Episod Akhir

Romance Completed 3451

"Ain, kalau Ain dah besar Ain nak jadi apa?" soal Izhar Naim pada cucunya. Qurratu Ain segera mengangkat wajahnya ke atas. Air muka atuknya itu direnung seketika.


"Ain nak jadi doktor," balas Qurratu Ain penuh semangat. Bibirnya menguntumkan segaris senyuman. Persis senyuman ayahnya. Izhar Naim turut sama mengukir senyuman. Saban hari kanak-kanak itulah yang menjadi penghibur hatinya.


"Ain tak nak jadi macam ayah ke, jadi cikgu?" duga Izhar Naim.


"Hmm tak naklah. Jadi doktor lagi best. Sebab jadi doktor dapat rawat orang. Lagi pun atok, ayah pernah cakap dulu arwah ibu nak sangat jadi doktor. Tapi cita-cita ibu tak kesampaian. Jadi biarlah Ain yang tolong sambung cita-cita arwah ibu," beritahu kanak-kanak yang sudah berusia enam tahun itu.


Izhar Naim menelan air liur. Hatinya diserbu perasaan sayu ketika mendengar luahan si kecil. Dia mengusap kepala cucunya. Namun di lubuk hati yang paling dalam dia bersyukur kerana Qurratu Ain seorang kanak-kanak yang tabah. Jarang sekali ada kanak-kanak seperti Qurratu Ain.


"Atok doakan semoga cucu atok ni jadi seorang doktor yang berjaya, jadi anak yang baik. Semoga nanti Ain dan arwah ibu dapat jumpa kat syurga. Happy selamanya kat sana," ucap Izhar sepenuh hati.


"Terima kasih atok. Aamiin," balas Qurratu Ain lagi. Fuad Asyraf selalu mengajarkan anaknya untuk membalas ucapan "aamiin" ketika mendengar orang lain mendoakan kebaikan. Mujurlah, anaknya itu mudah diajar. Apa yang dididik oleh Fuad Asyraf diterapkan dalam dirinya. Terkadang, dia juga bersikap nakal dan sedikit hiperaktif. Biasalah jiwa kanak-kanak. Lumrah mereka memang begitu. Ibu bapalah yang perlu bijak menangani anak-anak.


Mereka berdua saling berbalas senyuman. Qurratu Ain menggenggam erat jari-jemari atoknya. Kemudian mereka berjalan seiringan dan bersiar-siar di pesisir pantai Rhu Sepuluh Terengganu.


Walaupun ibu kandung Qurratu Ain sudah tiada, kanak-kanak tersebut tetap menyambut kehadiran ibu barunya dengan senang hati. Begitu juga dengan Imanina Marsya. Keduanya saling melengkapi antara satu sama lain.


Di satu sudut, kelihatan sepasang suami isteri duduk pada ayunan yang tersedia berhampiran pantai. Masing-masing berbual sambil menikmati ombak yang menampar tepian pantai. Tiga minggu selepas berkahwin, Fuad membawa Imanina dan keluarganya bercuti-cuti di negeri Terengganu.


"Nak minta tolong boleh tak?" tanya Fuad.

"Nak saya tolong apa?" tanya Imanina pula. Fuad berdehem sebelum mengatur kata.


"Boleh tak jangan panggil saya dengan panggilan yang mera. Kita kan dah kahwin, kenalah sebut panggilan yang romantik," ujar Fuad sambil mengenyitkan mata.


"Tak payahlah kot. Panggil Fuad cukuplah. Nak lebih-lebih pulak," balas Imanina. Sengaja mahu mengusik suaminya.

"Oh tak nak ye. Takpe," jawab Fuad. Dia bingkas berdiri. Sepantas kilat tangannya menolak ayunan yang diduduki oleh isterinya.


"Betul ni tak nak panggil?" soal Fuad lagi.


"Tak nak," balas Imanina selamba. Mendengar jawapan itu Fuad semakin kuat menolak ayunan tersebut. Imanina mencengkam tali ayunan sekuat-sekuatnya.


"Tak nak tak ape. Dendanya kena ayun laju-lajulah," usik Fuad. Dia terus menolak ayunan tanpa henti.


"Ahhhhhh," Imanina menjerit. Fuad benar-benar mengujinya. Tubuhnya semakin terbuai laju. Tersilap sikit boleh jatuh. Fuad Asyraf tersenyum lebar. Dia enggan mengalah selagi isterinya belum mengalah.


"Ahhhhh," jerit Imanina lagi. Namun tidak dipedulikan oleh Fuad.


"Abang, stop. Dah dah dah!" rayu Imanina. Spontan panggilan itu terbit dari bibirnya.


"Panggil apa tadi?" duga Fuad.

"Abang, dah jangan ayun laju sangat nanti Nina jatuh," luah wanita itu. Fuad tertawa kecil. Puas hatinya. Dia segera berhenti menolak ayunan.


"Kalau Nina jatuh macam mana. Nina jugak yang susah," rungut Imanina.


"Kalau jatuh nanti buah hati awaklah yang tolong," ujar Fuad yang berdiri di belakang suaminya. Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya.


"Yelah abang," ucap Nina.


"Apa? apa? Panggil apa tadi? Lagi sekali. Tak jelaslah," ujar Fuad pura-pura tak dengar.


"Sengaja je kan buat-buat tak dengar," balas Imanina.


"Nak dengar buah hati pengarang jantung ni panggil sekali lagi," pinta Fuad.


"Yelah abang, hubby, habibi qalbi, kakanda, buah hati kesayangan hamba," kata Imanina sambil tersenyum. Senyuman Fuad semakin lebar kalau boleh biar sampai ke telinga. Pantas dia berdiri pula di hadapan Imanina lalu dia menyambar pergelangan isterinya.


"Jom ikut abang," ajak Fuad.


"Nak ke mana?" soal Imanina. Fuad berdiam tanpa menjawab pertanyaan itu. Persisiran pantai menjadi tujuan.


Angin petang berhembus lembut mengelitik tubuh. Damai sungguh rasanya menikmati angin segar. Kedengaran deruan ombak menampar tepian pantai. Bunyi yang cukup menyenangkan fikiran. Laut terbentang luas memancarkan kebiruan. Sepasang suami itu terus berjalan. Mata mereka liar menikmati panorama alam ciptaan Tuhan.


"Nak tahu tak apa beza pantai ni dengan Nina?" Fuad kembali bersuara.


"Beza? Pantai ni pantailah, Nina ni manusia," ucap Imanina.


"Salah. Pantai ni ada kat Terengganu, tapi Nina ada kat hati abang," ucap Fuad sepenuh hati sambil mencuit manja hidung isterinya. Pandai juga dia buat ayat pick-up line. Imanina mengukir senyuman paling menawan. Nada-nada kebahagiaan kian berlagu di dalam hatinya.


"Abang, terima kasih tau sebab pilih Nina sebagai pendamping hidup abang," luah Imanina. Mereka berdua mematikan langkah. Sepasang kaki melekat di pesisir pantai itu.


"Sama-sama kasih. Jodoh, pertemuan, semua tu Allah yang tetapkan. Kita sebagai manusia yang dijodohkan kena jaga hubungan ni sampailah ke syurga. Paling penting, kita kena tanam satu perasaan dalam hati kita iaitu mencintai Allah melebihi apa dan sesiapa kat dunia ni. Allah itu cinta bitara kita. Bila kita cari cinta Allah, dengan izin-Nya juga Allah akan hadirkan seseorang yang hatinya amat mencintai Allah," ujar Fuad panjang lebar.


"Betul tu. Dan orang yang mencintai Allah itu ada kat tepi Nina. Alhamdulillah, dalam mencari cinta Allah, Allah temukan Nina dengan orang yang mencintai Allah. Orang yang berakhlak dan soleh," ujar Imanina setulus hati. Fuad dan Imanina saling berpandangan dan berbalas senyuman. Mereka berjalan lagi sambil berpegang tangan. Detik bahagia itu dilewati sepuasnya.

T A M A T ??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience