Syuhada melirik jam yang mencengkam pergelangan tangan kirinya. Angka jam sudah menghampiri pukul tiga petang. Matanya beralih pada Imanina yang tekun menyusun beberapa helaian tudung ke atas rak.
"Nina dahlah tu. Rehatlah dulu." Ujar Syuhada yang baru saja habis berehat.
"Kejap lagilah Syuha. Sikit je lagi siaplah." Jawab Imanina. Sikapnya yang terlalu rajin membuatnya lupa untuk berehat, lupa untuk makan.
"Nina, jangan degil. Baik kau makan dulu. Lambat makan nanti gastrik pulak." Ujar Zara yang berdiri dekat kaunter.
"Dah Nina. Meh aku sambung buat kerja tu. Kang bos ingat aku dengan Zara buli kau pulak." Usik Syuhada.
"Haha. Yelah yelah. Kalau Abang Harraz nampak nanti dia ingat aku buli kau pulak. Tak pasal-pasal nanti aku yang kena." Giliran Imanina pula mengusik. Tidak mahu kalah dengan Syuhada.
"Harraz?" Soal Zara. Suaranya sengaja dikuatkan. Nasib baiklah ketika itu tiada pelanggan.
"Ni mesti ada apa-apa ni." Sambung Zara lagi. Sambil berkata tangannya tetap melakukan kerja. Meja dan ruang kaunter yang sedikit bersepah dikemaskan dengan rapi.
"Ye. Tak lama lagi kita makan nasi minyak. Lepastu Syuha jadi separuh dari keluarga aku." Ujar Imanina.
"Apa kau merepak ni Nina? Dah pergi rehat. Zara, kau jangan layan sangat dia ni. Mengada-ngada." Syuhada mencubit-cubit lengan Imanina. Geram dengan gelagat sahabatnya itu. Ke mana-mana sahaja mesti dia dikaitkan dengan Harraz.
"Ala Syuha. Kau janganlah jual mahal. Aku tengok Harraz tu baik apa. Zaman sekarang bukan senang tau jumpa lelaki macam tu." Kata Zara.
"Ish malaslah macam ni. Tiap hari je kena gosip dengan Harraz. Tulah korang. Sikit-sikit pasal jodoh. Sikit-sikit pasal jodoh. Dah dah dah. Zara kau buat kerja je tak payah cakap banyak. Nina kau pergi rehat sekarang." Syuhada mengarah bagaikan seorang bos. Semakin dia melayan gelagat kedua orang sahabatnya semakin dia dijadikan bahan usikan.
Imanina dan Zara saling berpandangan lalu keduanya menghamburkan tawa kecil. Seronok mengusik Syuhada. Setiap hari Butik An-Nisa' sentiasa riuh-rendah. Gurauan yang terbit dari bibir mencipta suasana yang riang dan ceria sekaligus mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin lama.
Sementara menunggu sebungkus nasi ayam dan sebotol air mineral yang baru dipesan, sebuah telefon pintar dimainkan di tangan. Matanya tertancap pada skrin telefon. Zulfadhli langsung tidak membalas whatsapp yang dia hantar. Hanya memberi signal blue tick sahaja. Imanina mengetap bibir. Semakin hari kelakuan lelaki itu semakin aneh. Baru beberapa bulan berbaik semula namun Zulfadhli seakan mahu menjauhi Imanina.
Setiap kali Imanina menelefonnya, panggilan selalu tidak dijawab. Kadang dia jawab tetapi dalam keadaan terpaksa. Whatsapp daripada Imanina juga sering diabaikan. Sekadar baca tetapi untuk membalasnya malas sekali. Ada pun dia balas tetapi ayatnya pendek dan ringkas sahaja. Sepatah dua kata kata cukuplah.
"Entah-entah dia masih ada apa-apa dengan Diana lagi?" Bisik Imanina di dalam hati. Mindanya mula meneka yang bukan-bukan. Entah mengapa hatinya mudah saja menduga.
"Tolonglah bagi pak cik makanan. Pak cik dah dua hari tak makan." Luah seorang pengemis tua. Terketar-ketar suaranya. Bibirnya pucat lesi. Orang ramai yang berada di dalam restoran mula mengalihkan pandangan pada pengemis itu. Imanina tersentak. Segera dia menoleh ke belakang. Pengemis tua itu benar-benar mencuri perhatian.
"Kau ingat restoran ni pusat kebajikan pengemis ke apa? Datang datang mintak makanan. Tak tau malu langsung!" Tempik salah seorang pekerja restoran itu.
"Tolonglah nak, pak cik lapar sangat." Rayunya lagi sambil memegang perut yang semakin rancak berlagu. Pakaian yang compang-camping serta raut wajah yang tidak terurus membuatkan orang ramai jijik melihatnya.
"Ahh kau berambus dari sini!" Herdik pelayan itu. Tubuh kurus pengemis tua ditolak secara kasar ke belakang. Tubuh kurus yang lemah longlai terjatuh menyembah simen.
"Tolonglah nak.." Rintihnya lagi. Namun panggilannya langsung tidak diendahkan oleh pelayan tadi. Semua orang sekadar menjadi pemerhati. Tiada seorang pun yang mahu membantunya. Dengan kudrat yang ada, dia bangun perlahan-lahan lalu beredar dari situ.
Imanina menelan air liur. Buat pertama kalinya dia melihat pengemis dilayan teruk sebegitu. Dia juga manusia ada hati dan ada perasaan. Tidak sewajarnya dia dihina. Setelah makanan sampai dan selesai membuat pembayaran, Imanina cepat-cepat mencari bayang pengemis tadi. Matanya ligat memerhatikan keadaan sekeliling.
Pengemis tersebut kelihatan duduk memeluk lutut di kawasan kaki lima berdekatan dengan Butik An-Nisa. Kepalanya ditundukkan. Sedih mengenang nasibnya yang malang. Imanina menarik nafas lega. Mujurlah dia dapat menemukannya.
"Pak cik." Panggil Imanina dengan lembut. Imanina duduk berhadapan dengan pak cik tua tersebut. Dia mengangkat wajahnya bertentang mata dengan Imanina. Rambut putihnya yang panjang sehingga paras bahu dan hampir menutup seluruh muka membuatkan wajahnya tidak jelas kelihatan.
"Pak cik laparkan? Saya ada bawak nasi ayam untuk pak cik. Pak cik makanlah ya. Ni ada air mineral sekali." Kata Imanina.
"Ya Allah, terima kasih. Engkau beri aku rezeki hari ini. Terima kasih ya Allah. Terima kasih nak." Ucap pengemis itu. Tangannya laju membuka bekas makanan lalu menjamahnya dengan lahap. Kelaparan yang teramat mengatasi adabnya.
"Sama-sama pak cik." Balas Imanina. Sayu pula hatinya melihat pengemis itu. Usia yang tua , keseorangan di jalanan, di manakah keluarganya? Mengapa dia terbiar sebegini? Pelbagai persoalan menari-nari di dalam benak. Buat seketika dia terhenti memikirkan insan bernama Zulfadhli.
Share this novel