"Abah," Qurratu Ain memanggil ayahnya yang sedang fokus memandu kereta.
"Hmm," Sahut Fuad.
"Auntie tadi tu kita pernah nampak dia kat krimik Sofea kan?" Soal Qurratu Ain dengan lancar. Meskipun lancar ada sesetengah perkataan yang dia tidak dapat sebut dengan betul.
"Bukan krimik tapi klinik," Fuad membetulkan bahasa anaknya itu. Sekali-sekala dia menoleh ke sisi anaknya yang duduk di kusyen kereta. Kelihatan Qurratu Ain rancak mengunyah milo nugget.
"Krimik," Ulang Qurratu Ain. Lidahnya belum lurus menuturkan bicara. Fuad tersenyum mendengarnya.
"Ain ikut ayah ya," Kata Fuad.
"Kli," Fuad mengajar anaknya. Qurratu Ain mengikut sebutan yang dituturkan itu.
"Kli" Ujar Ain.
"Nik," Ujar Fuad pula.
"Nik," Ucap Ain.
"Klinik," Kata Fuad.
"Krimik," Ujar Qurratu Ain sambil tersengih-sengih. Memang begitulah sebutannya. Fuad tersenyum sekali lagi. Telatah si comel cukup menghiburkan perasaannya tika itu.
"Abah, kenapa abah tolong bayarkan barang yang auntie tu beli? Abah kan tak kenal dia?"Tanya Qurratu Ain dengan perlahan. Rupanya dalam diam, dia memerhatikan peristiwa tadi.
"Sebab auntie tu kan tenga susah. Kita kena buat baik dengan sesiapa je walaupun kita tak kenal dia," Beritahu Fuad.
"Oh," Jawab Qurratu Ain ringkas. Jarinya terus menyuap milo nugget ke dalam mulut. Dia makan dengan cermat dan tertib. Dia tidak mahu nampak comot. Maklumlah pakaiannya pun sudah cantik dan lengkap bertudung lagi. Anak solehah katakan!
"Nyum nyum nyum," Ucap Qurratu Ain. Milo nugget merupakan salah satu makanan kegemarannya. Jika disuruh pilih antara aiskrim dengan milo nugget, pasti milo nugget pilihannya.
"Sedapnya dia makan. Tak nak bagi abah ke?" Usik Fuad.
"Nah," Qurratu Ain menghulurkan sebiji milo nugget. Fuad membaca basmalah kemudian membuka mulutnya luas-luas meminta disuap.
"Alhamdulillah sedapnya. Abah nak lagi," Ujar Fuad. Sekali lagi Qurratu Ain menyuapnya. Namun kali itu bukan sebiji dia beri, tapi sampai lima biji disuapkan ke mulut ayahnya. Menggelembung pipi Fuad dibuatnya. Fuad mengunyah sambil tertawa kecil.
"Abah nak lagi?" Soal gadis kecil itu. Fuad lambat-lambat menjawab. Mulutnya masih penuh dengan makanan. Usai semuanya habis ditelan, dia menjawab soalan tersebut.
"Tak naklah. Ain makan jelah," Ujar Fuad. Qurratu Ain terus menjamah makanan ringan itu.
"Kita nak ke mana ni abah? Lain macam je jalan ni?" Tanya Qurratu Ain lagi.
"Kita nak pergi ke ke masjid putrajaya. Ain kan suka tempat tu," Balas Fuad. Ada senyuman manis yang lahir dari bibir lelaki berusia 28 tahun itu.
Di kawasan masjid putrajaya merupakan tempat bersejarah bagi Fuad Asyraf. Tempat itulah kali pertama dia bertemu dengan arwah isterinya, Hasya Qatrunnada. Fuad dan Hasya berkahwin bukanlah atas dasar cinta. Tetapi mereka dijodohkan. Hasya Qatrunnada merupakan kawan baik kepada arwah adiknya. Arwah adik Fuadlah yang menjadi orang tengah. Setelah mereka berkahwin, bibit-bibit cinta mula berputik.
Hasya Qatrunnada seorang wanita yang merupakan dambaan setiap lelaki. Dia bukan saja berparas cantik, tapi akhlak dan imannya juga cantik. Arwah isterinya tidak pernah mengingkari kata-kata Fuad. Malah, arwah ibu dan ayah Fuad dijaga bagaikan orang tua sendiri. Hasya bijak mengambil hati orang tua dan iparnya. Itulah yang membuatkan Fuad jatuh kasih pada Hasya sehinggakan tika ini tiada sesiapa pun gadis lain yang mampu mencuri hatinya.
"Yeah.. bestnya," Ujar Qurratu Ain dengan riang. Bukan main seronok apabila mendengar berita gembira itu.
"Kenapa abah tak ajak auntie tu tadi? Kalau pergi ramai-ramai mesti lagi best," Lancar Qurratu Ain berbicara seperti mana mindanya lancar berfikir. Di tadika, dia memang terkenal dengan sikapnya yang bijak dan banyak cakap.
"Mana boleh. Kita kan tak kenal dia," Jawab Fuad. Dia pelik. Kenapa pulak gadis yang baru ditemuinya tadi menjadi topik perbualan anaknya.
"Abah kata tadi kita kena buat baik dengan orang yang kita kenal," Ucap Qurratu Ain.
"Bukan macam tu sayang. Maksud abah, buat baik tu contohnya tolong orang. Macam abah tolong tambahkan duit auntie tu tadi. Bukannya tolong dia bawak jalan-jalan," Fuad menjelaskan perlahan-lahan. Tangannya masih setia memegang stereng kereta.
"Oh, macam tu. Kalau macam tu kenapa abah tak nak kenal dengan dia je?" Kali ini lain pula bunyi soalannya.
"Baru jumpa mana boleh suka-suka hati nak kenal," Ucap Fuad. Buat seketika kepalanya pening memberikan jawapan.
"Emm tapi kalau kita jumpa auntie tu lagi sekali abah kenal-kenallah dengan dia," Spontan kanak-kanak itu mengungkapkan kata. Fuad mengerutkan kening. Ada-ada saja idea yang timbul dalam kotak fikiran anaknya. Bila sel-sel otak terlalu berhubung begitulah jadinya.
"Apa Ain merepek ni? Abah tak suka Ain cakap pasal benda macam tu. Dah dah dah Ain makan je dulu sampai habis. Lepastu kita sambung borak pasal benda lain, ok?" Ucap Fuad.
"Ok abah," Qurratu Ain akur. Makanan ringan sedaya upaya dihabiskan. Tinggal sikit saja lagi. Fuad tersenyum. Mujurlah anaknya itu tidak degil. Apa saja yang dia arah, Qurratu Ain jarang membantah. Setelah dia menghabiskan milo nugget itu, dia mencapai tisu dan membersihkan tangan yang sedikit kotor. Tisu itu kemudian dibuang ke dalam plastik kecil yang tersangkut di belakang tempat duduknya. Pintar sungguh si kecil ini!
"Abah. Ain dahagalah. Ain nak minum air dutch lady tapi ada kat bonet," Adu kanak-kanak comel itu.
"Ain kan dah makan makanan manis. Jadi Ain kena minum air putih. Tak elok minum manis-manis sayang. Dalam beg Ain kan ada air putih, Ain minum je yang tu," Ujar Fuad dengan lembut.
"Yelah, Ain minum air kutih je la," Ujar Qurratu Ain. Fuad tergelak sedikit mendengar perkataan 'air kutih'.
"Kenapa abah gelak?" Tanya Qurratu Ain. Dia membuka begnya lalu mengeluarkan botol kecil yang berisi air putih. Dia meneguk air tersebut menggunakan straw yang tersedia. Fuad membiasakan Qurratu Ain membawa air putih supaya anaknya tunggalnya itu tidak terbiasa dengan minuman manis.
"Ain, bukan air kutihlah sayang. Tapi air putih. Pu..tih. Putih," Ujar Fuad.
"Kutih," Ucap Qurratu Ain pula.
"Takpelah. Ain kecik lagi, nanti lama-lama boleh sebut dengan betul kan," Kata Fuad. Qurratu Ain membalasnya dengan menganggukkan kepala.
"Abah, bukak radio boleh? Bosanlah nak dengar lagu pulak," Cadang Qurratu Ain. Tanpa menjawab, Fuad segera membuka radio. Qurratu Ain tersenyum selebar-lebarnya.
Lagu berjudul Ainul Mardhiah yang didendangkan oleh kumpulan UNIC menyapa ke telinga. Sejurus sahaja kumpuan UNIC yang dibintangi oleh Fakhrul, Bazli, dan Najdi memenangi juara Gema Gegar Vaganza lagu itu sering berkumandang di corong radio. Kini lagu itu menjadi kegemaran orang ramai termasuklah Fuad Asyraf dan Qurratu Ain. Mereka fokus mendengarnya.
Oh Tuhan,
bisakah di cari di dunia ini
seorang wanita bak bidadari
menghulurkan cinta setulus kasih
di hati lelaki bernama kekasih
Fuad Asyraf menghayati lagu itu sampai ke penghujung lirik dan irama. Sungguh hatinya terbuai ketika itu. Tanpa dipinta, seraut wajah Imanina Marsya menari-nari di ruang fikirannya. Mungkinkah wanita bak bidadari buat Fuad Asyraf adalah Imanina Marsya?
Share this novel