Episod 19

Romance Completed 3451

Awal pagi lagi, Izhar Naim menghidangkan sarapan. Dia membakar roti kemudian membancuh air milo dalam satu jag bersaiz sederhana besar.


"Naim, kau ni susah-sudah je. Biarlah aku yang buat. Kau sepatutnya kena banyak berehat," Maimunah menyapa abang iparnya yang sedang membancuh air milo.


"Tak apalah Muna. Sekali-sekala orang lelaki yang buat apa salahnya. Lagi pun aku ni sihat walafiat je," Balas Izhar Naim. Waktu yang ada digunakan sebaiknya untuk melakukan kebaikan.


"Kalau macam tu yelah. Aku tak paksa," Balas Maimunah. Dia terharu melihat perubahan abang iparnya itu. Syukurlah insan itu pulang juga ke pangkal jalan setelah beribu batu jauh dari Tuhan.


Sementara menunggu Izhar Naim membawa minuman, Maimunah melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi berdekatan meja makan. Roti bakar yang terhidang di atas meja mengancam selera. Perutnya sudah mula berbunyi.


"Selamat pagi mak," Tegur Imanina. Sebuah ciuman dihadiahkan ke pipi Maimunah.


"Selamat pagi anak mak yang comel ni," Balas Maimunah. Dia pantas mencubit manja pipi Imanina yang mulus. Mereka saling bertukar senyuman.


"Duduklah. Kita sarapan sama-sama ye," Ajak Maimunah. Imanina menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di situ. Seminit selepas itu Izhar Naim muncul. Dia membawa dulang berisi sebuah jag dan empat buah cawan.


"Selamat pagi Nina. Ayah ada bancuh air milo. Nina suka air milo kan? Ni ayah bancuh sedap-sedap untuk Nina," Ujar Izhar Naim bersungguh-sungguh. Dia meletakkan dulang tersebut di atas meja. Tangannya pantas menuang air milo ke dalam cawan satu per satu. Wajah Imanina yang ceria kini bertukar menjadi masam mencuka.


"Rajin ayah Nina ni. Roti ni pun bukan mak yang bakar, tapi dia yang bakar," Beritahu Maimunah.


"Nina tak ada selera la nak makan. Tiba-tiba rasa kenyang je," Ujar Imanina. Ayahnya yang berdiri di sisi langsung tidak dipandang.


"Nina nak makan makanan lain ke? Mee goreng ke nasi goreng ke? Kalau nak ayah boleh masakkan," Kata Izhar Naim setulus hati. Dia cuba memenangi hati puterinya.


"Takpelah. Nanti jelah Nina makan. Nak iron baju dulu. Nina belum iron baju lagi," Imanina sengaja mencipta alasan. Padahal tudung dan bajunya sudah siap digosok semalam.


"Apa ni Nina? Ayah kau dah penat hidangkan sarapan untuk kita. Jamahlah sikit. Lepas makan pun boleh je iron baju," Maimunah menghalang Imanina. Dia tahu gadis itu mahu mengelak daripada Izhar Naim.


"Tak pelah mak. Lain kali jelah ye. Bukan apa nanti Nina takut terlambat pulak nak pergi kerja," Imanina berjaya melepaskan diri. Dengan pantas dia memecut ke dalam bilik. Izhar Naim terkesima. Dia terduduk di kerusi. Ada mendung duka yang singgah di wajah tuanya.


"Banyakkan bersabar Naim. Insya Allah satu hari nanti lembutlah hati budak tu," Ucap Maimunah.


"Aku faham Munah. Bukan senang dia nak terima aku," Balas Izhar Naim dengan perlahan.


Harraz bersiul-siul sambil menghadap cermin. Sepasang tali leher diikat kemas pada kolar kemeja. Setelah itu, dia merapikan rambutnya menggunakan sikat. Harraz sentiasa menjaga penampilan dirinya. Lebih-lebih lagi ketika mahu berangkat pergi kerja.


"Selamat pagi mak, selamat pagi Pak cik Naim," Sapa Harraz penuh riang. Bibirnya menguntumkan senyuman manis. Dia segera mengambil tempat duduk.


"Selamat pagi. Handsomenya anak mak ni," Puji Maimunah.


"Mestilah tengoklah mak dia pun cantik jugak so anak dia mestilah handsome kan Pak cik Naim?" Ujar Harraz.


"Ye, tengoklah pak cik dia macam mana," Bicara Izhar Naim membuatkan mereka tersenyum lebar. Gurauan pagi itu mencetuskan suasana yang meriah. Terubat juga hati Izhar Naim yang baru sahaja dilanda kesedihan.


"Makanlah. Semua ni air tangan pak cik tau," Pelawa Izhar Naim. Membulat mata Harraz mendengar pengakuan tersebut.


"Hah? Pak cik, buat apa susah-susah buat semua ni. Pak cik tinggal kat rumah ni bukan untuk jadi orang gaji," Kata Harraz.


"Ala tak apalah Harraz. Bukan selalu pun. Kalau tak buat kerja bosan jugak," Jawab Izhar Naim.


"Yelah yelah. Tapi kalau pak cik tak sihat jangan buat kerja tau," Ujar Harraz. Jelas menggambarkan sikapnya yang prihatin.


"Dahlah kita sarapanlah dulu," Kata Izhar Naim. Mereka bertiga bingkas berdoa sebelum menjamah sarapan.


"Nina mana mak?" Tanya Harraz. Patutlah dia berasa ada yang kurang rupanya Imanina tiada di situ.


"Dia iron baju kat bilik," Beritahu Maimunah.


"Bukan dia dah iron baju ke semalam?" Soal Harraz lagi. Milo yang masih panas diteguk perlahan-lahan. 'Sedap jugak air tangan pak cik. Boleh tahan,' Pujinya di dalam hati.


"Entahlah," Jawab Maimunah ringkas.


"Pelik. Iron baju pun tak kan dalam bilik. Sebelum ni dia iron baju kat ruang tamu je. Bertukar musim ke apa budak tu," Ngomel Harraz. Izhar Naim hanya membisu. Dia kehilangan kata-kata. Mulutnya hanya mengunyah makanan dengan tertib.


Selesai sarapan, Harraz meminta diri. Angka jam sudah menghampiri pukul lapan setengah pagi. Office kian memanggil dan menyeru namanya. Pukul sembilan adalah waktu untuk dia bekerja.


Tok tok tok


Izhar Naim mengetuk pintu bilik.


"Sekejap mak," Laung Imanina sambil menyapu pelembap pada kulit muka. Dia menyangka yang mengetuk pintu biliknya adalah Maimunah. Kemudian, dia cepat-cepat berjalan ke arah pintu. Tombol pintu dipulas. Kelihatan Izhar Naim membawa beberapa keping roti dan secawan air milo.


"Nak apa?" Tanya Imanina. Suaranya mendatar.


"Nina tak sarapan lagi kan. Ayah bawakkan sarapan untuk Nina. Air milo ni pun ayah bancuh yang baru. Panas lagi ni. Sarapanlah nak, nanti perut masuk angin nanti gastrik datang susah jugak kan. Jangan makan lambat-lambat," Izhar Naim tidak berputus asa. Dia tetap berusaha mengambil hati anaknya. Dia turut menghadiahkan senyuman buat gadia itu. Namun senyumannya tidak dibalas. Sebaliknya disambut dengan jelingan dan kata-kata tajam.


"Kau ingat bila kau buat macam ni hati aku jadi lembutlah? Kau fikir bila kau buat baik aku akan terima kau sebagai ayah aku? Kau sangka dengan semua ni aku boleh lupa apa yang kau dah buat dulu? Memang taklah!" Ucap Imanina.


"Ye ayah tahu ayah salah. Sekarang ni bukan soal itu Nina. Sekarang ni Nina kena makan," Pujuk Izhar Naim lagi.


"Dahlah kau berambus dari sini. Aku nak bersiap, nak pergi kerja. Kau blah sekarang. Aku meluat la tengok muka kau. Bosan tau tak," Imanina pantas menutup pintu. Kebenciannya masih belum surut.


Izhar Naim terkedu. Sungguh bicara itu menghiris kalbunya. Namun dia sama sekali tidak menyalahkan anaknya. Biarlah Imanina tidak menyayanginya. Dapat melihat Imanina tiap hari pun itu sudah cukup baik. Dapat tinggal sebumbung pun itu cukup memadai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience