham," Ucap Zulfadhli.
"Alhamdulillah. Papa harap semoga kau berubah. Dahlah Zul dah malam ni papa nak rehat, nak tidur. Jaga diri kat sana ya. Kalau perlukan apa-apa, bagi tahu papa ya," Kali ini Zulkarnain melembutkan nada suaranya.
"Ok papa. Zul pun nak rehat jugak. Kirim salam dekat mama ," Balad Zulfadhli.
"Oklah. Nanti papa sampaikan. Assalamualaikum," Tutur Zulkarnain sebelum menamatkan panggilan
"Waalaikumussalam," Perbualan mereka mati di situ. Zulfadhli mendengus lagi. Telinganya berasa sakit dek tusukan nasihat ayahnya tadi. Bagi hati yang telah mati, berilah bermacam nasihat dia tak akan sedar kecuali Allah yang menggerakkan hati tersebut untuk sedar semula.
Zulkarnain menyandarkan belakangnya pada kepala katil. Athirah pula duduk di sebelah suaminya. Dia merenung wajah suami yang kelihatan letih. Letih dengan kerja yang berlambak, letih berhadapan dengan karenah Zulfadhli. Mujurlah anak mereka yang seorang lagi iaitu Zuhairah, tidak mengikut jejak abangnya. Zuhairah lebih mudah dinasihati.
"Athi baru nak meminang Nina, Zul pulak dah buat hal. Athi tak sangka betul dengan perangai anak kita tu," Luah Athirah. Zulkarnain bingkas menoleh ke arah isterinya.
"Sabar jelah Athi. Kalau kita pujuk Nina pun dah tak ada guna. Budak tu mesti dah tawar hati dengan Zul. Zul pun dah lupakan dia. Kesian Nina. Kita doakan baik-baik jelah untuk dia. Semoga dia dijodohkan dengan lelaki yang lebih baik daripada Zul. Abang yakin budak tu baik orangnya. Zul pun memang tak layak untuk dia," Balas Zulkarnain.
"Insya Allah, mudah-mudahan macam tu. Mungkin Allah nak bagi sesuatu yang lebih baik untuk Nina," Athirah cuba menyenangkan tasik hatinya yang digoncang angin keresahan.
"Allahumaa aamiin. Apa yang berlaku pun teguran dari Allah untuk kita. Yelah mungkin selama ni kita terlalu manjakan Zul. Kita jarang bagi dia nasihat, tegur pun kadang-kadang. Semua ni ada hikmah jugak," Ujar Zulkarnain. Dia berfikir secara positif. Bukankah kita sebagai manusia harus bersangka baik pada Allah dengan meyakini bahawa ada hikmah di sebalik kejadian yang diatur oleh-Nya.
"Athi pun rasa macam tu jugak. Haraplah lepas ni Zul berubah, insya Allah," Luah Athirah lagi. Zulkarnain sekadar membalas dengan senyuman. Hatinya juga menyimpan sebuah harapan yang sama. Malam itu, nama Zulfadhli disebut di dalam doanya.
"Moga kau diberi hidayah wahai anakku,"
Share this novel